BUDAYA MEMASANG AZAM TAHUN BARU SEJAK LEBIH 4000 TAHUN DAHULU

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (30 Disember 2017). Humans Have Been Making New Year’s Resolutions for Over 4000 Years. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/humans-have-been-making-new-year-s-resolutions-over-4000-years-009359

Penterjemah: Amir Zayyanid


Memasang azam menjelang setiap Tahun Baru merupakan suatu amalan yang masyhur. Azam Tahun Baru lazimnya dipasang setiap kali tanggal 31 Disember berlalu, Walaupun rancangan dan impian yang disemat di dalam azam tersebut lazimnya sukar dipenuhi, idea memasang azam Tahun Baru merupakan sebuah fenomena yang mempunyai sejarah seawal 4000 tahun lampau. Sejarah amalan ini dapat dilihat pada masyarakat Babylon.

Pada hari ini, azam tahun baru secara umumnya berkisar pada matlamat peribadi dalam rangka meningkatkan kualiti diri sendiri. Namun bagi masyarakat Babylon, mereka berjanji kepada dewa-dewa mereka setiap kali tahun baru menjelma. Antara janji yang dilontarkan adalah seperti bertekad untuk memulangkan sesuatu barang yang dipinjam ataupun membayar sebarang hutang yang belum dilunaskan.

Namun, jika dibandingkan dengan masyarakat moden, masyarakat Babylon lebih berpegang pada azam Tahun Baru mereka. Hal ini kerana mereka meyakini bahawa dengan memenuhi azam atau janji yang disemat, para dewa akan memberikan layanan yang baik kepada mereka. Sebaliknya jika janji tersebut tidak dipenuhi, hal ini akan menaikkan kemurkaan para dewa sehingga mereka ditimpa malang sepanjang 12 bulan berikutnya.

Patung seorang wanita. Babylon lama (2000-1700SM)


Tidak seperti tradisi Barat yang menyambut tahun baru pada bulan Januari, masyarakat Babylon memulakan tahun mereka pada permulaan Mac. Hal ini agak munasabah memandangkan pada waktu itu, mereka sedang mengalami musim bunga, musim yang menjadi tumpuan masyarakat yang mengamalkan pertanian.

Masyarakat Rom purba juga mengamalkan tradisi memasang azam pada setiap tahun baru. Dewa pilihan mereka untuk ditujukan azam tahun baru ini adalah Janus, dewa yang dikaitkan dengan awal dan akhir. Janus dipercayai berupaya melihat ke belakang, menatap tahun-tahun yang lalu dan juga menatap ke hadapan, memandang tahun-tahun berikutnya.

Janus, dewa Rom (1550)


Menjelang Zaman Pertengahan, para kesatria Eropah lazim mengangkat ‘sumpah burung merak’ (les voeux du paon) pada penghujung tahun. Sumpah ini berkisar pada janji untuk mengekalkan sikap chivalry yang menjadi teras mereka sepanjang tahun yang mendatang. Pada zaman ini juga, kaum Kristian mengambil kesempatan pada awal tahun untuk bermuhabasah atas kesilapan-kesilapan yang dilakukan sepanjang tahun lalu dan memasang tekad untuk tidak lagi mengulangi kesilapan tersebut. Ramai tentera Kristian memanfaatkan tugas berkawal pada waktu malam untuk memasang azam sebegini, sambil memanjatkan doa memohon kebaikan untuk tahun mendatang.

Kesatria zaman pertengahan mengangkat sumpah burung merak yang saling tidak tumpah seperti azam tahun baru


Selain Kristian, Judaisme juga mempunyai sebuah idea yang mirip dengan idea memasang azam tahun baru. Amalan masyarakat Yahudi ini lazimnya dilakukan bermula dari Hari Tahun Baru atau Rosh Hashanah sehinggalah Hari Yom Kippur. Tempoh tersebut diisi dengan bermuhasabah atas kesilapan yang dilakukan sepanjang tahun lalu di samping memohon keampunan.

Sebagaimana yang dapat kita lihat, idea asas berkenaan azam tahun baru ini adalah merenungi kesilapan lalu dan bertekad untuk menambah-baik diri sendiri. Namun, perbezaan yang ketara dapat dilihat pada orang yang memasang azam dalam konteks selain agama di mana mereka cenderung untuk menujukan azam tersebut kepada diri sendiri, dan bukannya kepada mana-mana dewa.

Ketiadaan ‘kuasa yang lebih tinggi’ yang akan menghukum andai azam tersebut tidak dipenuhi berkemungkinan menjadi sebab mengapa azam tahun baru seringkali gagal dipenuhi oleh kebanyakan masyarakat moden. Majoriti kita meyakini bahawa kita langsung tidak akan dipertanggungjawabkan seandainya azam yang disemat itu gagal dipenuhi.

Poskad Hari Tahun Baru 1909. Azam tahun baru di zaman moden secara umum dianggap sukar untuk dipenuhi


Kajian tahun 2007 yang dilakukan di University of Bristol menunjukkan bahawa 88% orang yang memasang azam tahun baru gagal untuk melaksanakannya. Azam ini gagal dipenuhi walaupun daripada 3000 individu yang terlibat dalam penyelidikan ini, 52% daripadanya berkeyakinan bahawa mereka berupaya melaksanakan azam tersebut.

Penyelidikan lanjut juga mendapati bahawa lelaki akan menjadi 22% lebih cenderung untuk berjaya memenuhi azam tahun baru seandainya mereka benar-benar menghayati azam yang dipasang. Wanita pula akan menjadi 10% lebih berjaya dalam memenuhi azam tahun baru sekiranya mereka memberitahu pada orang lain tentang azam yang dipasang dan mendapatkan sokongan daripada individu-individu yang boleh membantu.