- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (21 Februari 2016). The Legend of How Mansa Abu Bakr II of Mali
Gave up the Throne to Explore the Atlantic Ocean. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/legend-how-mansa-abu-bakr-ii-mali-gave-throne-explore-atlantic-ocean-005392
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/legend-how-mansa-abu-bakr-ii-mali-gave-throne-explore-atlantic-ocean-005392
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Mansa (bermaksud raja,
maharaja atau sultan) Abu Bakr II merupakan seorang pemerintah Empayar Mali di
Afrika Barat pada abad ke-14 Masehi. Pada waktu itu, Empayar Mali mengalami
zaman kemuncaknya.
Kekayaan Empayar Mali
dapat dilihat menerusi perjalanan haji Mansa Musa yang masyhur (pengganti Abu
Bakr II). Menurut sejarawan-sejarawan Arab, pemerintah tersebut membelanjakan
begitu banyak wang emas dalam perjalanan hajinya hinggakan ‘kadar dinar (wang
emas) jatuh sebanyak 6 dirham (wang perak)’.
Keamanan dan kestabilan
yang dimiliki oleh empayar tersebut membenarkan sebuah episod aneh berlaku di
zaman pemerintahan Abu Bakr. Menurut seorang sejarawan Syria, al-Umari (yang
bertemu dengan Mansa Musa di Kaherah), Mansa Abu Bakr mengambil keputusan untuk
turun takhta agar beliau dapat mengembara dan meneroka Lautan Atlantik.
KISAH ABU BAKR DARIPADA
MULUT PENGGANTINYA SENDIRI
Tidak banyak yang kita
ketahui tentang kehidupan Abu Bakr dan satu-satunya sumber bertulis tentang
beliau yang wujud sehingga ke hari ini dapat ditemui di dalam hasil karya
al-Umari. Menarik juga andai dikepilkan nota bahawa maklumat berkenaan Abu Bakr
ini datang daripada mulut penggantinya sendiri, iaitu Mansa Musa. Malahan,
penerangan beliau itu lebih menjurus kepada memerihalkan tentang bagaimana
Mansa Musa menaiki takhta. Perbualan yang berlangsung di antara al-Umari dan
Mansa Musa berkenaan hal ini dicatatkan seperti berikut:
“Maka, Abu Bakr pun
melengkapkan 200 buah kapal dengan anak kapal dan 200 buah kapal lain dengan
emas, air dan bekalan yang cukup untuk menampung kehidupan mereka selama
bertahun-tahun… mereka berangkat dan tiada yang pulang walau setelah lama masa
berlalu. Kemudian, sebuah kapal pulang dan kami bertanya kepada kapten kapal
tentang berita yang dapat mereka kongsikan.
Si kapten berkata,
“Iya, oh Sultan, kami berlayar dengan cukup lama sehingga kami melihat pada
lautan luas itu terdapat sebatang sungai yang arusnya mengalir kencang…
kapal-kapal lain terus sahaja berlayar ke hadapan. Namun sebaik sahaja mereka
tiba di tempat tersebut, mereka tidak pulang-pulang dan sosok mereka tidak lagi
kelihatan… Bagi kapal saya sendiri, saya mengarahkannya agar berpatah-balik dan
tidak memasuki sungai tersebut.”
Sultan menyediakan 2000
buah kapal, 1000 untuk dinaiki oleh dirinya sendiri dan anak kapal, sementara
1000 buah kapal yang lain dipenuhi dengan bekalan. Beliau meninggalkanku dengan
tanggungjawab memangku pemerintahan empayarnya lalu beliau berangkat menerokai
Lautan Atlantik. Itulah kali terakhir kami melihat beliau dan anak-anak kapal
yang dibawanya.
Dengan demikian, aku
menjadi raja yang sah.”
![]() |
Gambaran artistic tentang ‘Empayar yang diperintah oleh Mansa Musa’ |
Walaupun tujuan
penceritaan tersebut adalah untuk memerihalkan bagaimana Mansa Musa memperoleh
takhta Empayar Mali sekaligus memulakan dinasti baru, masyarakat di zaman moden
menumpahkan tumpuan yang lebih kepada tindakan Abu Bakr yang turun takhta dan meneroka
Lautan Atlantik itu.
Seandainya kata-kata
daripada Musa dan al-Umari ini boleh diambil sebagai suatu maklumat yang sahih
(hikayat ini langsung tidak ditemui dalam mana-mana sumber Afrika dan Arab yang
lain, kecuali, mungkin tradisi lisan), maka penurunan takhta Mansa Abu Bakr dan
pengembaraannya ke Lautan Atlantik boleh dianggap sebagai peristiwa yang
benar-benar berlaku.
![]() |
Mansa Abu Bakr berlayar di atas kapalnya |
PENGEMBARAAN KE DUNIA
BARU?
Akan tetapi, terdapat
sebilangan pihak yang tidak cukup sekadar berhenti pada naratif yang dicatatkan
oleh al-Umar. Mereka bahkan melontarkan pendapat yang menjangkaui kisah
penceritaan tersebut. Menurut mereka, Abu Bakr tidak hanya sekadar berlayar
merentasi Lautan Atlantik, malahan beliau dispekulasikan telah sampai ke benua
Amerika. Mereka turut mengedepankan bukti-bukti yang pada hemat mereka,
menyokong dakwaan-dakwaan tersebut.
Antara lain adalah
nama-nama tempat yang terdapat pada peta-peta lama, yang kononnya menjadi bukti
bahawa Mansa Abu Bakr dan rombongan pengiringnya itu pernah berlabuh di Dunia
Baru. Masyarakat Mali dikatakan telah memberi nama kepada beberapa buah tempat,
seperti Pelabuhan Mandinga, Teluk Mandinga dan Sierre de Mali. Walau
bagaimanapun, lokasi tepat bagi tempat-tempat tersebut tidak dapat dipastikan
memandangkan satu sumber menyatakan bahawa ia terletak di Haiti sementara
sumber lain pula meletakkannya di Mexico.
![]() |
Sekumpulan Muslim (sebilangan sejarahwan berpandangan bahawa Mansa Abu Bakr II juga termasuk) bertemu dengan masyarakat asli Amerika |
Antara hujah lazim lain
yang sering dikemukakan adalah berkenaan barangan logam dari Afrika Barat yang
ditemui oleh Columbus semasa beliau tiba di Amerika. Satu sumber mendakwa
bahawa Columbus sendiri melaporkan bahawa beliau memperolehi barangan logam
yang berasal-usul dari Afrika Barat dari tangan masyarakat asli Amerika. Sumber
lain menegaskan bahawa analisis kimia terhadap emas yang ditemui oleh Columbus
pada lembing-lembing yang ada di Amerika menunjukkan bahawa emas tersebut berkemungkinan
datang dari Afrika Barat.
Terdapat banyak lagi
contoh lain yang didakwa menyokong ketibaan dan kehadiran masyarakat Mali di
Dunia Baru dikemukakan, antara lain melibatkan rangka manusia, inskripsi,
sebuah bangunan yang kelihatan seperti masjid, analisa linguistik, dan ukiran
yang dipercayai menggambarkan orang-rang Mali. Namun, bukti-bukti sebegini agak
kurang meyakinkan. Hal ini kerana sumber-sumber yang mengemukakan bukti-bukti
tersebut tidak memberikan maklumat tambahan ataupun rujukan untuk mendokong
dakwaan mereka. Misalnya, daripada sekadar menyatakan bahawa terdapat
tempat-tempat di Amerika yang diberi nama oleh orang-orang Mali sebagaimana
yang ditemui pada peta-peta lama, dakwaan ini akan lebih meyakinkan seandainya
sumber tersebut turut memberikan contoh atau hujah yang lebih boleh dipercayai
berkenaan ‘peta-peta lama’ itu.
![]() |
Masjid Jamek Djenne, Mali |
Memandangkan
bukti-bukti yang cuba mengesahkan ketibaan Mansa Abu Bakr di Amerika agak tidak
meyakinkan, kalau bukan tidak wujud sama sekali, maka kemungkinan untuk
pemerintah Mali itu tiba di Dunia Baru semasa ekspedisi pengembaraannya ke
Lautan Atlantik juga agak rendah. Walau bagaimanapun, hikayat tentang penurunan
takhta Mansa Abu Bakr dan penerokaannya ke Lautan Atlantik (sekali lagi, sekiranya
sumber daripada Musa dan al-Umari itu boleh dipercayai) adalah sebuah hikayat
yang mengagumkan, dan boleh dianggap setara dengan permisalan seorang pemimpin
dunia moden yang berhenti daripada dunia politik untuk menjadi seorang
angkasawan.
SUMBER
- Bukhari, Z.H. 2004. Muslims’ Place in the American Public Square: Hope, Fears, and Aspirations. Walnut Creek, Ca: AltaMira Press.
- Baxter, J. 2000. Africa’s ‘greatest explorer’.
- Born Black International. 2009. The Battle for the Americas.
- Firas. 2012. Columbus was (not) the First to Cross the Atlantic.
- Reklaw Education Ltd. 2014. 50 Greatest Africans – Mansa Abubakari II & Sultan Abul-Hassan.
- The BBC. 2016. Mali.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kisah Raja Muslim Kaya Raya Menemui Benua Amerika Sebelum Columbus’
- Get link
- X
- Other Apps