- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Qishloq Ovozi. (31 Disember 2014). Who was Kurmanjan Datka anad what does she
Mean to the Kyrgyz People? RadioFreeEuropeRadioLiberty.
https://www.rferl.org/a/qishloq-ovozi-who-was-kurmanjan-datka/26770979.html
https://www.rferl.org/a/qishloq-ovozi-who-was-kurmanjan-datka/26770979.html
Penterjemah:
Alam Bahasa
Beberapa bulan yang
lalu semasa saya mendapat tahu akan penyiaran filem “Kurmanjan Datka, Sang Ratu
Di Pergunungan” (Kurmanjan Datka, Queen of the Mountains), perasaan
teruja menggamit emosi saya. Seperti mereka-mereka yang melancong ke
Kyrgyzstan, saya menyaksikan patung-patung yang didedikasikan kepada Kurmanjan
Datka dan lorong-lorong yang dinamakan bersempena beliau. Namun, saya hanya
berjaya mendapatkan sejumlah kecil sahaja berkenaan kisah beliau semasa saya
berkelana di negara tersebut. Makanya, saya masih tertanya-tanya akan siapakah
gerangan Kurmanjan Datka dan apakah signifikannya kepada rakyat Kyrgyz pada
hari ini?
Ulasan filem yang agak
bagus daripada Emily Canning ada menyertakan satu perkara yang menarik
perhatian saya iaitu apabila beliau menyebutkan tentang seorang wanita Kyrgyz
yang menonton filem tersebut berkata, “Orang lain mungkin tidak memahami,
tetapi saya dapat rasakan file mini menyentuh hati saya.”
Memang benar. Bagaimana
dapat saya memahami filem tersebut?
Jadi, saya pun
memutuskan untuk menghubungi seseorang yang mungkin boleh memahami filem
berkenaan (mengetahui sejarah bangsa Kyrgyz). Mujur, saya mengenali Tynchtykbek
Tchoroev (Chorotegin) yang dianggap sebagai salah seorang yang sangat arif
tentang negara dan sejarah Kyrgyz, malah dalam kalangan masyarakat Kyrgyz
sendiri.
Dan disebabkan saya
telah mengenalinya dengan agak lama, maka saya akan menyebutnya sebagai ‘Tynch’
di dalam artikel ini.
Tynch memberitahu saya
bahawa terdapat beberapa orang Datka wanita (bermaksud ‘pemerintah berhak’)
pada separuh pertama abad ke-19M. Namun, tiada siapa di antara mereka dapat
dibandingkan dengan Kurmanjan (1811-1907), puteri kepada Mamatbay yang berasal
dari puak Mungush. Hal ini kerana kekuasaan Kurmanjan sebagai pemerintah
tempatan di Pergunungan Alai dan kawasan sekitar menerima pengiktirafan daripada
tiga pihak besar, iaitu Kokand, Bukhara dan Russia.
Beliau dikahwinkan
dengan seorang lelaki yang tidak dicintainya. Makanya, beliau lari ke pangkuan
keluarganya. Menurut Tynch, hal seperti itu tidak pernah dilakukan oleh wanita
yang dikahwin-atur walaupun dalam kalangan penduduk tetap di Asia Tengah. Dan
pada abad ke-19 pula, adat tersebut dianggap sinonim dengan keganasan tradisi
patriarki puak berkenaan.
Keputusan Kurmanjan
untuk berkahwin dengan lelaki yang dicintainya juga bukan merupakan sebahagian
daripada adat, walaupun dalam kesnya itu, perasaan cinta tersebut dibalas oleh
Alymbek Datka (1799-1862) si putera Asan-biy yang berasal dari puak Bargy,
iaitu sebahagian daripada puak Kyrgyz Adygene yang dikahwininya pada tahun
1832M.
Tynch berkata bahawa kedegilan
dan kemahuan Kurmanjan untuk mengahwini atas rasa cinta adalah “mesej utama
kehidupan Kurmanjan si wirawati kebebasan bagi wanita Kyrgyz.”
Alymbek adalah seorang
bangsawan yang disokong oleh kesatuan masyarakat Kyrgyz dan kemerdekaan Kokand
Khanate daripada Tsar Russia. Alymbek Datka merupakan gabenor Provinsi Andijon
dalam Kokand Khanate merangkap atalyk (pemangku) kepada Shah Murad yang
merupakan khan (penguasa) bagi Kokand yang baru berusia 12 tahun (pada tahun
1862, sejurus sebelum beliau sendiri dibunuh).
Selepas suaminya mati
dibunuh, Kurmanjan menjadi Datka. Peralihan kuasa ini diperakui tidak hanya
oleh khan Kokand yang memerintah wilayah meliputi Osh dan kampung halaman
Kurmanjan di Pergunungan Alai, tetapi juga oleh Muzaffar si emir Bukhara yang
pernah memerintah kebanyakan wilayah Kokand Khanate semasa pencerobohannya ke
wilayah timur Asia Tengah itu.
Muzaffar bertemu secara
rasmi dengan Kurmanjan Datka di kota Osh, bukan di Pergunungan Alai,
sebagaimana yang digambarkan di dalam filem.
Tynch berkata,
Kurmanjan menjadi panglima dan gabenor pada masa yang sama, sedangkan pada
waktu itu adalah sangat sukar untuk menjadi salah satu di antara keduanya,
kerana Kokand Khanate sedang berada dalam fasa keruduman dan Askar Rusia pula
semakin melebarkan kekuasaannya di Asia Tengah.
Suami Kurmanjan sebelum
ini pernah memerangi tentera-tentera tsar yang datang menyerang, begitu juga
dengan beberapa orang anaknya. Misalnya, Abdylda-Bek, putera sulung Alymbek
Datka dan Kurmanjan Datka, mengetuai askar “Pulat Khan” semasa penentangan
terhadap rejim Russia. Pulat Khan merupakan mullah Ferghana Kyrgyz yang bernama
Iskhak Asan-uulu, yang merupakan pihak penentang terakhir yang cukup kuat dalam
memerangi Khudayar Khan si pro-Russia dan penjajah Russia. Pulan Khan dibunuh
oleh tentera Russia sementara Abdylda-Bek pula melarikan diri ke Afghanistan
melalui Pamir dan meninggal dunia di sana pada tahun 1877.
Menurut Tynch,
Kurmanjan cukup bijak kerana memujuk masyarakat Kyrgyz yang lain agar tidak
memerangi tentera Russia yang jauh lebih berkuasa.
![]() |
| Kyrgyzstan adalah satu-satunya negara Asia Tengah yang mempunyai presiden wanita, Roza Otunbaeva |
Sebagaimana yang telah
disebutkan dalam ulasan filem Canning, Kurmanjan tidak berperang untuk
menyelamatkan puteranya darii dihukum mati oleh pihak Russia. Sebaliknya,
menurut sebahagian sumber mengenai kisah beliau, Kurmanjan malah menghadiri
sesi hukuman tersebut. Beliau tidak memilih untuk mengorbankan masa hadapan
rakyatnya semata-mata agar dapat menyelamatkan seorang zuriatnya.
“Itulah antara mesej
lain yang terdapat dalam kisah hidup Kurmanjan Datka,” kata Tynch. “Kekuatan
beliau dapat dilihat menerusi usahanya memelihara kepentingan rakyatnya.”
Tambahnya lagi, “dalam kisah Kurmanjan ini, kita beroleh peringatan bahawa
seorang isteri, seorang wanita, mereka juga boleh memimpin bangsanya.”
Dengan segala
kehormatan yang disandang oleh wanita-wanita kontemporari dalam politik Asia
seperti Indira Ghandi, Benazir Bhutto, dan Aung San Suu Kyi, Tynch menambah
bahawa “Kurmanjan Datka juga merupakan seorang wanita yang sama seperti mereka,
srikandi di penghujung abad ke-19.”
Tynch menyatakan bahawa
walaupun tentera-tentera Russia melayan Kurmanjan dengan penuh hormat dan
bahkan mengurniakan gelaran ‘tsaritsa Alaiaa’ (Ratu Alai) kepadanya, beliau
tetap merupakan “salah satu alat untuk memujuk rakyat Kyrgyz lain di daerah
berkenaan agar hidup dengan aman di
bawah penjajahan Russia.”
Namun, Kurmanjan
bersikap toleransi dengan budaya-budaya yang berbeza. Hal ini merupakan aspek
yang penting jika dilihat bahawa kawasan tempat beliau menjalani kehidupan itu
masih dihuni oleh pelbagai jenis manusia. Masyarakat yang hidup sezaman dengan
beliau menghormati Kurmanjan Datka kerana sifat toleransi dan kebolehupayaannya
untuk memerintah (negara). Hal ini terbukti menerusi rekod-rekod tentang beliau
yang boleh ditemui dalam keadaan tersimpan rapi dalam banyak manuskrip
berbahasa Turkik Chagatai, Parsi, Kyrgyz dan bahasa-bahasa lain yang
menggunakan tulisan Arab.
Salah sebuah legenda
baharu mengenai Kurmanjan Datka adalah mitos yang mengisahkan beliau berupaya
menulis puisi-puisi dalam Bahasa Parsi dan menandatanganinya dengan menggunakan
nama Zinat. Namun, para sejarahwan Kyrgyz menolak pendapat ini kerana menurut
mereka, Zinat adalah nama samara seorang penyair lelaki di zaman pemerintahan
Omar Khan di Kokand.
Di dalam filem,
Kurmanjan dipamerkan menulis tulisan runik Orkhon-Yenissei. Tynch memaklumkan
bahawa walaupun masyarakat Kyrgyz boleh menulis dalam tulisan-tulisan runik
pada ke-7 hingga ke-12 Masehi, tulisan tersebut sebenarnya pertama kali
ditafsirkan oleh ilmuwan Denmark yang bernama Vilhelm Thomsen (1842-1927) pada
tahun 1893.
Pada tahun 1906,
Kurmanjan Datka diziarahi oleh Baron Carl Gustaf Emil Mannerheim, yang sedang
mengembara sebagai seorang pengkaji etnik (etnografer) dengan membawa misi
daripada pegawai misi rahsia Russia, dari Russia ke China melalui Pergunungan
Alai.
Mannerheim yang pada
akhirnya menjadi presiden Finland (1944-1946), mengambil sekeping gambar unik
Kurmanjan Datka. Gambar tersebut kemudiannya dicetak pada mawatang kertas
Kyrgyzstan berserta dengan potret Datka sendiri.
Legasi yang
ditinggalkan oleh Kurmanjan Datka kepada rakyat Kyrgyz tidak mampu dirincikan
dalam bentuk penulisan yang kecil. Apa yang boleh saya titipkan sebagai komen
adalah Kyrgyzstan merupakan satu-satunya negara di Asia Tengah yang mempunyai
presiden wanita, iaitu Roza Otunbaeva.
Otunbaeva juga
menetapkan sebuah undang-undang di Asia Tengah – yang diharapkan akan terus
diikuti di masa akan datang – dengan meninggalkan pejabatnya apabila penggalnya
tamat tanpa ada langsung cubaan untuk mempersiapkan pengganti atau mengekalkan
peranan peribadi dalam arena politik.
Menarik untuk
disebutkan bahawa bersesuaian dengan perjanjian yang ditandatangani oleh
Otunbaeva pada 28 Disember 2010, tahun 2011 diisytiharkan sebagai Tahun
Kurmanjan Datka di Kyrgyzstan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-200.
- Get link
- X
- Other Apps

