KAUM NOMAD YUEZHI – JALAN PERJUANGAN MENUJU BARAT

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (4 Januari 2014). Fighting Their Way Westward: The Nomadic Yuezhi People. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/fighting-their-way-westward-nomadic-yuezhi-people-005097


Penterjemah: Amir Zayyanid


Yuezhi merupakan satu masyarakat nomad purba dari Asia Tengah yang termasuk dalam rumpun bahasa Indo-Eropah. Kebanyakan daripada kita pada hari ini kurang mengenali Tamadun Yuezhi. Memandangkan mereka mengamalkan gaya hidup nomad, maka ciri-ciri yang menonjol pada kaum ini adalah perpindahan mereka ke barat. Perpindahan ini menimbulkan rantaian tindak-balas daripada tamadun-tamadun lain di rantau tersebut. Sumber-sumber maklumat utama yang menyebutkan tentang Yuezhi datang daripada catatan-catatan Cina. Nama mereka juga pernah disebutkan oleh sumber daripada Barat, dan beberapa keping syiling yang dicipta oleh para pemerintah Yuezhi masih wujud sehingga ke hari ini.


TANAH AIR YUEZHI

Menurut Shiji karya Sima (Zhang) Qian (yang juga dikenali sebagai Catatan-Catatan Sejarawan Ulung) yang disiapkan sepenuhnya pada penghujung kurun ke-2 Sebelum Masehi, Yuezhi berasal daripada kawasan yang terletak di antara Pergunungan Qilian dan Dunhuang. Dalam erti kata lain, kampung halaman Yuezhi adalah wilayah Gansu, Cina moden.

Zhang Qian berangkat melakukan ekspedisi ke Asia Tengah. Semasa pengembaraannya itu, Qian bertemu dan mencatatkan maklumat tentang kaum Yuezhi


Terdapat satu tafsiran alternatif bagi teks berkenaan yang mencadangkan bahawa Pergunungan Qilian berkemungkinan merujuk kepada Tian Shan, memandangkan terdapat pendapat yang mengatakan bahawa nama Cina bagi gunung berkenaan (Tian Shan) diambil dari nama dalam bahasa Xiongnu (iaitu Qilian). Jika mengambil tafsiran ini, Yuezhi terletak jauh di barat, tepatnya di bahagian utara Xinjiang moden. Teori lain yang disandarkan pada sumber-sumber Cina yang lebih tua pula mencadangkan bahawa Yuezhi berasal dari Mongolia moden, dan mereka hanya berpindah ke Dunhuang (sama ada di Gansu mahupun Xinjiang) pada waktu yang lebih terkemudian.

Sebahagian dari banjaran gunung Tian Shan


SIRI PERTEMPURAN YANG DIHADAPI KAUM NOMAD YUEZHI

Walau daripada mana sekalipun asal-usul Yuezhi, sejarahwan bersepakat mengatakan bahawa mereka pernah ditewaskan dalam pertempuran oleh Xiongnu, sebuah lagi puak nomad, pada kurun ke-2SM. Lantaran itu, mereka terpaksa berpindah jauh ke barat. Yuezhi kemudiannya sekali lagi dipaksa untuk bermigrasi, kali ini ke selatan apabila mereka diserang oleh Wusun. Ketika berkelana ke selatan, Yuezhi bertembung dengan Kerajaan Graeco-Bactarian dan berjaya menewaskan mereka. Peristiwa kemenangan ini tidak hanya direkodkan dalam sumber-sumber Cina purba, tetapi juga oleh seorang ahli geografi Yunani yang bernama Strabo.

Dalam sumber-sumber Cina purba, Kerajaan Graeco-Bactarian dirujuk sebagai Daxia. Menurut Shiji, kerajaan ini terletak kira-kira 2000 li (1000km/621.4 batu) arah barat daya dari Dayuan (terletak di Lembah Ferghana) dan arah selatan dari Sungai Gui. Selain daripada karya Sima Qian itu, peristiwa serangan Yuezhi ke atas Kerajaan Graeco-Bactarian ini juga boleh ditemukan di dalam karya abad ke-5M yang berjudul Hou Han Shu (Buku Han Terkemudian).


Kedua-dua sumber Cina purba ini bersepakat bahawa Yuezhi berjaya menewaskan Daxia. Menurut Shiji, Yuezhi kemudiannya menubuhkan istana diraja di tebing utara Sungai Gui. Manakala Hou Han Shu pula menyebutkan bahawa Yuezhi membahagikan pentadbiran Daxia kepada lima xihou (Putera-Putera Bersekutu). Dalam sumber Yunani pula, Strabo menggambarkan Yuezhi sebagai sebuah puak Scythia:

“Kini, sebahagian besar puak Scythia, bermula dari Laut Caspian, (mula) dikenali sebagai Daae. Namun, kedudukan mereka ini terletak jauh lebih ke timur berbanding mereka-mereka yang dipanggil sebagai Massagetae dan Sacae di mana kesemua mereka ini diberi nama (dipanggil secara) umum Scythia walaupun masing-masing juga memiliki nama yang tersendiri. Mereka semua mengamalkan gaya hidup nomad. Namun, puak nomad yang paling dikenali adalah mereka yang merampas Bactriana daripada Yunani; maksud saya Asii, Pasiani, Tochari dan juga sacarauli, yang berasal dari negara di seberang Sungai Iaxartes yang bersambungan dengan Sacae dan Sogdiani dan dihuni oleh Sacae.”

Peta perpindahan tamadun Yuezhi


BERUBAH KEPADA GAYA HIDUP TETAP DAN MENJADI SEBUAH EMPAYAR BAHARU

Berikutan penaklukan Kerajaan Graeco-Bactrian, Yuezhi meninggalkan gaya hidup nomad dan menjadi penduduk tetap. Selain itu, mereka turut mengadaptasi cara hidup Hellenistik sambil mengekalkan sistem pertanian dan perdagangan yang diamalkan oleh nenek-moyang mereka. Mereka juga mula menggunakan alfabet Yunani di samping mencetak syiling menggunakan gaya Graceo-Bactrian.


Hou Han Shu menyebutkan bahawa Yuezhi menemui pengakhirannya lebih 100 tahun selepas menakluk Kerajaan Graceo-Bactrian (sekitar 30SM). Segalanya bermula apabila salah seorang xihou menundukkan keempat-empat pemerintah bersama yang lain. ‘Negara Yuezhi bersatu’ itu kemudiannya memperluaskan sempadan dengan menakluk wilayah-wilayah sekitar seperti Anxi (Parthia), Gaofu (wilayah Kabul), dan juga Tianzhu (barat laut India). Hal ini membawa kepada lahirnya Empayar Kushan yang wujud sehingga kurun ke-4M.

Syiling pemerintah Kushan pertama, Heraios, dengan gaya Greco-Bactrian


SUMBER