- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Nick Longrich. (11 Januari 2020). Did Ice Age Extinctions Force Us to Invent
Civilization? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-evolution-human-origins/invent-civilization-0013125
https://www.ancient-origins.net/news-evolution-human-origins/invent-civilization-0013125
Penterjemah:
Dans Ckay’s
Mengapakah manusia
mengambil masa yang begitu lama untuk membina tamadun? Spesis Homo sapiens
berevolusi buat pertama kali sekitar 250 000 hingga 350 000 tahun dahulu.
Tetapi langkah permulaan menuju ketamadunan – seperti bercucuk tanam dan
kemudiannya penyebaran amalan pertanian – bermula hanya sekitar 10 000 tahun
lalu dan kewujudan tamadun pertama pula berlaku sekitar 6400 tahun lalu.
95% dari sejarah
manusia memperlihatkan bahawa kita sama sekali tidak bercucuk tanam, membina
penempatan yang besar mahupun membentuk hierarki politik yang kompleks (rumit).
Pada zaman-zaman awal, kita hidup dalam kumpulan nomad kecil, memetik buah dan
memburu. Kemudian, berlaku suatu perubahan.
Kita beralih daripada
mengamalkan aktiviti pemburuan kepada aktiviti menuai tanaman, pengusahaan
tanah dan seterusnya membina kota. Peralihan ini sebenarnya berlaku selepas
haiwan-haiwan gergasi (megafauna) di zaman ais – seperti mammoth, sloth tanah
gergasi, rusa dan kuda gergasi – sudah pun hilang. Sebab utama manusia mula
bercucuk tanam masih tidak dapat diketahui. Tetapi kehilangan haiwan yang
sebelumnya menjadi sandaran hidup kita sebagai sumber makanan memaksa budaya
manusia berevolusi.
Manusia memburu lembu liar, kuda dan rusa di Perancis pada 17 000 tahun lalu |
Manusia-manusia awal
memiliki kepintaran yang cukup untuk mengamalkan aktiviti pertanian. Kesemua
kumpulan manusia moden mempunyai tahap kepintaran yang sama, di mana
berkemungkinan keupayaan ini berevolusi sebelum populasi manusia berpecah
sekitar 300 000 tahun lalu dan kemudian berlaku perubahan kecil setelah itu.
Jika nenek-moyang kita tidak bercucuk tanam, ia bukanlah bermaksud mereka tidak
cukup pintar untuk berbuat demikian. Terdapat sesuatu dalam persekitaran yang
menghindarkan mereka daripada bercucuk tanam – atau mungkin ringkasnya mereka
tidak perlu untuk bercucuk tanam ketika itu.
PEMANASAN GLOBAL
MENGGALAKKAN PERTANIAN?
Pemanasan global yang
berlaku pada pengakhiran zaman glasier terakhir iaitu 11 700 tahun lalu mungkin
membuatkan aktiviti bercucuk tanam menjadi semakin mudah. Suhu yang lebih
panas, kewujudan cuaca bermusim, kadar curahan hujan yang tinggi dan kestabilan
iklim yang berpanjangan membuatkan lebih banyak kawasan menjadi sesuai untuk
aktiviti bercucuk tanam. Namun, terdapat juga kebarangkalian bahawa aktiviti
pertanian bukanlah suatu hal yang mustahil untuk dilakukan di kawasan-kawasan
tertentu di muka bumi lantaran bumi sendiri telah mengalami banyak pemanasan
global iaitu pada 11 700, 125 000, 325 000 tahun lalu. Pun begitu,
pemanasan-pemanasan global awal sama sekali tidak memacu aktiviti pertanian.
Maka, perubahan iklim bukanlah satu-satunya faktor yang menggalakkan pertanian.
Migrasi manusia
berkemungkinan turut menjadi faktor kepada penggalakkan ini. Apabila manusia
terawal (daripada spesis kita) bermigrasi dari Afrika Selatan melalui benua
Afrika, keluar ke Asia, Eropah dan Amerika, mereka menemui persekitaran dan
tumbuhan makanan yang baru.
Tetapi, manusia telah
pun menghuni kawasan tersebut jauh sebelum aktiviti pertanian bermula.
Penyebaran aktiviti pertanian secara domestic dalam sejarah manusia ketinggalan
sejauh puluhan milenium berbanding migrasi manusia yang berlaku jauh lebih
awal.
Bijirin rai, salah satu hasil tanaman terawal |
Seandainya
peluang-peluang untuk mencipta atau mengamalkan pertanian sudah pun wujud
(menerusi pemanasan global dan perpindahan manusia seperti yang dikemukakan ini),
maka penangguhan pengamalan pertanian sebagaimana yang berlaku mengisyaratkan
bahawa nenek-moyang kita tidak memiliki keperluan atau kemahuan untuk bercucuk
tanam.
PERTANIAN VS PENGUTIPAN
SUMBER MAKANAN
Aktiviti pertanian
mempunyai banyak kelemahan signifikan berbanding aktiviti penguiptan sumber
makanan (mengutip hasil hutan dan memburu). Pertanian memerlukan usaha yang
lebih banyak dan mengakibatkan kurangnya masa senggang di samping menghasilkan
pulangan saiz makanan yang lebih kecil. Apabila seseorang pemburu kelaparan
pada waktu siang, dia boleh menikmati makanan yang dipanggang di atas unggun
api pada waktu malam. Sementara itu, pertanian memerlukan usaha keras untuk
menghasilkan makanan yang hanya dapat dituai beberapa bulan kemudian – atau
bahkan, mungkin tidak dapat dituai sama sekali. Makanan yang diperoleh daripada
hasil pertanian pula memerlukan penyimpanan dan pengurusan yang rumit untuk
mengagihkannya secara optimum supaya dapat membekalkan makanan yang mencukupi
sepanjang tahun.
Seandainya pemburu
tidak memperoleh sebarang hasil buruan pada hari ini, dia boleh memburu sekali
lagi pada hari esok atau pergi memburu di kawasan lain yang lebih kaya dengan
sumber buruan. Namun, petani terikat kepada tanah yang diusahakan olehnya.
Petani juga harus berhadapan dengan keadaan alam yang sukar dijangka. Misalnya,
hujan turun terlalu lambat atau terlalu cepat, badai kemarau, musim sejuk yang
melampau, penyakit tumbuhan dan serangan parasit seperti belalang berupaya
mengakibatkan kemusnahan hasil tuaian – dan kemudian membawa kepada kebuluran.
Pertanian mempunyai banyak kelemahan jika dibandingkan dengan pemburuan |
Pertanian juga
mempunyai kelemahan dari sudut ketenteraan. Pemburu-pengutip boleh bergerak dan
menjelajah ke kawasan yang jauh, sama ada untuk melakukan serangan ke atas
kumpulan nomad lain atau melarikan diri daripada serangan. Dengan latihan
bermain lembing dan busur panah secara berterusan, mereka mampu menjadi
pahlawan yang berkebolehan. Keadaannya berbeza bagi petani di mana mereka harus
menjaga ladang. Jadual mereka pula ditentukan oleh kitaran musim. Dengan
keadaan sebegini, petani sangat mudah dijangka (kelakuannya oleh pihak musuh)
sekaligus menjadikannya sasaran yang mudah. Tambahan lagi, stok simpanan
makanan yang mereka miliki cenderung menggamit serangan kumpulan-kumpulan
manusia lain yang kelaparan.
Memandangkan sudah
terbiasa dengan gaya hidup yang amat mudah, manusia mungkin lebih menggemari
kehidupan nomad sebagai pemburu. Hal ini dapat dilihat apabila kaum orang asal
Amerika seperti Comanche berjuang bermati-matian menentang penjajah demi
mempertahankan budaya dan gaya hidup mereka sebagai pemburu. Masyarakat asli di
Afrika Selatan seperti Kalahari Bushmen juga enggan mengubah gaya hidup mereka
menjadi petani dan penternak. Lebih memeranjatkan, apabila para petani
Polynesia menemui burung-burung moa di New Zealand yang sifatnya tidak mampu
terbang, mereka serta-merta meninggalkan budaya bercucuk tanam secara
besar-besaran dan mewujudkan budaya pemburuan burung moa dalam kalangan orang
Maori.
AKTIVITI PEMBURUAN
DITINGGALKAN
Namun, suatu perubahan
berlaku. Bermula daripada 10 000 tahun dahulu dan seterusnya, manusia mula
meninggalkan gaya hidup sebagai pemburu dan mengamalkan aktiviti bercucuk
tanam. Terdapat kemungkinan bahawa selepas kepupusan mammoth dan megafauna lain
dari zaman Pleistocene serta sesudah pemburuan secara melampau, gaya hidup
sebagai pemburu menjadi semakin tidak relevan dan tidak berdaya maju sekaligus
memaksa manusia untuk bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman. Mungkin tamadun
tidaklah lahir menerusi tekad manusia untuk berdaya maju, tetapi sebagai
susulan daripada sebuah bencana memandangkan bencana ekologi memaksa manusia
untuk meninggalkan gaya hidup tradisi mereka sebagai pemburu.
Ketika manusia
meninggalkan Afrika untuk membina penempatan di tanah-tanah baru, megafauna
sudah pun hilang di serata dunia. Di Eropah dan Asia, megafauna seperti badak
sumbu woolly, mammoth dan rusa Irish pupus sekitar 40 000 hingga 10 000
tahun lalu. Di Australia, kanggaru dan wombat gergasi pupus pada 46 000 tahun
lalu. Di Amerika Utara, kuda, unta dan armadillo gergasi serta mammoth dan
sloth tanah berkurangan dan seterusnya pupus dari 15 000 ke 11 000 tahun lalu,
diikuti kepupusannya di Amerika Selatan sekitar 14 000 hingga 8000 tahun lalu.
Selepas manusia bertebaran ke Kepulauan Caribbean, Madagascar, New Zealand dan
Oceania, megafauna sudah pun pupus.
Memburu haiwan besar
seperti kuda, unta dan gajah memberi pulangan yang lebih besar berbanding
memburu haiwan-haiwan kecil seperti arnab. Namun, haiwan-haiwan yang bersaiz
besar seperti gajah lambat membiak dan hanya mampu melahirkan dalam kuantiti
yang lebih kecil berbanding haiwan-haiwan kecil seperti arnab sekaligus
membuatkan haiwan-haiwan besar ini terdedah kepada pemburuan melampau (overhunting).
Maka, dapatlah kita
fahami bahawa tradisi pemburuan yang diamalkan oleh nenek-moyang kita ini
mengurangkan bilangan megafauna jauh lebih pantas berbanding keupayaan mereka
untuk membiak. Situasi ini mungkin merupakan krisis kelangsungan pertama
manusia.
Haiwan-haiwan bersaiz besar diburu jauh lebih pantas berbanding pembiakan mereka |
Apabila gaya hidup lama
tidak lagi relevan dan berdaya maju, manusia dipaksa untuk berinovasi,
meletakkan penumpuan yang lebih kepada aktiviti pengumpulan hasil hutan dan
seterusnya bercucuk tanam sebagai cara melangsungkan hidup. Gaya hidup dan
aktiviti ini (bercucuk tanam) menggalakkan perkembangan populasi manusia.
Memakan tumbuhan berbanding daging merupakan satu kaedah penggunaan tanah yang
lebih efisien, justeru pertanian mampu menampung populasi yang lebih ramai di
sesebuah kawasan berbanding aktiviti pemburuan. Manusia boleh hidup secara
menetap, membina penempatan dan seterusnya membangunkan tamadun.
Rekod-rekod fosil dan
arkeologi memberikan petunjuk kepada kita bahawa nenek-moyang kita bole sahaja
mengamalkan pertanian lebih awal. Namun, mereka hanya berbuat demikian setelah
alternatif yang mereka miliki (untuk mencari makanan) semakin terhad.
Berkemungkinan kita boleh terus memburu kuda gergasi dan mammoth buat
selama-lamanya (setidaknya sehingga sekarang), namun kita manusia
berlebih-lebihan dalam melakukannya sehingga membinasakan bekalan makanan kita
sendiri.
Amalan pertanian dan
ketamadunan mungkin terbangun bukanlah disebabkan kedua-duanya itu adalah suatu
bentuk peningkatan gaya hidup nenek-moyang kita, sebaliknya disebabkan oleh
ketiadaan pilihan lain buat manusia. Pertanian merupakan cubaan yang bersifat
terdesak oleh manusia dalam rangka memulihara kembali ekosistem yang telah kita
rosakkan akibat pemburuan secara melampau. Jika demikian keadaannya, kita
bukanlah meninggalkan kehidupan sebagai pemburu di zaman ais lalu membangunkan
dunia moden dengan keinginan yang diniatkan, sebaliknya perubahan ini bersifat
suatu kemalangan, yang berlaku disebabkan bencana ekologi yang kita timbulkan
ribuan tahun dahulu.
- Get link
- X
- Other Apps