UKKO, DEWA PETIR BANGSA FINLAND

Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (4 Ogos 2019). Ukko, The Mighty Finnish God of Thunder and Lightening. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/ukko-0012394

Penterjemah: Amir Zayyanid


Setiap kebudayaan mempunyai dewata langit atau penguasa kayangan yang tersendiri. Yunani purba dengan Zeus. Rom pula hadir dengan Jupiter, manakala Norse terkenal dengan Thor. Kaum Finland (Finns) turut tidak terlepas daripada keadaan ini, di mana mereka tampil dengan Ukko.

Ukko secara relatif merupakan dewata langit dan petir yang agak kurang dikenali. Beliau turut memiliki beberapa unsur yang mirip dengan Dyeus Pater dari Proto-Indo-Eropah serta dewata-dewata Indo-Eropah yang lahir dari dewata berkenaan (Dyeus Pater). Pemahaman masa kini tentang Ukko berkemungkinan turut dipengaruhi oleh penkristianan kaum Finland di masa-masa terkemudian.


ASAL-USUL UKKO

Nama Ukko membawa maksud ‘orang tua’. Nama ini seolah-olah menggambarkan peranan asal Ukko dalam kepercayaan kaum Finland purba sebelum mereka dipengaruhi oleh agama Kristian. Ukko mungkin sejenis dewa terawal atau bahkan mungkin ia adalah raja kepada para dewa, sama seperti peranan yang dimainkan oleh Zeus dalam kepercayaan Yunani purba.

Maksud lain bagi ‘ukko’ adalah ‘petir’. Lebih daripada itu, kaum Finland purba sering menyeru nama Ukko ketika mengucapkan mantera yang berkait dengan langit dan cuaca. Sama seperti Thor dan Jupiter, dipercayai bahawa Ukko menunggang pedati yang terbang di dada langit. Malah, guruh diyakini sebagai bunyi yang datang daripada pedati itu.


Selain itu, Ukko turut dikaitkan dengan langit secara umum, walaupun ianya berkemungkinan bukanlah peranan asal beliau. Diperkirakan bahawa kebanyakan peranan Ukko sebagai dewata paling ulung di zaman terkemudian lahir dari pengaruh Kristian. Pada asalnya, Ukko lebih cenderung berfungsi sebagai dewata cuaca berbanding ketua para dewa.


Seandainya Ukko difahami sebagai dewata langit yang kewujudannya mendahului dewa-dewa lain, maka beliau sememangnya boleh dikaitkan dengan dewa-dewa seperti Zeus, Jupiter, Thor dan Dyeus Hindu. Mereka ini adalah dewata langit, yang sebahagiannya dianggap sebagai ketua pantheon masing-masing. Kesemua dewata ini juga adalah sebahagian daripada pantheon Indo-Eropah dan mungkin berkongsi asalan daripada dewata langit yang dipuja oleh kebudayaan Proto-Indo-Eropah (PIE) secara keseluruhan, iaitu Dyeus Pater.

Lukisan menggambarkan Thor yang sama seperti Ukko, adalah dewa langit


Dyeus Pater adalah entiti yang dicipta oleh ilmuwan PIE bagi mewakili dewata langit sebenar dalam kebudayaan PIE, sebagaimana yang dihipotesiskan. Dyeus Pater dibina berdasarkan ciri-ciri bersama (common) yang dikongsi oleh kesemua dewata langit Indo-Eropah. ‘Dyeus’ berasal dari akar kata Proto-Indo-Eropah yang bermaksud ‘menyinar’. Hal ini mencerminkan hubungannya dengan cahaya atau langit (pada waktu) siang.

Ilmuwan PIE meyakini bahawa Dyeus Pater kemudiannya diadaptasi ke dalam milologi berbagai pecahan Indo-Eropah sebaik sahaja ia tersebar dari tempat asalnya, iaitu kumpulan etnik Indo-Eropah yang dikenali pada hari ini.


Walaupun memiliki persamaan dengan dewata-dewata ini, Ukko sebaiknya difahami mengikut konteks kebudayaan bukan-Indo-Eropah yang telah menghuni kawasan pantai timur Laut Baltik secara Zaman Gangsa lagi. Bangsa Finland bukanlah bangsa penutur Indo-Eropah, sebaliknya Finno-Ugric iaitu sekumpulan manusia yang terdiri daripada kaum Magyar, Mordvin, Karelian, Nenet, dan Sami, di samping beberapa kebudayaan (kaum) lain. Memandangkan bangsa Finland tidak berkongsi asal-usul yang sama dengan kebudayaan Indo-Eropah, makanya asal-usul Dewa Ukko boleh ditelusuri pada persamaan yang dimiliki oleh pantheon-pantheon Finno-Ugric.

Ukonkivi, Batu Ukko, di Tasik Inariin, Lapland, Finland. Ukonkivi adalah tapak suci buat kaum Sami tempatan


Nenek-moyang kepada penutur Finno-Ugric berasal dari kawasan Pergunungan Ural. Sekitar 5000-4000SM, mereka mula berpecah daripada keluarga bahasa Uralic. Bangsa proto-Finn pertama berpecah dari kumpulan penutur bahasa Finno-Ugric sekitar 3000SM. Pada sekitar 1500SM pula, bangsa Finland buat pertama kali menghuni kawasan sekitar Laut Baltik.

Sukar bagi kita untuk mengenal pasti kepercayaan sebenar etnik Finno-Ugric. Namun, perincian umum berkenaan hal itu boleh didapati menerusi pelbagai mitologi mereka. Perincian ini antaranya termasuklah maklumat tentang dewata-dewata yang dipuja oleh etnik berkenaan. Kognat bagi Ukko turut boleh ditemukan di dalam tradisi Finno-Ugric.


Apapun, bangsa Finland sememangnya telah lama berjiran dengan kebudayaan Indo-Eropah seperti bangsa Jerman di Scandinavia. Terdapat banyak bukti arkeologi yang mengesahkan pengaruh Jerman dalam kebudayaan di Finland. Misalnya, loket atau ukiran batu yang dikaitkan dengan dewa Thor dari Norse turut banyak ditemui di tapak-tapak arkeologi di Finland. Terdapat juga persamaan antara wilayah kekuasaan Ukko dan Thor, memandangkan keduanya adalah dewa petir yang menunggang pedati.


KEUPAYAAN DAN CIRI-CIRI UKKO

Secara spesifik, Ukko dikaitkan dengan petir, kilat atau guruh. Dalam Kalevala, iaitu sebuah karya puisi yang penting dalam kebudayaan Finland, disebutkan bahawa Ukko menghasilkan petir dengan menggunakan penukulnya. Selain penukul, Ukko turut dikaitkan dengan senjata lain seperti cokmar emas dan panah.

Batu-batu berbentuk baji tertentu yang ditemui di Finland pula sering dipanggil sebagai ‘baji Ukko’.  Batu-batuan ini dikaitkan dengan dewa petir dan dipercayai oleh bangsa Finns purba sebagai senjata yang Ukko gunakan untuk menyambar pokok dan benda-benda lain.


Batu-batu yang dipercayai sebagai milik Ukko turut disimpan sebagai loket dan tangkal, kononnya ia mampu melindungi pemakainya dari api dan gangguan roh jahat. Tambahan lagi, batu-batu thunderstone yang ditemui di bahagian utara dan timur Finland dipanggil sebagai ‘cakar Ukko’, sekaligus menjelaskan lagi hubungan di antara Ukko dan petir.

Batu-batuan atau loket pra-Kristian yang dikaitkan dengan dewa-dewa petir, seperti Ukko. A- Jenis bangsa Finland, B – Jenis bangsa Sweden, C – Salib Serigala


Selain cuaca, Ukko turut dikaitkan dengan kemampuan menyembuh di samping memiliki hubungan dengan dunia roh. Semasa kelahiran anak atau ternakan, masyarakat pagan Finland sering menyeru bantuan Ukko untuk memudahkan proses bersalin, Mereka turut meyakini bahawa menyeru nama Ukko secara langsung dapat menghindarkan mereka dari gangguan roh jahat.

Memandangkan Ukko merupakan dewata yang dikaitkan dengan petir dan hujan, maka beliau juga dianggap sebagai dewata pertanian. Dalam kepercayaan masyarakat Finland purba, keraian atau festival sering diadakan pada musim bunga dan musim panas. Dalam keraian itu, arak diminum bagi menghormati Dewa Ukko. Tradisi ini dilakukan untuk memastikan kerja-kerja menuai berjalan dengan lancar di samping menghindarkan kemarau.


Dalam beberapa sumber, dipercayai bahawa isteri Ukko adalah Ravdna, dewi yang tidak mempunyai anak. Buah beri Rowan dikatakan memiliki kaitan dengannya. Ravdna juga merupakan dewa yang dikenali oleh kaum Sami. Nama isteri Ukko tidak disebutkan dalam kesemua kisah mitologi. Namun, dalam beberapa upacara keagamaan masyarakat Finland timur kadangkala disebutkan perihal dewi bumi ketikamana Ukko dirincikan sebagai dewa bapa langit.


UKKO SETELAH MENERIMA PENGARUH KRISTIAN

Bangsa Finn memeluk agama Kristian jauh lebih lambat berbanding Eropah Barat dan Eropah Tenggara. Beberapa bukti arkeologi yang mengesahkan kehadiran agama Kristian di Finland boleh didapati menerusi penemuan tapak pengebumian yang dianggarkan bertarikh lewat kurun ke-6 Masehi.

Masyarakat pagan Finn mengamalkan budaya membakar jasad si mati, sementara agama Kristian pula menyarankan si mati supaya dikebumikan – seringkali dalam keranda kayu dalam keadaan tangan disilangkan di atas dada. Namun, amalan pengebumian cara Kristian ini tidak diamalkan secara meluas kecuali pada abad ke-11. Sebuah tapak arkeologi yang diperkirakan berusia seawal tahun 800M mengandungi motif salib sekaligus mengisyaratkan perkembangan pengaruh Kristian di kawasan tersebut.

Gambaran alam kematian Finland purba, Tuonela, dari mitos yang ditemukan dalam ‘Kalevala’


Para dewa dalam tradisi kepercayaan masyarakat pagan Finno-Ugric cenderung menyaksikan dewata-dewata yang berada di tempat yang jauh mencampuri urusan dunia secara tidak langsung menerusi medium perantaraan. Kebanyakan pantheon Finno-Ugric menghadirkan satu dewata langit yang berkuasa ke atas dewa-dewa yang lain.

Walaupun para dewa Finno-Ugric di zaman terkemudian digambarkan bahawa mereka diperintah oleh suatu dewata ulung (supreme being), ilmuwan cenderung berpendapat bahawa masyarakat Finno-Ugric purba pada asalnya tidak memiliki konsep hierarki kedewataan. Kebudayaan-kebudayaan Finno-Ugric yang mengamalkan pertanian turut menekankan peranan signifikan yang dimainkan oleh dewi bumi di sisi dewa langit.


Ilmuwan belum meraih pemahaman yang jelas tentang tahap semacam apakah yang pernah dicapai oleh kepercayaan Finno-Ugric pada zaman pra-Kristian, iaitu menjelang masa Ukko menjadi masyhur. Namun, mereka berpendapat bahawa cara pandang bangsa Finn terhadap dewa langit mereka menerima pengaruh daripada kebudayaan Islam dan Kristian dari selatan. Salah satu dewa langit purba bangsa Finn adalah Jumala. Nama Jumala ini turut digunakan sebagai nama moden bagi Dewa Kristian dalam bahasa Finland, di samping istilah umum yang merujuk kepada dewata-dewata dalam mana-mana agama.

Jumala dianggap sebagai ketua para dewa, merangkap dewa langit dan dewa cuaca. Melihat kepada persamaan yang dipunyai oleh Ukko dan Jumala, maka cenderung untuk kita katakan bahawa keduanya merupakan dewata yang saling berkait, ataupun keduanya adalah dewata sama yang memiliki nama berbeza.

Jumala si dewa langit


Semangat-semangat pelindung dipercayai sebagai makhluk ghaib utama. Menerusi perantaraan mereka, manusia dapat berinteraksi dengan para dewa. Setiap semangat pelindung memerintah atau memelihara sebuah kawasa. Sebuah rumah semangat dipercayai bertanggungjawab membawa tuah kepada rumah manusia, dan memberi peringatan tentang bala bencana kepada para penghuni rumah berkenaan. Semangat pelindung rumah dianggap sebagai pemilik asal tanah tempat sesebuah rumah itu dibina.

Semangat pelindung ternakan pula dipercayai memantau ternakan pada musim salji, manakala semangat pelindung hutan pula bertanggungjawab memantau ternakan pada musim panas. Tradisi memuja nenek-moyak dalam masyarakat Finno-Ugric hanya dilakukan terhadap ahli keluarga yang telah meninggal dunia.


Satu lagi bahagian penting dalam kepercayaan masyarakat Finland purba adalah peranan haiwan-haiwan suci. Haiwan-haiwan suci dianggap sebagai simbol yang pernah mewakili sesebuah puak atau keluarga tertentu di zaman purbakala. Hal ini dicerminkan menerusi nama haiwan yang memiliki kemiripan dalam pelbagai budaya Finno-Ugric, seperti Karelian dan Hungarian.

Misalnya, beruang dipercayai sebagai makhluk suci yang merupakan putera kepada dewa langit. Sebahagian kebudayaan Finno-Ugric bahkan mempunyai festival di mana daging beruang dijadikan sebagai hidangan, dan seorang perawan jelita dikahwinkan secara simbolik dengan beruang yang telah dibunuh dalam sebuah ritual.

Beruang adalah haiwan suci bagi masyarakat pagan Finland


Kaum wanita mereka percaya bahawa beruang yang terbunuh itu boleh menghamilkan mereka dari jarak yang jauh. Oleh kerana itu, mereka begitu menjaga jarak antara diri mereka dengan beruang berkenaan semasa berlangsungnya festival tersebut. Selain itu, penggunaan tangkap yang diperbuat daripada organ atau anggota tubuh haiwan suci masih diamalkan oleh kaum Sami moden. Amalan sebegini berkemungkinan turut diamalkan oleh kaum Finns di zaman pra-Kristian.

Amalan kedukunan (shamanism) dan penggunaan tangkal oleh bangsa Finn juga memberikan gambaran bahawa mereka mempunyai kuasa magis yang berkemungkinan membuatkan mereka digeruni secara khusus pada Zaman Viking.

Menjelang tahun 1000M, mereka mula berhubungan secara kerap dengan dunia Latin, Jerman dan Slav yang kesemuanya pada waktu itu sedang atau telah menerima pengaruh Kristian. Pengaruh Kristian pada asalnya lebih banyak datang dari belah timur. Namun, kebanyakan bukti linguistik dan arkeologi mengisyaratkan ritual dan simbol-simbol Kristian yang diamalkan di timur.

Penyebaran agama Kristian semakin meluas apabila Finland mula menerima pengaruh daripada raja-raja dan para mubaligh Kristian. Pada mulanya, bangsa Finn menentang kemasukan pengaruh agama berkenaan. Namun menjelang kurun ke-14, mereka secara keseluruhan telah memeluk agama Kristian.

Memasuki abad ke-14 pula, Finland berada di bawah kepenguasaan Sweden yang pada waktu itu mengamalkan agama Katolik-Rom. Atas faktor itulah, agama Kristian barat menjadi lebih dominan di Zaman Pertengahan. Sebahagian ilmuwan agama percaya bahawa pada masa-masa inilah Ukko mula mengambil ciri-ciri yang lebih menyeluruh (universal) sebagai ketua dewa. Disebabkan Ukko berperanan sebagai dewa langit, maka para mubaligh Kristian telah menambah lalu mengubahnya sebagai Dewa Agama Kristian.

Perkataan Jumala sebagai nama Dewa di gereja Lutheran. Jumala on Rakkaus bermaksud Tuhan adalah kasih-sayang


Justeru Ukko berkemungkinan telah menjalani perubahan – mulanya sebagai dewa cuaca lalu berubah menjadi dewa yang lebih universal di samping dikaitkan dengan keupayaan-keupayaan tambahan seperti keupayaan menyembuh dan melindungi manusia dari semangat jahat. Kedudukan Ukko yang sebegini mungkin disebabkan oleh kemasukan pengaruh Kristian sekaligus membawa kepada gabungan antara Ukko dan Dewa Kristian.


LEGASI UKKO

Pada hari ini, Ukko tidaklah begitu dikenali selain di Finland dan kawasan sekitar Laut Baltik. Walau bagaimanapun, Ukko telah memainkan peranan yang penting dalam sejarah Finland. Pemahaman masa kini tentang Ukko adalah beliau merupakan dewa langit dan petir masyarakat Finland, di samping peranannya terhadap kesuburan tanaman di daratan. Beliau juga mempunyai keupayaan untuk menyembuh dan melindungi manusia dari gangguan semangat jahat.

Ukko kemudiannya mengalami penambahan di mana ia dianggap sebagai penguasa kepada para dewa. Tidak jelas berapa banyak perubahan yang ia alami daripada versinya yang asal, dan betapa banyak pula dari perubahan itu yang disebabkan oleh cubaan mubaligh Kristian untuk menjadikannya sebagai Dewa Kristian bagi tujuan mengajak bangsa Finns memeluk agama berkenaan.


Satu kelaziman menarik dalam kepercayaan masyarakat Finno-Ugric secara umum adalah kecenderungan mereka untuk meletakkan dewata-dewata mereka di suatu kedudukan yang begitu jauh, berkait dengan langit dan kemudian berinteraksi dengan manusia menerusi medium perantara. Hal ini mungkin disebabkan oleh warisan kepercayaan animisme yang bersifat mendahulukan semangat-semangat alam di dalam amalan keagamaan sekaligus mendudukkan dewata-dewata kosmik di tempat yang jauh.

Sementara itu, pengaruh konsep ketuhanan dalam Islam dan Judaeo-Kristian membuatkan gambaran terhadap dewata-dewata langit ini berubah – di mana mereka dibayangkan bersemayam di langit dan berkomunikasi dengan manusia menerusi perantaraan makhluk semi-dewa.

Walau bagaimana sekalipun kelainan mahupun persamaan di antara Ukko menurut takrif moden dan purba, pada hari ini, dewa tersebut dianggap sebagai sebuah simbol khusus buat masyarakat Finland. Walaupun Ukko di zaman ini tidaklah sama sepenuhnya dengan Ukko yang dipuja oleh bangsa Finns purba, Ukko tetap merupakan satu dewa penting dalam budaya Finland.

Di sisi lain, banyak gambaran bagi dewa langit ini muncul dengan dipengaruhi oleh konsep-konsep Judaeo-Kristian dan Islam terhadap dewa. Para dewa bersemayam di langit dan berkomunikasi dengan manusia menerusi perantaraan semi-dewata.


SUMBER