- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (21 April 2018). Humbaba: A Monstrous Foe for Gilgamesh or a
Misunderstood Guardian? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/humbaba-monstrous-foe-gilgamesh-or-misunderstood-guardian-009937?
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/humbaba-monstrous-foe-gilgamesh-or-misunderstood-guardian-009937?
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Humbaba (Huwawa)
merupakan suatu makhluk pelindung yang terdapat dalam Epik Gilgamesh, sebuah
epic yang dianggap secara umum sebagai karya sastera tertua yang terpelihara
sehingga ke hari ini. Walaupun secara tradisinya Humbaba digambarkan sebagai
figura jahat dan menggerunkan, yang bersilang takdir dengan si protagonis
Gilgamesh, terdapat sebuah tablet yang baru ditemui menampilkannya sebagai
karakter yang lebih positif.
Makhluk ini disebutkan
buat pertama kalinya dalam Tablet II bagi epik itu, di mana dalam bahagian ini
beliau diperincikan sebagai Pelindung Hutan Pokok Sedar (atau Hutan Pokok Pain,
jika mengambil terjemahan Dalley). Dalam Tablet IV dan V, Gilgamesh bersama
sahabatnya, Enkidu mengembara ke Hutan Pokok Sedar, melawan Humbaba dan berjaya
membunuh raksasa itu.
Humbaba, raksasa pelindung Hutan Pokok Sedar |
GILGAMESH
BERANGKAT UNTUK MERAIH KEMASYHURAN
Ketika karakter Humbaba
diperkenalkan, beliau diperincikan sebagai makhluk yang ditugaskan oleh Enlil
sendiri untuk melindungi Hutan Pokok Sedar. Beliau digambarkan sebagai makhluk
yang amat menggerunkan, “yang teriakannya bak senjata bah, yang hembusan
kata-katanya adalah api yang membakar dan hela nafasnya pula adalah kematian.”
Apapun, Gilgamesh menyatakan secara lantang niatnya untuk mengembara ke Hutan
Pokok Sedar dalam rangka membunuh Humbaba dengan tujuan agar beliau beroleh
kemasyhuran abadi, “Biarkanlah aku berangkat meredah pokok-pokok pain ini,
mengecapi kemasyhuran yang kekal abadi!” Walaupun sahabatnya, Enkidu dan tetua
kota Uruk berkali-kali menasihatkannya tentang ancaman bahaya dalam mengharungi
perjalanan tersebut, Gilgamesh tetap jua teguh dengan niatnya itu.
Setelah menyiapkan
senjata-senjata yang ingin dibawa, Gilgamesh pun berangkat ke Hutan Pokok Sedar
bersama Enkidu. Dua sahabat itu ditemani oleh 50 orang pemuda dari kota. Semasa
mengembara ke Hutan Pokok Sedar, Gilgamesh sempat mendaki sebuah gunung dan
mempersembahkan tepung (kepada dewa) sejurus selepas beliau mengalami sebuah
mimpi. Keadaan ini berlaku sebanyak tiga kali dan setiap mimpi yang dialaminya
itu ditafsirkan oleh Enkidu. Gilgamesh berasa tertekan dan berputus-harap akibat
mimpi-mimpinya itu, namun beliau ditenangkan oleh sahabatnya yang mengatakan
bahawa mimpi-mimpi itu memberi isyarat tuah dan petanda bahawa mereka berdua
akan mengecapi kejayaan dalam menghadapi Humbaba.
Gilgamesh dan Enkidu berhadapan dengan Humbaba |
BERHADAPAN
DENGAN HUMBABA
Tablet V dimulakan
dengan penceritaan tentang ketibaan mereka di Hutan Pokok Sedar, dilanjutkan
dengan cerita mereka masuk ke dalamnya dan akhirnya, berhadapan dengan Humbaba.
Raksasa ini kemudiannya mengugut Gilgamesh dan Enkidu serta berjaya menyuntik
kegerunan dalam hati Gilgamesh. Namun, Enkidu menyuntik kata-kata semangat
kepada Gilgamesh dan menguatkan keyakinannya. Setelah menyeru nama Shamash si
dewa matahari, Gilgamesh pun berangkat melancarkan serangan.
Menerusi Epik
Gilgamesh, kita diceritakan bahawa Humbaba dilindungi oleh tujuh helai jubah
atau ‘sinaran’, yang enam daripadanya dihapuskan oleh Shamash. Dewa itu
terus-menerus membantu Gilgamesh dalam menghadapi raksasa tersebut. Shamash
malah menyeru angin ribut untuk menjejaskan pergerakan Humbaba sekaligus
membolehkan Gilgamesh untuk melangsaikannya.
Setelah ditewaskan,
Humbaba mula memohon belas kasihan. Namun, Enkidu mengingatkan Gilgamesh bahawa
raksasa itu sebaiknya jangan dipercayai kata-katanya. Beliau turut menggesa
agar Gilgamesh segera membunuhnya. Melihatkan belas kasihan tidak akan
dicurahkan kepadanya, maka Humbaba pun menyumpah-seranah Gilgamesh dan Enkidu
dengan berkata, “Tiada seorang pun di antara mereka berdua yang boleh
melangkaui hayat kehidupan rakannya! Gilgamesh dan Enkidu tidak akan merasa
menjadi orang tua.”
Relif Dua Wira – mungkin memiliki kaitan dengan epik Gilgamesh, dan mempamerkan Gilgamesh dan Enkidu yang sedang melawan Humbaba |
Selepas membunuh
Humbaba, Gilgamesh dan Enkidu melanjutkan pula dengan menebang pokok-pokok yang
terdapat di dalam Hutan Pokok Sedar. Kepala Humbaba pula kemudiannya dipenggal
dan diletakkan di dalam sebuah beg kulit. Beg kulit ini seterusnya dibawa oleh
Gilgamesh ke Kuil Enlil.
Kepala Humbaba
merupakan motif masyhur dalam kesenian masyarakat Mesopotamia purba. Hal ini
dapat dilihat menerusi topeng-topeng dan tablet-tablet yang diyakini
menggambarkan kepala Humbaba yang telah dipenggal, di mana artifak-artifak
sebegini banyak ditemui semasa kerja-kerja ekskavasi arkeologi dijalankan. Pada
hari ini, banyak artifak tersebut dipamerkan di pelbagai muzium di serata
dunia.
Patung kepala Humbaba |
PERSPEKTIF
BARU TERHADAP HUMBABA
Walaupun Humbaba secara
tradisinya digambarkan sebagai satu karakter antagonis dalam Epik Gilgamesh,
penemuan tablet tanah liat terkini dari muzium Sulaymaniyah memberikan
pandangan yang berbeza terhadap karakter ini. Tablet tersebut mengandungi
sebahagian daripada Epik Gilgamesh, dan tertulis padanya bahawa, “Di mana
(sahaja) Humbaba datang dan pergi (akan) terdapat (di sana) jejak laluan,
laluan-laluannya berada dalam keadaan tersusun dan dirintis dengan baik.”
Teks ini kemudian
melanjutkan, “Di seluruh hutan terdapat seekor burung yang menyanyikan, “Seekor
burung merpati kayu bercicip riang, dan seekor burung merbuk liar pula menyahut
cicipan itu. Ibu-ibu monyet turut menyanyi bersama, sambil anak monyet ikut
mendendang suara; bagai sekumpulan pemusik dan pemukul gendang, setiap hari
mereka mendendangkan irama di hadapan Humbaba.”
Jika dilihat menerusi
versi penceritaan ini, pada suatu sudut, boleh dikatakan bahawa Humbaba
digambarkan sebagai pelindung alam yang bersifat baik hati – sekaligus
menjadikan Gilgamesh dan Enkidu sebagai penjahat lantaran mereka berdua telah
membunuh Humbaba dan menebang Hutan Pokok Sedar.
Epik Gilgamesh - Humbaba |
SUMBER
- Anon. The Epic of Gilgamesh. [Dalley, S. (tran.). 2008. The Epic of Gilgamesh, in Myths from Mesopotamia, Creation, the Flood, Gilgamesh, and Others. Oxford: Oxford University Press]
- Ancient Pages. 2017. Gilgamesh and Enkidu Undertake A Dangerous Mission to Hunt Forest Giant Humbaba.
- Museum of Fine Arts, Boston. 2018. Fragmentary mask of Humbaba.
- Parsons, B. L. 2015. Humbaba.
- Tharoor, K. & Maruf, M. 2016. Museum of Lost Objects: The Genie of Nimrud.
- The British Museum. 2018. Religious/ritual equipment/mask.
- The Louvre, 2018. Tablet: mask of the demon Humbaba.
- Get link
- X
- Other Apps