LAPU-LAPU – PAHLAWAN DAN PERWIRA FILIPINA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (20 Mac 2015). Chief Lapu-Lapu – Warrior and Hero of the Philippines. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/chief-lapu-lapu-warrior-and-hero-philippines-002800

Penterjemah: Amir Zayyanid


Pada awal kurun ke-16 Masehi, Sepanyol menjadi sebuah adikuasa dunia berikutan kemajuannya dalam bidang perkapalan dan perlayaran. Lewat kurun sebelumnya, Christopher Columbus, yang pengembaraannya didanai oleh Monarki Sepanyol, tiba di Dunia Baru sekaligus membawa kepada era kolonisasi Sepanyol di benua Amerika.

Sekitar 30 tahun selepas pengembaraan Columbus, seorang lagi pengembara yang berkhidmat untuk Monarki Sepanyol, iaitu Ferdinand Magellan, menemukan laluan menuju ke Asia menerusi hujung selatan Amerika. Dalam ekspedisi ini, Magellan tiba di Filipina dan cuba menguasainya bagi pihak Sepanyol. Walaupun ketibaannya itu disambut oleh sebilangan pemerintah pulau tersebut, Magellan juga membuat musuh. Salah seorang musuhnya adalah seorang pembesar yang bernama Lapu-Lapu.

Patung gangsa Lapu-Lapu di Mactan


Tatkala tiba di Filipina pada tahun 1521, Magellan secara langsung bertembung dengan perseteruan yang berlangsung dalam kalangan para pemerintah tempatan. Magellan berupaya menjalinkan persekutuan dengan sebahagian daripada mereka. Salah seorang pembesar paling terkemuka pada waktu itu adalah Rajah Humabon, pemerintah Cebu.

Berhampiran dengan Pulau Cebu pula terletak Pulau Mactan yang menjadi kampung halaman bagi dua orang pembesar yang saling berseteru, iaitu Zula dan Lapu-Lapu. Zula memilih untuk tunduk kepada Sepanyol dan akur untuk membayar ufti. Sikap yang berbeza ditunjukkan oleh Lapu-Lapu yang enggan tunduk kepada Sepanyol mahupun Rajah Humabon.

Sikap penentangan Lapu-Lapu ini memustahilkan Zula untuk membayar ufti kepada Magellan. Lantaran itu, Zula pun meminta bantuan Sepanyol agar menewaskan seterunya itu. Hal ini membawa kepada berlakunya Pertempuran Mactan di mana pihak Sepanyol dikalahkan oleh Lapu-Lapu dan para pahlawannya. Magellan sendiri kehilangan nyawa dalam pertempuran tersebut.

Potret Ferdinand Magellan oleh pelukis tidak dikenali, kurun ke-16 atau 17 Masehi


Sebagai seorang figura sejarah, tidak banyak maklumat yang diketahui perihal Lapu-Lapu memandangkan satu-satunya sumber bertulis yang memerincikan tentang beliau adalah jurnal Antonio Pigafetta, seorang pengembara dan ilmuwan dari Venetia yang menemani Magellan dalam perlayarannya ke Filipina. 

Menerusi jurnal Pigafetta inilah kita dapat mengetahui tentang Lapu-Lapu dan perseteruannya dengan Zula, serta maklumat berkenaan Pertempuran Mactan, kekalahan Sepanyol dan kematian Magellan. Walaupun tiada sumber bertulis yang diketahui daripada pihak Filipina, terdapat beberapa buah kisah rakyat yang menceritakan perihal Lapu-Lapu.

Menurut tradisi tempatan, kisah Lapu-Lapu boleh dibahagikan kepada dua. Bahagian pertama melibatkan kisah Lapu-Lapu dan Datu Mangal, seorang pembesar di Pulau Mactan yang disebutkan oleh ramai pihak sebagai bapa, pakcik ataupun kawan dan oran kanan Lapu-Lapu.

Dalam kisah rakyat tersebut, Datu Mangal dikatakan memiliki kuasa luar biasa dan tangkal ajaib. Dalam suatu keadaan, Datu Mangal meminjamkan tangkalnya itu kepada rakannya yang bernama Capitan Silyo. Capitan Silyo berjanji untuk memulangkannya sesudah selesai menggunakannya. Namun begitu, beliau melanggar janji. 

Lantaran itu, Datu Mangal pun mengenakan sumpah ke atas Capitan Silyo sehingga mengakibatkannya berubah menjadi batu. Sebelum berubah sepenuhnya, Capitan Silyo sempat mengenakan sumpahan timbal balik ke atas Datu Mangal sekaligus mengakibatkannya turut berubah menjadi batu.

Ketika sedang mengalami perubahan secara bertahap, Datu Mangal sempat mendapat ilham tentang ketibaan tentera Sepanyol. Lantas, beliau segera memanggil Lapu-Lapu dan memaklumkan kepadanya tentang ancaman bahaya yang bakal tiba itu. Beliau turut menggesa agar Lapu-Lapu memerangi tentera Sepanyol apabila mereka tiba, selain beberapa arahan lain lagi.

Gambaran masyarakat asli bertatu yang ditemui oleh tentera Sepanyol di Filipina


Bahagian kedua kisah ini pula memerincikan tentang Pertempuran Mactan. Dalam beberapa buah versi penceritaan, diperihalkan bahawa Lapu-Lapu dan para pahlawannya menewaskan pasukan tentera Sepanyol dengan Magellan sendiri terbunuh di tangan Lapu-Lapu. Dalam versi lain yang lebih terperinci pula, dihikayatkan bahawa pelbagai makhluk atau raksasa laut turut menyerang kaki pasukan tentera Sepanyol semasa mereka sedang mengharungi lautan cetek. Hal ini mengakibatkan mereka terdedah kepada serangan Lapu-Lapu dan para pahlawannya. Lantaran itu, mereka dengan mudah dapat ditewaskan dan kisah pun berakhir sedemikian.

Penceritaan Pigafetta berkenaan Pertempuran Mactan turut menyebutkan bahawa pasukan tentera Sepanyol perlu mengharungi lautan cetek memandangkan kapal-kapal mereka tidak dapat berlabuh di pantai lantaran terdapat batu-batu yang menghalang. Pigafetta juga memberikan beberapa maklumat tambahan perihal pertempuran. 

Menurut beliau, senjata jarak jauh Eropah dikatakan tidak berkesan terhadap pahlawan-pahlawan tempatan. Malahan, Lapu-Lapu pula menyerang bersama 1500 orang pahlawan sementara pasukan tentera Sepanyol hanya terdiri dari seramai 60 orang lelaki yang mana 49 orang sahaja terlibat dalam pertempuran manakala baki yang lain bertahan di belakang bagi melindungi kapal.

Walau bagaimana sekalipun Pertempuran Mactan berlangsung mengikut sejarah sebenar, Lapu-Lapu tetap dikenang sebagai seorang pahlawan yang menentang dan menewaskan pasukan tentera Sepanyol yang menceroboh tanah airnya. Memandangkan kekalahan Sepanyol ini dilihat sebagai satu peristiwa signifikan, maka selayaknya Lapu-Lapu dihormati sebagai wira tempatan dan seterusnya, wira kebangsaan. 

Pada hari ini, beliau masih dianggap sebagai figura sejarah yang utama di Filipina. Sejarahnya terus diperingati menerusi dua buah filem yang mengisahkan tentang dirinya di samping sebuah patung gangsa gergasi yang berdiri megah di Pulau Mactan.


SUMBER
  • Angeles, J. A. 2007. The Battle of Mactan and the Indigenous Discourse on War. Philippine Studies, 55(1), pp. 3-52.
  • Gloria, H.K. 1973. The Legend of LapuLapu: An Interpretation. Philippine Quarterly of Culture and Society, 1(3), pp. 200-208.
  • Mojares, R. B. 1979. LapuLapu in Folk Tradition. Philippine Quarterly of Culture and Society, 7(1/2), pp. 59-68.
  • Pigafetta, A. The First Voyage Round the World, by Magellan. [Lord Stanley of Alderley (trans). 1874. Pigafetta’s The First Voyage Round the World, by Magellan].


Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Lapu-Lapu – Sejarah Disebalik Heroes Dalam Mobile Legend