- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (6 Januari 2017). Inti, Sun God of the Inca, Spawned the First
Rulers of an Unforgettable Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/inti-sun-god-inca-spawned-first-rulers-unforgettable-empire-007317
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/inti-sun-god-inca-spawned-first-rulers-unforgettable-empire-007317
Dalam mitologi atau
sistem kepercayaan masyarakat Inca, Inti adalah dewa matahari dan salah satu
dewata paling penting dalam pantheon mereka. Sebagai dewata matahari, Inti
dikaitkan secara rapat dengan pertanian, memandangkan objek langit tersebut
membekalkan haba dan cahaya yang diperlukan oleh tumbuhan untuk membesar.
Lantaran itu, Inti dianggap sebagai dewa yang agak terkemuka dalam kalangan
para petani tamadun Inca. Tambahan lagi, Sapa Inca (pemerintah Empayar Inca)
didakwa berketurunan langsung dari Inti, sekaligus menambahkan lagi prestij dan
kedudukan dewa itu.
![]() |
| Ilustrasi kurun ke-17 oleh Martin de Murua tentang Inca Pachacutec berdoa kepada Inti |
INTI – PUTERA KEPADA
DEWA PENCIPTA
Inti dipercayai sebagai
putera kepada Viracocha dan isterinya, Mama Cocha. Masyarakat Inca menganggap
Viracocha sebagai dewata terulung mereka, lantaran beliau adalah pencipta alam.
Mama Cocha pula dipercayai sebagai dewi laut. Sebagai pencipta segala sesuatu
(dalam mitologi Inca), Viracocha dipandang sebagai dewata yang paling penting.
Kedudukannya hanya disusuli oleh puteranya, Inti.
Dalam satu versi
legenda masyarakat Inca, Viracocha mempunyai dua orang anak lain selain Inti,
iaitu Pachamama dan Mama Quilla. Pachamama dipuja sebagai dewi bumi manakala
Mama Quillah pula adalah dewi bulan. Selain menjadi saudara perempuan kepada
Inti, Mama Quilla juga dianggap oleh masyarakat Inca sebaai isteri dewa
tersebut.
![]() |
| Inti dikatakan sebagai putera dewa Viracocha |
INTI – DEWA YANG
MEMBERIKAN KEHIDUPAN
Sebagai dewa matahari,
Inti memberikan pengaruh yang besar terhadap kehidupan masyarakat Inca. Beliau
diyakini sebagai dewata yang mengawal aktiviti-aktiviti pertanian mereka, yang
merupakan mata pencarian paling utama bagi mereka. Berkat haba dan cahaya yang
dilimpahkan oleh matahari, maka tanam-tanaman dapat tumbuh sihat. Lantaran itu,
para petani memuja dan memanjatkan doa kepada dewa tersebut.
Walaupun lazimnya Inti
digambarkan sebagai dewa yang baik hati dan pemurah, beliau juga berupaya untuk
melampiaskan kemarahan dengan dahsyat. Gerhana matahari diyakini sebagai
petanda kemurkaannya. Dalam situasi sedemikian, masyarakat Inca akan cuba
menyenangkan hati dewata mereka itu dengan melakukan sembah korban.
![]() |
| Topeng emas yang mewakili dewa matahari Inti dari Empayar Inca |
INTI – LELUHUR
RAJA-RAJA INCA
Inti juga didakwakan
oleh para pemerintah Inca sebagai nenek-moyang langsung mereka. Pengasas
Empayar Inca, iaitu Manco Capac dianggap sebagai putera Inti. Menurut satu
mitos, Inti adalah dewa yang memberikan hadiah berupa ketamadunan kepada
makhluk manusia, menerusi kehadiran puteranya Manco Capac.
Dalam legenda ini,
Inti digambarkan sebagai dewa yang baik hati dan menjaga kebajikan manusia.
Melihatkan keadaan hidup mereka yang bersifat liar, tidak bertamadun dan tidak
berperaturan, Inti tidak bersenang hati. Lantas, beliau memanggil puteranya,
Manco Capac dan puterinya, Mama Ocllo. Beliau memerintahkan agar mereka berdua
turun ke bumi dan mengajarkan kepada manusia cara yang betul untuk menjalani
kehidupan. Menurut tradisi tempatan, kisah ini memerihalkan tentang permulaan
tamadun Inca.
![]() |
| Manco Capac memegang Inti |
CORICANCHA – KUIL DEWA
MATAHARI
Signifikasi yang
dipegang oleh dewa ini juga boleh dilihat menerusi kewujudan salah sebuah kuil
terpenting masyarakat Inca, iaitu Kuil Coricancha. Kuil yang membawa maksud
‘Rumah Matahari’ ini terletak di ibu kota Inca, Cuzco. Ia dibangunkan sebagai
dedikasi kepada Dewa Inti. Kuil ini diperkirakan dibina pada zaman pemerintahan
Pachacuti Inca Yupanqui, pemerintah Inca yang ke-9. Di sinilah juga tempat
Villac Ummu (Paderi Tinggi Matahari) melangsungkan upacara-upacara keagamaan
sebagai penghormatan terhadap Inti.
Kuil-kuil lain yang
didedikasikan kepada dewa ini antara lain seperti kuil di Pisac (timur laut
Cuzco), Ingapirca (terletak di Ecuador moden), dan di Pulau Matahari di Tasik
Titicaca. Coricancha dimusnahkan oleh para conquistador Sepanyol dan
kebanyakan batu-batunya digunakan untuk membina sebuah gereja di tapak sama.
![]() |
| Coricancha, Kuil Dewa Matahari, dimusnahkan oleh para conquistador dan digunakan untuk membina sebuah gereja. Batu-batu asal zaman Inca masih boleh dilihat pada tapak gereja ini |
INTI RAYMI – FESTIVAL
MATAHARI
Terdapat juga satu
festival khusus yang diraikan oleh masyarakat Inca sebagai penghormatan
terhadap Dewa Inti. Festival ini dikenali sebaai Inti Raymi dan ia diadakan
pada solstis musim sejuk (sekitar bulan Jun). Dalam festival yang berpanjangan
selama beberapa hari itu, llama putih serta haiwan-haiwan ternakan lain akan
dikorbankan. Begitu juga dengan pelbagai juadah makanan, termasuklah tanah-tanah
ladang turut dipersembahkan buat Dewa Inti. Festival ini masih diraikan
sehingga kini di seluruh Andes, meliputi Bolivia, Ecuador dan Peru.
![]() |
| Keraian Inti Raymi di zaman moden, Saraguro, Ecuador |
Sekiranya Inti
ditampilkan dalam hasil seni masyarakat Inca, beliau lazimnya digambarkan menerusi simbol tugu emas, cakera matahari,
atau topeng emas. Emas adalah logam berharga yang secara umum dikaitkan dengan
dewa ini, lantaran dipercayai bahawa emas itu adalah titisan daripada matahari.
Walaupun pemujaan Inti sudah tidak lagi tersebar seperti dahulukala, imejnya
sebagai matahari yang membara masih dapat dilihat pada bendera dua buah negara
Amerika Selatan, iaitu Argentina dan Uruguay.
![]() |
| Bendera Argentina dan bendera Uruguay |
SUMBER
- Ancient Inca Religion. 2017. Deities and Supernatural Powers.
- Cartwright, M. 2014. Inti.
- Friedman, A. & Johnson, M. 2009. The People of the Sun (An Incan Myth).
- Machupicchu-inca. 2009. Inca Gods. The Gods of Incan Mythology.
- Minster, C. 2015. Inti – the Inca Sun God.
- Myth Encyclopedia. 2017. Inti.
- Get link
- X
- Other Apps








