AMMAN, SALAH SEBUAH TEATER ROM TERINDAH DI DUNIA

Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (17 Disember 2019). Amman, One of the Finest Roman Theatres in the World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/roman-theatre-amman-0013012

Penterjemah: Amir Zayyanid


Kerajaan Jordan mempunyai banyak tapak bersejarah. Banyak tamadun berbeza memperoleh kemewahan di rantau tersebut sejak zaman purba lagi. Salah sebuah tapak warisan paling penting dan paling besar di sana adalah Teater Rom Amman yang merupakan salah sebuah contoh terbaik bagi mewakili teater di Timur Tengah. Lebih daripada itu, teater ini adalah salah sebuah teater terlengkap di seluruh Levant dan ia memainkan peranan penting dalam kehidupan berbudaya di rantau berkenaan.


DARI ZAMAN ROM PURBA HINGGA KINI

Teater ini dibina oleh tamadun Rom di sebuah kota Greek yang bernama Philadelphia, dan pada hari ini ia dikenali sebagai Amman. Philadelphia ditubuhkan oleh masyarakat Macedonia selepas era penaklukan Empayar Parsi yang dilakukan oleh Alexander Agung. Ia merupakan salah sebuah kota paling penting di rantau itu dan ia memainkan fungsi sebagai hab perdagangan dan komersial di zaman Empayar Seleucid.

Pada tahun 65SM, Pompey Agung menakluk kawasan tersebut dan menyerapnya masuk ke dalam Empayar Rom. Teater ini dibina pada zaman pemerintahan Maharaja Antonius Pius pada tempoh antara tahun 138 hingga 161M. Teater ini berkemungkinan dibina oleh golongan kaya tempatan, dengan tujuan untuk meraih kepopulariti dan prestij di Philadelphia. Teater ini menjadi pentas berlangsungnya sejumlah persembahan lakonan, pendeklamasian puisi dan kejadian tragedy. Ia memiliki kemasyhuran yang tersendiri dalam kalangan penduduk tempatan. Kota ini meraih kemajuan selama 400 tahun dan sempat menjadi sebahagian daripada Empayar Rom Timur. Pada tempoh-tempoh terkemudian, terdapat kemungkinan bahawa teater ini tidak lagi menjadi tempat berlangsungnya persembahan teater memandangkan rantau tersebut mengalami pengkristianan. Ramai penganut agama Kristian menganggap segala bentuk persembahan teater sebagai perbuatan dosa.

Kota ini dikuasai oleh umat Islam pada 630an dan teater ini kemudiannya diberikan semula fungsinya. Kejadian-kejadian gempa bumi pada masa-masa terkemudian menimpakan kerosakan teruk ke atas kota ini sekaligus mengakibatkannya ditinggalkan. Teater ini juga tidak luput dari mengalami kerosakan teruk dan ia hanya dibaiki semula pada kurun ke-20. Pentadbiran baru Jordan menjalankan usaha pembinaan semula bangunan ini pada tahun 1957 demi merancakkan lagi sektor pelancongan. Teater ini kini menjadi tempat yang cukup masyhur terutama apabila ia menjadi tempat untuk melangsungkan sejumlah aktiviti kebudayaan termasuklah Amman International Book Fair dan konsert-konsert muzikal.


PEMANDANGAN DI TEATER ROM, AMMAN

Teater Rom Amman dibina di sebuah bukit, suatu ciri tipikal bagi mana-mana teater Rom dan ia menghadap ke arah utara supaya hadirin dapat terlindung dari sinaran matahari semasa datang menyaksikan sebarang persembahan yang diadakan di sana. Deretan tiang dapat dilihat di hadapan teater dan sejumlah tiang asal masih dapat dilihat pada hari ini. Begitu juga dengan sejumlah gerbang asal yang masih memainkan fungsi di sana, di mana struktur tersebut dikenali sebagai parado.

Kebanyakan teater mempunyai tempat duduk bertingkat dan ianya dibahagikan kepada tiga seksyen secara menegak. Kawasan tempat duduk ini dikenali sebagai cavea dan seluruh kawasan tempat duduk ini menawarkan pemandangan yang indah buat para hadirin. Pada suatu masa dahulu, teater ini mampu menampung sehingga 5000 atau 6000 orang. Ketika zaman Rom, pengagihan tempat duduk dilakukan berdasarkan taraf kekayaan dan dosial seseorang, di mana tempat duduk paling baik diperuntukkan untuk golongan kaya. Tempat duduk yang paling hampir dengan pentas lazimnya diberikan kepada kelas tentera dan kelas elit tempatan. Pada suatu masa dahulu, terdapat sebuah kuil Dewi Athena di puncak cavea dan sebuah patung Athena turut dapat dilihat pada hari ini di Muzium Jordan.

Kawasan tempat duduk/cavea di Teater Rom, Amman


Tempat duduk ini mengelilingi sebuah kawasan kecil berbentuk bulat yang dikenali sebagai orchestra dan bersebelahan dengannya pula adalah runtuhan sebuah teater kecil yang dikenali sebagai Odeon. Penting juga untuk dinotakan bahawa ciri akustik pada teater ini cukup mengagumkan. Keadaan pentasnya terpelihara dengan sangat baik dan ia mempunyai scaenae frons atau dinding belakang pentas. Terdapat juga sebuah proscaenium atau dinding rendah di hadapan pentas. Pada masa dahulu, bahagian ini dihiasi dengan sejumlah patung. Berhampiran gerbang pula terdapat dua buah muzium, salah satunya didedikasikan kepada Jordanian Popular Tradition dan sebuah lagi untuk Muzium Rakyat. Usaha-usaha pembaikpulihan teater ini sentiasa dilanda kontroversi, dan terdapat pihak yang mempercayai bahawa struktur ini tidak autentik memandangkan ia tidak menggunakan bahan-bahan asli.

Scaenae frons di Teater Rom, Amman


MENGUNJUNGI TEATER ROM AMMAN

Teater ini terletak di tengah-tengah bandar Amman dan berhampiran dengan Plaza Hashemite. Sejumlah bayaran kemasukan dikenakan untuk memasuki tapak bersejarah ini berserta muzium yang ada di sana. Semasa tiada persembahan kebudayaan di sana, para pengunjung dibolehkan untuk meneroka teater ini secara bebas. Terdapat sejumlah aktiviti pelancongan dijalankan di teater ini dan juga tapak-tapak bersejarah Rom yang lain. Struktur bersejarah ini terletak berhampiran dengan sebuah air pancut Rom kurun ke-2 dan runtuhan sebuah Kuil Hercules.


SUMBER
  • Haddad, N., Jamhawi, M. & Akasheh, T. (2004, November). Assessment of the relation between ancient theatres, landscape and society. In Third International Conference on Science and Technology in archaeology and Conservation 2004. (pp. 263-280)
  • Segal, A. (1995). Theatres in Roman Palestine and Provincia Arabia (Vol. 140). Brill.
  • Retzleff, A. (2003). Near eastern theatres in Late Antiquity. Phoenix. 57(1/2). 115.