- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (4 September 2019). Drukgyel Dzong and How a Lama Unified Bhutan.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/drukgyel-dzong-0012529
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/drukgyel-dzong-0012529
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Bhutan merupakan sebuah
kerajaan Himalaya yang kaya dengan sejarah dan kebudayaan agama Buddha yang
amat menonjol. Bhutan hampir langsung tidak terkesan dengan arus modenisasi dan
globalisasi yang berlaku, justeru berupaya mengekalkan warisan budayanya dari
zaman purba. Mungkin, tapak bersejarah yang paling masyhur di negara itu adalah
runtuhan kompleks Drukgyel Dzong. Beberapa tahun yang lalu, pihak kerajaan
Bhutan membuat permohonan kepada UNESCO agar tapak tersebut diiktiraf sebagai
sebahagian daripada Warisan Dunia.
SEJARAH
DRUKGYEL DZONG
Drukgyel Dzong dibina pada
tahun 1649 dengan tujuan untuk melindungi kawasan tersebut di samping berfungsi
sebagai pusat keagamaan. Sekolah Buddha Drukpa-Kagyud yang terdapat di situ
dibina oleh Zhabdrung Ngawang Namgyal atau sering dipanggil sebagai Lama
Berjambang yang melarikan diri dari Tibet.
Ngawang Namgyal dan
para pengikutnya membina beberapa buah Dzong lain untuk mengawal wilayah
pergunungan Bhutan. Pada tahun 1634, beliau menyatukan Kerajaan Bhutan selepas
meraih kemenangan dalam Pertempuran Lima Lama. Sebelum mencapai kesatuan itu,
kebanyakan wilayah di Bhutan ditadbir oleh para pemimpin monastik Buddha dan
raja-raja feudal.
![]() |
Punakha Dzong, Ratu Dzong yang dibina oleh Ngawang Namgyal, 1637 |
Kubu Drukgyel Dzong
menyimpan memori kemenangan agung Bhutan ke atas bala tentera Tibet dan
Monggol. Zhabdrung Ngawang Namgyal membina kubu ini khusus untuk mempertahankan
sempadan Bhutan dan Tibet. Antara binaan yang terdapat di dalam kubu tersebut
termasuklah gudang senjata dan bangunan-bangunan pentadbiran.
![]() |
Ruang dalam Drukgyel Dzong, Bhutan |
Drukgyel Dzong lazim
menerima serangan pada kurun ke-17 dan kurun ke-18 Masehi. Pun begitu, kubu ini
terus digunakan sehingga ia musnah akibat kebakaran pada awal 1950-an. Runtuhan
ini diiktiraf sebagai monumen negara dan sumber jati diri masyarakat Bhutan.
Pada tahun 2016, Perdana Menteri Bhutan mengisytiharkan bahawa Dzong akan
menjalani pembinaan semula untuk mengembalikan kegemilangannya.
PERINCIAN
TENTANG RUNTUHAN DRUKGYEL DZONG
Walaupun telah hangus
dimamah kebakaran pada tahun 1951, sebahagian binaan Drukgyel Dzong masih
terpelihara dengan baik. Seperti bangunan-bangunan yang lain, Drukgyel Dzong
dibina daripada kayu dan batu. Namun, kesemua binaan kayunya telah lama hilang.
Benteng-benteng dan dinding-dindingnya pula masih lagi utuh berdiri sehingga ke
hari ini.
![]() |
Drukgyel Dzong dan Himalaya – Kerajaan Bhutan |
Terdapat sebuah laluan
menuju ke bukit berbatu tempat kubu ini berdiri, diapit oleh menara-menara
kecil yang pada masa dahulu melindungi pintu masuk. Menara-menara ini dikenali
sebagai ‘kubu-kubu peninjau’. Binaan utama di Drukgyel Dzong adalah menara
pusat, yang menempatkan kuil para dewa. Terdapat juga sejumlah menara bulat di
dalam kubu yang bersambung dengan laluan bertembok. Drukgyel Dzong secara
keseluruhannya merupakan sebuah kompleks ketenteraan yang amat mengagumkan.
Terdapat juga sejumlah
binaan berbentuk segi empat tepat yang mengelilingi perkarangan utama kubu.
Rupa bumi dan rekaan seni bina kubu ini turut ditambah keunikannya menerusi
bukit-bukit yang terdapat di kawasan sekitar. Selain itu, terdapat juga
sejumlah laluan di dalam dan luar kubu yang digunakan untuk mengangkut bekalan
air dari sungai berhampiran. Jalan-jalan ini turut digunakan untuk mengumpulkan
bekalan dan menambah bilangan tentera pengawal semasa tempoh-tempoh
pengepungan. Pada tahun-tahun kebelakangan, laluan-laluan ini ditutup oleh
pihak penguasa.
Tidak seperti
Dzong-Dzong yang lain, kubu ini tidak memiliki kuarters untuk para sami. Begitu
juga binaan-binaan monastik yang sama sekali tidak kelihatan di Drukgyel Dzong.
Pun begitu, terdapat roda sembahan, sejumlah stupa Buddha dan perkarangan
tempat para sami menyembah.
![]() |
Drukgyel Dzong, Bhutan |
MENGUNJUNGI
DRUKGYEL DZONG
Runtuhan-runtuhan ini
kesemuanya terletak di bahagian atas Lembah Paro, sekitar 8.7 batu (14 km) dari
Paro. Terdapat kemudahan yang disediakan di Paro, antaranya seperti hostel.
Tapak ini boleh diakses dengan menaiki bas mahupun kereta sewa. Namun
malangnya, disebabkan oleh kondisi runtuhan yang tidak begitu baik, para pelancong
mungkin tidak dibenarkan untuk memasuki Dzong lama.
Walau bagaimanapun,
pelancong masih boleh menikmati pengalaman berjalan di sekitar tembok kubu dan
melihat dengan lebih dekat beberapa buah runtuhan sejarah seperti menara-menara
peninjau. Runtuhan-runtuhan tersebut berlokasi di kawasan pergunungan dan ia
lazimnya menjadi titik mula yang agak masyhur dalam kalangan pendaki gunung
yang mahu mendaki gunung.
SUMBER
- Harrison, P. (2012). Fortress Monasteries of the Himalayas: Tibet, Ladakh, Nepal and Bhutan. Bloomsbury Publishing.
- Phuntsho, K. (2013). The history of Bhutan. Random House India.
- Amundsen, I.B. (2001). On Bhutanese and Tibetan Dzongs.
- Get link
- X
- Other Apps