- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Veronica Parkes. (7 Mac 2017). Disney ALMOST Got it Right: From Moana to
Mayhem, The Mythology Behind the Real Maui. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/disney-almost-got-it-right-moana-mayhem-mythology-behind-real-maui-007674
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/disney-almost-got-it-right-moana-mayhem-mythology-behind-real-maui-007674
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Filem
animasi Moana menceritakan tentang seorang puteri Polynesia yang perlu mencari
Maui, seorang makhluk separa-dewa legenda demi membantunya mempersatukan semula
sebuah relik mistik dengan seorang dewi agar dapat menyelamatkan masyarakatnya.
Namun tidak seperti kebanyakan filem Disney yang lain, kisah yang menghiasi
filem Moana bukanlah sekadar fiksyen fantasi. Akan tetapi, ianya dihasilkan
dengan bersandarkan pada mitologi purba Hawaii, Mangareva, Tahiti, Tonga, Samoa
dan Polynesia.
Walaupun filem ini
cenderung mengutamakan versi mitos masyarakat Polynesia berbanding versi-versi
lain, Maui pada hakikatnya masih merupakan satu figura yang sangat penting
dalam budaya-budaya lain. Sebagai contoh, dalam mitos Hawaii, Maui memainkan
peranan yang penting dalam kisah penciptaan mereka memandangkan Maui
bertanggungjawab menyerahkan rahsia (penciptaan) api kepada manusia. Maui juga
berperanan menghambat matahari agar ia bergerak lebih perlahan di langit
sekaligus membuatkan siang menjadi semakin panjang.
Maui si separa-dewa |
MITOS MAUI YANG TIDAK
DICERITAKAN
Gambaran yang diberikan
oleh Disney tentang Maui agak berbeza dari mitologi sebenar memandangkan Disney
menyesuaikannya dengan penonton yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam mitologi sebenar, Maui mempunyai empat orang saudara dan beberapa aksinya
yang bersifat ganas tidak dimunculkan di dalam filem.
Tambahan lagi, Maui yang
dipaparkan oleh Disney digambarkan sebagai seorang yang ditinggalkan oleh
tuanya ketika beliau masih kecil, sebelum kemudiannya dibesarkan oleh seorang
dewa. Sementara itu di dalam mitos, Maui secara umum dilihat sebagai seorang
putera yang berbapakan dewa dan beribukan wanita manusia, sekaligus
menjadikannya seorang separa-dewa.
Salah satu pemilihan
besar yang dilakukan oleh pasukan animasi Disney adalah penampilan fizikal
Maui. Dalam kebanyakan legenda, Maui digambarkan sebagai seorang pemuda yang
bertubuh kurus dan usianya masih sekitar remaja (akil baligh). Rambutnya pula
diikat dengan simpul di atas. Namun di dalam animasi Disney, Maui ditampilkan
sebagai seorang lelaki asli yang rambutnya kusut-masai (keriting) dan terjuntai
ke paras bahu.
Pada asalnya, Maui dilukis dengan tubuh yang lebih kurus. Namun
kemudiannya, saiz badan karakter ini diubah selepas perbincangan dilakukan
dengan pakar-pakar dari Oceanic Story Trust. Menurut mereka, Maui di dalam
Disney perlu ditampilkan sebagai seorang lelaki yang bertubuh badan besar dan
berperwatakan seorang perwira.
Kiri: Gambaran Maui yang lebih tradisional. Kanan: Maui versi Disney |
BEBERAPA KISAH YANG
KONSISTEN DALAM MITOS MAUI
Walaupun terdapat
kepelbagaian dalam legenda-legenda Maui, terdapat dua buah kisah yang
konsisten. Kisah yang pertama melibatkan kisah di mana Maui mencipta kepulauan.
Untuk melaksanakan tugas tersebut, Maui mengajak saudara-saudaranya untuk
keluar memancing bersamanya.
Ketika mereka sedang ralit memancing, Maui
mendapatkan cangkuk pancing ajaibnya di dasar laut. Kemudian, beliau memujuk
saudara-saudaranya agar mendayung perahu dengan sekuat mungkin, kononnya kerana
beliau telah berjaya menangkap seekor ikan besar. Maui kemudian mengambil
kesempatan untuk mencipta beberapa buah pulau yang membentuk Kepulauan Hawaii
(dan banyak lagi pulau lain).
Kisah kedua yang
konsisten dalam mitos Maui adalah kisah di mana beliau menahan atau menghambat
matahari. Dalam kisah ini, Maui dihikayatkan menangkap matahari dengan
menggunakan rambut saudara perempuannya. Beliau melakukan hal yang sedemikian
bagi membantu ibunya. Untuk tujuan itu, Maui menghukum matahari sehingga ia
bersetuju untuk membenarkan siang berlalu lebih panjang pada musim panas dan
lebih pendek pada musim sejuk.
Dalam versi yang lain,
Maui tidak menggunakan rambut saudaranya. Akan tetapi, beliau mengambil tulang
rahang nenek-moyangnya yang bernama Muri-ranga-whenua lalu menggunakannya
sebagai senjata untuk menundukkan matahari demi membantu manusia mendapatkan
hari siang yang lebih panjang.
Maui si separa dewa menghambat matahari. Oleh Paul Rockwood (1951) |
LAGU ‘YOU’RE WELCOME’
DALAM FILEM ANIMASI
Lirik lagu ‘You’re
Welcome’ dalam filem animasi Disney sememangnya selari dengan mitos-mitos
Polynesia. Lagu ini mengingatkan kepada kita tentang betapa Maui sentiasa
membantu manusia ketika hayatnya. Dalam mitologi masyarakat Polynesia, Maui
diperlihatkan sebagai seorang separa-dewa yang terkenal dengan kenakalannya dan
cangkuk pancing ajaibnya yang ikonik, yang diperbuat daripada tulang rahang
Muri-ranga-whenua.
Masyarakat Polynesia
juga memberikan kredit kepada Maui sebagai pencipta kepulauan mereka, sama
seperti pandangan yang dipegang oleh kebanyakan budaya lain yang mengenali
Maui. Dengan sedikit penambahan berbanding mitos Hawaii yang diceritakan di
atas, mitos Polynesia ada memerihalkan bahawa dalam sebuah perlayaran bersama
saudara-saudaranya, Maui menggunakan darah dari hidungnya sendiri untuk
mengumpan seekor ikan besar dari lautan dalam dan kemudian menangkapnya dengan
menggunakan cangkuk pancing ajaibnya.
Sebaik sahaja ikan
tersebut berjaya ditangkap, Maui segera bergegas mendapatkan seorang paderi
yang boleh melaksanakan upacara dan doa yang sesuai ke atas ikan itu. Namun,
saudara-saudara Maui tidak menunggu kepulangannya dan bertindak memotong dan
membahagi-bahagikan daging ikan tersebut. Daripada situlah makanya terbentung
gunung-ganang, cenuram-cenuram dan lembah-lembah (dalam mitos Polynesia). Seandainya
saudara-saudara Maui menuruti kata Maui, legenda menyebutkan bahawa pulau
tersebut akan menjadi sebuah daratan rata sekaligus memudahkan penghuninya itu
mengembara ke seluruh pulau.
A.W. Reed: Maui: Legends of the Demigod of Polynesia. Wellington: A.H. & A.W. Reed, 1943 |
MAUI DAN MITOS API
Dalam mitologi
masyarakat Polynesia, Maui dipercayai sebagai anak kepada Taranga, isteri
Makeatutara. Kisah kelahirannya yang ajaib ini melibatkan Taranga membuang
anaknya yang masih bayi itu ke dalam lautan sambil tubuhnya dibalut dengan
rambut Taranga sendiri. Kemudian, semangat lautan menemui bayi tersebut dan
membalutnya pula dengan rumpai laut. Nenek moyang Maui yang bernama Rangi
lantas mengambilnya dan membesarkannya sehingga dewasa. Tatkala usianya sudah
matang, Maui pun keluar mengembara mencari ibu dan saudara-saudaranya.
Mitos masyhur lain yang
melibatkan Maui adalah penemuan api. Maui mendapati bahawa api sudah pun hilang
dari muka bumi. Lantaran itu, beliau pun pergi mendapatkan dewi Api, Mahuika dan
mempelajari seni rahsia menyalakan api. Pada masa yang sama, kelakuan-kelakuan
nakalnya membuatkan Mahuika naik marah.
Walaupun Maui berjaya mempelajari seni
rahsia api, beliau nyaris-nyaris kehilangan nyawa di tangan Mahuika. Beliau
mengubah bentuk tubuhnya menjadi seekor helang. Namun, tindakannya ini hanya
menaikkan lagi kemarahan Mahuika yang lantas bertindak membakar daratan dan
lautan. Maui kemudian memanjatkan doa kepada nenek-moyangnya. Setelah itu,
hujan yang lebat pun turun dan memadam api yang membakar bumi.
Wira dalam mitologi Polynesia, Maui digambarkan memegang tulang rahang Murirangawhenua |
Maui menemui ajalnya
semasa melaksanakan helah nakalnya yang terakhir ke atas Dewi Hine-nui-te-po.
Dalam cubaan untuk menjadikan makhluk manusia itu dapat hidup abadi, Maui masuk
ke dalam tubuh dewi tersebut dengan menyamar sebagai seekor cacing. Namun
ketika beliau sedang cuba keluar dari tubuh Dewi Hine-nui-te-po, tubuhnya
sendiri hancur di tangan gigi dewi tersebut yang tajam lantas mengakibatkan Maui
terbunuh.
SUMBER
- Wendrof, J.A. (2016). Is the Maui Legend From Moana Real? The Demigod Has a History.
- Cobb, K. (2016). Your Cheat Sheet on the Legends Behind Disney’s Moana.
- Tahiti-Infos (2015). The true origins of Disney princess Moana.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Mitos Maui Di Sebalik Filem Moana’
- Get link
- X
- Other Apps