- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kerry Sullivan. (30 Disember 2016). Legend of the Flying Dutchman, Ghostly
Apparition of the Ship of Captain Hendrick. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/legend-flying-dutchman-ghostly-apparition-ship-captain-hendrick-007285
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/legend-flying-dutchman-ghostly-apparition-ship-captain-hendrick-007285
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dalam banyak-banyak
mitos dan legenda yang berkaitan laut, sedikit sahaja yang memiliki kemasyhuran
seperti mitos Flying Dutchman. Ramai yang mendakwa pernah menyaksikan kelibat
kapal berhantu milik Kapten Hendrick van der Decken (Dutchman) sejak ia karam
pada tahun 1641. Kapten van der Decken dan kru kapalnya disumpah untuk berlayar
di lautan luas buat selama-lamanya lantaran sikapnya yang lancang di hadapan
ribut kencang, sekaligus dianggap membangkitkan kemurkaan Tuhan.
Kapten van der Decken
mengembara dari Holland ke Timur Jauh demi mendapatkan barang-barang eksotik
seperti rempah-ratus, kain sutera dan pewarna. Walaupun mengharungi pelbagai
kesukaran, mereka tetap tiba ke destinasi. Setelah membeli barangan sebanyak
yang mampu ditampung oleh kapal dan melakukan pembaikian seperlunya, Kapten van
der Decken berangkat pulang ke Amsterdam.
Tatkala kapalnya sampai
di pantai Afrika, beliau sempat merenungi betapa mudahnya perjalanan yang bakal
ditempuh seandainya majikan beliau, Syarikat
Hindia Timur Belanda membina sebuah petempatan berhampiran Tanjung
Harapan di Afrika Selatan sebagai tempat beristirehat bagi para pelaut.
![]() |
Tanjung Harapan |
PENGEMBARAAN DAN
SUMPAHAN KE ATAS VAN DER DECKEN
Sedang beliau asyik
memikirkan hal tersebut, tiba-tiba sebuah angin kencang membadai kapalnya
dengan kuat. Kelasi-kelasi yang bertugas menggesa Kapten agar berpatah balik
sebagai langkah selamat, namun enggan didengari oleh van der Decken. Sebilangan
sumber menyebutkan bahawa beliau naik berang dengan permintaan itu. Ada pula
yang berkata beliau sedang mabuk. Namun entah atas sebab apa, Kapten
mengarahkan agar kapal terus digerakkan ke hadapan.
Lantas, beliau menyala
dan menghisap cerutnya sambil gulungan demi gulungan ombak memukul badan kapal.
Angin yang kencang mengoyakkan kain layar dan air laut pula bertumpahan ke dek
kapal. Namun, Kapten “tetap dengan haluannya, mencabar kemurkaan Tuhan Yang
Berkuasa sambil melontarkan kata-kata seranah.” (Occultopedia 2016)
![]() |
Ilustrasi Kapten Hendrick van der Decken |
Berikutan situasi yang
begitu gawat dan getir, ramai kru kapal memberontak. Namun tanpa ragu-ragu,
Kapten van der Decken membunuh ketua pemberontak dan menghumban jasadnya ke
dalam lautan. Tepat di saat jasad pemberontak itu mencecah ke permukaan laut,
“suara kapal bertanya kepada Kapten kalau-kalau beliau mahu berlabuh di pantai
pada malam itu. Namun, Van der Decken membalas, “Semoga diriku dijahanamkan
seandainya aku berlabuh. (Aku akan terus berlayar) walau aku perlu berada di
sini sehingga ke hari pengadilan.” (Wagner memetik dalam Music with Ease,
2005)
![]() |
The Flying Dutchman oleh Albert Pinkham Ryder |
Lantas, “kapal sekali
lagi bersuara, “Atas sebab kata-kata kamu itu, kamu dijatuhkan hukuman berlayar
di lautan buat selama-lamanya dengan anak-anak kapal yang telah mati, dan
sesiapa sahaja yang terlihat kapal kamu akan dilanda kematian dan tidak pula
kamu akan berlabuh dan merasai ketenangan walau sesaat. Pahit hempedu akan
menjadi minuman kamu dan besi merah yang panas akan menjadi daging kamu.”
Membalas suara itu, Kapten van der Decken tanpa kecut-perut berteriak, “Ameen
untuk doa itu!” (Occultopedia 2016)
KAPAL HANTU
Semenjak itu, Kapten
van der Decken diberikan nama timangan “Flying Dutchman” dan berlayar bersama
kapalnya ke seluruh dunia buat selama-lamanya. Ramai pelaut mendakwa bahawa
Dutchman telah menyesatkan banyak kapal, mengakibatkan kapal-kapal tersebut
berlanggar dengan batu-batu atau terumbu karang. Mereka turut berkata bahawa
sekiranya ribut kencang melanda di Tanjung Harapan, kelibat Kapten bersama
tengkorak anak-anak kapalnya dapat disaksikan. Namun, legenda turut menyebutkan
bahawa sesiapa sahaja yang melihat Dutchman akan mengalami kematian yang
tragis.
Legenda Flying Dutchman
buat pertama kali dipopularkan menerusi opera tahun 1843 arahan Wagner yang
berjudul Flying Dutchman. Namun, legenda tersebut dapat bertahan lama
dan diceritakan semula lagi dan lagi (seperti opera arahan Coleridge yang
berjudul The Rime of the Ancient Mariner, Pirates of the Caribbean,
satu karakter dari SpongeBob Square Pants, satu episod dari Scooby-Doo,
dan banyak lagi) kerana terdapat banyak dakwaan tentang penampakan kapal
hantu Flying Dutchman.
![]() |
Babak terakhir opera arahan Wagner yang berjudul The Flying Dutchman (1843) |
Salah satu penampakan
paling masyhur direkodkan pada tanggal 11 Julai 1881 oleh Prince George of
Wales (yang kemudian menjadi Raja George V) dan saudaranya, Prince Albert
Victor of Wales. Pada waktu itu, mereka berdua sedang berlayar di pantai
Australia. Buku log milik Prince George mencatatkan:
“11 Julai. Pada 4 a.m.,
Flying Dutchman melintasi kapal kami. Suatu cahaya merah yang aneh bersinar
bagaikan sebuah kapal bayang, dalam samar-samar ia mencahayai tiang-tiang dan
kain-kain layar sebuah kapal brig yang berjarak 200 ela dari kami. Pegawai
bertugas dari menara peninjau dapat melihatnya dengan jelas. Begitu juga dengan
pegawai di dek yang segera memberikan isyarat kepada menara peninjau.
Namun
tatkala tiba di tempat tersebut, tiada sekelumit atau petanda kewujudan kapal
baik pada jarak yang dekat mahupun jauh. Malam kemudian menjadi cerah dan laut
kekal tenang. Tiga belas individu secara keseluruhan sempat menyaksikannya…
Pada 10.45 a.m., kelasi yang pada pagi tadi melaporkan penampakan Flying
Dutchman terjatuh dari tiang tertinggi sehingga badannya berkecai hancur.”
(Ellis, 2016)
Pada hari ini, saintis
menegaskan bahawa kapal Dutchman tidak lain adalah logamaya yang terhasil
akibat pembiasan cahaya pada permukaan air laut.
SUMBER
- Ellis, Tony. Maritime Ghosts. The Flying Dutchman. Woodbury Central. 2016.
- MI News Network. Ghost Ship: The Mysterious Flying Dutchman. Marine Insight. Marine Insight, 21 Julai 2016.
- Music with Ease. Source of the Legend of the Flying Dutchman. Operas of Richard Wagner the Flying Dutchman. Music with Ease. 2005.
- Occultopedia. Flyin Dutchman. Occultopedia, the Occult and Unexplained Encyclopedia.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Legenda Flying Dutchman’
- Get link
- X
- Other Apps