- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (9 Julai 2019). Kuelap, Peru – Ancient Fortress of the Cloud
Warriors. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/kuelap-peru-ancient-fortress-cloud-warriors-002915
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/kuelap-peru-ancient-fortress-cloud-warriors-002915
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dibina oleh
Chachapoyas, citadel berkubu Kuelap merupakan pangkalan Pahlawan-Pahlawan Awan
di Peru sebelum mereka ditakluk oleh pihak musuh. Tembok-tembok batu yang besar
dan ratusan runtuhan ini terus berdiri sehingga hari ini sebagai memori sebuah
kebudayaan ulung yang hilang dalam sejarah. Keadaan runtuhan Kuelap yang amat
mengagumkan ini sememangnya menjadi sebab yang munasabah mengapa ia kadangkala
disebut sebagai Machu Picchu kedua.
Machu Picchu tanpa
dinafikan lagi merupakan tapak arkeologi paling masyhur di Peru. Pembinanya
adalah kaum Inca, yang juga merupakan masyarakat yang paling dikenali di
Amerika Selatan. Menerangkan secara ringkas tentang signifikasi Machu Picchu,
menteri pelancongan dan perdagangan luar negara Peruvian, Jose Luis Silva Martinot
berkata bahawa pada tahun 2011 sahaja, sebanyak 70% pelancong antarabangsa yang
datang ke Peru hanya bertujuan untuk mengunjungi Cusco atau Machu Picchu.
Kedua-duanya itu adalah monumen tinggalan kaum Inca. Namun pada hakikatnya,
Peru juga memiliki banyak tapak lain untuk dikunjungi memandangkan negara
tersebut pernah menempatkan sejumlah tapak arkeologi, puak asli, dan juga
kebudayaan lama. Salah satu tapak yang dimaksudkan adalah Kuelap, yang dibina
oleh kebudayaan Chachapoyas.
Runtuhan berupa tembok berdekorasi di Kuelap, Peru |
PANGKALAN
PAHLAWAN-PAHLAWAN AWAN
Kuelap merupakan salah
satu monumen batu purba terbesar di Dunia Baru, terletak di cerun Andes, utara
Peru kira-kira 3000 meter (10 000 kaki) dari paras laut Secara spesifik, tapak ini terletak di daerah
yang mana hutan tebal bersambung dengan banjaran Andes. Sama seperti kaum Inca,
Chachapoyas juga mahu mengambil kedudukan yang setinggi mungkin – baik atas
tujuan geo-strategik mahupun tujuan keagamaan.
Sering dirincikan
sebagai citadel purba, para penyelidik terkini berpendapat bahawa Kuelap
sebenarnya lebih cenderung digunakan sebagai petempatan berbanding tapak
kelangsungan pertempuran. Apapun, tapak ini sememangnya dibina oleh Chachapoyas
– sebuah komuniti manusia yang sering dirujuk sebagai Pahlawan-Pahlawan Awan. Chachapoyas
adalah masyarakat pra-Inca yang hidup di hutan-hutan tinggi di wilayah Amazon
moden, Peru.
Antara tinggalan
arkeologi paling masyhur yang ditinggalkan oleh Chachapoyas adalah sarcophagi
purumanchu, iaitu bekas-seperti-keranda di mana mereka menempatkan
jasad-jasad si mati. Lalu, sarcophagi purumanchu ini ditinggalkan di
lereng jurang. Proses untuk menghasilkan purumanchu ini memiliki
beberapa peringkat. Pertama, tanah liat dibentut mengikut rupa dan saiz si mati
yang telah terlebih dahulu dibalut dengan rapi. Kemudian, campuran lumpur dan
jerami dikenakan. Akhir sekali, sarcophagi tersebut dicat dengan warna
krim putih dan dekorasi seperti kalung, tunik berbulu dan wajah dilukis secara
terperinci menggunakan warna merah dan kuning. Apabila diletakkan di lereng
cerun, sarcophagi tersebut kelihatan seperti tentera pengawal – kononnya
sebagai mengawal keselamatan si mati.
Berdasarkan bukti
arkeologi, Kuelap dibina sekitar abad ke-6M dan digunakan secara berterusan
sehingga abad ke-16M.
Sarcophagi Caraja, simbol kepada budaya Chachapoya yang telah hilang |
CIRI-CIRI RUNTUHAN
KUELAP
Berikutan lokasinya
yang strategik serta saiz struktur dan dinding-dinding batunya yang besar (20
meter tinggi dan purata ketebalan 80 cm), Kuelap terkenal sebagai sebuah kubu
sekaligus mengaitkannya dengan fungsi ketenteraan. Walaupun lokasi ini jarang
atau mungkin tidak pernah menyaksikan kejadian pertumpahan darah, ilmuwan
berpendapat bahawa Chachapoyas membina Kuelap untuk mempertahankan diri dari
ancaman komuniti-komuniti jiran yang mungkin bermusuhan dengan mereka.
Walau bagaimanapun,
tapak yang meliputi keluasan sekitar 65 000 meter persegi ini tidak hanya
mengandungi binaan-binaan ketenteraan. Akan tetapi, terdapat juga bangunan
sivil, bangunan keagamaan dan bangunan domestik. Tambahan lagi, diperkirakan
pada masa kemuncaknya, Kuelap memiliki populasi mencecah 3000 orang penduduk
yang mereka ini tidak hanya terdiri dari golongan pahlawan, tetapi juga
golongan pedagang, dukun dan petani. Berdasarkan faktor-faktor ini, ilmuwan
mencadangkan agar Kuelap lebih sesuai dipanggil sebagai kota bertembok
berbanding kubu.
Dianggarkan bahawa
Chachapoyas ditakluk oleh Inca pada suatu masa di separuh kedua kurun ke-15
Masehi. Kemudian, Kuelap sepertinya telah dibiarkan tidak berusik oleh Inca,
dan makanya Chachapoyas terus menetap di sana. Berikutan ketibaan penjajah
Sepanyol pada kurun ke-16, kebudayaan Chachapoyas pun runtuh dan Kuelap pula
ditinggalkan.
Kota bertembok Kuelap |
PENEMUAN-PENEMUAN
ARKEOLOGI
Merentas abad,
pendedahan kepada perubahan cuaca telah memberikan kesan kepada kondisi Kuelap.
Walaupun penduduk tempatan sepertinya menyedari kewujudan Kuelap, tapak
berkenaan hanya ditemukan semula oleh dunia luar pada tahun 1843.
Sejak tapak berkenaan
ditemukan semula, para arkeologis banyak mempelajari tentang runtuhan Kuelap.
Terdapat lebih 400 bangunan berbentuk bulat yang diperkirakan berfungsi sebagai
rumah sekaligus membenarkan para arkeologis mengutarakan pendapat tentang
kefungsian Kuelap serta anggaran populasi kota berkenaan pada masa-masa
kemuncaknya. Terkini, satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Florida
mengumumkan bahawa mereka telah menemukan bukti pembedahan tulang terawal yang
dilakukan di Kuelap. Kenyataan ini berdasarkan dari penemuan tulang kaki milik
dua orang lelaki dari Kuelap yang mempunyai lubang, dipercayai telah ditebuk.
Ahli arkeologi mengenal pasti lebih 400 rumah berbentuk bulat di Kuelap |
Salah satu amalan
menarik yang dipercayai diamalkan oleh penduduk Kuelap adalah mereka cuba
‘memukul’ langit dengan batu-batu yang dilempar ke langit menggunakan alat
pelempar batu (catapult). Ilmuwan mengandaikan amalan ini adalah
bertujuan untuk menyeru hujan. Satu lagi amalan pelik yang ditemukan oleh arkeologis
adalah mumia-mumia nenek-moyang kaum Chachapoyas ditempatkan di bawah lantai
beberapa buah rumah. Mumia-mumia ini diletakkan di bawah batu-batuan yang boleh
dipindahkan agar ianya dapat dikeluarkan semasa berlangsungnya upacara-upacara
keagamaan.
Banyak lagi kawasan di
tapak Kuelap yang belum menjalani kerja-kerja ekskavasi. Dalam erti kata lain,
tidak seperti Machu Picchu yang telah diteroka sepenuhnya, tapak ini masih lagi
menawarkan sensasi khusus kepada para pelancong – iaitu sensasi melawat sebuah
kota yang hilang, yang sekelilingnya masih lagi dikelilingi oleh hutan-hutan
tebal.
USAHA MEMARTABAT KEULAP
Selain pihak
arkeologis, pihak kerajaan Peruvian juga memberikan perhatian kepada tapak
Kuelap memandangkan mereka berhajat untuk membangunkannya dengan lebih lanjut
sehingga menjadi destinasi pelancongan terkemuka. Salah satu perancangan yang
mereka usahakan pada tahun 2017 adalah memperkenalkan kereta kebal yang mampu
membawa pelancong ke tapak berkenaan.
Sebelum ini, untuk
melawat tapak Kuelap, para pelancong perlu mendaki selama tiga hingga empat jam
atau menaiki kereta melalui jalan-jalan sukar selama sejam setengah. Apabila
kereta kabel diperkenalkan, masa perjalanan dapat dipercepatkan dengan drastik
memandangkan pelancong hanya perlu memulakan perjalanan dari kampung Tingo
Nueveo menuju ke stesen kereta kabel, disusuli perjalanan selama 20 minit untuk
tiba ke Kuelap.
Walaupun penambahbaikan
ini berhasil menyingkatkan masa perjalanan den gan begitu drastik, dalam sudut
lain, ia juga mencantas perkembangan sejumlah khidmat pelancongan yang
ditawarkan oleh komuniti yang menetap berhampiran tapak berkenaan.
Kebiasaannya, bas-bas pelancong akan mengambil jalan yang membolehkan para
pelancong berhenti dan meluangkan masa untuk makan atau berbelaja di
kedai-kedai local. Akan tetapi, memandangkan ramai pelancong mula menggunakan
kereta kabel, perkhidmatan yang ditawarkan oleh komuniti ini tidak meraih
sambutan seperti sebelumnya.
Walau apapun,
berdirinya tembok-tembok batu serta runtuhan-runtuhan di tapak Kuelap sehingga
ke hari ini menggambarkan betapa Pahlawan-Pahlawan Awan sama sekali tidak dapat
diluputkan dari ingatan manusia. Mungkin, kajian di masa akan datang boleh
meraihkan kita maklumat yang lebih banyak tentang kebudayaan Peru yang telah lama
hilang ini.
Llama di runtuhan Kuelap, Peru |
SUMBER
- Andina, V. 2014. Improvements to local infrastructure set to make Peru’s Kuelap Fortress poplar tourist destination.
- Davarian. 2014. Kuelap Fortress.
- Hill, D. 2015. Cable car link for Kuelap, the ‘new Machu Picchu’.
- Moss, O. 2011. Kuelap: Searching for the next Machu Picchu.
- Ojeda, H. 2015. Evidence for ancient bone surgery found at Kuelap Fortress. Rough Guide. 2015. Kuelap.
- WMF. 2015. Kuelap Fortress.
- Get link
- X
- Other Apps