- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (9 Oktober 2018). Jebe: Genghis Khan’s Would-be-Assassin Becomes
His Sharpshooting General. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/jebe-0010816
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/jebe-0010816
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Jebe merupakan seorang
panglima Monggol yang terkemuka di bawah kepimpinan Genghis Khan. Beliau pada
asalnya adalah seorang tentera musuh yang direkrut oleh penakluk tersebut
setelah membidik panah tepat ke arah Genghis Khan dalam sebuah pertempuran.
Dalam detik bersejarah itu, Genghis Khan menyaksikan peribadi insan yang hampir
menjadi pembunuhnya. Lantas, beliau pun mengajak Jebe untuk berkhidmat di bawah
kepimpinannya. Jebe pula tidak mengecewakannya sehingga beliau menjadi salah
seorang panglima Genghis Khan yang paling berbakat dan paling setia.
Jebe berkemungkinan
dilahirkan pada suatu masa sekitar kurun ke-12 Masehi. Dicatatkan bahawa nama
sebenarnya adalah Zurgudai dan beliau berasal daripada puak Besud yang
merupakan sebahagian daripada kabilah Taichud. Pada tahun 1201, beliau terlibat
dalam Pertempuran Tiga Belas Pihak dan berperang menentang Genghis Khan.
![]() |
Gambaran moden Jebe |
KISAH JEBE DAN ANAK
PANAH
Menurut satu versi
penceritaan, Jebe telah mencederakan Genghis Khan dengan menggunakan anak panah
dalam sebuah pertempuran. Genghis Khan memenangi pertempuran tersebut dan
berhajat mahu mengenali individu yang telah mencederakannya itu. Beliau tidak
bertanya secara langsung, sebaliknya menyoal kesemua tawanan perangnya tentang
siapakah yang telah membidik kudanya sehingga mati. Jebe tampil mengaku, selain
menambah bahawa beliau sama sekali tidak takut mati. Namun jika beliau dibelas
kasihan, Jebe menyatakan bahawa dirinya bersedia berkhidmat untuk Khan Agung
dengan penuh setia.
Dalam catatan lain,
Jebe melarikan diri daripada tentera-tentera Genghis Khan sesudah tamat
pertempuran. Jebe berjaya membunuh kuda Genghis Khan dengan bidikan panah
sebelum dirinya diberkas. Sebagai galang ganti agar nyawanya dibelas kasihani,
Jebe mengutarakan janji untuk menggantikan kuda Genghis Khan yang dibunuhnya
itu dengan kuda-kuda yang lebih baik.
![]() |
Tentera kavalri ringan Monggol, lukisan China, dinasti Ming |
Dalam apa pun jua
keadaan, Genghis Khan berasa kagum terhadap Jebe lantas mengajak beliau untuk
menyertainya. Malahan, Genghis Khan sendiri adalah insan yang memberikan nama
Jebe kepadanya, yang mana nama tersebut membawa maksud ‘panah dalam Bahasa
Monggolia. Jebe berkhidmat untuk Genghis Khan dengan penuh setia. Dengan bakat
yang dimilikinya, Jebe mendaki hierarki ketenteraan Monggol dengan pantas.
Menurut sebuah hikayat, Jebe merupakan seorang yang sangat berkebolehan
hinggakan tersebar khabar angin kononnya beliau merancang mahu memberontak
menentang Genghis Khan. Demi membuktikan kesetiannya, Jebe dengan segera kembali
ke menghadap Genghis Khan dengan membawa hadiah 100 ekor kuda putih. Semenjak
itu, Genghis Khan meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada Jebe.
PANGLIMA JEBE
Jebe merupakan seorang
panglima yang sangat berkebolehan. Pada tahun 1204 Masehi, Genghis Khan
menewaskan kabilah Naima, salah sebuah kabilah Monggolia yang kuat, yang mana
pemimpinnya telah membentuk pakatan untuk memerangi beliau. Mereka yang
terselamat daripada pertempuran tersebut pula melarikan diri ke arah barat.
Menyedari bahawa mereka ini berpotensi membentuk sebuah lagi pakatan baru dan
mengancamnya di masa hadapan. Genghis Khan memutuskan untuk mengejar dan
menghapuskan mereka.
Jebe adalah salah
seorang panglima yang digalaskan dengan tugas tersebut. Untuk beberapa tahun,
Jebe disibukkan dengan usaha menjejak tentera-tentera musuh yang melarikan diri
daripada pertempuran sebelum ini. Namun, beliau segera dipanggil pulang untuk
menyertai kempen memerangi Dinasti Jin, yang bermula pada tahun 1211 Masehi.
Pada tahun 1215, ibu kota Jin iaitu Zhongdu tumbang ke tangan Monggol dan Jebe
dihantar sekali lagi ke barat di mana beliau ditugaskan untuk menghambat
Kuchlug, pemimpin Naima.
![]() |
Kavalri Monggol berperang melawan pasukan tentera Jin di pergunungan |
PERTEMPURAN SUNGAI
KALKA
Jebe juga terlibat dalam
ketumbukan tentera yang dihantar untuk menyerang Empayar Khwarazmi. Selepas
pasukan tentera Khwarazmi ditewaskan dan empayarnya pula habis dihancurkan,
Jebe dan Subutai ditugaskan untuk memimpin ekspedisi ketenteraan di sekitar
Laut Kaspia. Pasukan tentera Monggol ini menyerang Azerbaijan, Georgia dan
bergerak di sepanjang pantai barat Laut Kaspia sebelum kemudiannya memasuki
bahagian selatan steppe Russia. Sepanjang perjalanan, pasukan tentera Monggol
menewaskan pasukan tentera Georgia, pakatan kaum Turki dari steppe dan kaum
Cuman. Beberapa orang Cuman yang terselamat bergegas meminta bantuan daripada
putera-putera Russia.
Kerajaan-kerajaan Russia
kemudiannya menghimpunkan bala tentera. Bersama dengan sekutu daripada Cuman,
mereka cuba mengepung pasukan tentera Monggol di tebing Sungai Dnieper. Namun,
pasukan tentera Monggol berpura-pura berundur ke timur lalu membuatkan tentera
Russia mengejar mereka selama 9 hari. Pada akhirnya, pasukan tentera Monggol
tiba di tebing Sungai Kalka. Di sana, mereka berpaling dan menyerang tentera
Russia.
![]() |
Pertempuran Sungai Kalka |
Dalam Pertempuran
Sungai Kalka yang berlangsung pada tahun 1223 Masehi, pasukan tentera Russia
ditewaskan oleh pasukan tentera Monggol. Peristiwa ini merupakan pertembungan
pertama di antara Monggol dan Russia. Kemenangan yang diraih oleh Monggol
berperanan merintis laluan mereka bagi menyerang Eropah Timur pada 15 tahun
kemudian. Jebe meninggal dunia semasa dalam perjalanan pulang daripada
ekspedisi ketenteraan ini.
SUMBER
- Buell, P.D. 2008. Subotai. In: M.E. Ackermann, et al. eds. Encyclopedia of World History, Volume I. New York City, N.Y. : Fact on File Publishing, Inc, pp:378-380.
- Lane, G. 2004. Genghis Khan and Mongol Rule. Westport, Conn: Greenwood Press.
- Alcibiades. 2017. How a Poor Mongolian Soldier Became a General after almost Killing Genghis Khan with an Arrow.
- Knight, J. 2016. The Poor Man Who Almost Killed Genghis Khan With An Arrow To The Neck: He Became The Khan’s Best General.
- Mongolhistorypodcast. 2018. Jebe.
- Philips, C. 2018. Battle of the Kalka River.
- Zodakreza. 2013. Tsubotei – the greates Mongol general.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Jebe: Panglima Setia Genghis Khan Yang Pernah Nyaris Membunuhnya’
- Get link
- X
- Other Apps