- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (30 Disember 2013). The Ancient Origins of New Year’s
Celebrations. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-important-events/ancient-origins-new-year-s-celebrations-001181
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-important-events/ancient-origins-new-year-s-celebrations-001181
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada tanggal 1 Januari
setiap tahun, kebanyakan negara di seluruh dunia meraikan tahun baru. Namun
hakikatnya, tiada yang baru tentang Tahun Baru. Keraian-keraian dan sambutan-sambutan
yang menandakan permulaan kaledar telah pun wujud sejak ribuan tahun. Di kala
sebahagian keraian hanya mengisarkan tentang acara meminum arak dan berpesta,
banyak sambutan Tahun Baru yang lain dikaitkan dengan peristiwa pertanian
ataupun astronomi.
Misalnya di Mesir, tahun baru dimulakan dengan peristiwa
banjir tahunan Nil yang bersamaan dengan munculnya bintang Sirius. Masyarakat
Phoenicia dan Parsi memulakan tahun mereka pada ekuinoks musim bunga manakala
masyarakat Yunani pula menyambutnya pada solstis musim sejuk. Sementara itu,
hari pertama Tahun Baru China berlangsung pada bulan baru kedua sesudah solstis
musim sejuk.
SAMBUTAN AKITU DI
BABYLON
Rekod terawal berkenaan
Tahun Baru berusia kira-kira 4000 tahun lalu, berasal dari Babylon purba. Ia terkait
secara rapat dengan agama dan mitologi. Bagi masyarakat Mesopotamia di
Mesopotamia purba, bulan baru pertama sesudah ekuinoks vernal (lewat Mac di
mana siang dan malam relatif sama panjang) menandakan permulaan tahun baru bagi
mereka. Ia turut mewakili simbol kelahiran semula dunia.
Mereka menyambut
peristiwa ini dengan sebuah keraian keagamaan secara besar-besaran yang
dipanggil sebagai Akitu (diambil daripada perkataan Sumeria yang bermaksud
barli). Keraian ini melibatkan kelangsungan suatu ritual yang berbeza pada
setiap hari sepanjang 11 hari. Semasa berlangsungnya keraian Akitu,
patung-patung dewa diarak di seluruh kota dan upacara tertentu diadakan sebagai
simbol kemenangan mereka ke atas unsur huru-hara. Menerusi ritual-ritual
sebegini, masyarakat Babylon meyakini bahawa dunia secara simboliknya sudah
dibersihkan dan dicipta semula oleh dewa sebagai persiapan menghadai tahun baru
dan kembalinya musim bunga.
Selain daripada tahun
baru, keraian Akitu turut menyambut kemenangan mitos dewa langit Babylon iaitu
Marduk ke atas dewi laut jahat, Tiamat. Keraian ini turut memainkan peranan
yang penting dalam aspek politik di mana pada masa inilah raja baru akan
dimahkotakan atau bagi pemerintah yang sedang berkuasa, mandat kedewataannya
diperbaharui.
Satu aspek yang menarik
bagi Akitu adalah suatu ritual perendahan diri yang perlu dilalui oleh
raja-raja Babylon. Tradisi khusus ini memperlihatkan raja dibawa ke hadapan
patung dewa Marduk, lalu regalia dirajanya ditanggalkan dan si raja kemudiannya
ditampar dan ditarik telinganya dengan harapan dapat membuatnya menangis.
Sekiranya tangisan diraja berjaya ditumpahkan, ia menjadi petanda bahawa Marduk
berpuas hati terhadap pemerintahan raja tersebut dan secara simboliknya telah
memanjangkan pemerintahannya.
SAMBUTAN JANUS BAGI
MASYARAKAT ROM PURBA
Tahun Baru bagi
masyarakat Rom pada asalnya berkait dengan ekuinoks vernal. Kalendar Rom awal
terdiri daripada 10 bulan atau 304 hari di mana setiap tahun bermula pada
ekuinoks vernal. Menurut tradisi mereka, kalendar Rom dicipta oleh Romulus,
pencipta Rome pada kurun ke-8SM. Namun seiring peredaran masa, kalendar
tersebut tidak lagi selari dengan peredaran matahari. Lantaran itu, pada tahun
46SM, maharaja Julius Caesar memutuskan untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan
khidmat ahli-ahli astronomi dan matematik terulung di zamannya. Beliau
memperkenalkan kalendar Julian, sebuah kalendar berteraskan matahari yang mirip
dengan kalendar Gregorian yang lebih moden, yang digunakan oleh kebanyakan
negara pada hari ini.
Sebagai sebahagian
daripada pembaharuan yang dilakukan olehnya, Kaisar turut menginstitusikan 1
Januari sebagai hari pertama bagi tahun masyarakat Rom. Antara lain faktornya
adalah untuk memuliakan dewa yang namanya diambil untuk menamakan bulan
tersebut, iaitu Dewa Janus si dewa perubahan dan permulaan Rom yang dua
wajahnya itu dipercayai membolehkannya untuk melihat masa lalu dan masa depan.
Idea tersebut kemudiannya dikaitkan dengan konsep peralihan tahun, dari satu
tahun ke tahun mendatang.
Masyarakat Rom lazimnya
meraikan 1 Januari dengan mempersembahkan korban kepada Janus dengan harapan
meraih tuah menjelang Tahun Baru. Mereka turut menghiasi rumah dengan
bunga-bunga laurel dan menghadiri parti-parti yang diadakan. Hari tersebut
dilihat sebagai penentu perjalanan 12 bulan yang berikutnya. Kebiasaannya pada
waktu itu, rakan-rakan dan jiran-tetangga akan memulakan tahun secara positif
dengan bertukar-tukar ucapan selamat dan memberikan hadiah seperti madu dan
buah ara.
ZAMAN PERTENGAHAN – 1
JANUARI SEBAGAI TAHUN BARU DIMANSUHKAN
Walau bagaimanapun,
Eropah pada zaman pertengahan menganggap sambutan-sambutan yang mengiringi
Tahun Baru sebagai amalan pagan dan tidak mencirikan Kristian. Lantaran itu
pada tahun 567M, Sidang Tours (Council of Tours) memansuhkan tanggal 1
Januari sebagai permulaan tahun lalu menggantikannya dengan hari-hari yang
memiliki signifikasi agama seperti 25 Disember atau 25 Mac, Jamuan Pengumuman
atau juga dipanggil sebagai ‘Hari Wanita’.
Tarikh 1 Januari
kemudiannya turut diberikan signifikasi keagamaan dalam agama Kristian di mana
ia dikenali sebagai Jamuan Sunat lantaran hari itu dianggap sebagai hari
kelapan dalam kehidupan Christ. Kiraan dimulakan daripada tanggal 25 Disember
dan mengikut tradisi Yahudi, pada hari kelapan inilah seseorang bayi itu
seharusnya diberikan nama secara rasmi. Namun, tarikh 25 Disember sebagai
tarikh kelahiran Jesus masih diperdebatkan dalam tradisi mereka.
KALENDAR GREGORIAN – 1
JANUARI SEBAGAI TAHUN BARU DIKEMBALIKAN
Pada tahun 1582,
selepas melakukan pembaharuan ke atas kalendar Gregorian, Pop Gregory XIII
mengembalikan semula status tanggal 1 Januari sebagai Hari Tahun Baru. Walaupun
kebanyakan negara Katolik menerapkan secara pantas kalendar Gregory yang baru
ini, ia hanya diamalkan secara bertahap dalam kalangan negara Protestant.
Misalnya, British tidak menerapkan kalendar yang sudah diperbaharu itu
melainkan pada tahun 1752. Sepanjang tempoh sebelum itu, Empayar British dan
koloni-koloni mereka di Amerika menyambut Tahun Baru pada bulan Mac.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Sejarah Sambutan Tahun Baru’
- Get link
- X
- Other Apps
