- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Zena Kamash. (29 September 2015). Three ancient cities to rival London, Paris
and New York. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/three-ancient-cities-rival-london-paris-and-new-york-004023
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/three-ancient-cities-rival-london-paris-and-new-york-004023
Penterjemah:
Amir Zayyanid
London, Paris dan New
York merupakan bandar bertaraf dunia: hub pelancongan, teknologi dna
perdagangan di zaman moden. Nama dan imej ketiga-tiga buah bandar ini bergema
di seantero dunia. Malah, kita turut digamit untuk mengimbau sejarahnya yang
menonjol, petempatannya yang masyhur dan rupa-rupa buminya yang ikonik.
Bandar-bandar sebegini yang sudah tentunya memiliki hubungan yang lebih meluas
dengan dunia luar, menjadi medan percambahan idea, kependudukan manusia dan
perkembangan budaya.
Jika tirai sejarah
disingkap, agar sukar untuk kita bayangkan betapa kota-kota di zaman purba
turut memiliki kemegahan dan kemajuan yang setanding kota-kota kosmopolitan
pada hari ini. Untuk mendapatkan gambaran keadaan kota urban pada masa purba,
lazimnya kita dibawa mengembara ke Rome, Athens dan Istanbul (dahulunya
Konstantinopel dan juga Byzantium) yang sejarah bandar-bandar ini menjangkau
usia 2000 tahun. Namun, dengan adanya pembangunan-pembangunan moden dan
bertambahan penduduk secara berterusan, bandar-bandar ini tidak lagi memiliki
kesan tinggalan sejarah yang banyak. Bahkan, sukar untuk kita menghayati dan
membawa diri ke masa lalu ketika mengunjungi bandar-bandar berkenaan, dengan
wujudnya hotel-hotel yang tersergam mewah, kedai-kedai yang beroperasi rancak,
serta pelancong-pelancong yang bersesakan.
Berbanding mengambil
tiga buah bandar itu sebagai gambaran bagi bayangan kota metropolitan zaman
purba, adalah lebih sesuai untuk melihat pada tiga buah kota lain yang lebih
misteri – iaitu Nineveh, Antioch dan Lepcis Magna; tiga buah kota yang berupaya
membawa kita menyelami kehidupan urban di zaman purba.
NINEVEH
Nineveh terletak di
tebing Sungai Tigris di utara Iraq, tidak berapa jauh dari Mosul moden.
Runtuhan yang masih tersisa pada hari ini menghadapi ancaman akibat konflik
bersenjata yang dicetuskan oleh militan IS di rantau berkenaan. Pada kurun
ke-7SM, Nineveh diisytiharkan oleh Raja Sennacherib sebagai ibu kota bagi
Empayar Neo-Assyria sejurus selepas kemangkatan ayahandanya, Sargon III. Hal
ini menjadi titik mula bagi Nineveh sebagai pusat politik dan kebudayaan
empayar berkenaan, yang mana pada masa kemuncaknya ia terbentang luas di hampir
seluruh Timur Tengah.
![]() |
| Peta Assyria |
Namun, kota sebesar ini
tidak mampu bertahan lama tanpa sumber yang berterusan. Raja Sennacherib memahami
situasi ini. Salah satu prasasti Sennacherib memaklumkan kepada kita bahawa
beliau membawa bekalan air ke Nineveh dengan membelah gunung-ganang dan lembah
lalu menghasilkan terusan. Hal ini sekaligus membawa kepada penyelesaian awal
ke atas salah satu kekurangan sumber bekalan di negara kota itu.
Sebuah ibu kota diraja
sudah tentu perlu memiliki keunikan dan kemegahan tersendiri. Sennacherib
melaksanakan sejumlah projek besar – mengindahkan Nineveh dengan sejumlah taman
dan kebun, serta menghasilkan padang rumput persis di selatan Babylon. Bahkan,
sejarahwan turut menyenaraikan Nineveh sebagai salah satu kemungkinan lokasi
yang menempatkan Taman Tergantung Babylon, iaitu salah sebuah dari tujuh buah
keajaiban dunia purba.
Rakyat Neo-Assyria
merupakan artisan yang mahir. Mereka menggunakan bakat tersebut sebagai kuasa
pengaruh bagi mempamerkan kemegahan empayar mereka. Istana-istana di Nineveh
dilengkapi dengan patung-patung yang disertakan dengan dekorasi gambaran
kegemilangan dan pencapaian para raja yang memerintah. Sebahagian dari hasil
seni paling cantik pada masa ini datang dari raja sesudah Sennacherib, iaitu
Ashurbanipal (668-627SM) yang menaja penghasilan relif-relif pemburuan singa
yang dapat kita lihat pada hari ini di Muzium British.
![]() |
| Relif Pemburuan Singa di Istana Ashurbanipal, Nineveh |
Ashurbanipal juga
didendangkan sebagai seorang raja yang cintakan ilmu dan memiliki sebuah
perpustakaan diraja yang menyimpan lebih dari 30 000 buah tablet yang dikumpul
dari seluruh empayar Neo-Assyria. Perpustakaan tersebut mengandungi teks-teks
yang meliputi ramalan, epik, mitos, matematik dan bermacam bidang ilmu lain
yang dimahiri oleh rakyat Neo-Assyria.
ANTIOCH-DI-ORONTES
Berpindah ke zaman yang
lebih terkemudian dan lokasi yang sedikit ke barat, Antioch (Antakya moden)
adalah sebuah kota yang terletak di tenggara Turki, tepatnya di Sungai Orontes.
Kota ini ditubuhkan pada tahun 300SM oleh raja pertama Dinasti Seleucid, iaitu
Seleucus I Nicator (312-280SM) yang merupakan bekas panglima Alexander Agung.
![]() |
| Raja Seleucus/Nicator |
Selecus memahami
kepentingan membina hubungan baik dengan kuasa-kuasa jiran di samping menarik
kedatangan bakat-bakat hebat ke kota pentadbirannya. Untuk mencapai tujuan ini,
beliau membawa masuk sejumlah orang Yunani ke Antioch sekaligus memperkuatkan
hubungannya dengan dunia Yunani. Pengaruh Yunani terus tersebar secara meluas
pada era pemerintahan Rom. Malah pada zaman ini, terdapat sejumlah hasil seni
berupa mozek indah yang menjadi simbol kepada jalinan hubungan ini, di mana
sering dilihat pada hasil-hasil seni ini gambaran berkaitan Yunani antaranya seperti
gambaran Dewa Dionysus.
Pada era pemerintahan
Rom, Antioch menjadi instrument utama dalam kebangkitan agama Kristian. Sememangnya,
keadaan ini sesuai dengan statusnya sebagai kota yang terletak di antara Timur
dan Barat di mana hal ini membuatkannya terkenal dengan kepelbagaian agama dan
etnik dalam kalangan penduduknya – para pemuja dewa-dewa seperti Isis,
Harpocrates dan Attis; pemuja kultus tempatan Syria; pemuja kultus pagan Rom
dan para penganut Judaism dan Kristian – kesemuanya menetap di kota Antioch.
![]() |
| Gereja St Peter berhampiran Antakya, Turki diperkatakan menjadi tempat di mana Saint Peter kali pertama membacakan Gospel di Antioch-Rom |
Kota ini juga
menempatkan beberapa buah infrastruktur yang maju lagi mengagumkan. Sepertimana
London mempunyai Penampan Sungai Thames, Antioch juga mengambil pendekatan
serupa sebagai langkah pencegahan banjir. Sebuah empangan besar yang dikenali
sebagai ‘Gerbang Besi’ dibina oleh Maharaja Justinian (527-565M) untuk
melindungi kota tersebut dari banjir bah yang melanda mengikut musim.
Sebelum itu sekitar
69-96M pula, sebuah empangan dan terowong di bina di pelabuhan Antioch, bernama
Seleucia Pieria bagi tujuan mengubah aliran air agar menjauh dari kota
berkenaan.
LEPCIS MAGNA
Lepcis Magna merupakan
sebuah kota empayar Rom bersaiz besar yang terletak di pesisiran utara Libya,
tepatnya di mulut Wadi Lebda. Aktiviti perdagangan merupakan nadi ekonomi bagi
kawasan ini. Pelabuhannya yang begitu berkualiti berjaya menggamit para
pedagang dari kota-kota di Afrika Utara yang lain untuk mengunjungi Lepcis
Magna, sebagaimana yang dapat kita lihat pada inskripsi di amfiteater Lepcis
Magna.
![]() |
| Amfiteater masyhur di Lepcis Magna |
Kota ini juga masyhur
kerana menjadi tempat lahir bagi maharaja Septimius Severus (145-211M) –
maharaja Rom pertama yang berasal dari Afrka. Seni bina di kota ini menunjukkan
gabungan antara tradisi Rom dan Afrika. Septimius Severus turut memperkayakan
kota halamannya itu dengan pelbagai binaan indah. Salah satu monumen paling
mengagumkan pada zaman ini adalah Gerbang Melengkung Septimius Severus, yang
didekorasi dengan ukiran-ukiran yang menggambarkan keluarga diraja dan
perarakan.
Ketiga-tiga kota yang
disebutkan di dalam artikel ini merupakan kota maju yang memiliki jumlah
penduduk yang tinggi, di mana masyarakat dari seluruh dunia datang berkumpul di
kota berkenaan untuk bertukar-tukar idea, menghimpunkan harta dan mencari
kemasyhuran – sama seperti kita pada hari ini. Para penduduk kota-kota ini
berupaya membangunkan teknologi yang cukup mengagumkan, dan mereka turut boleh
bermegah dengan hasil-hasil seni yang setanding dengan koleksi kesenian di
Muzium British, Louvre dan Metropolitan.
Kini, kalaupun
kota-kota metropolis purba ini masih boleh diakses, ianya hanya dapat dilihat
sebagai sebauh runtuhan arkeologi yang rapuh. Pun begitu, runtuhan inilah
memento sejarah yang ditinggalkan kepada kita agar dapat mengimbau keadaan kota
tersebut di zaman purba serta ratusan ribu malah jutaan manusia yang membantu
membentuk dunia yang kita diami pada hari ini.
Lebih daripada itu,
runtuhan-runtuhan ini tidak hanya memberi gambaran tentang masa lalu, tetapi
juga gambaran masa hadapan – masa di mana bandar-bandar hebat kita sendiri akan
runtuh menjadi serpihan debu, lalu menjadi bahan penyelidikan dan
pengimaginasian generasi mendatang.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘3 Kota Purba Setanding London, Paris dan NewYork’
- Get link
- X
- Other Apps





