- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ashley Cowie. (15 Oktober 2019). Lost City of Khmer Empire Finally Found in
Cambodia! Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/lost-city-khmer-empire-0012724
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/lost-city-khmer-empire-0012724
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Mahendraparvata yang merupakan
salah sebuah ibu kota dari era Angkor bagi Empayar Khmer (kurun ke-9 hingga
kurun ke-15 Masehi) akhirnya telah dikenal pasti berlokasi di timur laut Angkor
Wat, Kemboja.
Bukti arkeologi tentang
kota yang telah lama hilang ini sebelumnya hanya terhad kepada anggapan bahawa
ianya adalah beberapa buah kuil suci yang terpencil. Namun, imbasan lidar
pandangan-udara yang digabungkan dengan dapatan-dapatan dari hasil tinjauan
telah menemukan sebuah ‘rangkaian bandar urban yang sangat besar’ berusia
sekitar kurun ke-9 Masehi. Para arkeologis meyakini bahawa bandar yang
ditemukan itu adalah kota Mahendraparvata.
Pandangan udara dataran tinggi Phnom Kulen dan Mahendraparvata |
IMBASAN GRID KOTA
MAHENDRAPAVARTA
Projek penyelidikan
lidar ini didanai oleh Pertubuhan Arkeologi dan Pembangunan (Archaeology and
Development Foundation) serta Persatuan Penyelidik Eropah (ERC) sebagai
sebahagian daripada Konsortium Arkeologi Lidar Khmer (Khmer Archaeology
Lidar Consortium) dan Inisiatif Arkeologi Lidar Kemboja (Cambodian
Archaeological Lidar Initiative).
Daripada ratusan
pemerhatian baharu yang dibentang di dalam kertas-kertas kajian para saintis
yang disiarkan di dalam jurnal Antiquity, antara yang paling mencuri tumpuan
adalah penemuan lokasi Mahendraparvata, iaitu sebuah ibu kota Empayar Khmer
yang usianya menjangkau 11 atau 12 abad lamanya (kurun ke-8 hingga kurun ke-9
Masehi).
Mahendraparvata, sebuah ibu kota Empayar Khmer yang bertarikh kurun ke-8 dan ke-9 Masehi |
Imbasan-imbasan lidar
yang dilakukan berhasil mengenal pasti sebuah kawasan urban-berpusat yang
sangat luas, kira-kira 15.4-19.3 batu persegi (40-50 km persegi) sebuah dataran
tinggi. Menurut para penyelidik, Mahendraparvata merupakan ‘kota grid’ berskala
besar pertama yang dibina oleh Empayar Khmer di Phnom Kulen.
Selain itu, kota itu
juga dibangunkan jauh lebih awal berbanding kompleks kuil Angkor Wat di barat
laut Kemboja atas perintah Raja Jayavarman II. Mahendraparvata dikatakan
memiliki rangkaian jalan raya yang besar yang membahagikan zon pusat kepada zon
grid menerusi penggarisan di peta dan juga pembahagian blok-blok bandar.
SENI BINA YANG
BENAR-BENAR UNIK BAGI EMPAYAR KHMER SENDIRI
Di seluruh grid kota,
imbasan-imbasan yang dilakukan berjaya menemukan pelbagai penerapan seni bina
baik dari sudut sivik mahupun kerohanian. Misanya, binaan-binaan kuil,
gundukan, kolam, sistem empangan dan sebuah pusat takungan tidak siap yang
mengelilingi pusat pentadbiran, serta istana diraja dan sebuah kuil berbentuk
piramid yang besar.
Peta grid pusat Mahendraparvata |
Walaupun memiliki
bahan-bahan bukti baru sebegini, para arkeologis mempemarkan sifat berhati-hati
dan cermat dalam menulis kertas kajian mereka terutama ketika membuat
kesimpulan berkenaan teori ‘kota hidraulik’. Hal ini kerana saluran-saluran air
yang mereka temukan tidak kelihatan seperti direka untuk mengairi kawasan
pertanian dan sawah. Menurut mereka, Mahendraparvata berkemungkinan lebih
cenderung berfungsi sebagai sebuah kota yang khusus untuk menjadi simbol
kekuatan sivik dan kerohanian empayar berkenaan.
Walaupun
Mahendraparvata mempunyai grid kota yang luas, para arkeologis tidak melihat
sebarang bahan bukti untuk membolehkan mereka menjelaskannya sebagai sebuah
kawasan-pusat yang lazimnya memiliki tembok ataupun parit, sebagaimana yang
dapat dilihat di Angkor dan kota-kota Khmer di zaman terkemudian. Hal ini
merupakan suatu ciri yang benar-benar unik walau untuk dunia Khmer sendiri.
Kedudukan paksi dan orientasi piramid pusat, takungan dan kuil-kuil di Koh Ker (atas) dan Mahendraparvata (bawah) |
Pada hakikatnya, gaya
pembangunan urban sebegini selari dengan penemuan terkini berkenaan ‘urbanisme
tropika’ di Khmer dan Maya. Menerusi perspektif skala landskap baharu yang
ditawarkan oleh teknologi lidar, para saintis kini beranggapan bahawa
Mahendraparvata bukanlah sebuah kompleks yang tersusun secara geometrik. Akan
tetapi, ia adalah sebuah bandar urban yang berserabut dan rumit.
SAIZ MAHENDRAPARVATA
DUA KALI LEBIH BESAR BERBANDING KOTA PURBA PALING BESAR DI KEMBOJA
Ini bukanlah kali
pertama kota-kota purba yang hilang ditemukan semula di Kemboja menerusi
imbasan lidar, memandangkan pada tahun 2016 yang lalu, terdapat sebuah artikel
di Guardian yang melaporkan bahawa pasukan arkeologis berjaya menemukan ‘kota-kota
zaman pertengahan yang belum pernah direkodkan’ terletak tidak jauh dari kota
kuil purba, Angkor Wat.
Pada waktu itu, ahli
arkeologi dari Australia yang bernama Dr. Damian Evans mengumumkan bahawa
teknologi imbasan laser dari pandangan udara berhasil menemukan sejumlah kota
yang berusia 900 hingga 1400 tahun di bawah lantai hutan tropika, yang mana
sebahagian daripadanya setanding dengan ibu kota Kemboja, Phnom Penh.
Sebuah contoh tapak kuil yang baru didokumentasikan di hutan wilayah Phnom Kulen |
Sementara itu, Dr.
Mitch Hendrickson, pengarah industri-industri projek Angkor merangkap profesor
di jabatan antropologi Universiti Illinois memaklumkan bahawa tinjauan awal
yang dilakukan berhasil memberikan perubahan besar dalam pemahaman kita tentang
bagaimana masyarakat Khmer di era Angkor membina, mengubahsuai dan menghidupkan
kota-kota mereka.
Sebelum memasuki tahun 2016, umum mengetahui bahawa
Preah Khan di Kompong Svay merupakan sebuah kota yang sangat signifikan dan
dicanangkan sebagai kompleks terbesar yang pernah dibina di zaman Angkor dengan
keluasan mencecah 8.5 batu persegi (22 km persegi). Akan tetapi, saiz tersebut
dikalahkan oleh Mahendraparvata yang dua kali ganda lebih luas dengan ukuran
keluasan mencecah 15.4-19.3 batu persegi (40-50 km persegi).
PENDEKATAN BERGANDA DALAM
PENYELIDIKAN MAHENDRAPARVATA
Memandangkan kini para
saintis telah pun melengkapkan imbasan lidar mereka di kawasan hutan Angkor, usaha-usaha
yang dirincikan di dalam kertan kajian ini secara efektif menamatkan segala
kerja pemetaan arkeologi selama 150 tahun di daerah Angkor Besar sekaligus
menetapkan peringkat yang disebut oleh para penyelidik sebagai ‘peringkat
pemodelan bentuk urban secara spatiotemporal yang lebih sofistikated.’
Saintis juga
memaklumkan bahawa dengan menggabungkan data yang telah dikumpulkan oleh badan
arkeologi Angkor dengan data daripada imbasan pandangan udara, model-model
demografik yang lebih jitu dapat dihasilkan di mana ia mungkin akhirnya
berupaya menyelesaikan beberapa persoalan penting berkenaan asal-usul Angkor;
bagaimana ia berkembang, bagaimana ia tumbang dan bagaimana ia dibina semula
dalam tempoh ratusan tahun sehingga menjadi salah sebuah tamadun paling besar
di dunia.
SUMBER
- Chevance, J., Evans, D. Hofer, N., Sakhoeun, S., dan Chhean, R. 2019. Mahendraparvata: an early Angkor-period capital defined through airborne laser scanning at Phnom Kulen. Antiquity.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kota Empayar Khmer Yang Hilang Akhirnya Ditemui Di Kemboja’
- Get link
- X
- Other Apps