OSHUN – DEWI CINTA DAN AIR MANIS AFRIKA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (15 April 2015). Oshun, African Goddess of Love and Sweet Waters. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-africa/oshun-african-goddess-love-and-sweet-waters-002908

Image result for oshun
Penterjemah: Amir Zayyanid


Melihat pada sejumlah ketamadunan purba di seluruh dunia, cinta lazimnya diletakkan di bawah perlindungan suatu dewata tertentu. Kebiasaannya, dewata itu adalah sang dewi. Misalnya bagi dunia klasik, terdapat Venus dan Aphrodite yang masing-masing merupakan dewi cinta bagi pantheon Rom dan juga Yunani. Dalam ketamadunan Timur Dekat purba, cinta dipersonafikasikan melalui dewi-dewi seperti Ishtar dan Astarte. Jauh ke Afrika Barat, masyarakat Yoruba menanam kepercayaan terhadap dewi cinta yang dikenali sebagai Oshun.

Kaum Yoruba menetap di bahagian barat daya Nigeria moden dan juga bahagian selatan Benin moden. Penganut-penganut kepercayaan tradisi Yoruba meyakini kewujudan pantheon yang terdiri daripada 401 dewata (dipanggil sebagai Orisha). Panteon Orisha ini mentadbir pelbagai aspek di dunia dan juga kehidupan manusia. Walaupun Oshun (juga dieja sebagai Osun) secara umum dianggap sebagai dewi cinta, terdapat juga beberapa aspek lain yang diletakkan di bawah penjagaan Oshun. Salah satu peranannya yang paling penting adalah Oshun merupakan dewi air manis dan dewata pelindung Sungai Oshun di Nigeria. Di sisi sungai ini terdapat sebuah petempatan suci, yang mungkin tinggalan terakhir dari Kebudayaan Yoruba yang didedikasikan buat Oshun.

Sungai Osun, Nigeria


Petempatan Suci Osun-Osobo itu berupa hutan tebal yang terletak di pinggir bandar Osogbo, Nigeria barat. Pada masa dahulu, kawasan seperti itu lazim ditemui di tempat-tempat tinggal kaum Yoruba dan hampir setiap bandar memiliki satu kawasan seperti itu. Merentas masa, kawasan ini ditinggalkan ataupun saiznya mengecil. Kawasan ini terdiri daripada 40 tempat suci, 2 buah istana dan juga sejumlah patung dan hasil-hasil seni. Berikutan statusnya yang unik, Petempatan Suci Osun-Osogbo dimasukkan ke dalam Senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2005.

Petempatan Suci Osun-Osogbo, juga disebut sebagai Hutan Suci Osun-Osogbo


Dalam sebuah kisah rakyat, penduduk-penduduk kampung dari kawasan berhampiran berpindah untuk mencari sumber bekalan air. Untuk itu, mereka pun menetap di sepanjang sungai berhampiran bandar Osogbo moden. Apa yang para penghuni baru ini tidak ketahui adalah tanah yang baru mereka duduki itu adalah milik Oshun. Maka pada suatu hari, ketika mereka sedang menyiapkan tanah untuk dilakukan kerja-kerja cucuk tanam, sebatang pokok tumbang ke dalam sungai sekaligus menghadirkan suatu suara, “Kalian telah menghancurkan tembikar pewarna aku!”

Keadaan ini membuatkan pada penduduk kampung ketakutan dan mereka pun mencari cara untuk menenteramkan si dewi. Usaha yang dilakukan meraih keberhasilan dan Oshun menasihatkan kepada mereka agar berpindah ke kawasan tepi sungai yang sedikit jauh dari situ. Ujarnya, manusia dan roh semangat tidak boleh hidup bersama. Lantas, penduduk kampung pun menuruti nasihat Oshun dan petempatan mereka itulah yang membentuk Petempatan Suci Osun-Osogbo.

Kuil Oshun di Hutan Suci


Selain menjadi dewi cinta dan air manis, Oshun juga dianggap sebagai dewata pelindung golongan miskin dan juga ibu tunggal. Menurut kepercayaan kaum Yoruba, Oshun adalah dewata yang memenuhi keperluan mereka dalam melangsungkan kehidupan. Tambahan lagi, Oshun turut dianggap sebagai penyembuh orang-orang yang sakit serta pengajar lagu, musik, tarian di samping dewi kemewahan dan kesuburan. Oleh kerana itu, Oshun digambarkan sebagai seorang guru yang mengajarkan masyarakat Yoruba cara bercucuk tanam, cara membina kebudayaan dan juga perkara-perkara mistik. Seni kedewataan seoertu mantera, seni bermeditasi dan penggunaan cengkerang yang diperturunkan oleh bapanya, Obtala si dewa pertama yang mencipta pantheon Orisha juga diajarkan oleh Oshun kepada manusia.

Patung wanita yang melutut, si pemuja Oshun, Muzium Kesenian Honolulu


Dalam hasil-hasil seni masyarakat Yoruba, Oshun digambarkan dengan rupa yang sama seperti dewi-dewi cinta yang lain. Oshun dipamerkan sebagai seorang gadis yang jelita, menawan dan menggoda. Selain kecantikan semula jadi, rupa paras Oshun juga turut diperindahkan dengan perhiasan emas, gelang tembaga, manik, cermin dan kipas yang memiliki dekorasi terperinci. Di samping itu, masyarakat Yoruba turut mempercayai bahawa Oshun mudah tertarik dengan segala perkara yang bersinar, berkilau dan bergemerlapan. Dalam sebahagian kisan legenda, Oshun digambarkan sebagai ikan duyung. Hal ini mungkin berdasarkan daripada statusnya sebagai dewi air manis.

Ketika orang-orang Afrika bertebaran ke seluruh dunia, terutama ke Dunia Baru, pengaruh Oshun diserap ke dalam masyarakat Amerika dan kemudiannya diadaptasi ke dalam pantheon yang bercabang dari sistem kepercayaan asal Afrika. Pada hari ini, Oshun masih dihormati di Nigeria menerusi upacara tahunan yang dikenali sebagai Ibo-Osun dan juga hari Osun-Osogbo yang berlangsung selama 12 hari di Petempatan Suci Osun-Osogbo pada setiap tahun, bermula dari hujung bulan Jun sehingga permulaan bulan Ogos.


SUMBER