- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Sarah P Young. (25 Februari 2019). Eight Legendary Creatures from Greek
Mythology That You Might Not Know About. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/8-legendary-creatures-greek-mythology-0011542
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/8-legendary-creatures-greek-mythology-0011542
Penterjemah:
A.D. Alexander
Mitologi Yunani Purba
dipenuhi dengan pahlawan, dewa dan pengembaraan epik. Kisah-kisah yang
diceritakan dalam mitos-mitos mereka cukup menarik dan kebanyakan daripada kita
mengenali beberapa watak yang ditampilkan di dalamnya. Malah, banyak juga wira
dan makhluk dalam mitos Yunani Purba menjadi sebahagian daripada budaya popular
sehingga ke hari ini.
Agak mengujakan melihat
betapa banyak makhluk mitologi yang kita kenali sekarang pada hakikatnya
berasal daripada mitologi Yunani – phoenix, siren, naga, griffin, cyclop,
centaur, sphinx, raksasa, serigala jadian, unicorn, vampire dan begitu juga
zombie yang muncul dalam mitos-mitos Yunani bersama makhluk-makhluk terkenal
seperti Medusa, Pegasus dan Minotaur. Senarai ini tidak seakan-akan tiada
penghujungnya.
Berkemungkinan jumlah
yang besar ini disebabkan sumber sastera yang meluas dalam kebudayaan Yunani
seperti Odyssey dan Illiad di samping bukti-bukti arkeologi yang memaparkan
adegan-adegan daripada mitos, seperti apa yang terpapar pada dua buah
tembikar-tembikar Yunani.
Walau bagaimanapun,
pada hakikatnya masih ada sejumlah makhluk aneh yang terdapat di dalam mitologi
Yunani yang kebanyakannya tidak atau kurang dikenali pada hari ini, berbeza
dengan makhluk-makhluk mitos masyhur yang lain.
DRACAENAE
Kita sedia maklum bahawa
duyung adalah makhluk berupa manusia dan bahagian bawah badannya berupa ikan,
sementara centaur pula adalah manusia yang berbadan kuda. Namun, apa pula
dracaenae ini?
Dracaenae adalah
sejenis makhluk mitos yang bahagian atas badannya berupa wanita jelita
sementara bahagian bawahnya pula berbadan naga yang amat menakutkan. Dracaenae
yang paling dikenali bernama Kampe, yang ditugaskan untuk menjaga gerbang
Tartarus. Kampe adalah makhluk ganas yang bertubuh naga, berekor kala jengking
yang mampu menyuntik racun maut, berkaki ratusan ular, berkepala lima puluh
jenis haiwan seperti beruang dan sekeliling pinggangnya terdapat serigala,
serta memiliki sepasang sayap yang besar berwarna hitam.
Berikutan kemasyhuran
yang diraih oleh makhluk berupa naga menerusi penampilannya di dalam
filem-filem seperti The Hobbit dan Game of Throne, amat menghairankan mengapa
Dracaenae tidak ikut sama dikenali.
Echidna seekor Dracaena Scythia |
BURUNG-BURUNG
STYMPHALIAN
Dikenali sebagai
makhluk yang terlibat dalam tugas keenam Heracles, burung-burung Stymphalian
merupakan sejenis burung yang sangat menakutkan. Mereka mendapat nama
bersempana lokasi asal-usul mereka – paya di lokasi sebenar Stymphalia.
Burung-burung tersebut kononnya memakan manusia dengan bulu-bulu umpama-bilah-logam
yang dihalakan kepada sasaran mereka. Bukan itu sahaja, makhluk ini turut
memiliki paruh gangsa yang tajam dan najis mereka pula dipercayai beracun.
Heracles membunuh burung-burung Stymphalian dengan lastik |
CERASTES
Cerastes yang membawa maksud
‘bertanduk’ adalah sejenis ular dalam legenda Yunani. Mereka dikatakan tidak
mempunyai tulang dan memilki sepasang tanduk yang bersaiz besar, sama seperti
tanduk pada lembu jantan. Leonardo Da Vinci pernah menulis tentang cerastes dan
menggambarkannya sebagai pemangsa serangan-hendap.
Cerastes adalah sejenis
makhluk mitologi Yunani yang dipercayai diinspirasikan daripada haiwan sebenar.
Ular bertanduk itu, yang memiliki benjolan berupa seakan-akan tanduk pada
matanya dan gemar menyerang mangsanya secara mengejut dikatakan merupakan
inspirasi bagi makhluk mitologi itu, walaupun cerastes-realiti tidak berupaya
membunuh mangsa yang memiliki saiz sebesar apa yang diceritakan di dalam
legenda.
ONOCENTAUR
Onocentaur adalah
saudara kepada centaur, makhluk mitos yang masyhur. Makhluk ini berupa manusia
yang sebahagian tubuhnya adalah keldai. Pythagoras dan Aelian menggambarkan
onocentaur ini sebagai makhluk liar dan ganas yang tidak dapat dijinakkan.
Onocentaur digambarkan
mempunyai kaki belakang keldai. Separuh tubuh hadapannya agak rumit jika
direnungi – makhluk ini boleh menggunakan tangannya untuk berfungsi sebagai
kaki, tetapi kaki hadapannya ini juga boleh digunakan untuk memetik atau
membawa apa-apa barang apabila keadaan memerlukan.
Onocentaur |
AETERNAE
Berikutan banyaknya
makhluk aneh yang terdapat dalam mitos dan legenda Yunani, agak sukar bagi
mana-mana makhluk untuk dianggap sebagai “makhluk yang paling aneh”. Tetapi,
aeternae adalah salah satu makhluk yang layak untuk dicalonkan sebagai penyandang
gelaran itu.
Aeternae pernah
disebutkan dalam pengembaraan Alexander Agung. Dikisahkan bahawa aetemae
membunuh sejumlah tentera Alexander dengan menggunakan tulang-seperti-gergaji
yang tumbuh dari kepala mereka. Penerangan berkenaan sifat aeternae ini sangat
pelik dan makanya sukar untuk digambarkan bagaimana bentuk makhluk tersebut.
Tetapi, sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa aeternae mungkin saling tidak
tumpah seperti kijang.
SCYLLA
Kebanyakan makhluk
dalam mitologi Yunani terdiri daripada raksasa laut. Hal ini tidak begitu
mengejutkan kerana Yunani sendiri terbentuk daripada sejumlah pulau dan orang
Yunani sinonim sebagai pelaut.
Salah satu raksasa laut
yang paling menonjol adalah Scylla yang membuat penampilan dalam Odyssey.
Makhluk ini digambarkan oleh Homer sebagai raksasa yang memiliki cengkerang
ketam, dua belas kaki yang tergantung dari badannya, enam batang leher, dan
tiga baris gigi pada setiap kepalanya. Nama Scylla mirip dengan perkataan
‘skyllo’ yang bermaksud ‘merobek sesuatu’.
Walaupun begitu, Ovid
menggambarkan Scylla sebagai makhluk yang berwajah jelita dan dalam
Metamorphoses, beliau mencatatkan bahawa Scylla kononnya pernah menjadi seorang
gadis muda yang manis.
Scylla |
MYRMEKES
Bagi sesiapa yang takut
kepada serangga, maka myrmekes iaitu sejenis semut gergasi merupakan mimpi
buruk buat anda. Herodotus adalah individu pertama yang menggambarkannya dengan
perincian yang sangat spesifik – bersaiz lebih besar berbanding rubah, tetapi
lebih kecil berbanding anjing yang bersaiz besar. Dipercayai berasal dari
India, makhluk ini menyimpan emas yang cuba dicuri oleh penduduk setempat.
Semut Myrmekes tidak
hanya memiliki saiz yang besar, namun ia sangat laju dan sangat menakutkan,
hinggakan mana-mana manusia yang mahu mencuri emas daripada mereka perlu
mengatur rancangan yang sangat rapi untuk mencapai tujuan mereka.
CROCOTTA
Crocotta adalah sejenis
makhluk mitos Yunani yang terdiri daripada pelbagai jenis haiwan. Pehanya
daripada rusa; leher, ekor dan badannya adalah dari singa; berkepala , berkuku
runcing, dan mulutnya mampu terngaga luas hingga ke telinga. Lebih dari
segalanya, crocotta dikatakan sering meniru suara manusia.
Walaupun sesetengah
sumber menyebutkannya sebagai nama lain bagi hyena, ada pendapat yang
menegaskan bahawa ia adalah hibrid di antara hyena dan singa, atau mungkin
haiwan lain.
Crocotta |
Bilangan makhluk mitos
yang banyak yang wujud di dalam mitologi Yunani berserta penerangan asal-usul
mereka dapat memberikan gambaran yang meluas berkenaan masyarakat Yunani.
Misalnya, cerastes mungkin berasal-usul daripada penokokan atau kesalahfaham
tentang makhluk-makhluk aneh dari tempat-tempat yang jauh dari Yunani sekaligus
menjadi bukti bahawa Yunani Purba pernah mengembara jauh ke tempat lain. Atau
mungkin makhluk-makhluk ini menggambarkan ketakutan masyarakat Yunani, misalnya
raksasa-raksasa atau semangat laut berkemungkinan menunjukkan betapa bahayanya
perjalanan laut yang mereka tempuh.
Sumber-sumber sastera
yang masih wujud dan contoh-contoh hasil seni yang memberikan gambaran
berkenaan makhluk-makhluk ini menunjukkan kepada kita akan betapa kompleksnya
kebudayaan masyarakat Yunani Purba. Melihatkan bahawa kita pada hari ini
memiliki banyak pengetahuan tentang hal-hal seperti ini menggambarkan betapa
mereka sangat menghargai dan memelihara budaya mereka.
SUMBER
- A Book of Creatures. 2016. Calopus.
- Atsma, A. Date unknown. Kampe.
- Attalus. Date unknown. Aelian: On the Nature of Animals.
- Homer. 800BC. The Odyssey.
- Ovid. 1AC. Metamorphoses.
- Herodotus. 1987. The History. Translated by David Gren. University of Chicago Press.
- Hutton, W. 2005. Describing Greece: Landscape and Literature in the Periegesis of Pausanias. Cambridge University Press.
- Richter, J.P. 2014. The Notebooks of Leonardo Da Vinci. Createspace Independent Publishers.
- Rose, C. 2001. Giants, Monsters, and Dragons: an Encyclopedia of Folklore, Legend, and Myth. W.W Norton and Company.
- Get link
- X
- Other Apps