- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (12 Oktober 2019). Paquiquineo: Brave Traitor or Freedom Fighter?
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/paquiquineo-0012707
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/paquiquineo-0012707
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada tahun 1561,
terdapat seorang Orang Asli Amerika dari Virginia yang bernama Paquiquineo
dijemput, atau dalam beberapa sumber disebutkan sebagai diculik, ke Sepanyol.
Di sana, beliau bertemu dengan raja dan kemudiannya dihantar pulang ke Amerika
untuk membantu penjajah Sepanyol menyebarkan agama Kristian dalam masyarakat
asli di sana. Ketika berada bersama tentera-tentera Sepanyol ini, beliau
menggunakan nama Don Luis de Velasco.
Walau bagaimanapun,
beliau pada akhirnya kembali ke pangkuan masyarakatnya dan berpaling tadah dari
Sepanyol. Malahan, beliau berkemungkinan menjadi seorang ketua masyarakat yang
agak berpengaruh pada awal kurun ke-17. Catatan sejarahnya terhenti selepas
beliau pulang ke pangkuan masyarakatnya pada tahun 1571. Pun begitu, namanya
terus dikenang sebagai seorang legenda.
SEPANYOL
MELEBARKAN KUASA MENERUSI PENYEBARAN AGAMA
Perluasan kuasa
Sepanyol di bahagian timur Amerika Utara bermula pada tahun 1513 apabila Juan
Ponce de Leon tiba di Florida atas tujuan yang kononnya adalah untuk mencari
kolam mauhulhayat dan kemudian memberikan nama kepada kawasan tersebut – nama
yang digunapakai sehingga ke hari ini.
Pada tahun-tahun
berikutnya, penjajah Sepanyol mendirikan sejumlah pos perdagangan di sepanjang
pantai tenggara Amerika Utara, meliputi Polanco di Florida (kini Pensacola) dan
Santa Elena (kini Pulau Parris, Carolina Selatan). Pihak Sepanyol mempercayai
bahawa kononnya terdapat banyak sumber asli berhampiran Teluk Chesapeake di
samping meyakini bahawa ia adalah laluan pintas untuk sampai ke Lautan Pasifik.
![]() |
| Penjajah Sepanyol yang bernama Juan Ponce de Leon |
Pihak Sepanyol juga
memasang hasrat untuk menyebarkan agama Kristian dalam kalangan penduduk asli
di sana, yang faktornya boleh disandarkan pada sebab-sebab sama berlakunya
penaklukan semula Semenanjung Iberia oleh mereka. Penaklukan semula ini secara
jelas memiliki motif keagamaan, di mana tentera-tentera Kristian-Sepanyol
menganggap diri mereka sebagai pembebas dan penyelamat – membebaskan
tanah-tanah yang pernah dinaungi Kristian dari tangan pihak Muslim yang
kononnya menindas mereka.
Ketika penjajah
Sepanyol tiba di Amerika, mereka membawa mentaliti konon-pembebas yang sama.
Lantaran itu, mereka berpendirian kepercayaan masyarakat asli di sana harus
dihapuskan dan diganti dengan agama Kristian. Selain itu, mereka turut
berhasrat untuk menggunakan agama Kristian bagi memperkukuhkan kekuasaan mereka
ke atas masyarakat Asli Amerika dengan tujuan untuk mengeksploitasi
sumber-sumber alamnya, seperti sumber emas.
Pada masa-masa itu,
kuasa-kuasa Eropah yang lain seperti Perancis dan Inggeris yang kemudiannya
menguasai bahagian timur laut Amerika Utara belum lagi menembusi kawasan
pedalaman. Wilayah berhutan di bahagian timur masih lagi dihuni sepenuhnya oleh
masyarakat asli Amerika.
Kebanyakan masyarakat
asli Amerika di kawasan tersebut hidup secara tetap di kampung dan mengamalkan
aktiviti pertanian dan perburuan. Sebahagian daripada mereka pula masih lagi
membina gundukan-gundukan tanah dan mendirikan kuil dan rumah di atasnya.
Masyarakat asli Amerika
di hutan timur pada masa itu terbahagi kepada beberapa buah puak yang saling
bersengketa kerana berebutkan wilayah dan sumber. Pahlawan-pahlawan mereka
sering bertempur dan mengambil kepala sebagai trofi kemenangan. Kebanyakan
masyarakat asli Amerika yang hidup di hutan timur mengamalkan konsep matrilineal
(mengutamakan jalur keturunan daripada sebelah wanita, atau ibu).
Mereka juga mengamalkan
perkahwinan ramai di mana amalan seperti ini tidak difahami oleh
mubaligh-mubaligh Kristian dari Sepanyol sekaligus mereka tersalah anggapnya
sebagai suatu perzinaan. Hal sebegini cuma salah satu dari sekalian
kesalahafahaman yang berlaku, yang mengakibatkan interaksi antara budaya asli
Amerika dan Sepanyol menjadi semakin renggang.
Walaupun kumpulan
mubaligh Jesuits dan Friars dari Sepanyol ini berkemungkinan memiliki niat
tulen dalam menyebarkan agama Kristian dalam kalangan masyarakat asli Amerika,
salah satu objektif yang mereka letakkan tidak dapat dinafikan adalah untuk
mencari sumber perolehan emas dan komoditi lain yang baru.
Hakikat ini pantas
disedari oleh masyarakat asli di sana dan menurut mereka, satu-satunya cara
untuk mengusir penjajah Sepanyol adalah dengan memperdaya mereka bahawa
kononnya terdapat sebuah wilayah di tempat yang jauh yang memiliki sumber emas
yang melimpah-ruah. Wilayah mitos sebegini kebiasaannya merujuk wilayah yang
dihuni oleh komuniti asli tempatan yang bermusuhan dengan mereka.
Walaupun mereka perlu
berhadapan dengan halangan-halangan sebegini, para mubaligh dan penjajah
Sepanyol sama sekali tidak berputus-asa. Mereka mempercayai bahawa wujud sumber
alam yang kaya di kapung halaman Paquiquineo yang terletak di suatu kawasan di
Virginia moden. Kawasan tersebut dikenali dalam catatan sejarah sebagai Ajacan
dan penjajah ini berhasrat untuk menjadikannya sebagai koloni Sepanyol.
Di kala beberapa
pemikir Sepanyol, seperti ahli teologi yang bernama Juan Gines de Sepulveda
mempercayai bahawa masyarakat asli Amerika bersifat gemar berperang dan perlu
ditundukkan dengan cara kekerasan, idea atau persepakatan bahawa mereka ini
perlu ditukar agama kepada Kristian secara aman sebagaimana yang dipromosikan
oleh Bartolome de las Casas diterima dan dilaksanakan secara meluas.
![]() |
| Pihak Sepanyol mempercayai kaum asli Amerika seperti Paquiquineo dan masyarakatnya perlu diperkenalkan dengan agama Kristian |
Salah satu strategi
masyhur yang digunakan oleh Empayar Sepanyol pada zaman awal adalah apabila
mereka tiba di kawasan yang mereka ingin kuasai, tindakan pertama yang
dilakukan adalah menghantar sepasukan mubaligh dengan tujuan untuk menubuhkan markas
gerakan dan menyebarkan agama Kristian. Apabila pergerakan ini berhasil meraih
kedudukan yang kukuh, penaklukan secara politik ke atas kawasan berkenaan
semakin mudah untuk dilaksanakan.
Sebelum penjajah
Sepanyol dapat meluaskan kuasa sehingga ke Ajacan, mereka terlebih dahulu perlu
mengubah agama masyarakat asli tempatan dan dalam konteks inilah Paquiquineo
ditakdirkan melangkah masuk ke dalam lembaran sejarah.
PERTEMUAN
PERTAMA PAQUIQUINEO DENGAN PIHAK SEPANYOL
Menurut satu laporan
sejarah, Paquiquineo dan seorang sahabatnya menemui sebuah kapal Sepanyol yang
tersasar daripada haluan perlayaran. Kapal tersebut diketuai oleh Antonio de
Velasquez. Kapalnya itu bertugas sebagai kapal bekalan yang melalui laluan laut
antara Polanco dan Santa Elena.
Pada bulan Jun 1561,
sebuah ribut musim panas memukul kapal mereka sehingga tersasar dari haluan dan
mengakibatkan mereka terdampar berhampiran Teluk Chesapeake. Ketika berada di
sana, penjajah-penjajah Sepanyol itu bertemu dengan saudara-saudara sekomuniti
Paquiquineo dan mengurniakan hadiah kepada mereka. Si kapten dirincikan
memandang tinggi Paquiquineo sebagai seorang individu yang penting dalam
kalangan masyarakat asli berkenaan.
Terdapat kemungkinan
bahawa Paquiquineo sememangnya adalah anak seorang pembesar kaum. Lantaran
kemungkinan tersebut, maka si kapten menjemput Paquiquineo untuk berlayar ke
Sepanyol dan menghadap raja. Keluarga Paquiquineo memperkenankan jemputan
tersebut. Walau bagaimanapun dalam catatan lain, disebutkan bahawa Paquiquineo diculik.
HIDUP
PAQUIQUINEO BERSAMA PENJAJAH SEPANYOL
Sama ada beliau pergi
dengan sukarela ataupun diculik, apa yang pasti Paquiquineo dan sahabatnya itu
tiba di Sepanyol pada bulan September 1561. Pada bulan berikutnya, mereka
dibawa ke penghadapan Raja Philip II.
Raja dan beberapa orang
paderi Sepanyol bercadang untuk mempergunakan Paquiquineo dan sahabatnya itu
untuk melicinkan lagi penyebaran agama Kristian dalam kalangan masyarakat
aslinya. Lantaran itu, para paderi Sepanyol pun memperkenalkan Paquiquineo
dengan agama Kristian.
Pada bulan Mei 1562,
setelah meluangkan seluruh musim sejuk di Sepanyol, Paquiquineo dan sahabatnya
dibawa ke Amerika di mana mereka bercadang untuk berhenti di New Spain sebelum
melanjutkan perjalanan menuju Ajacan. Mereka tiba di New Spain pada bulan Ogos
1562 dan sempat melawat Mexico City. Ketika berada di sana, Paquiquineo dan
sahabatnya diserang penyakit dengan agak teruk.
![]() |
| Peta Amerika Utara dari Sepanyol yang menunjukkan lokasi Ajacan, di mana Paquiquineo dan masyarakatnya tinggal |
Setelah bergelut dengan
penyakit berkenaan, mereka berdua mengambil keputusan untuk memeluk agama
Kristian. Sebaik sahaja menjadi seorang Kristian, Paquiquineo mengambil nama
Don Luis de Velasco. Sahabatnya pula langsung sahaja hilang dari catatan
sejarah selepas peristiwa ini.
Don Luis meluahkan
keinginannya untuk pulang ke pangkuan keluarga. Namun mubaligh friars
menegaskan bahawa pihak berkuasa memerintahkan agar beliau terus kekal berada
di New Spain. Sebuah peluang untuk kembali ke Ajacan tiba pada tahun 1563
apabila sebuah ekspedisi yang terdiri daripada 50 orang tentera dan dua orang
mubaligh diusulkan untuk berangkat ke petempatan masyarakat asli itu. Namun,
usulan ini ditolak oleh raja Sepanyol.
Peluang seterusnya
hadir pada bulan Ogos 1566 apabila sebuah ekspedisi menuju Ajacan disiapkan
dengan dianggotai oleh dua orang mubaligh friars dari Dominica, 15 orang
tentera dan Don Luis sendiri. Mereka berangkat tidak lama selepas memasuki
bulan Ogos.
Walau bagaimanapun,
semasa dalam perjalanan, mereka dipukul ribut dan terpaksa pulang ke timur
menuju Sepanyol. Menjejakkan kaki ke Eropah buat kali kedua, Don Luis
meluangkan masa selama empat tahun untuk menambah ilmu pengetahuan di Seville.
Memasuki tahun 1570,
beliau dihantar bersama sekumpulan mubaligh Jesuits untuk kembali ke kampung
halamannya. Mereka tiba di Ajacan pada bulan September 1571, setelah sedekad
lamanya beliau meninggalkan bumi itu.
PULANGNYA
PAQUIQUINEO
Sebaik sahaja mereka
tiba, Don Luis dan para mubaligh Jesuits menerima sambutan hangat dan diajak
untuk menetap di sana. Sahabat-sahabat dan kenalan-kenalan Don Luis
masing-masing bergembira kerana berjumpa dengannya, memandangkan selama ini
mereka menganggapnya telah meninggal dunia. Dalam pada itu, para mubaligh
Jesuits terus menjalankan misi mereka.
Dengan menggunakan
sumber kayu dari Cuba, mereka mendirikan sebuah gereja kecil dan sebuah rumah.
Walaupun pada mulanya Don Luis menetap bersama mereka, beliau kemudiannya
kembali ke kampung halaman dan semakin lama semakin kurang meluangkan masa
dengan para mubaligh Jesuits. Ketika berada di sana, beliau langsung sahaja
membuang identiti Sepanyolnya.
Selain kembali
menggunakan nama aslinya, Paquiquino juga mula melibatkan diri dalam amalan
sosial dan keagamaan masyarakatnya, termasuklah berkahwin. Para mubaligh
Jesuits benar-benar terkejut dengan perkembangan tersebut dan mencatatkan
bahawa beliau ‘telah hanyut dengan godaan syaitan’ dan ‘digoda oleh kaum
wanita’.
Walau bagaimanapun,
para mubaligh Jesuits ini masih bergantung harap pada Paquiquineo untuk
memperoleh bekalan. Namun menjelang musim sejuk. Beliau tidak lagi memenuhi
permintaan mereka sepenuhnya.
Pada bulan Februari
1571, Paquiquineo bersama sekumpulan pahlawan asli membunuh kesemua mubaligh
berkenaan. Tidak dapat diketahui dengan jelas mengapa mereka bertindak
sedemikian. Sebilangan ilmuwan antropologi mengutarakan pendapat bahawa ia
berkaitan dengan faktor bagaimana masyarakat asli itu menilai aktiviti
perdagangan yang mereka lakukan dengan penjajah Sepanyol.
![]() |
| Paquiquineo dan sekumpulan pahlawan membunuh para mubaligh Jesuits |
Masyarakat asli di situ
mungkin mengamalkan konsep pemberian hadiah di mana hadiah hanya diberikan
dengan harapan mereka akan menerima pembalasan hadiah di masa hadapan. Dalam
sistem pemberian hadiah sebegini, kedua-dua pihak tidak hanya sekadar
bertukar-tukar barangan. Akan tetapi, apabila satu pihak memberi hadiah, maka
pihak penerima diharapkan dapat membalas hadiah tersebut di kemudian hari.
Pendatang-pendatang
Sepanyol mungkin menyikapi urusan perdagangan tersebut sebagai transaksi biasa
dan sikap sebegini mengguris perasaan masyarakat asli di sana. Apabila
Paquiquineo dan masyarakatnya berhenti menyediakan bekalan untuk para mubaligh
Jesuits, orang-orang Sepanyol tersebut langsung sahaja berdagang dengan
kumpulan asli Amerika yang lain. Hal ini mungkin mendorong mereka untuk
melakukan pembunuhan.
![]() |
| Penjajah Sepanyol tidak memahami ‘undang-undang’ perdagangan masyarakat Paquiquineo |
Terdapat juga
penerangan lain yang dikemukakan oleh seorang ahli antropologi yang bernama
Helen C. Rountree. Menurutnya, pembunuhan tersebut berpunca daripada dialektika
maruah-hina. Beliau berpendapat bahawa Paquiquineo dan masyarakatnya adalah
kaum asli Algonquian yang mana kaum ini berorientasikan maruah. Dalam kes ini,
jika Paquiquineo memberikan bantuan kepada para mubaligh Jesuit, maka beliau
akan menerima penghinaan kerana membiarkan diri menjadi pembantu penjajah yang
datang dalam keadaan lemah lagi kebulur.
Beliau juga akan
menerima malu seandainya tidak mengambil berat dan membiarkan sahaja mereka
mati kebulur. Justeru, perbuatan membunuh mereka dalam konteks ini dapat
melindungi beliau dari dimalukan dan menerima penghinaan orang ramai – suatu
perkara yang amat ditakuti oleh budaya mereka.
APA
YANG BERLAKU KEPADA PAQUIQUINEO?
Figura yang dikenali
sebagai Paquiquineo hilang dari catatan sejarah menjelang tahun 1571,
sebagaimana yang disebutkan oleh dokumen-dokumen sejarah yang dipercayai. Pada
tahun 1572, satu ekspedisi dihantar oleh pihak Sepanyol untuk mencari para
mubaligh Jesuits yang hilang. Memandangkan mereka tidak menemukan seorang pun
daripada mereka, maka rakan-rakan sekomuniti Paquiquineo habis ditangkap dalam
sebuah pertempuran dan dijatuhi hukuman mati demi menuntut bela bagi pihak para
mubaligh. Namun demikian, batang tubuh Paquiquineo sama sekali tidak dijumpai.
Terdapat beberapa
cubaan untuk mengenal pasti Paquiquineo dalam tempoh waktu yang terkemudian,
yang berkemungkinan pada waktu itu beliau dipercayai menjadi seorang pembesar
kaum asli di Amerika. Misalnya, sebilangan ilmuwan berpendapat bahawa beliau
dan Opechancanough merupakan individu yang sama.
Opechancanough
merupakan kerabat pembesar kaum asli Powhatan. Beliau terkenal sebagai pembesar
yang berpengaruh pada awal kurun ke-17. Kemasyhurannya mencapai tahap kemuncak
semasa beliau melancarkan dua konflik besar-besaran dengan pihak Inggeris,
iaitu pada tahun 1622 dan 1644.
![]() |
| John Smith mengambil Raja Pamunkey, Opechancanough sebagai tawanan perang |
Menurut kepercayaan
kebanyakan orang asli Amerika kontemporari, Opechancanough bukanlah berasal
dari wilayah tersebut. Menurut mereka, beliau datang dari barat daya dan
mungkin berasal dari tanah yang dikuasai oleh Sepanyol. Kedudukannya sebagai
seorang pembesar kaum asli pula diwarisi daripada jalur sebelah ibu
(matrinilenial).
Lantaran Opechancanough
merupakan seorang pembesar dan dikatakan berasal dari tanah jajahan Sepanyol
membuatkan sebahagian sejarahwan berpendapat wujud perkaitan antara beliau dan
Paquiquineo yang berkemungkinan seorang anak pembesar. Tambahan pula, beliau
pernah meluangkan masa yang agak panjang di Sepanyol. Selain itu, nama
Paquiquineo yang berasal dari sumber Sepanyol dan Opechancanough yang datang
dari sumber Inggeris mempunyai kemiripan.
Opechancanough
dianggarkan berusia 100 tahun semasa meninggal dunia pada tahun 1646. Sekiranya
Paquiquineo masih lagi berusia muda ketika dibawa ke Sepanyol pada tahun 1561,
maka selamat untuk dianggarkan bahawa masa lahirnya adalah sekitar 1540an.
Tarikh ini konsisten dengan pendapat yang menyatakan bahawa beliau kemudiannya
menjadi Opechancanough. Tambahan pula, Opechancanough diperincikan memiliki
sikap yang kurang mempercayai pendatang Eropah terutamanya Inggeris. Hal ini
agak munasabah memandangkan beliau pernah diculik oleh orang Eropah semasa
muda.
Walau bagaimanapun,
terdapat beberapa permasalahan dengan hipotesis ini walaupun ia disokong dengan
segala hujah yang dikemukakan di atas. Walaupun Opechancanough dicatatkan
mengambil sikap permusuhan terhadap Inggeris, terdapat sumber-sumber lain yang
mendakwa bahawa beliau tidaklah bersikap sedemikian dalam kesemua keadaan.
Tambahan lagi, tempat
yang diandaikan sebagai tanah kelahiran Paquiquineo tidak berada dalam
kekuasaan kaum Opechancanough pada 1570an sekaligus tidak memungkinkan bahawa
mereka berdua itu merupakan individu yang sama.
PERUBAHAN
YANG PAQUIQUINEO LAKUKAN
Tidak banyak yang
diketahui tentang riwayat hidup Paquiquineo atau Don Luis de Velasco. Namun,
peranannya dalam sejarah dianggap sangat penting. Sepanyol secara umumnya
berkembang menerusi kegiatan para mubaligh yang mereka hantar. Namun, kegiatan
mereka di Virginia menemui kegagalan sekaligus menuntut mereka untuk menuju ke
tempat lain.
Seandainya Sepanyol
berhasil menubuhkan pengaruh para mubalighnya di Virginia, maka besar
kemungkinan wilayah tersebut menjadi milik Sepanyol dan bukannya Inggeris.
Dalam konteks ini, tindakan yang dilakukan oleh Paquiquineo berupaya mengubah
masa hadapan Empayar Sepanyol. Andai bukan kerana Paquiquineo, mungkin sejarah
dan budaya Virginia serta kebanyakan wilayah di bahagian tenggara Amerika akan
berbeza berbanding apa yang kita ketahui pada hari ini.
SUMBER
- Loker, A. 2010. La Florida: Spanish Exploration & Settlement of North America. 1500 to 1600. Solitude Press.
- Dussel, E. 2019. Bartolome de Las Casas. Encyclopedia Britannica.
- Encyclopedia of Western Colonialism. 2019. Christianity and Colonial Expansion in the Americas.
- Gale Encyclopedia of U.S. Economic History. 2019. Eastern Woodlands Indians.
- Kelly, M. 2019. A Timeline of North American Exploration. 1492-1585. ThoughtCo.
- New World Encyclopedia. 2015. Spanish Empire.
- Rountree. H. 2014. Marriage in Early Virginia Indian Society. Encyclopedia Virginia.
- Rountree. H. 2014. Opechancanough (d. 1646). Encyclopedia Virginia.
- Wolfe, B. 2019. Don Luis de Velasco / Paquiquineo (fl. 1561-1571). Encyclopedia Virginia.
- Get link
- X
- Other Apps






