PENUTUR TERAKHIR BAHASA RESIGARO

Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (1 April 2019). The Last Speaker of Resigaro – Murder of a Language. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/resigaro-0011686

Penterjemah: Amir Zayyanid


Dalam enam hingga tujuh ribu bahasa yang dituturkan di seluruh dunia pada hari ini, sekitar lima ribu daripadanya dituturkan oleh masyarakat asli yang menetap di Amerika Selatan dan Amerika Utara, Afrika, Oceania dan sebahagian wilayah Asia. Lima ribu bahasa ini juga merupakan antara bahasa yang paling terancam memandangkan direkodkan bahawa pada setiap empat belas hari, sebuah bahasa asli pupus. Keadaan sebegini dihadapi oleh bahasa Resigaro yang hanya memiliki seorang sahaja penutur yang masih tinggal iaitu seorang lelaki berusia 65 tahun, setelah penutur terakhir yang lain mati dibunuh.

Pada November 2016, Rosa Andrade yang berusia 67 tahun ditemui mati di rumahnya yang terletak di Peruvian Amazon. Pembunuhnya masih belum ditemui dan masyarakatnya mengesyaki bahawa pelaku tersebut adalah orang luar. Motif di sebalik pembunuhan juga masih belum dapat dipastikan.


PENUTUR TERAKHIR RESIGARO

Rosa adalah penutur wanita terakhir bahasa Resigaro dan merupakan salah seorang penutur terakhir bahasa Ocaina. Resigaro dan Ocaina adalah dua kaum yang menjadi mangsa kerancakan industri getah sekitar lewat kurun ke-19 Masehi. Kedua-dua kaum asli ini merupakan antara yang diperhambakan oleh penggiat-penggiat industri untuk melakukan kerja-kerja mengesktrak getah. Ribuan orang asli Amazon meninggal dunia kerana kepenatan dan ditimpa penyakit yang tidak dapat mereka rawat.

Pembesar Ocaina pada tahun 1924, bahasa Ocaina dan Resigaro keduanya diancam kepupusan


Populasi kaum Resigaro jatuh mendadak sampaikan mereka terpasuk hidup dalam kalangan kaum Ocaina. Populasi Ocaina sendiri sangat kecil dan hanya terdapat sekitar 40 orang penutur sahaja yang masih tinggal. Menjelang tahun 2016, Rosa Andrade dan saudaranya, Pablo Andrade direkodkan sebagai penutur terakhir bahasa Resigaro, dan juga bahasa Ocaina.

Pemerintah Peruvian telah pun memulakan sejumlah projek untuk memelihara bahasa-bahasa asli. Terdapat juga projek yang digerakkan bersama Rosa dan Pablo Andrade dalam rangka membantu memelihara bahasa Resigaro dengan cara mengemaskini buku-buku berkenaan tatabahasa Resigaro yang bertarikh 1950an.

Di samping itu, Rosa juga sempat mendapat peluang untuk mengajarkan kesemua lagu dan kisah-kisah di dalam bahasa ibundanya yang diketahui kepada kanak-kanak. Lantaran kematian beliau, kini projek tersebut hanya diteruskan bersama Pablo.

Sebelum dibunuh, Rosa mengajarkan bahasa Resigaro dan Ocaina kepada kanak-kanak Peruvian


CIRI BAHASA RESIGARO

Kajian awal tentang bahasa Resigaro dilakukan pada 1950an. Antara penyelidik awal yang mengkaji bahasa tersebut adalah Summer Institute of Linguistics (SIL). Para penterjemah dari SIL menghasilkan sebuah buku berkenaan tatabahasa Resigaro dengan matlamat untuk meneluarkan terjemahan Bible versi bahasa berkenaan. Pada masa itu, ahli-ahli linguistik meletakkan bahasa Resigaro ke dalam keluarga bahasa Arawakan, sebuah keluarga bahasa yang merangkumi bahasa-bahasa asli di kepulauan Caribbean.

Namun pada tahun 1970an, terdapat sebuah teori yang menyangkal perkara tersebut dan teori ini meletakkan bahasa Resigaro ke dalam keluarga bahasa Huitotoan, keluarga bahasa yang sama dengan Ocaina. Pada hari ini, ramai ilmuwan yang meletakkan Resigaro dalam keluarga bahasa Arawakan.

Matlamat projek-projek yang dilancarkan oleh pemerintah terkini adalah untk menyemak semula sumber-sumber awal berkenaan tatabahasa Resigaro dengan bantuan Pablo Andrade agar beliau dapat membantu meneliti kadar ketepatannya di samping mengisi mana-mana bahagian yang lompong. Bahasa Resigaro berkemungkinan tidak dapat diselamatkan secara lisan, namun diharapkan agar Resigaro tidak hilang sepenuhnya dalam ingatan manusia menerusi usaha-usaha pemeliharaan yang dijalankan.

Gambaran Pablo Andrade – insan terakhir yang menuturkan bahasa Resigaro


RESIGARO DAN BAHASA-BAHASA ARAWAKAN YANG LAIN

Bahasa Resigaro tidak hanya penting dalam mengekalkan kebudayan kaum Resigaro, malah keluarga bahasanya juga (Arawakan). Keluarga bahasa Arawakan dianggap penting memandangkan ia adalah keluarga bahasa paloing besar di Amerika Selatan dan Amerika Tengah, dengan terdapat sebanyak 40 bahasa yang masih hidup dan sekitar 150 buah bahasa yang direkodkan oleh sejarah. Taburan keluarga bahasa ini meliputi kawasan yang luas, merangkumi negara-negara seperti Guatemala, Honduras, Bolivia, Venezuela, Suriname, Peru dan Colombia.

Oleh kerana itu, bahasa-bahasa Arawakan serta tatabahasanya dianggap sangat penting bagi memahami kebudayaan kaum asli di Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Selain dari memelihara memori tentang budaya Resigaro itu sendiri, pemeliharaan bahasa Resigaro juga merupakan sebuah projek yang bermatlamat lebih besar iaitu menyelamatkan bahasa-bahasa Arawakan yang kebanyakannya berada dalam keadaan yang sangat terancam.

Lantaran itu, pemeliharaan bahasa Resigaro turut dianggap penting bagi lapangan linguistik secara umum dan juga untuk meningkatkan pemahaman kita tentang evolusi dan struktur bahasa-bahasa di dunia.

Sesebuah bahasa itu penting untuk mengekalkan kebudayaan sesebuah masyarakat, bahasa Resigaro kini diancam kepupusan


MASA HADAPAN BAHASA RESIGARO

Dengan hanya berbaki seorang sahaja penutur, masa hadapan Resigaro kelihatan gelap. Matlamat masa kini ahli-ahli linguistik adalah untuk mempelajari sebanyak mungkin tentang bahasa tersebut dari satu-satunya penutur bahasa yang tinggal, di samping sumber karya akademik yang ditulis di dalam bahasa berkenaan.

Mereka mungkin tidak berupaya menyelamatkan kebudayaan Resigaro. Akan tetapi, usaha-usaha sebegini berhasil meningkatkan kesedaran terhadap hakikat bahawa Resigaro bukanlah satu-satunya bahasa yang mengalami situasi kritikal sebegini. Terdapat ratusan bahasa lain yang berada di ambang kepupusan, dengan hanya berbaki beberapa orang penutus sahaja yang tinggal. Sekiranya bahasa Resigaro dapat dipelihara, sudah tentulah hal yang sama dapat dilakukan pada bahasa-bahasa lain.


SUMBER