- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (12 Oktober 2019). Hades, God of the Underworld and His Unsung
Powers. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/hades-0012712
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/hades-0012712
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dalam mitologi Yunani,
Hades merupakan dewa roh mati dan pemerintah Alam Kematian. Oleh kerana itu,
beliau dianggap sebagai salah satu dewa yang penting dalam pantheon Yunani.
Walau bagaimanapun, beliau tidak tergolong dalam 12 Dewata Olympia memandangkan
Hades hanya mendiami Alam Kematian, bukannya Gunung Olympus.
Memandangkan kekuasaan
Hades terletak di bawah bumi, masyarakat Yunani purba turut menganggapnya sebagai
dewa khazanah bumi yang tersembunyi. Sebagai salah satu dewa utama Yunani,
Hades hadir dalam sejumlah mitos walaupun lazimnya hanya muncul sebagai watak
tambahan. Hanya sebahagian sahaja mitos yang menampilkannya sebagai watak
utama.
PERANG
TITAN MELAHIRKAN GENERASI BARU PARA DEWA
Masyarakat Yunani purba
mempercayai bahawa Hades merupakan generasi pertama dewata Olympia. Bapanya
adalah Titan Cronus manakala ibunya pula adalah Rhea. Oleh kerana khuatir salah
seorang anaknya akan mengguling dan menggantikan kedudukannya sebagai raja
dewa, Cronus pun memakan kesemua anaknya, termasuklah Hades sebaik sahaja
mereka dilahirkan.
Namun anak bongsu
Cronus, iaitu Zeus, sempat diselamatkan oleh ibunya dan beliau membesar secara
rahsia. Apabila Zeus sudah meningkat dewasa, beliau kembali menghadap Cronus,
membebaskan adik-beradiknya dan mencabar Titan untuk merebut tempat sebagai
dewata penguasa. Perang yang meletus antara dua generasi dewa ini dikenali
sebagai Perang Titan atau Titanomachy.
Dalam peperangan ini, generasi dewata yang lebih muda yang kelak dikenali
sebagai Dewata Olympia tampil sebagai pemenang, menewaskan dewata Titan.
Semasa berlakunya
Perang Titan itu, makhluk-makhluk yang dikenali sebagai Cyclope yang dibebaskan
oleh dewa-dewa Olympia menghasilkan senjata yang berkuasa untuk para dewa. Zeus
diberikan panah petir, Poseidon diberikan trisula sementara Hades pula
diberikan topi kegelapan. Kelengkapan kepala ini membolehkan pemakainya menjadi
halimunan.
Sebahagian ilmuwan
berpendapat bahawa selepas berlakunya Perang Titan, topi tersebut menjadi
semakin berkuasa dan meraih keupayaan untuk mengawal roh-roh si mati. Hades
dicatatkan pernah meminjamkan topi kegelapan ini kepada dewa-dewa lain.
Misalnya semasa Perang
Trojan, Athena memakai topi ini ketika beliau membantu Diomedes. Topi kegelapan
ini juga pernah dipinjamkan kepada Perseus semasa beliau menjalankan misi
membunuh Gorgon Medusa.
Berikutan kekalahan
dewa-dewa Titan, tiga dewa bersaudara iaitu Zeus, Poseidon dan Hades saling
membahagikan wilayah kekuasaan menerusi cabutan undi. Zeus diberikan kekuasaan
ke atas langit, Poseidon menguasai laut sementara Hades diberikan hak ke atas
Alam Kematian. Sebagai pemerintah Alam Kematian, nama Hades lazimnya dianggap
membawa maksud, ‘Yang Ghaib’.
PANDANGAN
MITOLOGI YUNANI TERHADAP HADES
Memandangkan kematian
kebiasaannya dianggap sebagai suatu perkara yan taboo, maka Hades turut
diberikan beberapa gelaran lain seperti Plouton yang membawa maksud ‘Khazanah’
dan Theon/Zeus Khthonios yang bermaksud ‘Dewa/Zeus Alam Kematian’. Ada juga
beberapa gelaran lain lagi yang diberikan kepada Hades, seperti Polysemantor
(Pemerintah Makhluk Yang Banyak), Polydegmon (Pemilik Roh Yang Banyak) dan juga
Nekrodegmon (Penerima Roh Si Mati).
Walaupun beliau
merupakan salah satu dewata utama, Hades tidak banyak membuat penampilan dalam
mitologi Yunani seperti dewata Olympia yang lain. Perkara ini tidaklah
mengejutkan, memandangkan kematian merupakan suatu subjek yang lazim dihindari
oleh manusia. Gambaran Hades juga jarang sekali dibuat dalam hasil-hasil seni,
walaupun kerja-kerja seni sebegini tidak dikawal ketat oleh sebarang peraturan.
Walau bagaimanapun,
terdapat beberapa ciri tertentu yang membolehkan kita mengenali Hades.
Antaranya seperti tongkat dan kunci yang kedua-dua ciri ini dianggap sebagai
simbol kekuasaannya ke atas Alam Kematian. Begitu juga dengan simbol cornucopia (simbol tanduk kambing yang
dipenuhi buah-buahan) yang merujuk kepada peranannya sebagai dewa khazanah.
Selain itu, seringkali juga dinyatakan bahawa peranan Hades sebagai dewa
khazanah lazim dibayangi oleh peranannya sebagai dewa alam kematian.
![]() |
Hades, dewa Alam Kematian, roh si mati dan kekayaan |
Masyarakat Yunani purba
meyakini bahawa berkuasa Hades ke atas Alam Kematian turut membawa maksud
bahawa dewa itu memiliki akses terhadap khazanah-khazanah yang tersimpan atau
tersembunyi di ceruk bumi. Khazanah yang dimaksudkan ini termasuklah
logam-logam berharga dan tanah-tanah subur yang diperlukan untuk menumbuhkan
tanaman. Dari sudut peranan yang sebegini, Hades kelihatan sebagai dewa yang
baik lagi pemurah.
PENEMAN
KEPERCAYAAN HADES – CERBERUS
Salah satu ciri Hades
yang lazim lagi pasti adalah ia ditemani leh Cerberus, seekor anjing berkepala
tiga. Menurut Hesiod di dalam puisinya, bilangan kepala Cerberus mencecah 50.
Selain memiliki kepala yang banyak, Cerberus juga masyhur dengan ular yang
tumbuh di bahagian belakang tubuhnya.
Cerberus sememangnya
satu raksasa yang amat menggerunkan, walaupun hakikat ini sama sekali tidaklah
mengejutkan jika kita lihat siapakah ibu bapanya. Dalam mitologi Yunani,
Cerberus adalah anak kepada Typhon dan Echidna. Antara anak-anak lain bagi
pasangan ini adalah Orthrus (anjing berkepala dua yang melindungi Ternakan
Geryon), Lernaean Hydra dan juga Chimera.
Masyarakat Yunani purba
mempercayai bahawa Cerberus berperanan mengawal gerbang-gerbang Alam Kematian –
memakan sesiapa sahaja roh si mati yang cuba keluar daripadanya dan menghalang
sesiapa sahaja manusia hidup dari memasukinya. Mitos masyhur yang menampilkan
Cerberus adalah Dua Belah Tugas Heracles. Tugas ke-12 merangkap yang terakhir
bagi wira legenda Yunani itu adalah menangkap Cerberus dan mempersembahkannya
di hadapan Eurystheus, raja Tiryns. Dalam kebanyakan versi yang mengisahkan
tentang mitos tersebut, Heracles kononnya menwaskan Cerberus dengan tangan
kosong.
![]() |
Cerberus, anjing Hades yang mengawal gerbang Alam Kematian |
Semasa pengembaraannya
memasuki Alam Kematian, Heracles berkesempatan berjumpa dengan dua orang wira
Yunani, iaitu bernama Theseus dan Pirithous yang dikurung di sana sebagai satu
hukuman oleh Hades. Hal ini disebabkan Pirithous mahu memperisterikan
Persephone, isteri Hades justeru mengajak Theseus memasuki Alam Kematian
bersamanya.
Dalam satu versi mitos,
kedua-dua wira ini duduk beristirehat di atas sebongkah batu semasa dalam
perjalanan. Namun, mereka menydari tubuh mereka tidak dapat diangkat sejurus
selepas mereka melihat Furies datang
menghampiri. Dalam versi lain, diceritakan bahawa mereka ditundukkan oleh Hades
sendiri.
Kononnya, Dewa Alam Kematian
itu menjemput Pirithous dan Theseus agar duduk di sebuah kerusi khas. Tanpa
mereka ketahui, itulah Kerusi Kelupaan (Chair
of Forgetfulness) yang mengakibatkan sesiapa sahaja yang duduk di atasnya
terlupa akan segala perkara. Dengan demikian, Hades berhasil mengurung mereka
di Alam Kematian.
Semasa Heracles
memasuki Alam Kematian untuk menangkap Cerberus, beliau sempat menyelamatkan
dua wira itu. Dalam beberapa versi penceritaan, Theseus dan Pirithous berjaya
diselamatkan. Namun dalam beberapa versi, Heracles hanya berhasil menyelamakan
Theseus sementara dalam versi lain lagi, kedua-dua wira itu tidak berjaya
diselamatkan justeru terus dikurung di Alam Kematian.
![]() |
Cerberus dan Hercules |
Di samping itu,
Cerberus juga pernah ditundukkan dalam beberapa kesempatan lain, sebagaimana
yang dikisahkan di dalam mitos Orpheus dan Eurydice. Dalam legenda yang tragi
situ, Orpheus berjaya menjampi Cerberus dengan mainan muziknya yang amat
mengasyikkan justeru membolehkannya memasuki Alam Kematian dan menghadap Hades.
Beliau turun ke Alam Kematian dengan tujuan untuk menghidupkan semula
isterinya, Eurydice yang telah meninggal dunia.
Untuk itu, Orpheus pun
berjumpa dengan Hades. Mainan muzik serta kisahnya yang menyedihkan itu
berhasil menyentuh perasaan Hades hinggakan raja Alam Kematian itu membenarkan
agar Eurydice kembali kea lam kehidupan. Walau bagaimanapun, Orpheus diberikan
amaran agar sama sekali tidak menoleh ke belakang sehinggalah beliau dan
isterinya itu melepasi gerbang Alam Kematian.
Malangnya, ketika
Orpheus berada beberapa langkah sahaja dari gerbang yang memisahkan antara Alam
Kematian dan Alam Kehidupan, fikirannya mula dipenuhi keraguan memandangkan
beliau langsung tidak mendengar tapak kaki isterinya sepanjang perjalanan.
Maka, beliau pun menoleh kebenaran untuk mendapatkan kepastian, sama ada
Eurydice benar-benar mengikutinya sedari tadi.
Dalam versi yang lain,
sebaik sahaja pandangan Orpheus menyapa sinaran matahari, hatinya melonjak
kegirangan sehingga terlupa akan amaran yang diberikan oleh Hades. Beliau
menoleh ke belakang untuk berkongsi kegembiraannya itu dengan si isteri.
Akibatnya, tubuh Eurydice langsung sahaja menghilang dan Orpheus terpaksa
kembali kea lam kehidupan sendirian.
![]() |
Orpheus dan Eurydice cuba meloloskan diri dari Hades dan Alam Kematian |
HADES
MENGAMBIL ISTERI
Seperti yang telah pun
disebutkan sebelum ini, Persephone adalah isteri kepada Hades. Ratu Alam
Kematian itu merupakan anak kepada Zeus dan Demeter, dewi hasil tuaian dan
pertanian. Penculikan Persephone dianggap sebagai mitos paling masyhur yang
menampilkan Hades, dan ia adalah salah satu mitos di mana Hades muncul sebagai
watak utama.
Dalam mitos ini, Hades
membuat permintaan kepada saudaranya, Zeus agar mengurniakan salah seorang puterinya
untuk dijadikan sebagai isteri. Zeus memilih Persephone walaupun mengetahui
bahawa Demeter sama sekali tidak akan bersetuju dengan aturan ini.
Pada suatu hari,
Persephone keluar memetik bunga di dataran Nysa bersama anak-anak perempuan
Okeanos. Dalam satu kesempatan, beliau berjalan agak jauh daripada kumpulannya
itu dan mendekati sekelompok bunga yang harum. Sebaik sahaja Persephone
mendepakan tangannya untuk memetik bunga tersebut, tanah di bawah tapak kakinya
terbuka dan muncullah Hades yang menaiki pedati emas yang ditarik oleh empat
ekor kuda. Dewa Alam Kematian itu lantas menculik Persephone dan membawanya ke
Alam Kematian untuk dijadikan sebagai ratu.
![]() |
Hades menculik Persephone yang kemudiannya menjadi isterinya |
Berita penculikan
Persephone ini merupakan satu kesedihan yang besar buat Demeter. Beliau
langsung sahaja berangkat keluar untuk mencarinya. Sembilan hari lamanya, dewi
itu berkelana di atas bumi sambil membawa sebatang obor. Namun, tiada seorang
pun mampu melaporkan kepadanya apa yang terjadi kepada Persephone.
Pada hari yang ke-10,
Demeter bertemu dengan Dewi Hekate yang memaklumkan bahawa beliau ada mendengar
suara Persephone, namun tidak berkesempatan melihat apa yang sebenarnya
terjadi. Tidak lama kemudian, kedua-dua itu pun berjumpa dengan Helios, dewa
dan personafikasi matahari memandangkan dewa itu mampu melihat segala perkara
yang berlaku di bumi.
Setelah diajukan
pertanyaan daripada Demeter, Helios pun mendedahkan bahawa Zeus telah pun
memberikan izin kepada Hades untuk mengambil Persephone sebagai isteri. Oleh
kerana berasa berang atas tindakan Zeus itu, Demeter pun bersumpah untuk tidak
lagi menjejakkan kaki ke Gunung Olympus. Malah, beliau enggan membenarkan hasil
tuaian tumbuh dengan baik melainkan beliau dapat berjumpa dengan anak
perempuannya itu.
Tatkala Zeus mendengar
tentang perkara ini, beliau berasa khuatir kalau-kalau tindakan Demeter itu
akan membawa penamat kepada manusia. Justeru, beliau pun mengutus Hermes agar
membawa Persephone keluar dari lam Kematian. Hermes yang masyhur dengan
kemahiran diplomasinya itu berjaya memujuk Hades agar membebaskan Persephone.
Namun sebelum membenarkan isterinya beredar, Hades sempat memberikannya biji
delima sebagai hadiah perpisahan.
Susulan daripada
memakan biji itu, yang mana delima dianggap sebagai makanan kematian,
Persephone langsung terikat untuk kekal hidup di Alam Kematian. Maka, Zeus pun
mencampuri urusan dan memberikan cadangan. Menurutnya, Persephone akan hidup
bersama Demeter selama dua pertiga tahun dan tempoh bakinya pula akan
diluangkan bersama Hades di Alam Kematian. Kesemua pihak yang terlibat
bersetuju dengan cadangannya itu.
![]() |
Persephone dikembalikan kepada Demeter namun beliau perlu kembali ke pangkuan Hades dan Alam Kematian pada setiap tahun |
Perkara ini dianggap
oleh masyarakat Yunani sebagai penerangan berlakunya perubahan musim. Kononnya,
pada bulan-bulan Persephone hidup bersama Hades, Demeter akan meninggalkan
Gunung Olympus dan pergi ke kuilnya yang terletak di Eleusia. Di sana, beliau
meratapi ketiadaan puterinya justeru menghasilkan musim salji di bumi.
HADES
BUKANLAH DEWA YANG MENGHAKIMI ROH SI MATI
Walaupun Hades
merupakan penguasa Alam Kematian, beliau sama sekali bukan dewa yang
bertanggungjawab menghakimi roh-roh si mati. Masyarakat Yunani purba meyakini
bahawa roh si mati yang baik akan diganjar dengan dimasukkan ke dalam Pulau
Rahmat (Isles of Blessed) manakala roh yang jahat pula akan dihumban ke dalam Tartarus.
Pada masa Cronus
berkuasa dan juga awal kekuasaan Zeus, penghakiman ini dibuat oleh hakim-hakim
manusia yang menyaksikan hari terakhir si mati itu hidup. Dalam beberapa
kesempatan, belaku kesilapan di mana orang jahat dimasukkan ke dalam Pulau Rahmat.
Kesilapan ini berlaku disebabkan si jahat itu menyelubungkan dirinya dengan
pakaian yang mewah ketika beliau dihakimi sekaligus membuatkan para penghakim
menganggap beliau menjalani hidup yang baik. Rentetan itu, Zeus memutuskan agar
si mati yang bakal dihakimi perlu menanggalkan segala pemilikan yang bersifat
duniawi.
Tambahan lagi, Zeus
turut melantik tiga penghakim iaitu Rhadamanthys, Aeacus dan Minos.
Rhadamanthys menghakimi si mati yang berasa dari Asia, sementara Aeacus pula
menguruskan si mati yang berasal dari Eropah. Minos pula diberikan autoriti
untuk membuat keputusan akhir.
![]() |
Penghakim roh si mati, Minos, Aiakos, Rhadamanthys duduk di bangku takhta dan menyoal roh tentang kehidupan dan amal-amal mereka |
Di samping itu, Hades
juga bukanlah Dewa Kematian. Hades sama sekali tidak memiliki kuasa untuk
mencabut nyawa manusia. Personafikasi Kematian dalam mitologi Yunani adalah
Thanatos. Dalam mitos Asclepius, Hades disifatkan sebagai dewa yang menerima
kesan daripada keupayaan menyembuh yang dimiliki oleh Asclepius si separa-dewa.
Asclepius adalah anak
lelaki Apollo dan seorang manusia. Ibu Asclepius meninggal dunia semasa
melahirkannya, dan Apollo menyelamatkan Asclepius dengan mengeluarkannya dari
rahim si ibu. Asclepius kemudiannya diletakkan di bawah asuhan Chiron si
centaur dan daripada situlah beliau mempelajari seni perubatan.
Seiring peredaran masa,
kemahiran menyembuh yang dimiliki Asclepius melangkaui Chiron dan bahkan Apollo
sendiri. Beliau mampu merawat semua orang dan bahkan memiliki keupayaan untuk
menghidupkan orang yang telah mati. Walaupun Asclepius dianggap oleh manusia
sebagai perwira, beliau sama sekali tidak disenangi oleh para dewa.
Hades secara khusus
menyimpan rasa amarah terhadap Asclepius memandangkan keupayaan menyembuhnya
itu membuatkan semakin sedikit manusia yang mati. Hal ini membawa maksud roh
yang memasuki Alam Kematian semakin berkurangan.
Lantas, Hades pun
membawa permasalahan ini kepada Zeus dan menggesanya agar membunuh Asclepius
agar status quo dapat dikembalikan. Zeus sendiri turut menyimpan dendam
terhadap Asclepius memandangkan separa-dewa itu menghidupkan semula orang yang
telah mati tanpa terlebih dahulu mendapatkan keizinannya. Perbuatan ini
dianggap oleh Zeus sebagai satu penghinaan terhadap kedudukannya sebagai raja
dewa.
Walaupun Apollo cuba
untuk mencampuri urusan bagi menyelamatkan anaknya itu, Zeus enggan berganjak.
Beliau menyambar Asclepius dengan panahan petir. Jasad Asclepius disemadikan di
langit sebagai buruj Ophiuchus yang bermaksud ‘Pembawa Ular’.
SUMBER
- Atsma, A. 2017. Haides.
- Gill, N. 2019. A Biography of the Greek God Hades.
- Greekgodsandgoddesses. 2018. Asclepius.
- Greekgodsandgoddesses. 2014. Hades.
- The Editors of Encyclopedia Britannica. 2019. Cerberus.
- The Editors of Encyclopedia Britannica. 2019. Hades.
- The Editors of Encyclopedia Britannica. 2019. Orpheus.
- GreekGods. 2018. Hades (Aides, Aidoneus, Pluto, Orcus).
- Greekmythology. 2019. Hades:: Greek God of the Underworld.
- Greekmythology. 2019. Persephone:: Queen of the Underworld.
- Greekmythology. 2019. Pirithous.
- Greekmyths-greekmythology. 2019. Hades the Greek God of the Underworld.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Hades – Dewa Alam Kematian Yunani’
- Get link
- X
- Other Apps