KOTA MAYA PURBA DITEMUI DI HUTAN TERPENCIL DI MEXICO

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (21 Jun 2013). Ancient Mayan City Uncovered in Remote Jungle in Mexico. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/ancient-mayan-city-uncovered-remote-jungle-mexico-00572

Penterjemah: AmirZayyanid


Ahli arkeologi telah menemukan sebuah kota Maya yang lengkap di sebuah hutan terpencil di Campeche, tenggara Mexico (pada Jun 2013). Kewujudan kota tersebut dikesan buat kali pertama menerusi imej-imej pandang udara di kawasan berhutan yang sebelum ini hanya diteroka oleh pengusaha-pengusaha kayu balak dan penoreh-penoreh getah.

Campeche adalah sebuah kawasan di semenanjung barat Yucatan yang menempatkan banyak runtuhan binaan Maya yang mengagumkan, yang kebanyakannya berada berhampiran antara satu sama lain. Runtuhan-runtuhan tersebut dibina dengan seni bina Rio Bec yang unik, dicirikan oleh penggunaan bongkah-bongkah batu yang dipotong sempurna, di samping penggunaan stucco (sejenis plaster penampal dinding) dan penjuru-penjurunya yang berbentuk bulat.

Penemuan runtuhan yang dilakukan baru-baru ini melibatkan sebuah kota yang lengkap, seluas 54 ekar dan mengandungi sejumlah piramid, istana, gelanggang bola, plaza, rumah, altar dan kepingan-kepingan batu berlukis yang dikenali sebagai stele. Secara kasar, kota ini dianggarkan dibangunkan pada tahun 600-900M, zaman yang disebut sebagai Zaman Pertengahan Klasik Maya. Zaman tersebut menandakan masa-masa kemuncak tamadun Maya, di mana negara-negara kotanya mendominasi rantau berkenaan. Kesenian, kebudayaan dan keagamaannya juga mencapai tahap kemuncak pada waktu itu. Akan tetapi, segala kegemilangan tersebut tidak bertahan lama apabila tamadun itu tumbang secara misteri – suatu peristiwa yang masih membingungkan sejarahwan sehingga ke hari ini.

Ivan Sparjc, ahli arkeologi yang mengetuai pasukan pakar antarabangsa yang membuat penyelidikan di tapak berkenaan berkata, “Tapak ini merupakan salah sebuah tapak terbesar di Central Lowlands, yang keluasan serta saiz bangunannya boleh dibandingkan dengan peninggalan di Becan, Nadzcaan dan El Palmar di Campeche.”

Para penyelidik berharap agar tapak yang baru ditemui ini, yang dinamakan sebagai Cactun, berupaya memberikan kefahaman yang baharu berkenaan hubungan atau kaitannya dengan kota-kota Maya yang lain. Dalam setiap penemuan baru yang dilakukan, kita mengorak selangkah lebih hampir kepada kebenaran di sebalik keruntuhan secara misteri kaum Maya yang berlaku lebih satu milenium yang lalu.