- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (7 Disember 2019). The Meiji Shrine: An Oasis of Zen in the Center
of Bustling Tokyo. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/meiji-shrine-0012969
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/meiji-shrine-0012969
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Jepun merupakan sebuah
negara yang unik, negara yang sangat moden dan pada masa yang sama, sangat
tradisional. Di tengah-tengah pusat bandar Tokyo, terdapat sebuah makam suci
yang dibangunkan khusus untuk salah seorang Maharaja Jepun yang paling penting,
bersama permaisurinya. Makam Suci Shinto ini adalah salah sebuah makam
termasyhur di Jepun dan merupakan mercu Zen yang terletak di jantung metropolis
Tokyo yang sentiasa sesak dengan manusia.
SEJARAH
MAKAM SUCI MEIJI
Maharaja Meiji
(1852-1912) merupakan figura penggerak dalam sejarah Jepun moden. Pemerintahan
beliau menyaksikan berlakunya modernisasi negara dan peperangannya dengan Cina
dan Russia. Selepas kemangkatan Maharaja pada tahun 1912, anggota Diet Jepun
mengeluarkan satu undang-undang yang memerintahkan pembinaan Makam Suci Shinto
bagi mengenang maharaja itu. Maharaja dan permaisurinya, Permaisuri Shoken
sering mengunjungi sebuah kebun kecil di Tokyo semasa hayatnya.
Lantaran itu,
tempat tersebut dipilih sebagai tapak bagi makam yang dirancang untuk dibina
itu. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada tahun 1915 dan ia pembinaannya
dilakukan oleh para sukarelawan daripada pertubuhan pemuda dan pertubuhan
masyarakat. Binaan ini dibuka pada tahun 1920, namun kerja-kerja di lapangan
masih terus berlanjutan sehingga tahun 1927.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan Maharaja Meiji dan keluarganya |
Pembinaan makam suci
ini disokong oleh pihak kerajaan dan ia digunakan oleh militaris Jepun sebagai
bahan propaganda semasa berlangsungnya Perang Dunia ke-2. Semasa konflik ini
berlaku, kompleks makam asal dimusnahkan oleh serangan udara yang dilancarkan
oleh Amerika. Sesudah tamat peperangan, masyarakat Jepun memberikan sumbangan
dana untuk membina semula makam tersebut.
Keadaan ini mengisyaratkan betapa
tingginya penghormatan mereka terhadap Maharaja Meiji dan permaisuri. Sejak
dibuka pada tahun 1958, makam ini sering menerima kunjungan kehormat dari luar
negara, termasuklah oleh presiden-presiden Amerika. Semasa berlangsungnya
hari-hari cuti Tahun Baru, ramai masyarakat Jepun datang mengunjungi makam ini
sebagai sebahagian daripada adat Hatsumode. Walau bagaimanapun, jasad Maharaja
dan permaisuri tidaklah disemadikan di sini, sebaliknya di Kyoto.
PEMANDANGAN
DI MAKAM MEIJI
Makam Suci Meiji
terletak di sebuah hutan yang berkeluasan sekitar 150 ekar. Di sana terdapat
banyak laluan pejalan kaki di samping terdapat juga sejumlah kebun. Laluan
masuk ke makam tersebut adalah melalui gerbang Tori, yang dibina dengan gaya
Shinto klasik. Gerbang ini berfungsi untuk menandakan sempadan antara kawasan
keramat dan kawasan biasa, dan ia dicat dengan warna merah dan hitam. Makam ini
diperbuat daripada bahan-bahan tradisional, seperti tembaga dan kayu sipres.
Aksesnya juga perlu melalui tangga-tangga yang disediakan, dibina dalam gaya
binaan Jepun yang dikenali sebagai nagare-zukuri.
Makam dan bangunan-bangunan lain dibina dengan gaya asimetri, dan ia memiliki
bumbung tebar layar yang cukup menonjol, mengatapi bangunan sehingga ke
bahagian depan dan membentuk anjung.
![]() |
| Para pelancong meneroka Makam Suci Meiji di Tokyo |
Naien
pula adalah presint bahagian dalam, tempat di mana makam Maharaja dan
Permaisuri bertempat. Terdapat sebuah perkarangan besar di sini. Banyak
barangan sembah korban seperti tong sake dapat dilihat perkarangan itu.
Malahan, terdapat juga doa-doa yang ditulis di atas kertas/tablet kayu yang
digantung pada sebuah dinding di bahagian dalam presint. Di sana bahkan
terdapat meja untuk memudahkan para pengunjung menulis doa mereka untuk
digantung.
Kompleks makam ini
turut mengandungi sebuah muzium yang mengandungi banyak artifak berkaitan
Maharaja Meiji dan relik dari zaman pemerintahannya. Muzium ini dibina dalam
gaya yang dikenali sebagai Azekurazukuri
dan binaan kayunya itu bersifat ringkas dan minimalis, dibumbungi atap tebar
layar. Gaien pula adalah present
bahagian luar dan kawasan ini meliputi sebuah ruang pameran yang dipenuhi
dengan mural pasangan diraja itu. Terdapat juga sebuah ruangan awam yang
bersaiz besar di sini, di samping berhampirannya terdapat sejumlah fasiliti
sukan, termasuklah stadium Olimpik Tokyo.
![]() |
| Tablet-tablet kayu hajat/doa di Makam Suci Meiji, Tokyo |
AKTIVITI
SEMASA MENGUNJUNGI MAKAM MEIJI
Makam ini boleh diakses
dengan pengangkutan awam, dan terdapat perkhidmatan keretapi bawah tanah
disediakan di kawasan berhampiran. Makam ini dibuka pada awal pagi dan ditutup
menjelang malam. Kompleks tarikan pelancong ini sering dikunjungi ramai pelawat
sehingga ia sentiasa sibuk. Terdapat banyak aktiviti yang dapat dilakukan di
sana. Malahan, pelbagai pesta dan keraian sering disambut di perkarangan makam
ini pada setiap tahun. Antara keraian yang paling penting adalah Keraian Bunga
Musim Luruh dan Keraian Tahun Baru.
Selalu juga dilangsungkan persembahan
budaya tradisional Jepun, antaranya seperti persembahan memanah tradisional.
Tiada bayaran masuk dikenakan untuk mengunjungi kompleks makam ini. Pengunjung
dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti Shinto yang
diadakan, namun mereka mestilah bertingkah sopan sepanjang berada di sana.
Terdapat juga banyak penginapan yang disediakan berhampiran Makam Meiji ini,
tetapi ada di antaranya yang agak mahal kosnya.
![]() |
| Wanita berpakaian tradisional Jepun dalam sebuah keraian yang diadakan di Makam Suci Meiji, Tokyo |
SUMBER
- Matsui, T. (1996). Meiji Shrine: an early old-growth forest creation in Tokyo. Restoration & Management Notes. 14(1), 46-52
- Susumu, S. & Murphy, R.E. (2009). State Shinto in the Lives of People: The Establishment of Emperor Worship. Modern Nationalism, and Shrine Shinto in Late Meiji. Japanese Journal of Religious Studies. 93-124.
- Fridell, W.W. (1975). The Establishment of Shrine Shinto in Meiji Japan. Japanese Journal of Religious Studies. 137-168.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Makam Bapa Revolusi Bangsa Jepun – Mikado Meiji’
- Get link
- X
- Other Apps




