- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (14 April 2019). The Hell of Tartarus, Ancient Greek Prison of the
Damned. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/hell-tartarus-ancient-greek-prison-damned-005527
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/hell-tartarus-ancient-greek-prison-damned-005527
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tartarus merupakan neraka
dalam mitologi Yunani yang berfungsi sebagai tempat penghukuman buat
orang-orang yang jahat dan kurungan buat Titans. Tartarus juga adalah nama bagi
satu dewata yang merupakan kemenjadian purbakal yang wujud jauh sebelum
wujudnya dewata Olympia, atau bahkan pendahulu mereka, Titans.
Konsep pemahaman
terhadap Tartarus sebagai sebuah tempat lebih masyhur berbanding konsepnya
sebagai nama bagi satu dewata. Pada mulanya, bayangan masyarakat Yunani purba
terhadap Tartarus hanyalah sebagai sebuah lubang besar di bawah tanah.
Kemudian, imaginasi ini mengalami perubahan di mana ia mula dianggap sebagai
sebuah neraka yang menempatkan orang-orang yang melakukan jenayah besar semasa
hidup.
TARTARUS
DALAM KARYA HESIOD YANG BERJUDUL THEOGONY
Dalam Theogony yang dikarang oleh Hesiod,
Tartarus merupakan salah satu kemenjadian pertama yang muncul semasa fasa
penciptaan alam. Ia merupakan kemenjadian yang berbalikan bagi Gaia (Bumi).
“Pertama-tama, hadir
Gegaung; dan kemudian Bumi terhampar meluas; menyediakan tempat yang abadi buat
seluruh dewata yang menghuni puncak Olympus; Tartara (jamak bagi ‘Tartarus’)
yang berkabus hadir di sebuah persemayaman terpencil di ceruk bumi.”
![]() |
| Manuskrip Theogony kurun ke-16 |
Sama seperti
figura-figura purbakala yang lain, Tartarus dianggap sebagai kemenjadian yang
semata-mata bersifat elemental dan bukanlah bersifat dewata seperti para Titan
mahupun Dewata Olympia. Malah, ia juga lebih cenderung terhadap konsepnya
sebagai sebuah tempat, seperti misalnya, Gaia bukanlah dewata bumi akan tetapi
ia adalah Bumi itu sendiri. Begitu juga halnya dengan Tartarus. Ia bukanlah
Dewata Neraka, akan tetapi Neraka itu sendiri.
Perbezaan ketara antara
dua figura ini adalah Gaia hadir dengan lebih kerap di dalam mitologi Yunani
terutama dalam mitos yang menjelaskan tentang kenaikan kuasa Kronos dan
usahanya dalam menggulingkan Ouranos, bapanya. Dalam proses penceritaan
tersebut, Gaia yang walaupun pada asalnya adalah kemenjadian elemental semata,
diubah menjadi sesuatu yang boleh difahami dengan lebih jelas (menjadi
personafikasi bumi).
Gaia diilhami dengan
helah untuk mengembiri Ouranos, menghimpunkan anak-anaknya (Titans), dan
menyerahkan tugas kepada Kronos. Sebaliknya bagi Tartarus, ia tidak meraih
signfikasi sebegini dalam mitos Yunani.
![]() |
| Aion dan Gaia bersama empat orang anak mereka, yang mungkin adalah personafikasi musim. Mozek dari sebuah villa om di Sentinum |
Sebagai sebuah tempat,
Tartarus diimaginasikan sebagai sebuah kubah yang terbalik. Masyarakat Yunani
purba membayangkan bahawa alam semesta ini berbentuk telur ataupun sfera. Sfera
kosmik ini terbahagi kepada dua, dengan bahagian tengahnya dipisahkan oleh
cakera rata iaitu bumi. Separuh atas sfera ini membentuk kubah langit sementara
separuh bawah pula membentuk gegaung Tartarus. Dalam Theogony karangan Hesiod, jarak di antara Langit, Bumi dan Tartarus
dinyatakan seperti berikut:
“Sebagaimana jauhnya
jarak antara langit dan bumi, sebegitulah pula jarak antara bumi dan Tartaros.
Jika sebuah andas gangsa dijatuhkan dari langit, ia akan mengambil masa selama
sembilan hari dan sembilan malam sebelum tiba di permukaan bumi pada hari yang
kesepuluh; dan sembilan hari dan sembilan malam jugalah andas gangsa itu
terbang jatuh dari bumi sebelum tiba di Tartarus pada hari yang kesepuluh.”
Pada mulanya, Tartarus
disifatkan sebagai tempat di mana dewata Olympia mengurung mereka yang
mengancam kekuasaannya. Antara banduan yang paling utama dalam kalangan mereka
adalah Titans. Rentetan daripada peperangan yang berlaku antara para Titan dan
Dewata Olympia, pihak yang pertama itu ditundukkan lalu dihumban ke dalam
Tartarus. Hesiod memerincikan peristiwa tersebut seperti berikut:
“Dan mereka (dewata
Olympia) menghumban mereka (para Titan) dalam keadaan terbelenggu, menewaskan
mereka dengan segala kekuatan (yang dimiliki) demi (memelihara) maruah mereka…
Di sana, para Titan
dikurung di sebuah tempat yang suram lagi berkabus, atas perintah Zeus si
pengumpul awan, yang tempatnya itu terletak di hujung ceruk dunia. Mereka tidak
memiliki sebarang jalan keluar; Poseidon menutup rapat pintunya dan sebuah
tembok yang bersambungan dengan pintu tersebut dari dua sisi. Di sana terdapat
Kottos, Gyges, dan Obriareos, pengawal-pengawal kepercayaan Zeus yang memikul
naungan.”
PERUBAHAN
DALAM IMAGINASI TERHADAP TARTARUS
Pada masa-masa yang
lebih terkemudian, barulah masyarakat Yunani purba membayangkan Tartarus tidak
semata-mata sebagai tempat kurungan buat musuh-musuh Dewata Olympia, akan
tetapi juga sebagai tempat hukuman bagi manusia yang melakukan jenayah besar
semasa hidupnya. Sebagai sebuah alam di mana roh manusia yang jahat dihukum,
pandanan terhadap Tartarus seperti ini melahirkan konsep yang berbalikan dengan
Elysium – tempat di mana roh orang-orang yang baik dihimpunkan.
Antara figura masyhur
yang dikatakan menjalani hukuman di Tartarus adalah Tantalus, Sisyphus, Ixion
dan Danaides. Terdapat pelbagai jenayah yang jika dilakukan, ia boleh
mengakibatkan roh seseorang manusia dihumban ke dalam Tartarus. Hukuman-hukuman
yang dikenakan ke atas mereka pula setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Di
dalam Aeneid karangan Virgil, beliau
memerincikan pengembaraan Aeneas ke Alam Kematian di mana suasana di dalam alam
tersebut turut digambarkan. Pada suatu ketika, Aeneas dimaklumkan oleh Sibyl
tentang jenayah-jenayah yang dilakukan oleh roh manusia yang dihumban ke dalam
Tartarus, serta bentuk hukuman yang dikenakan ke atas mereka.
“Roh yang dikurung di
dalam tempat ini dan dijatuhi hukuman adalah mereka yang semasa hidupnya
membenci saudara mereka, memukul bapa mereka, menipu tanggungan mereka,
menemukan harta lalu membelanjakannya untuk diri peribadi tanpa menghulurkan
sebahagiannya untuk kerabat dan – yang paling ramai pelakunya – mereka yang
mati dalam perzinaan, mereka yang mengangkat senjata melawan kaumnya sendiri dan
mereka yang tidak berasa bersalah ketika memecahkan amanah yang diberikan oleh
tuan mereka.
Sebahagian daripada
mereka dihukum dengan digulingkan batu besar ke atas mereka (atau mereka
dipaksa menggulingkan batu-batu yang besar), atau diikat pada roda bergerigi
lalu digulingkan. Jika saya mempunyai seratus lidah, seratus mulut dan suara
besi (suara yang tidak akan kehabisan) sekalipun, saya tidak akan mampu
memerincikan seluruh jenayah yang mereka lakukan, atau menamakan
hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas mereka.”
![]() |
| Persephone memerhatikan Sisyphus di Alam Neraka |
SUMBER
- Hesiod, Theogony.
- [West, M. L. (trans.) 1998. Hesiod’s Theogony and Works and Days. Oxford: Oxford University Press.]
- Virgil, Aeneid.
- [West, D. (trans.) 2003. Virgil’s Aeneid. London: Penguin Books.]
- Atsma, A. J. 2015. Hell of Tartaros.
- Atsma, A. J. 2015. Pit of Tartaros.
- Atsma, A. J. 2015. Tartaros.
- Joe, J. 2008. House of Hades.
- Crytalinks. 2016. Tartarus – The Abyss.
- Greek Mythology. 2016. Tartarus.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Tartarus – Neraka Bagi Masyarakat Yunani Purba’
- Get link
- X
- Other Apps



