ASKIA YANG AGUNG – KETUA PEMBERONTAK YANG MENJADI MAHARAJA SONGHAI

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (28 April 2019). Askia the Great: Revolt Leader to Powerful Songhai Emperor. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/askia-great-0011801

Penterjemah: Amir Zayyanid


Muhammad I Askia (juga dikenali sebagai Askia Yang Agung) merupakan salah seorang maharaja paling masyhur lagi signifikan bagi Empayar Songhai. Askia menaiki kuasa pada tahun 1493, selepas beliau menggulingkan pemerintah terakhir Dinasti Sunni yang bernama Sunni Baru lalu menubuhkan Dinasti Askia.

Beliau dikenang sebagai seorang pemerintah yang cekap, tidak hanya berjasa dalam memperluaskan wilayah pemerintahannya, malah turut meningkatkan kadar keefisienan pentadbiran Empayar Songhai menerusi sejumlah reformasi. Pun begitu, tuah Askia hilang pada usia-usia lanjutnya, terutama apabila beliau digulingkan oleh salah seorang puteranya sendiri. Setelah meluangkan beberapa tahun dalam buangan, beliau dipanggil untuk kembali semula ke ibu kota Gao dan mangkat di sana tidak lama kemudian.


Tidak banyak maklumat yang diketahui berkenaan asal-usul Askia Yang Agung. Walaupun tarikh dan tempat lahirnya tidak dapat dikenal-pasti, nama asalnya dicatatkan sebagai Muhammad ibn Abi Bakar Ture. Berdasarkan nama lahirnya itu, Askia diperkirakan memiliki asal-usul dari Tukulor dan berkemungkinan mempunyai susur-galur dari keluarga Senegal yang menetap di Gao.


PUTERA JIN: MUHAMMAD I ASKIA MEREBUT TAKHTA

Rekod kehidupan awal Askia yang amat sedikit bukanlah suatu perkara yang mengejutkan. Hal ini kerana beliau sama sekali tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan pemerintahan Dinasti Sunni apatahlagi darah raja. Lantaran itu, latar belakang keluarganya menjadikan beliau sebagai seorang figura yang tidak ternama pada usia awal hidupnya.

Di samping itu, memandangkan Askia tidak mempunyai darah raja, maka beliau sama sekali tidak memiliki sebarang keabsahan dalam menduduki takhta Empayar Songhai. Walau bagaimanapun, sejarah lisan ada menyebutkan bahawa Askia merupakan putera kepada adik Sunni Ali, iaitu Kasey, bersama dengan seorang jin. Kisah ini mungkin lahir untuk mewujudkan nilai keabsahan pada pemerintahan beliau.


Askia meraih kuasa menerusi kaedah penggulingan pemerintahan Dinasti Sunni. Pada rentah waktu antara 1464 sehingga 1492, Empayar Songhai menempuh masa-masa emas di bawah pemerintahan Sunni Ali. Namun pewarisnya, iaitu Sunni Baru merupakan seorang maharaja yang tidak cekap, justeru dinasti pemerintahannya menemui penamat dalam masa hanya setahun setelah kemangkatan Sunni Ali.


MUHAMMAD I ASKIA MEMIMPIN PEMBERONTAKAN

Salah satu permasalahan yang dihadapi sepanjang pemerintahan Sunni Ali adalah perpecahan yang berlaku di antara penduduk di kawasan pinggir bandar yang masih mengamalkan kepercayaan tahyul (animism) dan penduduk kota yang telah memeluk agama Islam. Walaupun Sunni Ali berjaya menyeimbangkan kemaslahatan dan juga kepentingan antara kedua-dua belah pihak, penggantinya iaitu Sunni Baru di zaman pemerintahannya mempamerkan kencederungan yang ketara terhadap rakyatnya di pinggir kota.

Susulannya, beliau dianggap sebagai pengkhianat agama Islam. Lantas, ketidakpuasan hati dalam kalangan Muslim pun semakin berkembang. Hal tersebut dengan pantas menular menjadi sebuah pemberontakan berskala penuh, dengan diketuai oleh Askia.
Walaupun memiliki kelenihan dari segi bilangan tentera, Sunni Baru gagal memanfaatkan kelebihan tersebut dan pasukan tenteranya ditewaskan secara muktamad dalam Pertempuran Anfao pada tanggal 12 April 1493. Sunni Baru digulingkan dan dibuang negeri, sekaligus menandakan berakhirnya pemerintahan Dinasti Sunni.

Muhammad I Askia digelari Askia Yang Agung


Selepas berlakunya peristiwa itu, gelaran ‘Askia’ pun digunapakai oleh para pemerintah baharu Empayar Songhai. Sebahagian sumber menyebutkan bahawa nama tersebut membawa maksud ‘orang yang memaksa’. Namun, terdapat pula sumber lain yang mendakwa ia diambil daripada kata akar ‘a si tya’ (bermaksud ‘dia yang bukan sedemikian’), merujuk kepada penafian terhadap penghinaan yang dilemparkan oleh wanita-wanita dari Dinasti Sunni terhadap para pemerintah Dinasti Askia. Bagi versi terjemahan yang pertama itu, penggunaan ‘Askia’ digunakan untuk menambah-nambahkan lagi ketidaksenangan hati golongan wanita berkenaan.


ASKIA YANG AGUNG MEMPERKUKUHKAN PEMERINTAHANNYA

Sebagai pemerintah tertinggi Empayar Songhai, Askia menumpukan perhatiannya dalam memperbaiki kedudukan Islam di wilayah pemerintahannya. Hal ini dapat digambarkan secara jelas menerusi beberapa reformasi pentadbiran yang dilakukan oleh beliau. Misalnya, Al-Quran dijadikan asas perundangan sivil negara dan Al-Maghili, seorang pemikir ulung dari Maghribi dilantik sebagai penasihat maharaja bagi urusan yang melibatkan tradisi-tradisi agama.

Askia juga merupakan pemerintah yang bertanggungjawab memperkukuhkan Islam sebagai agama rasmi dalam kalangan bangsawan Songhai. Kejayaan ini menjadi satu lagi bukti komitmennya terhadap agama panutannya itu. Pada tahun 1496, Askia berangkat ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Menurut periwayat yang menemani beliau dalam perjalanan tersebut, jin di Mekah melantik Askia sebagai khalifah dan memaklumkan padanya tentang hak yang beliau miliki ke atas wilayah-wilayah bekas naungan Dinasti Sunni.

Mekah pada tahun 1718


Antara reformasi pentadbiran lain yang digerakkan oleh Askia adalah polisi dalam hal sivil dan ketenteraan. Misalnya, beliau membahagikan Empayar Songhai kepada beberapa wilayah yang setiap satunya ditadbir oleh seorang gabenor. Hal ini membolehkan Askia memperkukuhkan daerah yang pernah dikuasai oleh Dinasti Sunni pada masa dahulu dan meletakkan mereka semua di bawah pentadbiran yang lebih efisien. 

Askia turut menyusun semula organisasi ketumbukan tentera dan armada perahu di bawah kepemimpinan seorang panglima dan laksamana. Selain itu, Askia juga melantik para pegawai yang bertugas menyelia pelbagai aspek pentadbiran empayar, antaranya termasuklah hal kewangan, pertanian dan juga perundangan.


Walaupun beliau merupakan seorang negarawan yang cekap, Askia tidak begitu cemerlang dalam hal kepemimpinan tentera. Dalam beberapa kempen ketenteraan, beliau sememangnya berhasil meraih kemenangan. Namun, beliau juga dilanda kekalahan demi kekalahan dalam beberapa kempen yang lain. Walau bagaimanapun, saiz dan kekuatan Empayar Songhai tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kerajaan di Afrika Barat semasa zaman pemerintahan Askia. Malah, pengaruh empayar berkenaan tersebar luas melangkaui batas sempadannya.


MAKAM ASKIA

Pada tahun 1518, Askia digulingkan oleh putera sulungnya yang bernama Musa. Musa sempat memerintah selama tiga tahun sebelum dibunuh oleh adik-adiknya. Kedudukan Musa digantikan oleh Benkan, salah seorang anak saudara Askia. Demi menjamin kedudukannya, Benkan mengusir pakciknya itu ke sebuah pulau di Sungai Niger, justeru Askia terpaksa menetap di sana sehingga tahun 1537. 

Pada tahun itu, Benkan digulingkan oleh salah seorang putera Askia, iaitu Ismail yang ditabalkan sebagai maharaja baru Empayar Songhai. Askia kemudiannya dijemput oleh puteranya itu untuk pulang semula ke Gao dan sebagai membalas budi, Askia menghadiahkan Ismail dengan serban hijau dan pedang miliknya.

Pengasas Dinasti Askia ini menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun berikutnya dan jasadnya disemadikan di Gao. Sebuah piramid yang dipenuhi cerucuk kayu didirikan betul-betul di atas tapak pengebumiannya. Sehingga ke hari ini,  tapak berkenaan meraih penghormatan oleh masyarakat Afrika Barat generasi demi generasi.

Makam Askia Yang Agung


SUMBER

Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Askia Yang Agung: Ketua Pemberontak Yang Menjadi Maharaja Songhai