- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
John Black. (16 Februari 2013). The Incredible Rock-Hewn Churches of Lalibela,
Ethiopia. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/rock-hewn-churches-lalibela-ethiopia-00154
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/rock-hewn-churches-lalibela-ethiopia-00154
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Di tengah-tengah Ethiopia,
terletak salah sebuah bandarnya yang dianggap paling suci, dikenali sebagai
Lalibela. Di situ, berdiri 11 buah gereja batu monolit. Gereja-gereja ini
diperakui sebagai kompleks kuil monolit paling besar di dunia dan disenaraikan
sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Walau bagaimanapun, masih banyak misteri
yang menyelubungi pembinaannya.
Usia binaan ini belum
lagi diketahui. Namun, legenda ada menyebutkan bahawa kompleks tersebut mula
didirikan di zaman pemerintahan Gebre Mesqei Lalibela yang mentadbir Ethiopia
pada permulaan kurun ke-13 Masehi. Nama pemerintah itu membawa maksud
‘lebah-lebah memperakuinya sebagai raja’.
Namun, David Philipson,
seorang profesor bidang arkeologi Afrika di Universiti Cambridge mengutarakan
pendapat bahawa gereja-gereja seperti Merkorious, Gabriel-Rufael, dan juga
Danagel pada asalnya dibentuk dan didirikan separuh milenium lebih awal
berbanding apa yang dianggap selama ini. Menurut Philipson, gereja-gereja
tersebut berfungsi sebagai kubu atau binaan istana di masa-masa gawat bagi
Kerajaan Aksum. Malah, nama Lalibela dikatakan mula dikaitkan dengan binaan
tersebut setelah kemangkatan beliau.
Gereja St George, Lalibela, Ethiopia |
Kesemua 11 buah gereja
ini disusun menjadi dua buah kelompok binaan dan dihubungkan dengan laluan
sepanjang 11 meter dalam. Gereja yang paling besar, iaitu Medhane memiliki
ketinggian mencecah 10 meter (33 kaki), 33 meter (108 kaki) panjang dan 22
meter (72 kaki) lebar.
Menurut legenda, suatu
ketika turun malaikat yang menyuruh Lalibela agar membina gereja-gereja
tersebut. Maka, manusia dan malaikat pun berganding-bahu dalam mendirikannya.
Manusia dikisahkan bekerja sepanjang waktu siang sementara malaikat pula
mengerah keringat pada waktu malam. Gereja-gereja tersebut ditarah daripada
batu-batuan yang padat, dan diukir dengan pelbagai bentuk.
Salah sebuah daripada
gereja tersebut yang dikenali sebagai Bet Giorgis diyakini dibangunkan sebagai
dedikasi untuk Saint George. Malah, Saint George juga dipercayai memantau
sendiri kerja-kerja pembinaan gereja berkenaan.
Gereja Emmanuel di Lalibela, Ethiopia |
Legenda turut mendakwa
bahawa kompleks gereja tersebut dibina dalam masa 24 tahun, walaupun ianya
dibantah oleh para arkeologis yang menganggapnya suatu perkara yang mustahil.
Untuk mencapai hasil kerja sebegitu hebat dengan hanya menggunakan pahat besi
dan bilah berlian, ia merupakan suatu keajaiban. Selain itu, terdapat juga
beberapa keajaiban atau keganjilan lain tentang pembinaan gereja-gereja
tersebut. Antaranya seperti amaun batu dan tanah yang perlu dikorek dan
dipindahkan dari tapak kawasan gereja. Begitu juga dengan ruangan dalamnya,
yang mana hal ini sama sekali mencarik akal fikiran.
Ruangan dalam Bet Madhane Alemn di Lalibela, Ethiopia |
Lalibela merupakan
sebuah tempat yang luar biasa untuk dikunjungi. Ia menawarkan keunikan yang
tidak dapat ditemukan di tempat-tempat lain di dunia. Kerja-kerja pembinaannya
yang amat mengagumkan itu menimbulkan banyak persoalan penting seperti:
Bagaimana boleh binaan-binaan ini diukir dengan hanya menggunakan peralatan
ringkas sahaja? Ke manakah batu-batuan dan tanah-tanah yang telah dikorek dan
digali itu diletakkan? Dan, atas sebab apakah binaan ini dibangunkan?
Tiada lagi jawapan yang
dapat merungkaikan persoalan-persoalan tersebut.
- Get link
- X
- Other Apps