NINEVEH – MENEROKA SISA RUNTUHAN IBU KOTA ASSYRIA PURBA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (24 Ogos 2018). Nineveh: Exploring the Ruins of the Crown City of Ancient Assyria. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/nineveh-0010595

Penterjemah: Amir Zayyanid


Nineveh merupakan ibu kota terakhir bagi Empayar Assyria di samping dikenali sebagai kota yang paling ramai penduduk di zamannya. Kebelakangan ini, tinggalan runtuhan Nineveh mengalami kerosakan teruk akibat peperangan yang berlaku di rantau tersebut.

Nineveh – Gerbang Mashki


PERMULAAN KOTA NINEVEH

Tinggalan runtuhan Nineveh terletak di pinggir kota Mosul, utara Iraq yang berlokasi di tebing barat Sungai Tigris. Kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan di sana mendapati bahawa kota tersebut memiliki sejarah seawal milenia ke-7SM lagi. Pada masa-masa itu, tapak kota ini dihuni oleh sebuah petempatan kecil Neolitik.

Sejarah Nineveh beberapa milenia kemudian diceritakan menerusi tinggalan-tinggalan kebudayaan yang ditemui di tapak berkenaan. Himpunan tembikar yang dijumpai di tapak itu melibatkan sejumlah tembikar Hassuna-Samarra dan Tall Halaf yang memiliki lukisan bercirikan kebudayaan Mesopotamia utara di Zaman Chalcolithik. Malahan, penemuan sabit tanah liat yang digunakan di era Ubaid mendapati wujudnya kemungkinan bahawa penghuni Nineveh zaman pra-sejarah menjalinkan hubungan dengan masyarakat jiran di selatan.

Relif dari Nineveh, sekitar 695SM, Muzium Pergamon


Bermula sebagai sebuah petempatan kecil, Nineveh kemudiannya berkembang menjadi sebuah bandar yang agak penting menjelang awal milenia ke-2SM. Pada waktu itu, Nineveh dijadikan sebagai pusat kultus pemujaan Dewi Ishtar dan rentetan fungsi keagamaan tersebut, Nineveh pun semakin meraih signifikan. Beberapa kurun kemudian, Nineveh berada di bawah kekuasaan Kerajaan Mitanni-Hurrian sebelum beberapa tempoh selepas itu, ia ditakluk oleh Assyria.

Status Nineveh dipercayai tidak banyak berubah pada zaman Empayar Assyria Pertengahan. Walaupun terdapat sejumlah inskripsi berkenaan para pemerintah Assyria Pertengahan seperti Shalmaneser I dan Tiglath-Pileser I berjaya ditemukan di kota Acropolis, tidak banyak bukti yang boleh menyokong sebarang teori bahawa Assyria melaksanakan projek pembinaan yang besar di Nineveh pada masa-masa itu.


NINEVEH DI ZAMAN NEO-ASSYRIA

Hanya semasa pemerintahan Empayar Neo-Assyria barulah Nineveh menjadi sebuah kota yang sanga tpenting. Perkembangan seni bina kota ini bermula di zaman pemerintahan Ashurnasirpal II pada kurun ke-9SM dan mencapai masa-masa kemuncaknya di zaman pemerintahan Sennacherib pada kurun berikutnya. Ashurnasirpal dan para pewarisnya mendirikan beberapa buah kuil dan istana baru di samping membaikpulih binaan-binaan yang lama. Namun di antara mereka semua, Sennacherib-lah yang bertanggungjawab menjadikan Nineveh sebagai ibu kota baru Assyria sekaligus memulakan projek pembinaan yang berskala sesuai dengan status terbaharu kota berkenaan.

Kuil Matahari di Nineveh (Iraq)


Aktiviti-aktiviti pembinaan beliau direkodkan pada stele. Antara projek yang dijalankan termasuklah pembinaan jalan, perkarangan, tembok dan istana baru. Diperkirakan bahawa pada masa pemerintahan Sennacherib, kota ini memuatkan seramai 100 000 orang penduduk walaupun ada juga pendapat yang menyebutkannya sebagai 120 000 orang, sekaligus menjadikan kota ini sebagai kota yang paling ramai penduduk di dunia pada zaman itu.

Pemburuan Singa Diraja di Muzium British dari Istana Utara Nineveh 645-635SM. Raja sedang membidik panah sambil para pengiring menangkis serangan dari seekor singa yang terluka


KEJATUHAN SIGNIFIKASI KOTA NINEVEH

Kegemilangan Nineveh tidak kekal berpanjangan memandangkan Empayar Assyria mengalami kekalahan besar di tangan persekutuan Babylon, Scythia dan Medes pada tahun 612SM. Assyria tidak berupaya lagi untuk bangkit dari kekalahan ini lantas menemui pengakhirannya beberapa tahun kemudian sementara ibu kotanya pula habis dijarah oleh musuh. Walau bagaimanapun, kota ini tidaklah ditinggalkan dan penduduknya terus menetap di situ sehingga paling tidak abad ke-16. Tambahan lagi, pada abad ke-13, kota tersebut sempat mengecap kemewahan di bawah pemerintahan Atabek-Atabek Mosul.

Lukisan oleh John Martin berjudul ‘The Fall of Nineveh’


NINEVEH DI ZAMAN MODEN

Penerokaan kota Nineveh di zaman moden berlaku seawal abad ke-19M. Misalnya pada tahun 1849, Sir Austen Henry Layard menemukan ‘Istana Tanpa Seteru’ milik Sennacherib. Antara penemuan-penemuan di Nineveh yang lain adalah ‘Perpustakaan Ashurbanipal’ yang masyhur dan istana-istana milik beberapa orang raja Assyria.
Namun pada hari ini, konflik yang tercetus di rantau tersebut menghindarkan kerja-kerja ekskavasi lanjut dari dijalankan. Malah, ia turut mengakibatkan kerosakan teruk pada tinggalan runtuhan kota purba itu. Pada tahun 2016, dilaporkan bahawa Gerbang Mashki dan Gerbang Adad, iaitu du abuah gerbang masuk ke kota Nineveh dihancurkan manakala artifak-artifak yang telah pun ditemukan dari tapak berkenaan yang sebelum ini disimpan di Muzium Mosul, habis rosak ataupun musnah.





SUMBER