RATU NZINGA – PEMERINTAH YANG MEMERDEKAKAN RAKYATNYA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (5 Julai 2016). Queen Nzinga: A Ruler who Set her People Free. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/queen-nzinga-ruler-who-set-her-people-free-006235

Penterjemah: Amir Zayyanid


Ratu Anna Nzinga, juga dikenali sebagai Ana de Sousa Nzinga Mbande, merupakan seorang ratu Kerajaan Ndongo dan Matamba (meliputi negara Angola di selatan Afrika moden). Beliau hidup pada kurun ke-16 dan kurun ke-17 Masehi. Perkara yang paling diingati apabila menyebut nama Ratu Nzinga adalah penentangannya terhadap kolonial Portugis di samping usahanya untuk memerdekakan rakyatnya dari belenggu perdagangan hamba.


KEHIDUPAN AWAL

Ratu Nzinga diyakini lahir pada separuh pertama 1580an. Ayahanda Nzinga, iaitu Ngola Kiluanji Kia Samba merupakan pemerintah Kerajaan Ndongo. Pada tahun sama Nzinga dilahirkan, Ngola Kiluanji memulakan kempen penentangan kolonial Portugis bersama rakyat jelatanya. Pendatang-pendatang Eropah ini dicatatkan telah menyerang wilayah Ndongo atas motif mendapatkan hamba untuk didagangkan, berikutan meningkatnya permintaan terhadap penjualan hamba di wilayah koloni mereka di Dunia Baru, iaitu Brazil. Di samping itu, pihak Portugis juga mengambil kesempatan itu untuk menakluk kawasan-kawasan yang mereka yakini mengandungi lombong perak.

Menurut suatu sumber, Ngola Kiluanji digulingkan oleh puteranya sendiri, Mbandi yang juga merupakan abang kepada Nzinga. Putera-putera yang lain juga dipercayai telah dibunuh oleh Mbandi. Oleh kerana khuatir atas nasib masing-masing, Nzinga dan suaminya bertindak melarikan diri ke Matamba. Pemerintahan Mbandi disifatkan kejam dan penuh dengan huru-hara. Beliau sendiri disebutkan sebagai pemerintah yang tidak digemari rakyat jelata.


Pun begitu, terdapat juga sumber-sumber lain yang tidak menyebutkan langsung tentang peristiwa hitam tersebut. Menurut naratif sumber ini, Nzinga kekal berada di istana di zaman pemerintahan abangnya, Mbandi. Kisah pelarian dirinya ke Matamba pula hanyalah episod terkemudian dalam lembaran hidup Nzinga.

Lukisan Nzinga si ratu Ndongo dan Matamba, berlokasi di Luanda, Angola


PERJANJIAN DAMAI

Di antara tahun-tahun yang ditempuh oleh Nzinga, tahun 1621/1622 boleh dianggap sebagai tahun yang paling penting bagi dirinya. Pada tahun tersebut, pihak Portugis mengajak Mbandi untuk menghadiri sebuah rundingan damai dengan harapan dapat menghentikan permusuhan di antara kedua-dua belah pihak (sebelum itu, Portugis telah memaksa Mbandi keluar daripada istananya pada tahun 1617).

Nzinga dihantar sebagai wakil raja dalam pertemuan dua hala dengan Joao Corria de Sousa, gabenor Portugis di Luanda. Babak yang berlaku semasa rundingan tersebut dianggap sebagai salah sebuah episod yang paling hebat dalam hidup Nzinga. 


Dikisahkan bahawa sebelum berlangsungnya pertemuan itu, pihak Portugis menyiapkan bilik rundingan dengan hanya sebuah kerusi sahaja. Dalam erti kata lain, Nzinga diminta untuk berdiri sepanjang proses perundingan justeru mengisyaratkan kepada perendahan kedudukannya. Namun, Nzinga tidak membiarkan muslihat licik Portugis itu mencapai matlamatnya. Sebaliknya, Nzinga memerintahkan salah seorang pengiringnya agar berlutut, meletakkan kedua tangan dan kaki ke lantai lantas bertindak sebagai kerusi untuk dirinya.

Rundingan berlangsung dengan jaya memandangkan kata damai berjaya dicapai. Pihak Portugis malah bersetuju untuk mengembalikan Mbandi ke kerusi takhtanya, di samping turut bersetuju untuk mengehadkan aktiviti-aktiviti serangan yang bermotifkan pemerdagangan hamba. Dalam kesempatan itu juga, Nzinga menukar agama dan menganut agama Kristian lalu dibaptiskan dan mengambil nama Dona Ana de Sousa. Ibu-bapa baptisnya tidak lain dan tidak bukan adalah gabenor Portugis itu sendiri, iaitu Joao Corria de Sousa dan isterinya.


Walau bagaimanapun, tempoh perdamaian ini tidak berpanjangan dan Portugis hanya mengambil masa beberapa tahun sahaja sebelum melancarkan serangan ke atas Ndongo.

Pertemuan antara Nzinga dan gabenor Portugis, Joao Corria de Sousa


PERANG PORTUGIS

Pada tahun 1626, Nzinga ditabalkan sebagai ratu berikutan kemangkatan abangnya. Menurut suatu sumber, Mbandi membunuh diri rentetan berputus-asa dalam menghadapi serangan demi serangan Portugis ke atas wilayah pemerintahannya. Namun, ada juga sumber lain yang mendakwa bahawa Nzinga bertanggungjawab di atas pembunuhan abangnya itu.

Apapun, pada tahun yang sama, Portugis sekali lagi memperbaharui serangan mereka ke atas Ndongo dengan mengupah Imbangala agar berperang bagi pihak mereka. Oleh kerana tidak berupaya menewaskan kekuatan tentera Portugis itu, Nzinga dan rakyat jelatanya terpaksa membawa diri ke barat dan menubuhkan sebuah kerajaan baru di Matamba.

Imej yang menggambarkan kehadiran Portugis di Afrika


Berpusat di Matamba, Nzinga menghadapi Portugis dalam sebuah peperangan yang berlanjutan selama tiga dekad. Di antara pendekatan yang diambil oleh Nzinga adalah menawarkan tempat perlindungan kepada hamba-hamba pelarian dan juga askar-askar Afrika yang dilatih oleh Portugis. Hal ini bertujuan untuk menarik mereka supaya datang (dan sertai) kerajaannya. Selain itu, beliau juga bertindak menimbulkan kekacauan dalam kalangan penduduk Ndongo yang pada masa itu dikuasai secara tidak langsung oleh Portugis menerusi seorang raja boneka.

Tidak cukup begitu, Nzinga turut memanfaatkan perseteruan yang wujud di antara kuasa-kuasa Eropah. Hal ini boleh dilihat dengan jelas menerusi persekutuan yang dibentuk antara Nzinga dan Belanda yang merupakan seteru kepada Portugal.
Perang Portugis ini sampai ke kemuncaknya apabilah pihak mereka diusir dari Luanda pada tahun 1641 hasil gabungan bersenjata antara Belanda dan Matamba. Namun pada tahun berikutnya, Portugis kembali dengan kekuatan baharu dan berjaya merebut semula Luanda, Belanda diusir dari Angola dan Nzinga pula terpaksa berundur memperkuatkan pertahanan di Matamba.

Peta Luanda


Nzinga dicatatkan terus melanjutkan penentangannya terhadap Portugis. Namun, apa yang lebih penting daripada itu adalah usaha-usaha yang ditumpahkannya untuk menjadikan kerajaannya sebagai sebuah kuasa komersial. Hal ini berikutan lokasi strategik yang diduduki oleh kerajaannya, iaitu di antara pantai Afrika dan wilayah-wilayah pedalaman. Menjelang kemangkatan Nzinga pada tahun 1663, Matamba dicatatkan telah pun berkembang menjadi sebuah negara komersial yang cukup ampuh sehingga mampu menyaingi Portugal.


SUMBER