KOTA DAN CITADEL PURBA ALEPPO – LEGASI ZAMAN EMAS SYRIA

Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (2 September 2019). Ancient City and Citadel of War-Torn Aleppo Are Syria’s Golden Age Legacy. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/aleppo-0012519

Penterjemah: Amir Zayyanid


Membuat imbasan secara sepintas lalu tentang Aleppo dengan menggunakan mana-mana enjin carian akan memaparkan ratusan artikel berkenaan konflik yang berlaku di Syria. Amat menyedihkan, nama Aleppo seolah-olah suatu mimpi ngeri yang membuat kita terimbau-imbau tragedy perang. Namun pada hakikatnya, negara tersebut mempunyai sejarah gemilang yang panjang dan menempatkan sejumlah monumen bersejarah dan barangan artifak mengagumkan. Citadel Aleppo, yang memainkan peranan penting dalam perjalanan sejarah di rantau itu selama ratusan tahun, adalah salah satu contoh yang paling masyhur.


KOTA PURBA ALEPPO

Kota Purba Aleppo terletak di tengah-tengah bandar moden Aleppo, meliputi kawasan yang dikelilingi oleh tembok purba. Kawasan tersebut menempatkan sejumlah kuarters yang dihuni oleh penduduk dari pelbagai agama dan etnik – setiap jalannya mempunyai keunikan dari segi ekonomi dan sosial. Keluasannya agak besar, mencecah 350 ekar dan mampu menempatkan lebih 100 000 orang penduduk – jumlah minima sebelum berlakunya peperangan di rantau itu.

Kawasan tersebut agak dikenali kerana wujud banyak lorong sempit, pasar, rumah agam, persinggahan buat pelancong, serta bangunan-bangunan keagamaan yang penting baik bagi penganut Islam mahupun Yahudi.

Masjid Besar Aleppo


Kota tersebut didirikan pada Zaman Gangsa dan secara umum, ia tidak berusik apatahlagi mengalami kerosakan akibat serangan sejak Zaman Pertengahan sehinggalah berlakunya Pertempuran Aleppo pada tahun 2012 yang mengakibatkan sejumlah besar keluasan kota purba itu mengalami kemusnahan atau terbakar. Pada 2014, sejumlaah binaan bersejarah yang penting mengalami kerosakan lanjut akibat pertempuran yang berlangsung antara Tentera Syria-Arab dan pasukan pemberontak di Jabhat al-Nusra.


CITADEL ALEPPO

Citadel Aleppo terletak di sebuah bukit di tengah-tengah bandar tersebut. Secara umum, ianya dianggap sebagai salah sebuah kubu terbesar dan tertua di dunia.
Kubu di atas bukit ini dihuni dan dikuasai secara berterusan sejak Zaman Gangsa – dikawal oleh Parsi dan Yunani yang menaungi kawasan itu selama beberapa kurun setelah Syria ditakluk oleh Alexander Agung. Kemudian, kekuasaan tersebut jatuh ke tangan Rom dan empayar penggantinya, Byzantine. Seterusnya, pemilikan tersebut diambil secara silih-berganti oleh bangsa Arab, Seljuk Turk, dan juga Mamluk.

Binaan moden bagi kubu ini hampir kesemuanya dibina semasa pemerintahan Dinasti Ayyubiah, sebuah dinasti dari Kurdish yang diasaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi iaitu tokoh pejuang yang merebut semula Jerusalem dari tangan Salib. Sejak kurun ke-16, kubu tersebut digunakan oleh Uthmaniyah sebagai berek.

Kemudian selepas berlakunya Perang Dunia Pertama, Perancis menguasai kubu tersebut dan menjadi yang pertama melakukan penggalian arkeologi di tapak berkenaan. Memasuki 2000an, usaha pembaikpulihan kubu dijalankan. Namun berikutan tercetusnya Perang Saudara Syria, citadel ini mengalami kerosakan semasa kelangsungan Pertempuran Aleppo. Kubu ini dibuka semula pada tahun 2017 setelah menjalani sejumlah proses pembaikpulihan.

Citadel ini terletak di sebuah bukit berbentuk bundar yang berukuran 1500 x 1100 kaki (500 x 326m) dan permukaan pada puncaknya pula berukuran 1000 x 510 kaki (300 x 160m).

Citadel Aleppo


Dikatakan bahawa pada suatu ketika dahulu, bukit ini pernah dilitupi oleh kepingan tebal batuan kapur yang sebahagian bekasnya masih boleh dilihat. Malah, kubu ini juga dipercayai dikelilingi oleh parit yang agak dalam sekaligus menjadikannya sebuah kubu yang sukar dan bahkan mustahil untuk ditembusi.

Pintu masuk utama ke kubu ini berupa sebuah gerbang besar, yang diakses oleh jambatan berdekorasi Uthmaniyah dan memiliki banyak motif seni bina Islam. Laluan masuk ke kubu ini sengaja direka supaya mana-mana tentera yang cuba mencerobohnya terdedah kepada serangan dari tentera-tentera yang bertahan dari dalam kubu. Laluan ke bahagian dalam citadel pula diakses melalui tiga buah gerbang.

Bahagian dalam citadel Aleppo


Ruangan tersebut menempatkan perkarangan yang luas dan antara bangunan menarik yang terdapat di asna adalah sejumlah dewan yang sudah dibaikpulih sepenuhnya seperti Dewan Senjata, Dewan Byzantine dan Dewan Singgahsana (era Uthmaniyah) yang kesemuanya berbumbung kubah. Turut melengkapi ruangan dalam kubu ini adalah dua buah masjid, sebuah menara, dewan-dewan mandi dan sebuah amfiteater yang lengkap. Kesemua binaan ini berciri zaman pertengahan. Beberapa buah tapak arkeologi di kubu itu dibuka kepada orang awam. Antaranya seperti Kuil Hadad dari Zaman Besi. Terdapat juga sebuah perigi yang dipercayai wujud sejak zaman Hellenistik serta lubang-lubang arnab yang boleh membawa pengunjung ke bahagian bawah binaan. Muzium di dalam citadel yang menyimpan banyak artifak juga tidak ketinggalan melengkapi ruangan tersebut.


MENINJAU CITADEL ALEPPO

Kini, kota ini bukan lagi medan peperangan dan ianya sudah pun berada sepenuhnya dalam kawalan tentera dan rejim Syria. Monumen ini juga telah menjalani pembaikpulihan sepenuhnya setelah mengalami kerosakan akibat Pertempuran Aleppo. Kini, ia dibuka untuk kunjungan orang awam. Walau bagaimanapun, melancong ke Syria berkemungkinan masih belum dibenarkan secara meluas berikutan sekatan-sekatan antarabangsa dari memasuki negara itu masih lagi berlanjutan.


SUMBER