- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (16 Februari 2017). The Amazing Story of Yasuke: The Forgotten
African Samurai. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/amazing-story-yasuke-forgotten-african-samurai-007554
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/amazing-story-yasuke-forgotten-african-samurai-007554
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Samurai merupakan salah
satu simbol warisan budaya Jepun yang paling diingati. Walaupun kebanyakan
samurai adalah orang Jepun, terdapat juga beberapa contoh orang bukan-Jepun
yang menjadi samurai. Antara yang paling masyhur adalah kelasi Inggeris yang
bernama William Adams (1564-1620) yang datang ke Jepun pada tahun 1600 dan
mendaki tingkat sosial sehingga menjadi seorang samurai.
Terdapat juga satu
contoh lain yang agak mengejutkan, iaitu seorang samurai Afrika yang bernama
Yasuke. Beliau menjadi seorang samurai di bawah naungan Daimyo Oda Nobunaga
(1534-1582) selepas berkhidmat sebagai pengawal peribadinya. Yasuke dibawa ke
Jepun pada tahun 1579 oleh mubaligh-mubaligh Jesuit dengan tujuan untuk
menggamit perhatian dan minat kelas bangsawan Jepun.
YASUKE MENJADI SEORANG
SAMURAI
Asal-usul Yasuke
diselubungi misteri. Beliau berkemungkinan lahir sekitar 1555-1566. Tidak cukup
begitu, sejarahwan juga tidak mengetahui asal-usul namanya. Namun, terdapat
pandangan yang mendakwa bahawa nama ‘Yasuke’ itu merupakan sebutan Jepun bagi
nama asalnya. Menurut satu sumber, Yasuke berasal dari kaum Makua yang datang
dari Mozambique. Ada juga yang berpandangan bahawa beliau berasal dari Angola
atau Ethiopia. Lebih menarik, sebahagian pihak malah mendakwa bahawa Yasuke adalah
hamba kelahiran Eropah, atau lebih tepat, Portugal.
Walau apa pun jua
asal-usulnya, Yasuke muncul buat kali pertama dalam sejarah pada tahun 1579
sebagai pelayan seorang mubaligh Jesuit yang bernama Alessandro Valignano.
Valignano datang ke Jepun untuk melawat mubaligh-mubaligh yang sudah pun
menetap di negara matahari terbit itu.
Berkemungkinan tinggi
Yasuke adalah seorang hamba. Kulitnya yang berwarna hitam menggamit perhatian
masyarakat tempatan dan dikatakan bahawa ramai yang datang ke gereja di Kyoto
semata-mata untuk melihatnya. Yasuke semakin mendapat perhatian hinggakan
khabar tentang dirinya sampai ke pengetahuan Daimyo Nobunaga yang berhasrat
untuk berjumpa dengannya.
Lukisan kurun ke-17 dari Jepun yang menggambarkan sekumpulan orang asing dari Portugal |
Semasa awal pertemuan,
Nobunaga bersikap skeptik terhadap warna kulit Yasuke hinggakan beliau menyuruh
Yasuke agar membuka baju dan menggosok-gosok kulitnya untuk membuktikan bahawa
ia bukanlah dakwah. Apapun, Nobunaga menaruh rasa kagum terhadap ketinggian
yang dimiliki oleh Yasuke. Dicatatkan bahawa badannya berketinggian lebih 6
kaki (182cm). Pada waktu itu, rata-rata masyarakat Jepun berketinggian 5 kaki
(152cm). Ketinggiannya ini membuatkan beliau sangat menonjol dalam kalangan masyarakat.
Lantas, Nobunaga
mengambil Yasuke sebagai orang bawahannya, sebelum Yasuke berkhidmat sebagai
pengawal peribadi daimyo itu. Pada tahun 1581, Yasuke dijadikan sebagai seorang
samurai dan ditugaskan di Istana Azuchi milik Nobunaga. Semenjak itu, Nobunaga
sering mengajak Yasuke untuk makan bersamanya. Hal tersebut merupakan suatu
kelebihan yang jarang dirasai oleh mana-mana samurai. Yasuke juga dilantik
sebagai pembawa pedang Daimyo. Menjelang waktu itu, Yasuke sudah pun fasih
berbahasa Jepun.
Ilustrasi Yasuke si samurai |
BERAKHIRNYA KARIER
YASUKE SEBAGAI SAMURAI
Karier Yasuke sebagai
seorang samurai tidak berpanjangan. Pada tahun 1582, salah seorang panglima
Nobunaga iaitu Mitsuhide mencetuskan pemberontakan untuk menggulingkan daimyo
itu. Mitsuhide menggempur kuil kediaman Nobunaga di Kyoto. Meyakini bahawa
kekalahan bakal menimpanya, Nobunaga pun melaksanakan seppuku, suatu ritual
pembunuhan diri. Berikutan kemangkatan Nobunaga, Yasuke mengundurkan diri ke
Istana Azuchi dan berkhidmat untuk putera Nobunaga, iaitu Oda Nobutada. Namun,
Nobutada juga membunuh diri setelah tewas di tangan Mitsuhide.
Potret Oda Nobunaga oleh Giovanni Niccolo, 1583-1590 |
Mitsuhide tidak menaruh
sebarang kepercayaan terhadap Yasuke. Beliau malah menyifatkannya sebagai
‘haiwan liar’ dan ‘bukan samurai sebenar’. Hal ini kerana Yasuke tidak
melakukan seppuku, suatu kelaziman dalam budaya Jepun setelah seseorang samurai
itu mengalami kekalahan. Sebaliknya, Yasuke menawarkan pula khidmat kepada
Mitsuhide, di mana sikap sebegini merupakan budaya dari Barat. Lantaran
penawaran khidmatnya itu ditolak, Yasuke pun membawa diri kembali ke pangkuan
Valignano dan sejarahnya kembali samar.
HUBUNGAN ANTARA
MASYARAKAT AFRIKA DAN JEPUN
Tidak banyak bukti yang
menunjukkan kehadiran orang Afrika di Jepun sebelum kedatangan Yasuke. Pun
begitu, terdapat beberapa perkara yang boleh dijadikan sebagai isyarat wujudnya
hubungan antara masyarakat Afrika dan Jepun pra-Yasuke.
Sebagai contoh,
terdapat sebuah pepatah Jepun yang berbunyi, “Untuk seseorang samurai itu
menjadi berani, dia mesti memiliki sedikit darah hitam.”
Tidak dapat dipastikan
sama ada pepatah ini merujuk kepada individu berkulit hitam atau wujud
permaknaan lain bagi perkataan ‘hitam’ tersebut. Terdapat juga kemungkinan
bahawa frasa ‘darah hitam’ mempunyai maksud yang tersendiri dalam budaya Jepun
dan sama sekali tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana individu dari
Afrika.
Baju besi samurai |
Pepatah ini juga kurang
sesuai untuk dijadikan sebagai bukti wujudnya hubungan antara masyarakat Jepun
dan Afrika lantaran warna hitam dalam kebudayaan Jepun sering dikaitkan dengan
kematian, ketakutan dan rasa duka.
Dalam sejarah Jepun,
terdapat satu lagi individu yang dianggap oleh sebilangan sejarahwan sebagai
berketurunan Afrika. Beliau adalah Sakanouye no Tamuramaro, seorang pahlawan
yang dijadikan sebagai simbol kepahlawanan. Beliau hidup pada era Heian
(794-1185), dari tahun 785 hingga tahun 811. Tamuramaro merupakan pengawal
istana Maharaja Kammu (memerintah 781-806). Beliau kemudiannya dilantik sebagai
ketua pasukan tentera yang dihantar untuk memerangi Ainu. Pahlawan ini
dicatatkan dalam sejarah sebagai seorang yang berkulit hitam.
‘Sakanoue Tamuramaro dalam Hujan Panah’ |
Walau apapun, hal ini
tidak cukup untuk membuktikan wujudnya hubungan antara masyarakat Afrika dan
Jepun pada masa dahulu. Pun begitu, ia tetap mendedahkan sejarah perhubungan
antara Jepun dan dunia luar yang melangkaui pengetahuan kita sebelum ini.
SUMBER
- Yasuke. (1555-?) by Robert Fikes. (n.d.) Black Past.
- Black Presence in Early Japan by Runoko Rashidi (1994). Proud Black Buddhist.
- What is the Meaning of Color in Japanese Culture by Cassandra Mathers (n.d.) People of Our Everyday Life.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Yasuke – Samurai Afrika Yang Dilupakan Dunia’
- Get link
- X
- Other Apps