TEATER ROM DI BUSRA YANG MENJADI CITADEL MUSLIM

Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (8 September 2019). How the Roman Theater of Bosra Became a Muslim Citadel. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/bosra-theater-0012554

Penterjemah: Amir Zayyanid


Tamadun Rom, bersama penggantinya iaitu Byzantine, menguasai Levant selama hampir 800 tahun dan meninggalkan banyak tinggalan bersejarah yang terpelihara baik sehingga ke hari ini. Salah sebuah tapak tinggalan Rom yang paling mengagumkan di seluruh Timur Tengah adalah teater Rom di Busra. Teater ini pernah menjadi ibu kota Rom di wilayah Arab, dan merupakan tempat persinggahan penting di laluan perdagangan ke Mekah. Ia menawarkan peluang unik buat para pengunjungnya untuk merasai pengalaman melihat sendiri seni bina Rom yang agung.


SEJARAH TEATER BUSRA

Busra pernah menjadi salah sebuah kota utama bagi Kerajaan Nabatea yang agung, kerajaan yang ibu kotanya, iaitu Petra dikenali secara meluas di seluruh dunia. Pada awal kurun ke-2 Masehi, Kerajaan Nabatea ditakluk oleh seorang maharaja Rom yang bernama Trajan. Busra diperkirakan telah dibangunkan pada tahun-tahun awal pemerintahan Rom ke atas rantau tersebut, semasa Trajan masih lagi memegang takhta. Di bawah pemerintahannya, bandar Busra mengecapi kemewahan dan kelak menjadi ibu kota di wilayah Syam.

Runtuhan-runtuhan dari Kota Purba Busra


Teater ini digunakan untuk melangsungkan persembahan artistik, termasuklah pementasan drama-drama Yunani dan Rom serta penghasilan muzik. Teater ini meromantiskan rantau tersebut setelah ia dirampas dari kekuasaan Nabatea.

Semasa era Byzantine, binaan ini tidak digunakan lagi apabila Gereja Kristian tidak meluluskan sebarang pementasan drama atau persembahan awam. Bandar ini kemudiannya ditawan oleh Parsi-Sassanid pada kurun ke-7, namun berjaya dikuasai semula oleh Rom Timur. Semasa era penaklukan Muslim-Arab, bandar ini jatuh ke penguasaan tentera-tentera Islam.

Citadel Arab zaman pertengahan dibina di sekitar teater Rom di Busra


Dinasti-dinasti Islam, bermula dari Dinasti Abbasiyah, mengubah teater ini menjadi kubu pertahanan. Dinasti Ayyubiah pula menambahkan tembok-tembok tinggi dan sejumlah menara pada teater ini. Teater tersebut menjadi sebahagian daripada kubu kuat yang mendominasi laluan penting ke Damsyik. Semasa berlakunya Perang Saudara Syria, bandar Busra mengalami kerosakan teruk. Namun, teater ini sama sekali terhindar dari ancaman bahaya tersebut.


TEATER BUSRA – SALAH SEBUAH TEATER TERBESAR DI MEDITERRANEAN

Teater ini terletak di bahagian tenggara Syria, di luar bandar Busra moden. Ia terbentang seluas 310 kaki (100m) dan boleh menampung sehingga 15 000 orang pada satu-satu masa. Ia merupakan salah sebuah teater terbesar di Mediterranean yang wujud pada masa kini.

Teater ini merupakan sebuah contoh seni bina Rom yang mengagumkan. Namun, ia agak menonjol berbanding yang lain memandangkan teater ini dibina menggunakan batu basalt tempatan dan struktur binaannya diwarnakan dengan gelap – suatu ciri yang jarang bagi binaan di bahagian Syria. Binaan ini juga menggunakan sejumlah besar konkrit dan pertukangan batu.

Berbeza dengan amfteater yang berbentuk oktagon dan digunakan secara khusus untuk acara-acara sukan, teater adalah binaan berbentuk semi-bulat dan sama seperti teater-teater Rom yang lain, Teater Busra ini diinspirasikan binaannya oleh ciri Hellenistik. 
Dinding tinggi yang terdapat di belakang pentas yang berketinggian tiga tingkat itu disokong oleh sejumlah tiang dan ia pada suatu masa dahulu dihias dengan kepingan-kepingan marmar berukir dan sejumlah patung. Sementara itu, tembok yang terdapat di hujung pentas dan podium pula disebut sebagai proscaenium. Di sana, para pelakon dan pendeklamasi puisi akan mempersembahkan seni mereka. Bahagian ini masih boleh dilihat sehingga ke hari ini.

Teater ini dibahagikan kepada tiga bahagian, yang ianya adalah ciri yang diletakkan sendiri oleh bangsa Rom pada semua teaternya, termasuklah teater-teater di Mediterranean yang masih terselamat sehingga kini. Tiga bahagian tersebut adalah auditorium, kawasan pentas dan kawasan tempat duduk bertingkat. Gerbang-gerbang ke teater pula telah diubah pada zaman pertengahan.

Teater-teater Rom lazimnya dibina di atas tanah rata, tidak seperti binaan-binaan Yunani yang dibina di sisi bukit. Teater tidak mempunyai bumbung, tetapi ia dilengkapi dengan sengkuap (awning) yang bertujuan untuk melindungi para hadirin dari terik matahari atau basah hujan.

Pada hari ini, teater tersebut sudah pun bergabung dengan kubu abad ke-12 yang dibina oleh Dinasti Ayyubiah. Tembok-temboknya juga dihubungkan dengan kubu tersebut, dan ia merupakan sebuah contoh seni bina ketenteraan Muslim yang mengagumkan, memandangkan ia digunakan sebagai citadel bagi kubu berkenaan.

Tinggalan-tinggalan Rom di bahagian utara citadel, Busra, Syria


MENGUNJUNGI TEATER BUSRA

Bandar Busra sudah pun tersenarai sebagai salah sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO dan terdapat banyak tapak bersejarah yang boleh dikunjungi di sana. Teater Busra hanya boleh diakses menerusi kubu zaman pertengahannya, dan bayaran kemasukan turut dikenakan. Teater ini ditutup pada tahun 2011 semasa kawasan tersebut dikuasai oleh pemberontak Syria. Namun, ia dibuka semula pada tahun 2018. Diharapkan supaya anda beringat bahawa mengunjungi Syria mungkin sedikit sukar bagi sebahagian pengunjung memandangkan adanya sekatan antarabangsa yang dikenakan bagi negara berkenaan.


SUMBER
  • Burns, R. (2009). Monuments of Syria: A Guide. IB Tauris.
  • Greenhalgh, M. (2017). 7 Bosra and the South. In Syria’s Monuments: their Survival and Destruction (pp. 287-318). BRILL.
  • Waltham, T. (1997). Field meeting in Jordan and Syria. 14-25 April 1996. Proceedings of the Geologists’ Association. 108(1), 71-77.