NAMMU: LEGENDA IBU PARA DEWA SUMERIA YANG DILUPAKAN

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (13 Mei 2018). Nammu: A Forgotten Tale of the Sumerian Mother of Gods. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/nammu-forgotten-tale-sumerian-mother-gods-0010041

Penterjemah: Amir Zayyanid


Nammu adalah dewi yang melahirkan para dewa dan mencipta manusia dalam mitologi Sumeria. Walaupun memainkan peranan yang sangat penting, kebanyakan kisah seputar dewi ini diselubungi misteri. Sebahagian maklumat berkenaan Nammu hanya diperoleh menerusi pemerhatian terhadap dewi masyarakat Babylon yang dianggap mirip dengannya, iaitu Dewi Tiamat. Oleh kerana maklumat berkenaan Tiamat didapati dalam kebanyakan sumber, maka para penyelidik dapat merungkai serpihan-serpihan info seputar mitos Dewi Nammu setelah membuat perbandingan di antara kedua-dua dewi tersebut.

Walaupun Nammu (juga ditransliterasi sebagai Namma) tidak muncul sebagai karakter utama dalam sebarang mitos Sumeria yang diketahui, dewi ini pada hakikatnya ada disebutkan secara sepintas lalu pada sumber-sumber berkenaan. Dalam mitos ‘Enki dan Ninmah’ misalnya, disebutkan bahawa Nammu adalah ‘dewi ibu di zaman purbakala yang melahirkan dewa-dewa tertua.”

Patung kepala wanita Mesopotamia memakai serban


NAMMU MENCIPTA MANUSIA

Mitos ‘Enki dan Ninmah’ ini juga menggambarkan Nammu sebagai dewi yang menciptakan manusia. Mitos ini dimulakan dengan memberikan perincian berkenaan gaya kehidupan yang dijalani oleh para dewa sebelum manusia diciptakan. Pada waktu itu, para dewa perlu mengerah tenaga dan bekerja. “Para dewa bekerja menggali terusan dan menimbunkan lumpur di Harali.”

Di kala para dewa yang tua hanya menyelia keadaan, kerja-kerja berat tersebut dijalankan oleh dew-dewa kecil dan muda. Oleh kerana tidak menyenangi keadaan hidup yang sukar sebegitu, para dewa (muda) mula melontarkan aduan dan tudingan terhadap Enki, dewa utama dalam mitologi Sumeria. Namun pada ketika itu, Enki sedang nyenyak tidur di sebuah tempat yang tidak diketahui oleh dewa lain. Makanya, beliau tidak menyedari tentang ketidakpuasan hati para dewa muda tersebut.

Relif Enki pada Meterai Adda, sebuah meterai silinder Akkadia bertarikh sekitar 2300SM


Dalam keadaan ini, Nammu-lah yang berperanan mengumpulkan tangisan para dewa dan membawanya ke penghadapan puteranya itu lalu berkata, “Adakah kamu benar-benar berbaring dan sedang (nyenyak) tidur? Para dewa, ciptaan-ciptaan kamu itu, sedang berhempas-pulas mengerah tenaga… Wahai anakku, bangkitlah daripada katil kamu! Tolonglah gunakan kemahiran yang kamu peroleh dari kebijaksanaan kamu itu dan ciptakan pengganti buat mereka agar mereka (pada dewa) dapat bebas dari (kerja-kerja yang) kesusahan itu!”

Keluhan ini membangunkan Enki yang mula merenungi kata-kata Nammu. Kemudian, Enki pun bersetuju dan memperkenankan Nammu untuk mencipta makhluk yang dicadangkannya itu, “makhluk yang kamu rancangkan (untuk dicipta) itu akan benar-benar (aku) wujud(kan). Letakkanlah ke atasnya kerja-kerja memikul bakul-bakul (kerja berat). Kamu hendaklah menguli tanah liat dari puncak abzu; dewi kelahiran akan mencubit tanah liat itu dan kamu akan mewujudkan bentukan makhluk itu.” Maka, manusia pun tercipta.

Patung pemuja lelaki, arca dari Tell Asmar, 2750-2600SM


SEBAHAGIAN DARI PANTHEON ERIDU

Walaupun terdapat hanya sedikit sahaja bukti berkenaan kultus pemujaan Dewi Nammun, para sejarahwan maklum bahawa beliau sememangnya dikaitkan dengan pantheon Eridu. Diandaikan bahawa sebelum Enki menjadi dewa pelindung Eridu, Dewi Nammu itulah yang memainkan peranan sebagai pelindung kota berkenaan.

Pantheon Sumeria


Walaupun signifikasinya sebagai dewi mengalami penyusutan seiring peredaran masa, beliau terus meraih pandangan tinggi dalam kalangan masyarakat Mesopotamia purba. Misalnya, pengasas Dinasti Ketiga Ur-Sumeria, iaitu Ur-Nammu dinamakan bersempena dewi tersebut.


PERBANDINGAN DENGAN TIAMAT

Dewi yang memiliki kemiripan dengan Nammu dalam mitologi Babylon adalah Dewi Tiamat. Tiamat sangat dikenali menerusi kemunculannya di dalam Enuma Elish, iaitu mitos penciptaan masyarakat Babylon. Sama seperti Nammu, Tiamat merupakan ibu kepada generasi pertama para dewa. Cuma bezanya, Tiamat mengalami konflik dengan para dewa yang diciptanya itu.

Diceritakan bahawa suaminya, Dewa Apsu, dibunuh oleh para dewa generasi muda. Lantas, Tiamat pun melancarkan perang menentang anak-anaknya demi menuntut bela atas kematian Apsu. Namun, beliau dibunuh oleh Dewa Marduk. Jasad Dewi Tiamat kemudiannya digunakan untuk mencipta dunia.

Marduk dan naganya, Mushussu, dari meterai silinder Babylon



SUMBER
  • Anon. Enki and Ninmah. [The Electronic Text Corpus of Sumerian Literature, Faculty of Oriental Studies, University of Oxford (trans.). 2006. Enki and Ninmah.
  • Anon. The Epic of Creation. [Dalley, S. (trans.). 2008. The Epic of Creation, in Myths from Mesopotamia, Creation, the Flood, Gilgamesh and Others. Oxford: Oxford University Press.
  • Brisch, N. 2013. Namma (goddess)