ARTIFAK-ARTIFAK PURBA DI OMAN MEMPUNYAI KAITAN DENGAN TAMADUN MAJAN YANG AGUNG

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (13 Februari 2014). Ancient artefacts found in Oman are linked to great Majan civilisation. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/ancient-artefacts-found-oman-are-linked-great-majan-civilisation-001337

Penterjemah: Amir Zayyanid


Ahli-ahli arkeologi di Oman menemukan sebuah tapak Zaman Gangsa dan Zaman Besi yang cukup penting semasa melakukan kerja-kerja awal dalam Projek Jalan Berkembar- Sinaw-Mahut (pada Februari 2014). Hasil-hasil awal penerokaan yang dilakukan telah mendedahkan sejumlah barangan purba yang usianya menjangkau 2300 tahun dan lebih. Barangan tersebut mempunyai kaitan dengan tamadun Majan yang agung, sebuah tamadun yang kali pertama disebutkan di dalam teks-teks kuneiform Sumeria sebagai sumber tembaga dan batu diorit yang penting buat Mesopotamia.

Sepasukan penyelidik dari Kementerian Warisan dan Budaya mula menjalankan kerja-kerja ekskavasi di tapak arkeologi yang terletak di Bildat Al-Ayoon itu demi memelihara sekitar 250 buah kubur sebelum melanjutkan kerja-kerja pembinaan jalan. Ahli-ahli arkeologi menemukan sejumlah artifak, termasuklah tembaga dan barang perhiasan yang bertarikh sekitar Zaman Besi hingga ke pertengahan Zaman Gangsa bagi tamadun Majan, yang kadangkala disebut sebagai tamadun Magan.

Tablet-tablet Sumeria yang menyebutkan tentang tamadun Magan sebagai sumber yang membekalkan tembaga dan dipercayai secara meluas bahawa Magan ini terletak di Oman moden dan mungkin meliputi sebahagian Iran. Catatan-catatan perdagangan dari tamadun Lembah Indus, Sumeria dan Assyria kesemuanya menyebutkan tentang pelabuhan Magan dan menyifatkan kejayaan ekonomi yang mereka kecapi sebagai sumbangan yang antara lain adalah daripada Magan, yang dirujuk dalam teks-teks purba sebagai ‘Gunung Tembaga’.

Sememangnya bukti dari penggalian yang dilakukan berhampiran Sohar di Oman mendapati bahawa lombong tembaga dan kilang peleburan dibangunkan dengan cukup maju pada tahun 2000SM. Pada hari ini, terdapat sebanyak 150 buah tapak tembaga purba ditemui di seluruh Oman.

Pelbagai komoditi berharga yang lain di Mesopotamia turut datang dari Magan. Antara lain termasuklah kayu dan batu. Tukang-tukang kayu dari Magan juga pernah disebutkan secara spesifik di dalam inskripsi-inskripsi Sumeria tahun 2050SM.

Isolasi relatif dari tamadun Magan berlanjutan sehingga milenium pertama apabila tapak-tapak arkeologi yang digali menunjukkan petanda bahawa Oman telah pun berhubung dengan empayar Assyria dan Arya. Tamadun Arya dipercayai memperbaharui hubungan perdagangan dengan Oman yang berfungsi sebagai rangkaian yang membawa masuk kayu, tembaga dan rempah-ratus.

Penyelidikan yang lebih mendalam di semenanjung Oman telah menemukan sejumlah tapak arkeologi milik tamadun Magan. Akan tetapi, maklumat berkenaan zaman yang penting dalam sejarah Oman ini masih lagi tidak banyak. Ahli-ahli arkeologi masih belum mengetahui sama ada terdapat sebarang barangan tembaga di tapak arkeologi Bildat Al-Ayoon ataupun tidak. Walau bagaimanapun, diharapkan supaya penemuan yang dilakukan ini dapat mencerahkan lagi kefahaman tentang tamadun Magan yang masih serba sedikit setakat ini, sebuah tamadun yang memainkan peranan yang cukup penting buat Mesopotamia dan sejarah Oman.


Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Tapak Tamadun Antara Tertua Dunia Ditemui Di Oman