- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (23 Mei 2018). The Xianbei: A Chinese Dynasty Emerges from Nomadic
Warriors of the Steppe. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/xianbei-chinese-dynasty-nomadic-warriors-steppe-0010090
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/xianbei-chinese-dynasty-nomadic-warriors-steppe-0010090
Penterjemah:
Amir Zayyanid
“Kaum
Xianbei… menyerang sempadan kita dengan kerap hinggakan sukar untuk tahun-tahun
berlalu dengan aman, dan hanya pada musim perdagangan barulah mereka datang
dengan aman. Namun ia hanya kerana mereka berminat untuk memperoleh barangan
Cina yang berharga; bukan kerana mereka menghormati kuasa China ataupun
menghargai kepemurahan bangsa China. Sebaik sahaja mereka meraih segala yang
boleh mereka dapatkan (daripada perdagangan), mereka kembali untuk membawa
kemusnahan.”
- Kitab Han Akhir
- Kitab Han Akhir
Xianbei merupakan
sebuah konfederasi puak-puak nomad yang hidup di wilayah steppe di utara China
pada zaman pemerintahan Dinasti Jin dan Dinasti-Dinasti Utara dan Selatan.
Kumpulan nomad yang paling masyhur dan paling berjaya secara politik di dalam
federasi Xianbei ini adalah puak Tuoba Xianbei yang mengasaskan Dinasti Wei
Utara, sebuah kuasa besar di utara pada zaman Dinasti-Dinasti Utara dan
Selatan.
MITOS
ASAL-USUL XIANBEI
Menurut mitos asal-usul
Xianbei, nenek-moyang mereka dipercayai muncul dari sebuah gua keramat yang
terletak di Monggolia Dalam moden (Inner Mongolia). Kerja-kerja arkeologi yang
dijalankan di kawasan yang menempatkan tapak Gua Gaxian pada tahun 1980 berjaya
menemukan sebuah inskripsi dan pelbagai artifak yang mengisyaratkan bahawa
Xianbei cenderung berasal dari kawasan ini. Lantaran itu, Xianbei dirujuk oleh
sebahagian ilmuwan sebagai sebuah kaum dari etnik proto-Monggol.
Tali pinggang Xianbei dari kurun ke-3 atau 4 Masehi |
Namun, tidak semua
ilmuwan sependapat denan pandangan ini dan terdapat pelbagai teori berkenaan
etnik dan linguistik Xianbei. Misalnya, sebahagian ilmuwan berpandangan bahawa
Xianbei adalah kaum dari etnik proto-Turki, manakala sebahagian yang lain pula
mencadangkan bahawa mereka berasal dari etnik Tungus.
Apapun, perpindahan
kaum Xianbei ke China berlaku sekitar lewat kurun ke-3 Sebelum Masehi, iaitu
tidak lama selepas China disatukan di bawah pemerintahan Dinasti Qin. Sebelum
berlakunya perpindahan ini, kampung halaman Xianbei berada di bawah
pemerintahan Donghu (secara harfiah membawa maksud ‘Kaum Gasar Timur’), sebuah
kaum nomad.
Semasa Donghu
dihapuskan oleh sebuah lagi kaum nomad yang lain, iaitu Xiongnu, berlaku
perpecahan di dalam konfederasi Donghu ini yang salah sebuah kumpulan nomad
yang terlibat di dalam peristiwa tersebut adalah Xianbei. Memandangkan kampung
halaman mereka kini telah dikuasai oleh Xiongnu, maka Xianbei terpaksa
berpindah ke timur dan akhirnya mendiami kaki Gunung Xianbei di Liaodong.
Daripada situlah kaum ini mengambil nama.
Daripada lukisan-lukisan makam Xianbei (Yan Lama) yang diekskavasi pada tahun 1982 di Zhao-yang, di seberang Sungai Daling, Liao-xi. Lukisan yang menggambarkan pemanah Murong Xianbei |
PERTEGANGAN
DENGAN DINASTI HAN
Beberapa tempoh
kemudian, Xianbei terpaksa berpindah jauh ke selatan dan memasuki kawasan
berhampiran Sungai Siramuren lantaran mereka perlu memperakui keabsahan
pemerintahan Dinasti Han setelah kalahnya Xiongnu di tangan empayar China itu.
Hal ini berlaku di zaman pemerintahan Maharaja Wu yang memerintah pada kurun
ke-2 dan kurun pertama Sebelum Masehi.
Namun, autoriti pusat
yang mula melemah di zaman Dinasti Han Akhir (25-220M) membolehkan Xianbei
serta beberapa kaum nomad yang lain untuk menyerang wilayah-wilayah di
sempadan. Pada kurun pertama Masehi, Ji Tong, gabenor Han di Liaodong terpaksa
membenarkan Xianbei berdagang di beberapa buah bandar di sempadan demi
menamatkan serangan demi serangan yang dilancarkan oleh kaum gasar itu.
Semenjak itu, Xianbei mula membayar ufti kepada maharaja Han dan kemudian menjadi
kuasa naungan Han.
Walaupun begitu,
Xianbei dan Empayar Han mempunyai hubungan yang relatif tegang. Sebagai contoh,
sekitar awal kurun ke-2M, Xianbei berpindah ke wilayah yang dahulunya dihuni
oleh Wuhuan (satu lagi kaum gasar nomad) sekaligus menimbulkan kegusaran
maharaja Han. Susulan daripada itu, Han menjalinkan persekutuan dengan beberapa
buah puak gasar yang lain untuk mengusir Xianbei.
Menjelang penghujung
kurun yang sama, Xianbei yang dipimpin oleh Tanshihuai, membentuk persekutuan
dengan beberapa puak gasar yang lain lalu melancarkan serangan berskala besar
ke atas Han. Memandangkan Han tidak berupaya untuk menewaskan Tanshihuai, maka
mereka menawarkan gelaran ‘putera’ kepadanya di samping seorang puteri diraja
untuk dikahwini. Kesemuanya ini demi mencapai keamanan. Selepas kematian
Tanshihuai, konfederasi Xianbei mula mengalami keruduman lantaran penggantinya
merupakan seorang pemimpin yang lemah.
Patung-patung kavalri Xianbei |
TUOBA
XIANBEI MENGASASKAN SEBUAH DINASTI
Xianbei sekali lagi
menjadi sebuah kuasa yang berpengaruh pada kurun ke-4. Namun pada waktu itu,
Empayar China diperintah oleh Dinasti Jin dan sebahagian puak Xianbei pula
sudah pun menjadi keluarga yang berkhidmat untuk maharaja-maharaja Jin. Walau
bagaimanapun, Dinasti Jin kehilangan kuasa ke atas wilayah utara China pada
permulaan kurun ke-4 Masehi. Situasi ini mendorong kepada era yang dikenali
sebagai Enam Belas Kerajaan. Pada era ini, pelbagai kuasa gasar muncul di utara
China, yang sebahagiannya ditubuhkan oleh puak-puak Xenbei. Era Enam Belas
Kerajaan menuju pengakhirannya pada separuh pertama kurun ke-5M dan disusuli
oleh era Dinasti-Dinasti Utara dan Selatan.
Di utara, Wei Utara
telah pun menjadi kuasa dominan sejak lewat kurun ke-4 Masehi dan ia terus
memegang status tersebut sehingga separuh pertama kurun ke-6M. Dinasti ini
diasaskan oleh Tuoba Xianbei, sebuah puak gasar dalam konfederasi Xianbei yang
paling berjaya dari segi politik.
Patung makam dua orang lelaki, Dinasti Wei Utara, 386-534M |
Pada akhirnya, Xianbei
yang bermigrasi ke China mengalami pen-Cinaan seiring peredaran masa. Mereka
mengamalkan adat-istiadat dan gaya hidup Han-China. Mereka yang kekal menetap
di steppe pula mengekalkan tradisi mereka dan kemudiannya berkembang masuk ke
dalam kumpulan-kumpulan etnik yang lain.
SUMBER
- West, B. A. 2009. Encyclopedia of the Peoples of Asia and Oceania. New York: Facts on File.
- Global Security. 2018. Donghu – Xianbei and Wuhuan.
- Holloway, A. 2014. Ancient Coffin Rescued from Tomb Raiders in Inner Mongolia Reveals Remains of Aristocratic Woman.
- Holloway, A. 2016. 1500-Year-Old Tomb Found in China with Incredible Golden Jewelry.
- Horseback Mongolia, Inc. 2018. Xianbei and Rouran dynasties.
- Miller, M. 2015. Tomb of a Nomadic Tribal Princess Will Help Unravel China’s Complicated Ethnic History.
- Theobald, U. 2000. Xianbei.
- Dandebat. 2018. 14. The New Whites – Xianbei.
- Get link
- X
- Other Apps