- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (25 Mei 2018). The Sui Dynasty: 37 Years, Two Emperors and One
Grand Canal. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/sui-dynasty-emperors-grand-canal-0010102
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/sui-dynasty-emperors-grand-canal-0010102
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dinasti Sui mungkin
tidaklah berdiri begitu lama. Namun, dinasti diraja ini memberikan kesan yang
cukup signifikan terhadap kebudayaan China setelah lama memori seputar para
pemerintahnya sirna. Rakyat jelata menyikapi tindakan-tindakan dua orang
maharaja yang memerintah dinasti ini dengan sokongan dan juga penentangan.
Sebahagian daripada projek yang dilaksanakan oleh para pemerintah Dinasti Sui
kekal wujud sehingga kini sekaligus membolehkan para pelancong dan rakyat
negara China sendiri mengingati detik-detik yang berlalu sepanjang berdirinya
dinasti ini.
Dinasti Sui diasaskan
oleh Yang Jian (juga dikenali sebagai Maharaja Wen dari Dinasti Sui), pada
tahun 581 Masehi. Sebelum DInasti Sui ditubuhkan, China melalui sebuah zaman
yang dikenali sebagai zaman Dinasti-Dinasti Utara dan Selatan, di mana pada
waktu ini, negara tersebut terbahagi kepada beberapa buah negara berbeza. Maharaja Wen pada asalnya adalah seorang
pegawai yang berkhidmat untuk Dinasti Zhou Utara, dinasti yang memerintah
hampir kesemua wilayah utara China dan memusatkan kuasanya di Chang’an. Yang
Jian merupakan seorang panglima yang berbakat dan kuasa serta pengaruh beliau
semakin meningkat apabila puterinya dikahwini oleh pewaris takhta Dinasti Zhou
Utara, iaitu Yuwen Yu (yang kelak menjadi Maharaja Xuan dari Dinasti Zhou
Utara)
![]() |
Lukisan yang mungkin menggambarkan Maharaja Wen dari Dinasti Sui |
MAHARAJA WEN
MENUMPAHKAN PERHATIAN KE WILAYAH SELATAN
Menantu lelaki Yang
Jian iaitu Maharaja Xuan dicatatkan sebagai seorang pemerintah yang bersikap
acuh tidak acuh. Pada tahun 579M, iaitu hanya setahun setelah beliau ditabalkan
sebagai maharaja, Maharaja Xuan turun takhta dan menyerahkan kuasa kepada
puteranya, Yuwen Yan yang baru berusia 6 tahun. Yuwen Yan memakai gelaran
Maharaja Jing dari Zhou Tara. Maharaja Xuan mangkat pada tahun 580M dan hal ini
membuka peluang buat Yang Jian untuk merampas kuasa dengan bertindak menjadi
pemangku maharaja baru (Maharaja Jing). Pada tahun berikutnya, Yang Jian mula
mengatur rancangan untuk merampas kuasa, mengambil alih takhta untuk dirinya
sendiri dan seterusnya menubuhkan Dinasti Sui.
Walaupun Dinasti Zhou
Utara menguasai bahagian utara China, wilayah-wilayah selatan negara itu
diperintah oleh Dinasti Chen. Setelah selesai menjamin kedudukannya sebagai
maharaja dengan membunuh 59 orang kerabat diraja Zhou Utara, Maharaja Wen
mengalihkan perhatiannya ke selatan. Dengan hasrat untuk menakluki
wilayah-wilayah selatan, Maharaja Wen menghimpunkan bala tentera bersaiz
gergasi yang jumlahnya mencecah setengah juta orang. Begitu juga dengan armada
perang yang besar saiznya. Sepanjang berlayar menuruni Sungai Yangzte, angkatan
tentera Sui dengan mudah menangani sebarang penentangan yang dihadapi dan dalam
masa tiga bulan, ibu kota Chen yang terletak di Jiankang berjaya ditawan.
Lantaran itu pada tahun 589M, China sekali lagi disatukan di bawah sebuah
pemerintahan tunggal.
PENCAPAIAN-PENCAPAIAN
DINASTI SUI
Walaupun Dinasti Sui
hanya berdiri bermula dari tahun 581M sehingga 618M, banyak sumbangan signfikan
yang diberikan olehnya terhadpa sejarah China. Misalnya, banyak projek
pembinaan dimulakan di zaman pemerintahan dinasti ini. Projek pembinaan yang
paling penting adalah pembinaan Terusan Besar. Projek mega ini dilaksanakan
oleh Maharaja Yang, maharaja kedua bagi dinasti ini.
![]() |
Lukisan berjudul ‘Matahari Terbit Di Terusan Besar China’ (1816-1817) oleh William Havell |
Terusan ini
menghubungkan Sungai Kuning dengan Sungai Yangzte. Ia memainkan peranan yang
sangat penting di zaman dinasti-dinasti terkemudian, seperti Dinasti Yuan dan
Dinasti Ming, dinasti yang mengubah laluannya ke ibu kota mereka, Beijing.
Apapun, dengan besarnya kos bagi menjalankan projek ini di samping hakikat
bahawa ia dibina dengan menggunakan tenaga buruh paksa, pembinaan Terusan Besar
yang dilaksanakan oleh maharaja ini kurang disenangi oleh rakyat jelata.
Selain itu, dinasti
juga melaksanakan beberapa pembaharuan dalam struktur pentadbirannya. Sebagai
contoh, Sistem Lapangan Samarata yang diperkenalkan sekitar sekurun sebelum itu
disebarluaskan ke seluruh China pada tahun 582M di zaman pemerintahan Dinasti
Sui. Sistem ini bertujuan melindungi petani-petani kecil daripada
pemilik-pemilik tanah yang mempunyai kuasa yang besar, dengan kaedah memperuntukkan
sebidang tanah kepada petani kecil di mana petani ini perlu mengerjakan tanah
tersebut sepanjang usia bekerjanya. Apabila petani tersebut bersara ataupun
meninggal dunia, pihak kerajaan akan mengambil semula tanah itu dan
meninggalkan sebahagian kecil daripadanya untuk diwarisi oleh zuriat petani itu
tadi. Sistem ini sangat masyhur hinggakan ia turut diamalkan oleh dinasti
seterusnya, iaitu Dinasti Tang.
![]() |
Perkakas batu China dari era Dinasti Sui |
KEMPEN-KEMPEN
KETENTERAAN DAN KETUMBANGAN DINASTI SUI
Dinasti Sui juga
memahat memorinya menerusi kempen-kempen ketenteraan yang dilancarkan ke atas
wilayah-wilayah jiran. Di wilayah selatan, Sui memerangi pasukan tentera
Vietnam dan berjaya meluaskan penguasaan China ke atas Annam di utara dan Champa
di selatan negara itu. Sementara itu, pencapaian pasukan tentera Sui tidak
begitu memberangsangkan dalam kempen memerangi Kerajaan Goguryeo di Korea.
Mereka melancarkan serangan sebanyak tiga kali, namun setiap satunya berjaya
dipatahkan oleh pasukan tentera Korea.
Kegagalan kempen
ketenteraan ke atas Goguryeo merupakan faktor utama yang menyumbang kepada
ketumbangan Dinasti Sui. Pemberontakan mula tercetus pada tahun 613M dan
berlanjutan sehingga 618M, tahun di mana Maharaja Yang terbunuh dalam sebuah
kejadian rampasan kuasa.
![]() |
Dua bilah zhibeidao, sekitar tahun 600, dikatakan ditemui di sebuah makam diraja di Mang Shan, utara Luoyang, Wilayah Henan |
Walaupun maharaja Sui
yang baru, iaitu Maharaja Gong diangkat oleh Li Yuan (pengasas Dinasti Tang) sebagai
maharaja pada tahun 617M, beliau tidak lain tidak bukan hanyalah maharaja
boneka dan kuasanya hanya diperakui di kawasan-kawasan yang berada di bawah
kawalan langsung Li Yuan. Selepas Maharaja Yang mangkat pada tahun 618M,
Maharaja Gong menyerahkan takhta kepada Li Yuan yang kemudiannya menubuhkan
Dinasti Tang.
![]() |
Maharaja Gaozu dari Dinasti Tang, atau nama sebenarnya, Li Yuan |
SUMBER
- Kelly, 2018. The Sui Dynasty – a Short but Significant Dynasty.
- Szczepanski, K. 2017. Sui Dynasty Emperors of China.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2016. Sui dynasty.
- Theobald, U. 2000. Sui Dynasty. (581-618).
- TravelChinaGuide. 2018. Sui Dynasty.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Dinasti Sui: Dinasti Paling Pendek Dalam Sejarah China’
- Get link
- X
- Other Apps