BANGSA AMORI YANG GAGAH DAN RAJA PERTAMA EMPAYAR BABYLON

Pautan ke artikel asal:
Bryan Hill. (26 Julai 2019). The Fierce Amorites and the First King of the Babylonian Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/fierce-amorites-and-first-king-babylonian-empire-003269

Penterjemah: Amir Zayyanid


Bangsa Amori, atau juga dikenali sebagai Amurru atau Martu, merupakan kelompok penutur bahasa Semitik purba yang menguasai Mesopotamia, Syria dan Palestin dari tahun 2000 hingga 1600SM. Masyhur sebagai kaum nomad yang menguasai wilayah-wilayah asing, bangsa Amori dianggap sebagai bangsa pahlawan yang gagah.

Mereka menakluk Babylonia dan Mesopotamia sebanyak dua kali (pada lewat milenia ketiga dan awal milenia pertama) dan menubuhkan negara-negara kota baru, antara yang paling masyhur adalah Babylon. Raja mereka yang paling dikenali, iaitu Hammurabi juga merupakan raja pertama Empayar Babylon.

Kompilasi kaca atau tembikar licin yang menggambarkan musuh tradisi masyarakat Mesir purba. Dari kiri, sepasang gambaran kaum Nubia, kaum Philistine, kaum Amori, kaum Syria dan kaum Hittite


GAYA HIDUP NOMAD BANGSA AMORI

Nama Amori secara harfiahnya membawa maksud ‘yang tinggi’. Dalam sumber-sumber Mesopotamia dari kaum Sumer, Akkad dan Assyria, bangsa Amori tampil sebagai kaum nomad dan sering dikaitkan dengan wilayah pergunungan Jebel Bishri di utara Syria, di mana wilayah tersebut dipanggil sebagai ‘gunung (milik) bangsa Amori’. Mereka merupakan puak purba dari bangsa Kan’an, walaupun secara teknikalnya tidaklah beretnik Kan’an yang menghuni wilayah timur laut Sungai Jordan.

Bangsa Amori terdiri daripada puak-puak nomad yang diperintah oleh ketua-ketua puak. Mereka menceroboh wilayah-wilayah yang diperlukan demi membekalkan sumber makanan buat haiwan ternakan. Sebahagian karya sastera kaum Akkadia merendah-rendahkan bangsa Amori ini, dan menyebutkan bahawa masyarakat Akkadia dan Sumeria memandang gaya hidup nomad mereka itu dengan pandangan jijik dan serong:

“Martu tidak memiliki sebarang simpanan bijirin… Martu tidak memiliki rumah mahupun bandar, (puak) gasar dari gunung ganang… Martu langsung tidak menggali kentang (truffle)… tidak membengkokkan lutut (untuk mengusahakan tanah), memakan daging mentah, tiada rumah sepanjang hayat, tidak dikebumi sesudah menjadi mayat…” (Chiera 1934, 58, 112).


“BANGSA BERTUBUH BESAR”

Di Mesir, bangsa Amori dipanggil sebagai ‘Amar’ dan mereka tampil dalam monumen-monumen yang mana mereka digambarkan berkulit mulus, berambut nipis, bermata biru, berhidung mancung dan berjambang lebat. Mereka dianggap sebagai bangsa yang memiliki tubuh badan yang besar. Salah seorang raja mereka, iaitu Og, pernah dirincikan oleh Moses (Deuteronomy 3:11) sebagai ‘saki-baki terakhir (bangsa) gergasi’ dan katilnya pula sepanjang 13.5 kaki (4 meter).

Gambaran Og


AGAMA DAN BAHASA AMORI

Bangsa Amori banyak berhubung dengan bangsa Sumeia dalam tempoh yang cukup panjang (tempoh yang mendahului masa mereka menguasai rantau tersebut) dan mereka berkemungkinan mengadaptasi elemen kepercayaan Sumeria sepanjang kurun-kurun mereka berhubung. Bangsa Amori ada melahirkan satu dewa baru ke dalam agama Sumeria, iaitu Dewa Marduk, yang diangkat oleh masyarakat Sumeria ke kedudukan tertinggi melebihi dewa-dewa lain. 

Dikenali sebagai dewa ribut, Marduk mengambil peranan sebagai dewata terulung dan kisah kenaikannya itu disampaikan secara dramatik di dalam mitos epik yang dikenali sebagai Enuma Elish. Bangsa Amori juga memuja dewa bulan Sin dan Amurru.

‘Penyembah Larsa’, patung yang didedikasikan kepada dewa Amurru, awal milenia ke-2SM, Louvre


Bangsa Amori menulis dengan menggunakan dialek Akkadia sebagaimana yang ditemui pada tablet-tablet di kota purba Mari (kini Syria) bertarikh 1800SM. Memandangkan bahasa mereka menunjukkan bentuk, kata-kata dan pembinaan ayat yang sinonim dengan bahasa Semitik barat laut, maka ilmuwan mempercayai bahawa ia merupakan cabang bahasa Kan’an bagi penuturnya di wilayah barat laut. Antara dialek lain bagi cabang berkenaan adalah Bahasa Ibrani dan Phoenician. Sumber utama yang menyumbang kepada pengetahuan tentang bahasa mereka adalah nama asli mereka yang masih tersimpan rapi di dalam teks-teks bukan-Amori.

Kebanyakan nama tersebut mirip dengan nama-nama Ibrani yang terkandung di dalam Bible. Di zaman gelap iaitu antara tahun 1600 hingga 1100SM, bahasa Amori lenyap dari tamadun Babylonia dan wilayah sekitar Sungai Furat. Namun di Syria dan Palestin, bahasa tersebut menjadi dominan dan ditemui di dalam inskripsi-inskripsi purba yang usianya sekitar penghujung milenia kedua Sebelum Masehi.


MENAKLUK MESOPOTAMIA DAN BABYLON

Keruduman bahasa Sumeria di Mesopotamia berlaku di masa-masa berlangsungnya serangan bangsa Amori yang paling masyhur. Dinasti terakhir Sumeria tumbang sekitar tahun 2000SM dan Mesopotamia terlibat dalam konflik dan kehuru-haraan yang berpanjangan hampir sekurun lamanya. Sekitar 1900SM, bangsa Amori berjaya meraih kuasa ke atas hampir seluruh rantau berkenaan.

Inskripsi dan tablet-tablet yang ditinggalkan oleh masyarakat Babylonia awal mengisyaratkan bahawa mereka menguasai sebahagian Syria, tanah timur Israel menjelang tahun 1900SM. Selepas menubuhkan kuasa di wilayah tengah Mesopotamia, bangsa Amori kemudiannya menjarah bandar-bandar Neo-Sumeria dan kemudian menakluk Babylonia lalu menjadikannya sebagai ibu kota pada tahun 1959SM. Ur, ibu kota tamadun Sumeria terus bertahan selama 9 tahun sebelum ditakluk oleh bangsa Elam.

Pada mulanya, bangsa Amori hanyalah satu gangguan kecil buat Empayar Ur. Namun, mereka terus-menerus memberikan asakan sehingga kedudukan raja terakhir Ur, iaitu Ibbi-Sin, melemah sampai tahap rakyatnya berupaya untuk menggulingkan pemerintahannya. Menjelang hari-hari terakhir Empayar Neo-Sumeria, bangsa Amori menjadi satu ancaman hebat buat mereka sampaikan si raja yang berkuasa terpaksa membina tembok sepanjang 170 batu (270km) dari Sungai Tigris hingga Sungai Furat semata-mata untuk mengekang gempuran mereka.

Bangsa Amori memusatkan kegiatannya di bandar Babylon, yang pada asalnya dipanggil sebagai Akkad. Kemudian, bandar tersebut berfungsi sebagai ibu kota dan pusat empayar mereka. Atas sebab itulah, bangsa Amori kadangkala dipanggil sebagai ‘Masyarakat Babylonia-Lama’ dan zaman kepenguasaan mereka di rantau itu, iaitu dari 1900-1600SM disebut sebagai ‘Zaman Babylonia-Lama’.


RAJA HAMMURABI DAN KETUMBANGAN BERTAHAP BANGSA AMORI

Bangsa Amori menubuhkan autoriti mereka sebagai dinasti Arab/Semitik yang diperakui dengan menghancurkan bangsa Elam dan mengasaskan Empayar Babylon. Bangsa ini diperintah oleh Raja Hammurabi dari tahun 1792 hingga 1750SM. Sumbangannya yang paling masyhur adalah penggubalan undang-undang yang dikenali sebagai Kod Hammurabi – kod undang-undang terawal dalam sejarah. Berikutan kemangkatannya pada tahun 1750SM, Empayar Babylonia melemah dan terpecah menjadi beberapa negara kota kecil yang masing-masing diperintah oleh raja-raja yang tidak cekap.

Di bahagian utara Mesopotamia, bangsa Amori dan Babylonia diusir dari Assyria sekitar tahun 1740SM oleh Puzur-Sin, pemerintah yang bertutur bahasa Akkadia. Sekitar masa-masa yang sama, kaum Akkadia menggulingkan pemerintah Amori-Babylonia di bahagian selatan Mesopotamia. Apapun, Babylon masih terselamat untuk 100 tahun berikutnya.

Stele ‘Kod Hammurabi’, Muzium Louvre, Paris


Pada tahun 1659SM, bangsa Hittite yang memiliki kemajuan teknologi menakluk Babylon. Seiring ketumbangannya ini, dialek Amori pun hilang dan digantikan oleh dialek Assyro-Akkadia sekaligus menjejaskan lagi jurang yang wujud di antara Babylonia-Lama dan Babylonia-Baru serta secara jelas mengisyaratkan bahawa bangsa Kan’an Timur lenyap dari bumi Mesopotamia.

Memasuki penghujung milenia kedua Sebelum Masehi, bangsa Amori berhijrah atau diusir ke barat menuju Kan’an. Di sana, kaum Israel menyikapi mereka sebagai musuh dan meninggalkan beberapa catatan tentang kekalahan yang dialami oleh bangsa Amori di tangan pahlawan-pahlawan Israel seperti Yusha'. Bangsa Amori hilang dari catatan sejarah sebagai kaum yang signifikan sekitar kurun ke-6SM.


SUMBER