- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (17 Mac
2019). Dido of Carthage, Mediterranean Princess Turned African Queen. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/dido-carthage-0011628
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/dido-carthage-0011628
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dido, yang juga
dikenali sebagai Elissa dalam beberapa sumber, merupakan seorang ratu legenda
yang dicanangkan sebagai pengasas negara kota Carthage. Legenda Ratu Dido boleh
didapati di dalam sumber-sumber Yunani dan Rom, antara yang paling masyhur
adalah Aeneid karya Virgil. Legenda yang terkandung di dalam puisi epik
tersebut bersifat tragedy di mana Dido dikisahkan membunuh diri setelah
kekasihnya, Aeneas meninggalkannya dan pergi ke Semenanjung Itali.
Nama Dido dipercayai
bermaksud ‘si pengembara’, erti yang dilihat sangat sesuai jika dikaitkan
dengan kisah bagaimana beliau boleh tiba di Carthage. Menurut legenda, Dido
adalah puteri Tyre, sebuah negara kota kaum Phoenicia di Lebanon moden. Virgil
mencatatkan nama ayahanda Dido sebagai Belus dan saudaranya pula bernama
Pygmalion. Ketika beliau masih lagi berada di Tyre, Dido berkahwin dengan
seorang lelaki bernama Sychaeus.
DIDO MELARIKAN DIRI
DARI TANAH AIRNYA
Belus berhasrat agar
selepas kemangkatannya, pentadbiran Tyre dibahagikan secara sama rata antara
Dido dan Pygmalion. Namun hal tersebut tidak menjadi kenyataan. Sebaik sahaja
Belus mangkat, Pygmalion dengan segera mengambil-alih kuasa dan membunuh
Sychaeus kerana ingin merampas harta kekayaannya. Beberapa tempoh kemudian,
hantu (jelmaan) Sychaeus muncul di dalam mimpi Dido, memaklumkan kebenaran di
sebalik tragedy kematiannya, lokasi rahsia harta kekayaannya dan peringatan
agar melarikan diri dari Tyre kerana Pygmalion akan membunuhnya kelak. Oleh
kerana itu, Dido pun segera mengambil harta yang ditinggalkan oleh mendiang
suaminya dan beredar dari kota itu bersama para pengikutnya.
Setelah keluar dari
Tyre, Dido dan para pengikutnya berlayar meredah Laut Mediterranean lalu tiba
di pesisiran pantai Afrika Utara. Bekas puteri Tyre ini kemudian menemui
seorang pemerintah tempatan bernama Iarbas, yang bersetuju untuk menjual tanah
hanya seluas hamparan kulit seekor kerbau kepada Dido. Dalam kesempatan ini,
Dido mempamerkan kebijaksanaannya dengan memotong kulit tersebut menjadi
jalur-jalur yang banyak. Lalu, beliau menyusunnya sehingga membentuk bulatan
yang meliputi kawasan yang agak luas. Di tanah itulah kota Carthage didirikan
dan Dido menjadi pemerintah pertamanya.
![]() |
| Ilustrasi Ratu Dido membina Carthage dan berdirinya Empayar Carthaginia |
KEHIDUPAN RATU DIDO DI
CARTHAGE
Merentas peredaran
masa, Carthage meraih kemewahan dan Iarbas pula melamar Dido. Namun, ratu itu
menolak kerana beliau masih setia kepada mendiang suaminya dan enggan
mengahwini mana-mana lelaki lain. Dalam versi legenda ini, Iarbas berkeras
tidak mahu menerima penolakan Dido dan bahkan mengugut untuk menghancurkan
Carthage andai ratu itu berkeras menolak pinangannya.
Akibatnya, tiada jalan
lain yang Dido miliki kecuali membunuh diri – sama ada dengan menikam diri
sendiri dengan timbunan kayu mayat (funeral pyre) atau dengan menghumban
diri ke dalam api yang menjilat timbunan kayu tersebut.
Walau bagaimanapun,
versi mitos Dido yang lebih masyhur melibatkan pertemuannya dengan Aeneas, yang
mengembara di sekitar Mediterranean setelah ketumbangan Troy. Aeneas tiba di
Carthage ketika pembinaan masih berlangsung dan beliau bertemu dengan Dido.
Ratu itu menyambut kehadiran beliau dan rakan-rakannya serta membenarkan mereka
untuk menetap di Carthage.
Dalam banyak
kesempatan, Aeneas sering cuba menggoda Dido. Namun, Dido tetap teguh dengan
cintanya terhadap mendiang suaminya. Hanya menerusi campur tangan Venus
(spesifiknya, anak panah yang dibidik oleh Cupid ke Dido), barulah ratu
Carthage itu jatuh cinta pada Aeneas.
![]() |
| Ratu Dido dan Aeneas, fresco purba Rom |
Seiring peredaran masa,
Aeneas dan Dido pun mula menjalani kehidupan bersama sebagai suami isteri, dan
rakan-rakan Trojan Aeneas kekal menetap di Carthage. Walau bagaimanapun, berita
ini sampai ke pengetahuan Iarbas. Menurut legenda, raja tersebut berdarah
separa-dewa memandangkan bapanya adalah Dewa Jupiter sementara ibunya pula
adalah peri Garamantia. Makanya, Iarbas pun mengadu kepada bapanya tentang Dido
dan Aeneas. Jupiter kemudiannya bertindak-balas dengan menghantar Dewa Mercury
untuk memperingatkan Aeneas tentang takdir hidupnya dan juga agar melakukan
persiapan bagi pengembaraan selanjutnya.
LULUHNYA HATI RATU DIDO
Aeneas dan
rakan-rakannya terpaksa meninggalkan Carthage secara rahsia dan apabila hal itu
sampai ke pengetahuan Dido, hatinya habis hancur luluh. Tatkala melihat kapal-kapal
Trojan berlayar pergi meninggalkan Carthage, Dido mengungkapkan kata-kata
sumpahan ke atas mereka dengan mengisytiharkan permusuhan abadi antara
keturunannya dengan keturunan Aeneas. Hal ini dilihat sebagai petanda yang
meramalkan perseteruan di antara Carthage dan Rome serta Perang-Perang Punic
yang melibatkan kedua-dua kuasa ini.
Ratu Dido kemudiannya
mengarahkan agar sebuah pyre (timbunan kayu) dipersiapkan agar
beliau dapat membakar kesemua barang yang ditinggalkan oleh Aeneas. Sebaik
sahaja segalanya habis dibakar, Dido sendiri malah memasuki pyre tersebut,
melabuhkan dirinya di atas perbaringan yang menjadi saksi perkongsian hidupnya
dengan Aeneas, lalu membunuh diri dengan menggunakan pedang pemberian
kekasihnya itu.
![]() |
| Ilustrasi Kejatuhan Empayar Carthaginia setelah kemangkatan Ratu Dido |
Kisah hidup Dido ini
berjaya mencuri perhatian generasi demi generasi manusia. Legendanya tidak
hanya dinukilkan oleh para penulis dan pemuisi di Zaman Klasik, malah juga oleh
artisan di era terkemudian. Misalnya, terdapat banyak opera yang dipercayai
mengambil inspirasi daripada kisah hdup Dido. Beliau juga banyak muncul dalam
kerja-kerja seni. Lebih daripada itu, Dante di dalam Divine Comedy meletakkan
Dido sebagai simbolistik bagi tingkat kedua Neraka, tingkat yang dikhususkan
kepada manusia yang kalah kepada nafsu semasa hayat mereka.
SUMBER
- de Weever, J. 1996. Dido.
- Gill, N.S. 2017. The Story of Dido, Queen of Ancient Carthage.
- The Editors of Encyclopedia Britannica. 2014. Dido.
- Mythencyclopedia. 2019. Dido.
- Phoenician.org. 2019. Elissa (Dido) Legend.
- Get link
- X
- Other Apps



