- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (8 Ogos 2019). Shah Jahan: Mughal Emperor, Creator of the Taj
Mahal, Champion of Fine Cuisine. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/shah-jahan-creator-taj-mahal-and-one-most-powerful-mughal-emperors-006285
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/shah-jahan-creator-taj-mahal-and-one-most-powerful-mughal-emperors-006285
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Taj Mahal, salah satu
binaan paling masyhur di India yang terletak di Agra, merupakan binaan yang
ditaja oleh Maharaja Mughal, Shahabuddin Muhammad Shah Jahan atau lebih
dikenali sebagai Shah Jahan. Binaan yang menempatkan makam permaisuri
kesayangan beliau, Mumtaz Mahal, memiliki kemasyhuran yang sangat tinggi
sehingga ia lazim lebih menonjol berbanding nama pembinanya.
Walaupun Shah Jahan
sering dikaitkan dengan Taj Mahal, pada hakikatnya beliau juga meraih pencapaian
lain yang layak untuk dicatatkan oleh tinta sejarah. Apapun, beliaulah lelaki
yang dianggap oleh sebahagian sejarahwan sebagai salah seorang maharaja Mughal
yang paling berkuasa.
![]() |
| Potret Maharaja Mughal, Shah Jahan dan permaisuri kesayangannya, Mumtaz Mahal |
JAMUAN MAHARAJA
Baru-baru ini, kita
meraih gambaran tentang hidangan-hidangan mewah yang terdapat di dalam mahligai
Shah Jahan. Sebagaimana yang anda bakal telusuri dalam artikel ini, empayar
Mughal secara relatifnya bersifat stabil jika ditidak disertakan dengan
pertelingkahan dalam-istana, dan Shah Jahan sendiri merupakan seorang maharaja
yang terkenal kerana gemar menghiburkan pembesar-pembesar yang datang berziarah
pada zaman pemerintahannya.
Manuskrip Parsi yang
berilustrasi lagi penuh berhias yang berjudul Nuskha-e-Shahjahani telah
lama tersimpan dalam koleksi Perpustakaan British. Kemudian, muncul seorang
sejarahwan pemakanan yang bernama Salma Yusuf Husain menterjemahkan manuskrip
yang merincikan jenis-jenis hidangan yang disajikan daripada dapur diraja
maharaja Mughal ini. Hasilnya, lahirnya buku ‘Jamuan Mughal’ yang
mengetengahkan sudut pandang dan gambaran yang mendalam tidak hanya kepada
pemakanan diraja Mughal, malah juga gaya hidup dan perwatakan Shah Jahan.
![]() |
| Shah Jahan (sekitar 1630) |
Salma Yusuf Husain
berkata, “Shah Jahan bukanlah seorang pahlawan. Beliau tidak pernah (masyhur)
sebagai seorang tentera. Beliau gemar makan.” Minatnya terhadap makanan dan
barangan indah tergambar jelas pada resepi hidangan diraja seperti naan berisi-kurma,
sup manga dan asam jawa serta daging-daging dan bahkan beras bersalut perak!
Salma Yusuf menerangkan faktor di sebalik pemilihan yang agak aneh ini:
“Hakim (tabib
diraja) adalah individu yang mengaturkan menu pemakanan, cuba memastikan untuk menghidangkan
juadah yang memiliki khasiat untuk kesihatan. Misalnya, setiap butir beras
untuk pulao diselaputi dengan warq perak, yang membantu penghadaman dan
bertindak sebagai afrodisiak.”
Kelihatan seperti Shah
Jahan memang benar-benar memanfaatkan harta kekayaan dan kedudukannya. Namun
begitu, bagaimana pula dengan sejarah asal-usul beliau?
KELUARGA SHAH JAHAN
Shah Jahan dilahirkan
sebagai Putera Khurram pada tanggal 5 Januari 1592 di kota Lahore (Pakistan
moden). Ayahandanya bernama Jahangir, maharaja Mughal yang ke-4 sementara
ibundanya pula adalah puteri dari kerajaan Hindu-Rajput yang bernama Taj Bibi
Bilqis Makani.
![]() |
| Potret orang tua Shah Jahan, Jahangir dan Taj Bibi Bilqis Makani |
Semasa kecil, Shah
Jahan dianggap sebagai cucu kesayangan datuknya, Maharaja Akbar yang secara
peribadi bertanggungjawba memberikan pendidikan kepada putera muda itu.
Menjelang kemangkatan Akbar, berlaku pertelagahan yang dahsyat rentetan
berebutkan hak pewarisan takhta dalam kalangan puteranya di mana Jahangir tampil
menonjol dan memenangi pertelagahan itu. Tidak lama selepas menaiki takhta,
Jahangir berhadapan dengan pemberontakan putera sulungnya, Putera Khusrau.
Setelah pemberontakan tersebut ditundukkan, Putera Khusrau dibutakan dan
dipenjarakan di kubu Agra.
Walaupun Shah Jahan
sendiri merupakan salah seorang putera kesayangan ayahandanya, hubungan rapat
di antara anak-beranak itu mula terjejas semasa tahun-tahun terakhir Jahangir.
Hal ini berlaku kerana sekali lagi wujud pertelingkahan dalaman yang dicetuskan
oleh Nur Jahan, isteri Jahangir yang berasal dari Afghan. Nur Jahan menyimpan
hasrat mahu menabalkan menantunya, Putera Shahryar (putera bongsu Jahangir)
sebagai pewaris takhta Mughal.
Disebabkan berasa
khuatir dirinya akan dikesampingkan, maka Shah Jahan pun mencabar perebutan
kuasa pada tahun 1622 dengan melancarkan pemberontakan terhadap ayahandanya.
Jahangir terpaksa mengambil masa selama 4 tahun untuk menundukkan anaknya itu
sehingga Shah Jahan pada akhirnya menyerah tanpa syarat pada tahun 1626M. Mujur
buat Shah Jahan, beliau tidak dihukum buta dan penjara seperti yang pernah
dikenakan ke atas abangnya, putera Khusrau. Tambahan lagi, Jahangir pula
mangkat setahun kemudian sekaligus membenarkan Shah Jahan mewarisi kedudukan
takhta ayahandanya itu secara absah.
![]() |
| Jahangir menimang Putera Khurram (kelak dikenali Shah Jahan) – sekitar 1610-1615 |
PERSETERUAN BEREBUTKAN
TAKHTA MUGHAL
Sama seperti apa yang
pernah dilalui oleh ayahandanya, Shah Jahan turut berhadapan dengan
penuntut-penuntut takhta dari kalangan adik-beradiknya. Salah seorang mangsa
terawal Shah Jahan dalam rangka mempertahankan haknya itu adalah saudara
tirinya, Putera Khusrau yang dihukum mati pada tahun 1622, jauh sebelum
pergelutan merebut pewarisan takhta ini bermula.
Putera Shahryar yang
menerima sokongan daripada Nur Jahan sempat merampas takhta Mughal. Namun, Asaf
yang merupakan bapa kepada Mumtaz Mahal dan saudara kepada Nur Jahan
menginginkan hal yang sebaliknya – beliau mahu supaya Shah Jahan yang menjadi
maharaja. Oleh kerana itu, beliau pun memberkas Putera Shahryar dan menaikkan
anak sulung Putera Khusrau, iaitu Dawar sebagai maharaja boneka untuk menjamin
keselamatan takhta Mughal agar kelak dapat diserahkan kepada Shah Jahan ketika
tiba waktunya. Susulan daripada kejadian ini, hampir kesemua seteru politiknya,
termasuklah Dawar dan Putera Shahryar dihukum mati setelah Shah Jahan
ditabalkan sebagai Maharaja Mughal pada tahun 1628M.
![]() |
| Maharaja Shah Jahan (sekitar 1628) |
KEMPEN KETENTERAAN
Shah Jahan merupakan
seorang pemimpin tentera yang sangat berkebolehan. Selepas menaiki takhta
Mughal, beliau memulakan kempen perluasan kuasa ke segenap penjuru. Dalam dekad
pertama pemerintahannya sahaja, Shah Jahan berjaya menakluk kerajaan-kerajaan
Rajput di Baglana dan Bundelkhand di barat, kerajaan-kerajaan Bijapur dan
Golconda di selatan (Tanah Tinggi Deccan), serta kerajaan-kerajaan kecil di
Kashmir dan Himalaya.
Berikutan
kejayaan-kejayaan yang dicapainya ini, Shah Jahan mengambil keputusan untuk
melancarkan kempen ketenteraan memerangi Uzbek di Balkh, Asia Tengah serta
Safavid dari Parsi. Walau bagaimanapun, kempen-kempen ini berakhir dengan
kegagalan.
![]() |
| Gambaran abad ke-17 berkenaan Shah Jahan memimpin bala tentera Mughal |
PENCAPAIAN SENI BINA
DAN PENGAKHIRAN PEMERINTAHAN SHAH JAHAN
Mungkin, pencapaian
yang jauh lebih penting dan signifikan berbanding penaklukan-ketenteraan yang
dilakukan oleh Shah Jahan adalah legasi seni bina yang beliau tinggalkan.
Seperti datuknya Akbar, Shah Jahan turut memiliki minat yang mendalam terhadap
seni bina. Pencapaian seni bina Shah Jahan yang paling ulung tidak lain dan
tidak bukan adalah Taj Mahal – yang dibina di antara tahun 1632 hingga 1653M.
Selain itu, Shah Jahan
juga bertanggungjawab memperindahkan lagi Kubu Merah Agra dan sejumlah binaan
masjid termasuklah Masjid Jama, Masjid Wazir Khan dan Masjid Moti.
![]() |
| Taj Mahal pada waktu matahari terbenam |
Menjelang tahun 1658,
Shah Jahan jatuh gering yang bukan calang-calang tenatnya. Menyedari ajal yang
bakal mengunjungi ayahanda mereka, keempat-empat putera Shah Jahan pun mula
bertelagah berebutkan takhta Mughal. Walaupun Shah Jahan sendiri lebih
cenderung untuk memilih Dara Shikoh, namun puteranya yang bernama Aurangzeb
ternyata mengungguli perebutan tersebut.
Walaupun Shah Jahan
berupaya sembuh daripada kegeringan itu, beliau ditangkap oleh Aurangzeb dan si
putera itu mengisytiharkan bahawa ayahandanya telah terlalu uzur untuk
memerintah empayar lantas Shah Jahan dikurung di Kubu Merah Agra. Shah Jahan
mangkat pada tahun 1666M.
![]() |
| Shah Jahan dan putera kesayangannya, Dara Shikoh (1638) |
SUMBER
- Department of Tourism. Government of UP. Uttar Pradesh. 2014. The Fifth Mughal Emperor: Shah Jahan [1592-1666]
- Hebbar, N.H. 2002. History of Islam in India. King of the World: Shah Jahan. (1592-1666).
- Lal, V. 2014. Shah Jahan.
- Szczepanski, K. 2015. Shah Jahan.
- Cultural India. 2015. Shah Jahan.
- PBS.Org. 2015. Shah Jahan.
- Taj mahal.org.uk. 2015. Shah Jahan.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Shah Jahan: Pembina Taj Mahal’
- Get link
- X
- Other Apps








