PATUNG BESAR DEWA HORUS DITEMUI DI KUIL MESIR

Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (22 Disember 2019). Huge Statue of God Horus Found in Egyptian Temple. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/horus-statue-0013041

Penterjemah: Amir Zayyanid


Sebuah pasukan arkeologis antarabangsa telah menemukan sebuah patung dewa Horus bersaiz besar, lapor Kementerian Barangan Antik Mesir. Patung ini ditemui semasa kerja-kerja pembaikpulihan ke atas sebuah kuil utama dijalankan. Penemuan ini dijangka memberikan pemahaman yang lebih mendalam terhadap kuil tersebut di samping membantu dalam proses pembaikpulihannya.

Sebuah misi arkeologi gabungan Mesir-Jerman berjaya menemukan patung yang mengagumkan ini di kawasan Hom al-Hetan yang kaya dengan tapak-tapak bersejarah. Kawasan ini terletak di Luxor, di tebing barat Sungai Nil. Semasa penemuan ini dilakukan, pasukan antarabangsa tersebut sedang menjalankan ekskavasi di sebuah kawasan di Kuil Rumah Jutaan Tahun yang dibina oleh Firaun Amenhotep III, firaun yang memerintah pada 1380-1350SM.

Kuil penting ini merupakan subjek bagi projek pembaikpulihan besar-besaran yang dimulakan pada tahun 1998 di bawah penyeliaan Kementerian Barangan Antik Mesir dan Institusi Arkeologi Jerman, lapor Egypt Independent. Matlamat akhir projek ini adalah untuk membina semula kuil utama ini dan mengembalikan kegemilangannya.

Dua buah patung Amenhotep III di gerbang kuilnya


PATUNG BESAR HORUS

Semasa menjalankan kerja-kerja ekskavasi, pasukan arkeologis Mesir-Jerman ini bertembung dengan sebuah patung bersaiz besar. Dalam halaman Facebook rasminya, Kementerian Barangan Antik Mesir memuat naik kenyataan bahawa ‘sebahagian besar bagi sebuah patung Dewa Horus telah berjaya ditemui’.

Penemuan mengagumkan ini dilakukan di salah sebuah dewan utama kuil berkenaan. Encik Fathi Yassin, Pengarah Umum dari Jabatan Barangan Antik Luxor Barat menyatakan bahawa ‘patung tersebut diperbuat daripada batu granit hitam’. Patung ini memiliki ketinggian kira-kira 1.85 meter atau 6 kaki, walaupun ianya tidak ditemukan dalam keadaan semprna.

Kaki dan lengan patung ini hilang. Namun selain daripada itu, patung ini berada dalam keadaan yang sangat baik. Patung ini menggambarkan Horus dengan kepala seekor helang dan memakai kain Mesir, suatu gambaran yang sangat sinonim dengan dewata itu.

Horus merupakan dewa yang sangat penting dalam panteon Mesir dan sering dianggap sebagai pelindung Mesir. Ketua misi gabungan ini, Horig Sorosyan dipetik oleh Curiosmos.com berkata, “Penemuan patung Dewa Horus ini memiliki nilai artistik, saintifik, dan arkeologi yang penting.”

Patung Dewa Horus yang baru ditemui


PENCARIAN KAKI DAN TANGAN

Misi arkeologi ini terus dilanjutkan untuk menyelidiki kawasan di mana patung ini ditemui. Mereka turut menumpukan usaha untuk cuba mencari kaki dan tangan patung itu yang hilang. Seandainya anggota yang hilang itu dapat ditemui, patung ini dapat dipulihkan semula kepada keadaan asalnya buat pertama kali sejak ribuan tahun. Hal ini memberi peluang kepada para penyelidik untuk lebih memahami kesenian Mesir pada era Kerajaan Baru. Dalam masa yang sama, diharapkan juga agar barangan lain yang memiliki hubungan atau kaitan dengan kuil ini turut dapat ditemui.

Ekskavasi-ekskavasi lalu yang dilakukan oleh pasukan antarabangsa ini berjaya menemukan banyak patung bersaiz besar di kuil tersebut. Sebuah patung yang menggambarkan Firaun Amenhotep III juga ditemui. Pemerintahan beliau dikenang lantaran pencapaiannya yang besar di samping tempoh pemerintahannya dianggap sebagai masa-masa perdana Mesir. Antara patung lain yang ditemukan termasuklah patung isterinya, Ratu Ti.


PELINDUNG FIRAUN

Pasukan arkeologis ini turut berjaya menemukan sejumlah patung bagi sejumlah dewata Mesir yang lain, secara khusus patung Dewi Sekhmet, dewi yang dianggap sebagai pelindung peribadi Firaun. Curiosmos.com melaporkan bahawa, “Selepas mangkat, Sekhmet terus melindungi mereka (firaun) dan membawa mereka ke alam sesudah mati”. Patung-patung dewi ini mungkin mempunyai kaitan dengan keinginan Firaun untuk tidak hanya melindungi dirinya sendiri, tetapi juga kuilnya.

Kuil Rumah Jutaan Tahun kini berada dalam keadaan yang membimbangkan. Egypt Independent memetik kata-kata ketua misi gabungan ini, iaitu Horig Sorosyan yang menyatakan bahawa struktur keramat ini “runtuh selepas ditimpa bencana gempa bumi yang melanda rantau ini”. Banyak batu-batu kuil ini diambil untuk membina sejumlah kuil dan istana semasa era pemerintahan firaun-firaun Ramses.

Penemuan patung Horus ini dijangkakan dapat membantu para penyelidik untuk lebih memahami sifat kuil ini dan reka bentuknya. Kuil ini akan meraih signifikasi yang sangat tinggi seandainya ia dipulihkan dalam kaedah yang autentik (sesuai dengan bentuknya di zaman dahulukala). Patung Dewa Horus dan patung-patung lain ini mungkin akan diletakkan di dalam Kuil Rumah Jutaan Tahun sesudah ia siap menjalani pembinaan-semula.