- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (6 November 2019). Great 2200-year-old Barrier Wall Found in Iran.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/barrier-wall-0012823
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/barrier-wall-0012823
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Satu kerja peninjauan
yang dilakukan di Iran Barat menemukan sebuah tembok panjang lagi kukuh yang
berkelok-kelok di sepanjang kawasan terpencil, berusia sehingga 2200 tahun.
Siapa yang membina tembok ini dan atas tujuan apakah ia dibina masih lagi
menjadi persoalan yang belum dapat dijawab.
Tembok ini ditemui
semasa satu kerja peninjauan di Daerah Sar Pol-e Zahab, Wilayah Kermanshah giat
dijalankan. Kawasan ini terletak di laluan Khorasan Besar, atau turut disebut
sebagai ‘Gerbang Zagros’ dan ‘Gerbang Asia’ menurut kertas kajian yang
disiarkan oleh Antiquity. Kawasan ini
masyhur dengan relif-relif batu, tinggalan-tinggalan arkeologi dan
inskripsi-inskripsi purba yang usianya menjangkau zaman pra-Islam. Para
penyelidik turut menemukan sejumlah runtuhan dari Zaman Batu hinggalah zaman
Kekhalifahan Abbasiyah semasa kerja-kerja peninjauan tersebut dilakukan.
TEMBOK
MISTERI
Tinjauan menemukan
runtuhan tembok yang terbentang sejauh 71 batu (115 km). Tembok ini merentang
dari Pergunungan Bamu hingga ke sebuah perkampungan kecil yang terletak
berhampiran Guwaver di Gilan-e-Gharb. Kebanyakan bahagian tembok ini dibina di
atas bukit dan permukaan berbatu. Tembok misteri ini memiliki ukuran panjang
yang hampir sama dengan Tembok Hadrian yang dibina oleh Rom di England, lapor
Live Science.
Tembok batu ini tidak
berada dalam keadaan yang terpelihara justeru sukar untuk para penyelidik
menganggar ketinggian dan lebarnya. Live Science melaporkan bahawa Sajjad
Alibaigi, seorang pemegang Doktor Falsafah di Universiti Tehran merangkap
penulis kertas kajian ini menyatakan bahawa pasukan yang menemukan tembok ini
menganggarkan bahawa ia memiliki lebar 13 kaki (4m) dan 10 kaki (3m) tinggi.
Kedudukan tembok yang terbentang panjang ini dapat dikenal pasti menerusi
topografi di kawasan berkenaan.
![]() |
Tembok Gawri di pergunungan barat Sar Pol-e Zahab |
TEMBOK
BESAR
Tembok besar ini
diperbuat daripada bahan-bahan tempatan, termasuklah batu dan batu tongkol yang
dilekatkan oleh sejenis bahan yang disebut sebagai gypsum mortar. Live Science melaporkan bahawa Alibaigi menyebutkan,
“Sisa runtuhan yang kini telah musnah ini masih boleh dilihat di sepanjang
tembok berkenaan’. Runtuhan tersebut berkemungkinan adalah puing-puing daripada
menara mahupun gerbang yang dahulunya terdapat di tembok itu. Pembinaan tembok
tersebut merupakan suatu projek gergasi yang memerlukan sumber yang banyak.
Live Science melaporkan bahawa ‘kira-kira satu juta meter kubik batu digunakan
untuk membina tembok ini.
Walaupun pasukan
arkeologis yang menemukan tembok ini berasa takjub dengan penemuan yang
dilakukan oleh mereka, pada hakikatnya ia bukanlah suatu berita baru buat
penduduk tempatan. Mereka telah lama mengetahui tentang kewujudan tembok
tersebut dan mereka malah memanggilnya sebagai Tembok Gawri, lapor Medical
Daily. Tambahan lagi, terdapat sepasukan ahli arkeologi yang telah terlebih
dahulu mengenal pasti keberadaan tembok ini. Namun, mereka tidak pernah
menyiarkan hasil kajian yang dilakukan.
![]() |
Pandangan satelit ke atas Tembok Gawri dan istana serta struktur-struktur yang terdapat di sekitar tembok berkenaan |
EMPAYAR-EMPAYAR
PARSI
Lantaran skala
penggunaan sumber dan pengorganisasian tenaga kerja yang diperlukan untuk
membina tembok ini begitu besar, ahli-ahli arkeologi berpendapat bahawa ia
dibina oleh sebuah monarki yang cukup berkuasa, yang memerintah pada Zaman
Partho-Sassanian. Empayar Parthia (247SM-224M) dan Empayar Sassanid (224-641M)
meupakan empayar berkuasa yang bertapak di Dataran Iran. Kedua-dua empayar ini
memiliki kekuatan yang setara dengan Empayar Rom. “Penemuan serpihan tembikar
Parthi-Sassanian di beberapa lokasi sepanjang tembok tersebut mengisyaratkan
bahawa tembok ini kali pertama dibina pada zaman Partho-Sassanian dan kemudian
menjalani pembaikian dari semasa ke semasa,” tulis laporan kajian. Walau
bagaimanapun, kenyataan ini masih lagi belum kukuh.
Apa yang pasti, besar
kemungkinan terdapat sebuah monarki Parsi yang mengarahkan masyarakat tempatan
agar mendirikan dan memelihara tembok ini. Terdapat sejumlah monumen penting
yang masih tersisa di kawasan tersebut, termasuklah sebuah istana dan sebuah
sistem pengairan. Tembok ini juga terletak berhampiran dengan kota purba Hulwan
yang berada dalam lokasi strategik. Dalam Empayar Parthia dan Sassanid, kawasan
tersebut memiliki kepentingan ekonomi yang bukan kecil.
TEMBOK
MENGHADAPI KAUM GASAR NOMAD?
Terdapat sejumlah
tembok purba lain di Iran dan tembok-tembok ini kebanyakannya terletak di
bahagian utara dan timur negara berkenaan. Tembok purba yang paling masyhur di
Iran adalah Tembok Gorgan dan Tembok Tammisha yang terletak di bahagian utara
Iran. Tembok ini secara umumnya dibangunkan atas faktor pertahanan yang mungkin
adalah untuk menghindarkan serangan daripada kaum-kaum nomad seperti Scythia
dan Hun.
![]() |
Tembok Besar Gorgan |
Tembok Gawri juga
berkemungkinan dibangunkan atas sebab yang sama. “Diandaikan bahawa tembok ini
mungkin dibina bagi tujuan pertahanan memandangkan binaan-binaan serupa turut
terdapat di bahagian utara dan timur Iran”, tulis Medical Times. Justeru, besar
kemungkinan Tembok Gawri berfungsi sebagai tembok pertahanan daripada kaum
gasar nomad.
Satu lagi kemungkinan
lain yang dianggap sebagai faktor pembinaan Tembok Gawri adalah penandaan
kawasan sempadan. “Sebahagian kawasan sempadan ditandakan oleh tembok, dan hal
seperti ini telah diamalkan sedari milenium ketiga Sebelum Masehi lagi oleh
Parthia, Sassanid, Uthmaniyah mahupun Qajar”. Pada hari ini, tembok tersebut
terletak sangat hampir dengan perbatasan Iran-Iraq. Pada masa dahulu, tembok
ini berkemungkinan dibangunkan sebagai simbolik pergelutan kuasa di zon
konflik.
Walau bagaimanapun,
masih belum wujud persepakatan dalam perbincangan tentang hal ini. “Tujuan
politik bagi pembinaan tembok ini masih belum diketahui; belum jelas sama ada
ia didirikan bagi tujuan pertahanan mahupun sebagai simbol kekuasaan”, kata Antiquity. Besar harapan para ilmuwan
agar lebih banyak usaha penggalian arkeologi dilakukan di kawasan sekitar
tembok berkenaan dan diharap juga penggalian tersebut berupaya membantu ilmuwan
dalam merungkai misteri yang masih menyelubungi Tembok Gawri itu.
- Get link
- X
- Other Apps