- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Aleksa Vuckovic. (11 November 2019). Ryukyu Kingdom: Castles, Customs, and
China and Japan’s Rivalry. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ryukyu-kingdom-0012844
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ryukyu-kingdom-0012844
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sepanjang berlalunya
sejarah negara-negara Asia, antara tempat yang paling menggamit perhatian
kebanyakan masyarakat dunia adalah Jepun. Kepulauan Jepun sejak sekian lama
menjadi tempat berdirinya banyak kerajaan dan keshogunan, yang mana kesemuanya
ini muncul lantaran geografi negara kepulauan itu sendiri.
Namun, terdapat sebuah
pulau di Jepun yang benar-benar unik – begitu unik hinggakan untuk tempoh masa
yang cukup lama, para penghuni pulau tersebut sama sekali tidak dianggap
sebagai orang Jepun! Pulau yang dimaksudkan ini adalah Pulau Okinawa, dan
rangkaian pulau yang terdapat di sekelilingnya pula disebut secara kolektif
sebagai Kepulauan Ryukyu.
Walaupun sering
dikesampingkan dan dicampur-adukkan ke dalam sejarah keseluruhan Jepun,
pulau-pulau kecil ini pada hakikatnya memiliki kisah unik tersendiri. Dan kisah
tersebut secara utamanya berkisar pada Kerajaan Ryukyu.
Kisah sejarahnya ini
cukup mengujakan, memerihalkan kemunculan sebuah negara pulau; sebuah kerajaan
yang muncul dari lautan luas dan mencipta tempatnya yang tersendiri dalam
perdagangan maritime Asia Timur.
Dalam artikel kali ini, mari kita terokai
beberapa helai lembaran sejarah yang sejak sekian lama sering dikesampingkan.
Lembaran sejarah tentang masyarakat Okinawa dan Kerajaan Ryukyu.
ASAL-USUL KERAJAAN
RYUKYU
Kepulauan Ryukyu adalah
sebuah rantain pulau yang terbentang dari wilayah Jepun Selatan di Kyushu
hingga ke Taiwan. Entah bagaimana dan mengapa, keadaan kepulauan ini yang
terpencil, kecil dan berselerakan tidak pernah menerima tumpuan jiran-jiran
terdekat mereka dalam sejarah awal mereka. Penghuni-penghuni terawal kepulauan
ini dipercayai sebagai keluarga rapat masyarakat Neolitik Jepun dan mereka
adalah penghuni dari Taiwan dan Jepun. Justeru dalam bentuknya yang terawal,
masyarakat asli di Kepulauan Ryukyu adalah kacukan kedua-duanya.
Namun, perkaitan secara
umum terhenti di situ. Keadaannya yang terpencil dan tidak signifikan pada
era-era awalnya membuatkan masyarakat asli di Kepulauan Ryukyu membangun dalam
sebuah identiti yang tersendiri dan unik. Hal ini turut membawa kepada
pembangunan beberapa buah bahasa yang saling terkait rapat, dengan Bahasa
Okinawa menjadi bahasa yang paling dituturkan secara meluas. Bahasa-bahasa ini
adalah sebahagian daripada keluarga Bahasa Japonik bersama dengan Bahasa Jepun.
Kepulauan ini secara
kasarnya terdiri daripada 140 buah pulau yang berselerakan. Kebanyakannya agak
kurang sesuai untuk didiami. Pulaunya yang terkecil pula hanya terbentuk
daripada batu-batu karang. Kurang separuh daripada angka itu dihuni oleh
manusia. Pulau yang terbesar dalam kepulauan tersebut sekaligus menjadi pusat
kepada sejarah (Kerajaan) Ryukyu adalah Pulau Okinawa.
Dengan ukuran saiznya
sekitar 100 km (62.14 batu) panjang dan 11 km (6.84 batu) lebar, pulau ini pada
hakikatnya tidaklah besar. Namun begitu, saiznya itu sudah memadai untuk pulau
tersebut mengecapi pembangunan terutama pada era-era kritikal.
![]() |
| Gerbang Kyukeimon dari Istana Shuri di ibu kota Wilayah Okinawa, Jepun |
Bentuk bumi kepulauan
ini yang berhutan kecil, berpasir dan berbatu sememangnya tidak sesuai untuk aktiviti
pertanian. Namun, kekuatan ekonominya terletak pada aspek-aspek lain, iaitu
kepelbagaian flora dan fauna seperti rusa, babi hutan dan pelbagai spesis ikan.
Kedudukannya yang strategik turut menggalakkan penglibatannya dalam perdagangan
maritim.
Ryukyu hanya mendapat
perhatian wilayah-wilayah jirannya pada kurun ke-7 Masehi dan masa-masa
terkemudian. Jiran-jiran yang dimaksudkan ini tidak lain adalah China dan
Jepun, dua buah negara yang kelak memainkan peranan besar dalam perjalanan
sejarah Kepulauan Ryukyu.
Walaupun masyarakat
asli kepulauan itu sejak sekian lama terkait rapat dengan masyarakat Jepun,
hubungan awal mereka dengan dunia luar pada hakikatnya lebih banyak tertumpu
pada masyarakat China. Dari kacamata masyarakat Jepun tanah besar, Kepulauan
Ryukyu dianggap sebagai sebuah rantau sempadan yang kelam atau disebut sebagai nanto
yang membawa maksud Kepulauan Selatan.
Bagi masyarakat China,
dengan matlamat ingin melebarkan pengaruh, Kepulauan Ryukyu dipandang dengan
minat yang lebih besar. Dalam catatan-catatan pertahunan mereka, Kepulauan
Ryukyu buat kali pertamanya muncul secara rasmi pada tahun 605M, di era
pemerintahan Dinasti Sui. Sekitar waktu itu, perutusan-perutusan China dihantar
ke kepulauan tersebut sebagai usaha untuk menyerapnya masuk ke dalam autoriti
China.
Namun, perhubungan ini
tidak berjalan dengan lancar lantaran kedua-dua belah pihak tidak dapat
berkomunikasi atas faktor perbezaan bahasa. Lantaran itu, perhubungan yang cuba
dijalinkan akhirnya berubah menjadi sebuah persengketaan. Pihak China malah
bertindak menjarah kepulauan tersebut dan menculik 1000 orang tawanan untuk
dibawa pulang ke tanah besar.
Sementara
itu bagi masyarakat Jepun, perhubungan signifikan pertama dengan Kepulauan
Ryukyu direkodkan pada tahun 698M dalam Shoku Nihongi (Hikayat-Hikayat
Jepun). Dalam catatan tersebut, dinyatakan bahawa seorang perutusan diraja yang
bernama Fumi no Imiki dihantar bersama beberapa orang pengiring dalam sebuah
misi diplomatik yang bertujuan untuk melebarkan pengaruh Jepun ke atas
Kepulauan Selatan.
Misi
ini meraih keberhasilan lantaran perutusan dari beberapa buah pulau seperti
Amami, Yakushima, Tanejima dan Tokunoshima menghantar hadiah dan ufti ke Makam
Suci Agung untuk Dewi Matahari di Ise.
![]() |
| Perutusan Ryukyu pada era awal di Edo, Jepun |
Namun,
pulau-pulau lain dalam Kepulauan Ryukyu tidak dapat ditundukkan semudah itu.
Sebahagian besarnya menolak pemerintahan Jepun. Pulau-pulau ini dihuni oleh
sejumlah puak dan diperintah oleh para pembesar dengan tumpuan yang lebih diletakkan
pada kaum wanita. Walau bagaimanapun, seiring peredaran waktu, budaya Jepun
secara bertahap tetapi pasti berjaya menembusi Kepulauan Selatan ini dan
meninggalkan kesan yang bukan kecil.
Hal
ini digalakkan lagi menerusi polisi Jepun yang sering menghantar pegawai,
kehormat dan rakyat yang dibuang negeri ke kepulauan tersebut. Dengan demikian,
berlaku percampuran dan kacukan secara bertahap dalam kalangan masyarakat
Yamato (Jepun) dan penghuni-penghuni asli Kepulauan Ryukyu.
DINASTI-DINASTI
AWAL OKINAWA
Kepulauan
Ryukyu, dengan Okinawa sebagai pusatnya, mengalami pertumbuhan lantaran
kepulauan ini terletak di laluan perdagangan maritim yang penting iaitu
merangkumi tanah besar China, Semenanjung Korea, Taiwan, Jepun dan Malaysia.
Dalam sebuah antologi berjudul Chuzan Seikan (bermaksud Cermin Chuzan)
yang ditulis pada tahun 1650, disebutkan bahawa raja pertama Okinawa adalah
Tenson. Pada awal milenium pertama Masehi, Tenson menubuhkan sebuah dinasti
yang berupaya memerintah para pembesar dan puak-puak di Okinawa.
Pulau-pulau
lain dalam Kepulauan Ryukyu kelihatannya diperintah oleh beberapa orang
penguasa bawahan yang setiap seorang memerintah sebuah pulau. Lebih kurang
sekurun setengah kemudian, suatu peristiwa besar yang menamatkan Dinasti Tenson
direkodkan. Peristiwa ini melibatkan seorang samurai Jepun yang terbuang,
bernama Minamoto na Tamemoto.
Beliau yang tiba di Okinawa pada tahun 1166
Masehi menghuni Urasoe. Beliau mempunyai seorang anak yang bernama Shuten.
Setelah beberapa tempoh berlalu, beliau pun pulang ke Jepun dengan meninggalkan
anaknya yang masih muda itu di Urasoe.
![]() |
| Minamoto no Tametomo mengusir hantu, dalam sebuah lukisan tahun 1890 oleh Yoshitoshi |
Anak
muda yang hanya berusia 15 tahun ini kemudiannya menjadi salah seorang pemerintah
kecil di Okinawa, atau disebut sebagai anji. Beliau kemudiannya
memainkan peranan penting dalam pembangunan pulau tersebut. Kebanyakan raja
kecil di Okinawa pada waktu itu sedang memberontak menentang pemerintah ke-24
Dinasti Tenson. Pemberontakan ini memuncak dengan pembunuhan pemerintah
tersebut. Pembunuhnya yang bernama Riyu mengambil-alih tampuk pemerintahan.
Namun, beliau dengan pantas ditewaskan oleh raja-raja kecil lain yang dipimpin
oleh Shuten.
![]() |
| Pertabalan Shuten pada tahun 1187 |
Shuten
kemudiannya memerintah Okinawa selama 51 tahun. Di bawah pemerintahan beliau,
pulau ini mengalami pembangunan pesat dan banyak kejayaan politik serta ekonomi
dicapai. Raja ini mangkat pada tahun 1237M dan digantikan oleh puteranya yang
bernama Shumba-Junki.
Walaupun memerintah hanya selama satu dekad, Shumba-Junki
juga berjaya melakukan sejumlah pembangunan yang signifikan. Antaranya
memperkenalkan sistem tulisan Jepun dan membina sejumlah istana. Istana-istana
yang disebut sebagai gusuku ini adalah ciri ikonik budaya Okinawa dan
mempunyai tembok-tembok batu tinggi yang mengelilingi istana yang berciri seni
bina Jepun tradisional.
Pada
masa inilah dipercayai bahawa Istana Shuri yang ikonik itu dibangunan. Istana
ini hampir musnah semasa Pertempuran Okinawa dan kemudian dibina semula.
Malangnya, pada 31 Oktober 2019, sebahagian besar bangunan ini hangus terbakar.
![]() |
| Istana Shuri di Naha, Okinawa, Jepun |
Zaman
pemerintahan putera Shumba-Junki yang bernama Gihon menyaksikan banyak bencana
alam berlaku. Okinawa mengalami kemarau dan taufan yang berpanjangan. Hal ini
mengakibatkan tanaman gagal dituai berulang kali. Kemiskinan dan kebuluran
melanda seluruh pulau dan mengakibatkan penularan penyakit. Hampir separuh
populasi Pulau Okinawa terkorban.
Sebagai
bertindak balas terhadap era yang tidak stabil ini, Gihon menamakan (mungkin
atas desakan) seorang pembesar muda ulung yang bernama Eiso sebagai
pemangkunya. Hanya enam tahun kemudian, Eiso ditabalkan sebagai raja apabila
Gihon turun takhta. Pada era pemerintahannya, kestabilan dan kekayaan berjaya
dikecapi semula. Pengaruh kekuasaan Eison tersebar hingga ke pulau-pulau
berhampiran, seperti Iheya, Kerama, Kume dan Amami Oshima. Kesemua pulau ini
menghantar ufti dan cukai kepadanya.
![]() |
| Cop mohor diraja Kerajaan Ryukyu |
Pada
tahun 1292, Eiso menerima sepucuk surat daripada pemimpin Monggol, Kublai Khan
yang menuntut agar Okinawa tunduk kepada kekuasaannya dan membantu Monggol
dalam serangan ke atas Jepun. Eiso enggan tunduk kepada Monggol dan enggan
menerima utusan mereka semasa Monggol sekali lagi membuat tuntutan yang sama
empat tahun kemudian. Pada tahun 1299, Eiso mangkat dan dinastinya diteruskan
oleh putera dan cucunya. Namun mereka memerintah tanpa berlaku sebarang hal
yang signifikan. Pada zaman cicitnya yang bernama Tamagusuku, barulah Okinawa
memasuki sebuah era baru.
ZAMAN
TIGA GUNUNG
Pulau
Okinawa kemudiannya memasuki sebuah era genting dalam sejarahnya. Era ini
diperkenalkan kepada kita sebagai Era Tiga Kerajaan Ryukyu (1322-1429). Dalam
sejarah Okinawa sendiri, ia dikenali sebagai era Tiga Gunung. Kesemua nama ini
merujuk kepada penubuhan tiga buah wilayah terpisah di Okinawa, yang secara
efektif menyatukan kesemua raja-raja kecil (atau pembesar) yang sebelum ini
berselerakan ke bawah tiga ‘kerajaan’. Kerajaan-kerajaan ini adalah Hokuzan
(Gunung Utara), Chuzan (Gunung Tengah) dan Nanzan (Gunung Selatan).
Hokuzan
yang mendominasi bahagian utara pulau ini adalah kerajaan terbesar sekaligus
kekuatan ketenteraannya juga adalah yang paling ampuh. Kerajaan pertengahan,
iaitu Chuzan sedikit kecil namun lebih kaya lantaran ia mengawal
pelabuhan-pelabuhan penting. Nanzan pula walaupun merupakan kerajaan yang
paling kecil, ia memegang kepentingan yang tersendiri apabila menjadi pusat
kebudayaan dan pendidikan. Ketiga-tiga kerajaan ini saling berseteru dan
menghantar perutusan secara terpisah kepada istana China dengan harapan dapat
meraih sokongan dalam rangka menjadi kuasa yang mengungguli dua kerajaan yang
lain.
Era
tiga kerajaan ini memuncak apabila raja Chuzan, Hashi, menggulingkan
pendahulunya dan kemudian menyerang Kerajaan Utara, Hokuzan. Hashi berjaya
menakluk Hokuzan pada tahun 1416 dan kemudian menguasai Nanzan pada tahun 1429
sekaligus menyatukan Pulau Okinawa. Menerusi pengaruh yang besar daripada
China, Hoshi menerima nama keluarga, iaitu Sho. Lantaran itu, beliau dikenali
sebagai Sho Hashi dan dinasti yang ditubuhkannya pula dinamakan sebagai Dinasti
Sho.
![]() |
| Raja Sho Shin, 1465-1526 |
Kerajaan
Ryukyu ini mula berkuasa pada tahun 1429 sehingga 1879 dan kemudian secara
bertahap melebarkan penguasaannya ke atas seluruh kepulauan tersebut. Dinasti
ini juga secara bertahap meningkatkan ekonomi dan memperteguhkan hubungan
dengan China. Zaman tersebut dianggap sebagai Zaman Keemasan Ryukyu dan ianya
berlaku pada era pemerintahan Sho Shin, iaitu 1478-1526. Pada era ini, Kerajaan
Ryukyu menjadi kuasa yang mendominasi perdagangan maritim di Asia Timur.
Secara
kasarnya, kerajaan ini mengecapi zaman keemasan selama 150 tahun. Namun secara
bertahap tetapi pasti, kerajaan ini mula mengalami ketumbangan pada lewat
1500an lantaran hubungannya dengan China semakin lama semakin terjejas di
samping ancaman daripada lanun-lanun Jepun pula semakin berleluasa.
Lantaran
menyedari keadaan ini, Keshogunan Tokugawa di Jepun pun menghantar puak Shimazu
dari kawasan kekuasaan Satsuma untuk menundukkan Kerajaan Ryukyu. Serangan yang
ampuh ini dilakukan pada tahun 1608. Pencerobohan tersebut berlangsung pantas
tetapi dahsyat. Kerajaan Ryukyu pun tumbang lalu menjadi negara bawahan dan
kekal dalam status tersebut sehingga tahun 1897 apabila dia serap masuk ke
dalam negara Jepun untuk membentuk Wilayah Okinawa.
HARI-HARI
TERAKHIR KERAJAAN RYUKYU
Walaupun
kebanyakan sejarahnya dipayungi oleh sejarah Jepun, Okinawa dan Kepulauan
Ryukyu sebenarnya memiliki sejarah sendiri yang cukup mengasyikkan. Sebagai
sebuah kerajaan yang memiliki identiti tersendiri dan diapit oleh dua buah
negara yang berkuasa, Okinawa tetap jua berupaya mencipta ruang dan nama yang
tersendiri dengan penuh kemegahan dan penentangan.
Namun,
Okinawa sentiasa dibayangi oleh jiran-jirannya yang merupakan kuasa besar.
Walaupun Jepun meninggalkan pengaruh pada Okinawa sejak mula dan rakyatnya pula
sering dibuang negeri ke sana sekaligus berkahwin kacuk dengan penduduk
tempatan, China agak awal mendominasi hal-ehwal dalaman dan sosial Okinawa
hinggakan Dinasti Sho mengamalkan model dinasti warisan dari China. Namun
sesudah itu, kepulauan ini menyerap identiti Jepun sepenuhnya apabila
Keshogunan Jepun mula menapakkan kaki ke sana.
![]() |
| Pakaian tradisional Ryukyu pada zaman lewat, yang lebih hampir dengan kimono Jepun |
Walaupun
begitu, pada hari ini, sejarah Kerajaan Ryukyu dan Okinawa tetap tidak
dilupakan. Masyarakat asli Okinawa masih berpegang teguh pada identiti mereka
dan sering menonjol serta membezakan diri dengan masyarakat Jepun-Yamato. Dan
sememangnya itulah legasi daripada sejarah mereka yang unik. Warisan yang
diperturunkan daripada episod demi episode pergelutan dalaman, pembangunan
wilayah-wilayah kecil dan perdagangan maritim yang mapan.
SUMBER
- Ishihara M. dan Hoshino, E. dan Fujito Y. 2016. Self-determinable Development of Small Islands. Springer.
- Kerr, G. H. 2000. Okinawa: The Histoy of an Island People. Tuttle.
- Kerr, G. H. 1953. Ryukyu Kingdom and Province Before 1945. The Pacific Science Board, National Academy of Sciences.
- Smits, G. 1999. Visions of Ryukyu: Identity and Ideology in Early-Modern Thought and Politics. University of Hawai’I Press.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Sejarah Kerajaan Ryukyu’
- Get link
- X
- Other Apps








