- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (29 November 2019). Sensoji Temple, Tokyo’s Throbbing Heart of
Japanese Buddhism. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/sensoji-temple-0012924
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/sensoji-temple-0012924
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tokyo adalah sebuah
bandar moden lagi maju, namun ia juga merupakan sebuah tempat yang memiliki
sejarah yang cukup panjang. Antara faktor yang memasyhurkan bandar berkenaan
adalah kuil-kuil yang terdapat di sana. Antara kuil yang paling masyhur di
Tokyo adalah Kuil Sensoji. Kuil ini adalah yang tertua di bandar berkenaan dan
ia memainkan peranan yang sangat penting dalam sejarah Tokyo dan perkembangan
Buddhisme dalam kalangan masyarakat Jepun. Pada hari ini, Kuil Sensoji sangat
masyhur baik dalam lingkungan penduduk tempatan mahupun pelancong asing.
SEJARAH
KUIL SENSOJI, TOKYO, JEPUN
Kuil ini kali pertama
dibina pada kurun ke-7M apabila Buddhisme masih dianggap sebagai sebuah agama
asing di Jepun. Menurut legenda, kuil tersebut dibangunkan untuk memuliakan
sebuah patung bodhisattva Kannon (Avalokitesvara). Bodhisattva adalah seseorang
yang berada dalam perjalanan menjadi Buddha dan berhajat untuk membantu manusia
mencapai keselamatan. Legenda menyatakan bahawa patung tersebut ditemui oleh
dua orang beradik dan apabila mereka berdua membawanya pulang ke kampung halaman
di Asakusa, sebuah makam suci dibangunkan bagi menempatkan patung berkenaan.
Merentas tahun, makam tersebut kemudiannya menjadi sebuah kuil lantaran agama
Buddhisme menjadi semakin masyhur dan Asakusa pula berkembang menjadi sebuah
bandar.
Kaminarimon atau Gerbang Petir di Kuil Senso-ji, Asakusa, Tokyo |
Kaminarimon atau
Gerbang Petir dibangunkan buat kali pertama pada tahun 941M dan ia menjalani
pembinaan semula beberapa kali. Pada tahun berikutnya, Hozomon atau gerbang di
bahagian dalam kompleks kuil dibina oleh ketua puak Taira Samuari. Pada kurun
ke-17, Shogun Ieyasu (1543-1616) menjadikannya sebagai salah sebuah kuil
keluarganya.
Pada zaman pemerintahan
Tokugawa di Edo (kelak dinamakan sebagai Tokyo), kuil itu menjadi sangat
terkenal dan ia dinaungi oleh ramai elitis. Pada kurun ke19, kuil tersebut
terpaksa dibina semula berikutan bencana kebakaran dan gempa bumi yang berlaku.
Semasa Perang Dunia Kedua berlaku, kuil ini mengalami kehancuran ketika Amerika
melakukan pengeboman ke atas Tokyo. Lantaran itu, kuil Sensoji dibina semula
secara keseluruhan. Pembinaan semula kuil ini dianggap oleh masyarakat Jepun
sebagai simbol kehidupan semula negara sesudah tamatnya Perang Dunia Kedua.
Pada hari ini, kuil
tersebut menjadi salah sebuah tapak keagamaan yang paling kerap dikunjungi di
dunia dan ia kekal sebagai salah sebuah pusat Buddhisme di Jepun.
PERINCIAN
KUIL SENSOJI, TOKYO, JEPUN
Pada laluan masuk utama
ke kuil ini berdiri megah Gerbang Kaminorimon, yang dicat dengan warna merah
dan dibumbungi dengan atap zink. Terdapat empat buah patung di gerbang
tersebut, antaranya patung dewa angina dan petir yang terletak di dua buah
ruangan kecil. Pada gerbang itu juga terdapat sebuah tanglung merah yang
bergantungan. Menurut kisah rakyat tempatan, di dalam tanglung berkenaan
dipercayai tinggal seekor naga.
Sebaik sahaja memasuki
kuil, berbaris panjang kedai-kedai besar. Kewujudan kedai-kedai ini bukanlah
suatu perkara baru. Ia berakar dari budaya kurun ke-17 lagi. Kebanyakan gerai
di situ dicat dengan warna merah dan secara umumnya menjual cenderahati yang
bersifat keagamaan.
Berhampiran kawasan
membeli-belah yang sibuk ini pula terletak Kuil Denpoin, sebuah kuil yang
memiliki sebuah pagoda dan kebun seluas 2.5 ekar yang dihiasi dengan gaya
klasik Jepun. Terdapat banyak hasil seni berharga dan lembaran-lembaran ajaran
Buddha digantung di kuil berkenaan. Walau bagaimanapun, kawasan ini hanya boleh
diakses selama beberapa hari dalam bulan Mac setiap tahun. Hal ini kerana kuil
tersebut masih lagi menjadi kediaman bagi sejumlah sami dan kebun-kebun di sana
pula dimiliki oleh ketua sami.
Gerbang Hozomon di Kuil Sensoji |
Di hadapan Kuil Denpoin
ini berdiri pula gerbang monumental Hozomon, iaitu laluan masuk bersaiz besar
berwarna merah dan dilengkapi dengan atap. Di sini terdapat tablet-tablet
peringatan bagi beberapa orang yang telah meninggal dunia, yang jumlahnya tidak
terhitung banyaknya. Terdapat juga di gerbang berkenaan pagoda lima-tingkat
dengan gaya tradisional, selain dua buah patung Nio yang dianggap sebagai pelindung
kuil tersebut.
Di sebalik bangunan ini
terletak pusat kompleks kuil Hondo atau Kannon-do, yang kononnya tertanam di
bawah tanahnya patung bodhisattva Kannon – patung yang ditemukan di sebatang
sungai kira-kira 1500 tahun yang lalu. Terdapat juga sejumlah gerai cenderahati
di sana dan kebanyakannya menjual setanggi dan skrol yang digunakan dalam
upacara-upacara agama Buddha. Di hadapan kuil itu ditempatkan sebuah pembakar
setanggi. Kuil ini diakses menerusi sebuah tangga dan ruangan dalamnya mengandungi
banyak hasil seni yang sangat berharga.
MENGUNJUNGI
KUIL SENSOJI, TOKYO, JEPUN
Kuil ini terletak di
tengah-tengah daerah Asakusa, Tokyo, Jepun. Terdapat sejumlah stesen metro
berhampiran kompleks agama Buddha itu. Sejumlah tempat penginapan turut tersedia
di sana, yang sesuai dengan bajet yang pelbagai. Pada setiap tahun, sebuah
keraian agama diadakan di kuil tersebut secara besar-besaran. Kuil ini dibuka
pada waktu siang. Lantaran kuil ini bukan sahaja merupakan sebuah tempat
tarikan pelancong, maka para pengunjung kadangkala berkesempatan untuk
menyaksikan upacara-upacara keagamaan diadakan di sana.
SUMBER
- Zatko, M. (2014). The Rough Guide to Tokyo. Rough Guides, London: UK.
- Tsuda, N. (2009). History of Japanese Art: From Prehistory to the Taisho Period. Tuttle Publishing.
- Kamimura, S. (1964). The Asakusa Kannon Temple. Contemporary Religions in Japan. 5(2), 155-173.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kuil Sensoji, Pusat Buddhisme Bagi Masyarakat Jepun Di Tokyo’
- Get link
- X
- Other Apps