IBNU BATTUTA – MARCO POLO BAGI DUNIA ISLAM


Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (15 Januari 2019). Ibn Battuta – The Marco Polo of Dar-al-Islam. Ancient Origins.

https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ibn-battuta-0011325

Penterjemah: Amir Zayyanid


Sebelum penciptaan pengangkutan seperti keretapi, kapal terbang dan pengangkutan-pengangkutan yang efisien lagi murah dalam meredah lautan luas, manusia jarang mengembara jauh melebihi 20 batu dari kampung halaman. Namun sudah tentu, keadaan ini terkecuali bagi golongan yang kaya dan mempunyai keinginan kuat untuk berkelana ke pelosok dunia.

Di Barat, mereka mempunyai Marco Polo bagi mewakili individu seperti itu. Manakala dalam Dunia Islam pula, Ibnu Battuta tampil sebagai pengembara ulung. Dalam pengembaraannya itu, Ibnu Battuta berpeluang menjelajah ke seluruh Afrika, Eropah Timur, Timur Tengah, India dan China sebelum akhirnya pulang ke Maghribi untuk bersara dan menjalani kehidupan yang lebih menenangkan sebagai seorang ulama Islam.


KEHIDUPAN AWAL IBNU BATTUTA

Ibnu Battuta dilahirkan pada tahun 1304 di bandar Tanjir (Tangier) yang terletak di Maghribi moden. Keluarga beliau yang beretnik Berber masyhur lantaran melahirkan ramai ulama’ Islam dalam bidang hukum-hakam. Ibnu Battuta sendiri menerima pendidikan yang tinggi dalam bidang tersebut. Hal ini kemudiannya membantu beliau semasa pergi mengembara memandangkan kedudukannya sebagai seorang ulama’ membuatkan masyarakat Islam yang dikunjungi cenderung untuk memberikan layanan hormat dan mesra kepadanya. Tidak kurang juga ada yang mengurniakan hadiah dan menyediakan tempat untuk beliau bermalam. Dalam hayatnya, Ibnu Battuta sempat menjelajah hampir ke seluruh Dar-al-Islam, atau Dunia Islam.

Ibnu Battuta mengembara bersama seekor unta



BERMULANYA PENGEMBARAAN – HAJI KE MEKAH

“Aku berangkat sendirian, tidak memiliki rakan pengembara yang dengan pertemanannya aku boleh temukan kegembiraan atau kafilah yang dengan gerombolannya aku boleh merasai kebersamaan. Sebaliknya, (aku berangkat) dengan dipengaruhi oleh keinginan yang kuat dalam diriku untuk melawat tempat-tempat ini. Maka, aku pun memeluk erat tekadku untuk meninggalkan segala yang tersayang, baik lelaki mahupun wanita, serta meninggalkan rumahku sebagaimana burung meninggalkan rumahnya. Ibu bapaku (ketika itu) masih lagi bernafas hidup, dan menjadi satu beban bagiku untuk meninggalkan mereka. Kami ditimpa rasa duka lantaran perpisahan ini.” – catatan daripada Rihlah Ibnu Battuta.

Pada tahun 1325, ketika usianya mencecah 21 tahun, Ibnu Battuta berangkat menunaikan haji ke Mekah demi memenuhi tuntutan sebagai seorang Muslim yang taat. Dalam perjalanannya itu, beliau sempat menjelajah ke seluruh Afrika Utara dan Mesir. Di sana, beliau mengambil peluang untuk menziarahi Iskandariah dan Kaherah. Penjelajahannya ini menyuntikkan tekad yang lebih kuat untuk beliau melanjutkan pengembaraan dan melihat dunia serta tempat-tempat suci di wilayah-wilayah Islam.


MENGEMBARA KE TIMUR TENGAH DAN TANDUK AFRIKA

Sepanjang tahun berikutnya, iaitu tahun 1326 hingga 1327, Ibnu Battuta mengembara ke Iraq dan Parsi. Menjelang 1328, beliau berlayar ke Afrika Timur dan mengunjungi pelabuhan besar Somali, iaitu Mogadishu. Daripada sana, beliau terus menjelajah ke wilayah selatan dan meneroka pantai Kenya dan Tanzania moden.

Ibnu Battuta melakukan kunjungan singkat ke kota Tabriz, Iran pada tahun 1327



PERJALANAN KE INDIA

Sesudah menyelesaikan penjejalahannya di Afrika, Ibnu Battuta meraih dorongan untuk mengembara ke India dan menjadi seorang qadi, atau hakim Islam, di bawah pemerintahan Sultan Delhi. Beliau merentasi Mesir dan Syria, lalu tiba di Anatolia atau Turki moden pada sekitar tahun 1331. Daripada sana, beliau meredah Laut Hitam dan menuju ke wilayah Khanate Orda Emas. Ketika berada di sana, beliau diraikan sebagai seorang ulama’ Islam di istana Khan Uzbeg.

Oleh kerana hal yang demikian, Ibnu Battuta pun berdiam selama setahun dua di istana Khan Uzbeg. Malahan, beliau turut diutus oleh Uzbeg untuk menjelajah bersama salah seorang isterinya ke Konstantinopel. Ketika berada di sana, Ibnu Battuta berpeluang meneroka kota tersebut dan menyaksikan sendiri kemegahan Hagia Sophia. Beliau juga dicatatkan berkesempatan untuk menghadap maharaja.

Ibnu Battuta mungkin berkesempatan bertemu Andronikos III Palaiologos, maharaja Byzantine pada lewat tahun 1332


Ibnu Battuta melanjutkan catatannya dengan menulis rasa takjubnya terhadap bilangan gereja yang terdapat di dalam Konstantinopel. Kota tersebut merupakan salah sebuah kota bukan-Islam yang dikunjungi oleh beliau. Selain itu, Ibnu Battuta turut berasa takjub terhadap wanita-wanita Monggol dalam mengendalikan diri sendiri dalam suasana kehidupan di dalam Khanate serta bagaimana mereka diberikan lebih kebebasan untuk bersuara berbanding wanita-wanita di rantau lain yang dikunjungi oleh beliau.


BERKHIDMAT DI DELHI

Pada suatu masa sekitar tahun 1333, Ibnu Battuta yang telah meninggalkan rumahnya selama lapan tahun melanjutkan pengembaraan dan merentasi steppe Asia Tengah. Beliau tiba di Delhi melalui Afghanistan pada tahun 1334 dan diraikan di istana Muhammad bin Tughluq, sultan Delhi. Ibnu Battuta berkhidmat sebagai hakim untuk sultan itu selama kira-kira tujuh tahun. Sepanjang tempoh tersebut, beliau sempat berkahwin dan dikurniakan beberapa orang zuriat.

Pada mulanya, Ibnu Battuta menikmati hari-harinya di Delhi. Namun setelah beberapa ketika, beliau semakin tidak selesa dengan Sultan Muhammad bin Tughluq yang terkenal sebagai seorang yang gemar menjatuhkan hukuman yang berat. Misalnya, sultan lazim mengarahkan tawanan-tawanannya agar dicampakkan ke arah gajah-gajah yang sedang berlari, sambil haiwan liar itu dilengkapkan dengan bilah yang tajam.


MELARIKAN DIRI DARI DELHI DAN PENGEMBARAAN KE MALDIVES

Akhirnya pada tahun 1341, takdir menghidangkan peluang untuk Ibnu Battuta meninggalkan istana sultan lantaran Muhammad ibn Tughluq mengarahkan agar Ibnu Battuta berangkat menjadi perutusan ke istana diraja China. Bagaikan pucuk dicita ulam mendaang, Ibnu Battuta langsung sahaja menerima tugasan tersebut. Beliau sememangnya mahu beredar dari Delhi dan lantaran usianya yang masih muda, sekitar 37 tahun, nyala rasanya untuk mengembara masih berkobar.

Ibnu Battuta dengan penuh bersemangat menerima tugasan tersebut dan berangkat ke pesisiran India lalu menaiki sebuah kapal untuk mengelilingi Asia Tenggara dan seterusnya menuju ke pelabuhan Quanzhou di China. Namun, hasrat ini terjejas lantaran beliau ditimpa suatu masalah. Entah bagaimana, beliau menjadi mangsa rompak dan culik. Mujur, beliau berjaya melarikan diri dengan sehelai sepinggang. Menurut catatannya, beliau lolos hanya bersama sepasang seluar yang menutupi bahagian bawah tubuhnya.

Muhammad ibn Tughluq di Delhi. Ibnu Battuta berkhidmat sebaai qadi atau hakim selama enam tahun dalam era pemerintahan Muhammad ibn Tughluq




Tatkala beliau berjaya tiba di pelabuhan, kapal-kapal yang beliau naiki pula dibadai ribut dan karam. Malang demi malang menimpa dirinya sehingga Ibnu Battuta tiba di Maldives. Penduduk pulau itu meraikan kehadirannya dan beliau menetap di sana sehingga tahun berikutnya, sambil menikmati cuaca tropika dan bekerja sebagai qadi.


PENGEMBARAAN KE CHINA

Ibnu Battuta pernah mempertimbangkan keputusan untuk menetap secara kekal di Maldives. Namun sepanjang setahun keberadaannya di sana, beliau mengalami kejutan budaya lantaran menurut pandangannya, sebahagian gaya pemakaian dan adat masyarakat pulau tersebut agak melampaui batas. Lewat tahun sama, hubungan beliau dengan para pemerintah tempatan menjadi semakin renggang. Hal ini membuatkan Ibnu Battuta mengambil keputusan untuk melanjutkan pengembaraannya ke China.

Selepas mengunjungi Sri Lanka secara singkat, Ibnu Battuta berangkat pula ke wilayah selatan India dan mengelilingi Asia Tenggara untuk akhirnya, tiba di pelabuhan Quanzhou pada tahun 1345, kira-kira empat tahun setelah meninggalkan Delhi. Ketika berada di China, Ibnu Battuta tertarik dengan kota-kota yang berdiri megah di sana. Salah sebuah kota yang beliau kunjungi, atau paling tidak dipercayai bahawa beliau kunjungi, adalah Beijing. Beliau juga ada mencatatkan tentang lawatannya ke Terusan Besar di sana (Beijing). Menurut Ibnu Battuta, China adalah salah sebuah tempat yang paling selamat dan selesa.

Namun, hal yang demikian tidaklah bermaksud segala yang ada di China itu indah pada pandangan Ibnu Battuta. Beliau juga berasa tidak selesa dengan adat-adat bukan-Islam yang diamalkan oleh masyarakat tempatan. Dalam tulisannya, beliau memanggil mereka sebagai pagan dan kafir. Walaupun begitu, Ibnu Battuta kekal berada di China selama beberapa tahun. Kebanyakan tahun-tahun tersebut diluangkan bersama komuniti Muslim di China. Beliau juga tetap mengagumi kota-kota di China. Dalam catatannya, beliau memerincikan Hangzhou sebagai kota yang paling besar pernah beliau saksikan.

Perjalanan yang ditempuh oleh Ibnu Battuta




KEMBALI KE KOTA HALAMAN

Ibnu Battuta tidak pulang mendapatkan semula jabatannya di bawah pemerintahan Sultan Muhammad bin Tughluq. Beliau juga tidak memenuhi tugasannya dengan bertandang ke istana maharaja China, sebaliknya beliau meluangkan tahun-tahunnya di sana untuk meneroka negara tersebut sebelum memutuskan untuk berlayar pulang ke Tanjir. Beliau pulang ke kota halamannya itu pada tahun 1349, kira-kira 24 tahun sesudah kali pertama meninggalkannya.

Namun kepulangannya disambut berita duka apabila beliau mendapati kedua ibu-bapanya sudah pun meninggal dunia. Memandangkan tidak banyak aktiviti yang dapat beliau lakukan di Tanjir, Ibnu Battuta pun membawa diri ke Andalusia dan seterusnya ke Timbuktu sebelum pulang sekali lagi ke Maghribi pada tahun 1354. Pada tahun itu, sultan Maghribi meminta agar Ibnu Battuta merekodkan segala pengalamannya sepanjang mengembara. Beliau memenuhi permintaan tersebut sambil dibantu oleh seorang jurutulis. Pengalamannya itu dicurahkan ke dalam sebuah manuskrip yang diberikan judul, “Hadiah Bagi Para Pemerhati Negeri-Negeri Asing dan Pengalaman-Pengalaman Ajaib’ (Tuhfatun Nuzzar fi Ghara’ibil Amsar wa Aja’ibil Asfar).

Ilustrasi dalam sebuah buku oleh Leon Benett yang diterbitkan pada 1878 mengambarkan Ibnu Battuta – kanan, di Mesir




LEGASI

Sepanjang empat belas tahun terakhirnya, Ibnu Battuta menjalani kehidupan yang agak tenang di Tanjir sebagai ulama’ sebelum meninggal dunia pada tahun 1368. Mungkin baginya, beliau sudah terlalu berusia untuk meneruskan penembaraan. Dalam hayatnya itu, secara keseluruhan Ibnu Battuta mengembara sejauh 75 000 batu dan mengunjungi sebanyak 44 buah negara moden.

Memandangkan Ibnu Battuta terdedah kepada begitu banyak tamadun dalam dunia Islam, maka beliau menjadi salah satu sumber utama dalam merujuk tentang pengetahuan sejarah dan budaya sesebuah tamadun Islam pada zaman itu. Kebiasaannya jika berbicara tentang pengembara dunia di zaman pertengahan, nama Marco Polo akan menjadi yang pertama terlintas dalam fikiran. Namun, Ibnu Battuta juga tidak ketinggalan sebagai seorang pengembara ulung.


SUMBER