- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (25 Januari 2017). How a Javanese King Defeated One of the Most
Powerful Rulers of the Mongolian Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/how-javanese-king-defeated-one-most-powerful-rulers-mongolian-empire-007430
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/how-javanese-king-defeated-one-most-powerful-rulers-mongolian-empire-007430
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Raden Wijaya (juga
dikenali sebagai Nararya Sangramawijaya) merupakan pengasas Empayar Majapahit.
Selain dikenang sebagai pendiri empayar tersebut, Raden Wijaya juga dikenali
lantaran kemenangannya ke atas pasukan tentera Monggol yang dihantr oleh
Dinasti Yuan ke Pulau Jawa. Selepas Raden ijaya menewaskan pasukan tentera
Kublai Khan menerusi strategi yang tidak dijangka, beliau mengukuhkan
kedudukannya sebagai seorang pemerintah yang berkuasa.
HIKAYAT PENAMAAN
EMPAYAR MAJAPAHIT
Empayar Majapahit
ditubuhkan pada tahun 1293/1294 Masehi, bertepatan dengan kenaikan takhta raja
pertamanya, Raden Wijaya. Sebagai pemerintah bagi empayar ini, beliau dikenali
dengan gelaran dirajanya, iaitu Kertarajasa Jayawardhana. Pusat empayar ini
terletak di Pulau Jawa, Indonesia atau tepatnya, di bahagian rantau berkenaan.
Terdapat sebuah kisah yang memerihalkan bagaimana empayar maritim ini meraih
namanya.
Dalam hikayat tersebut,
berikutan kemenangan pasukan tentera Raden Wijaya ke atas pasukan tentera Yuan,
mereka pun membersihkan sebuah kawasan dan bertemu dengan sebiji buah yang
pahit, bernama maja. Lantaran itu, daripada kombinasi perkataan ‘pahit’ dan
nama buah itu, ‘maja’, maka lahirlah nama Majapahit. Nama ini juga boleh digantikan
dengan Wilwatikta, di mana wilwa adalah nama lain bagi buah tersebut
sementara tikta pula adalah perkataan lain bagi ‘pahit’.
Lokasi Empayar Majapahit |
Sebelum Raden Wijaya
menaiki takhta, kuasa dominan di Pulau Jawa adalah Kerajaan Singhasari. Pada
tahun 1268, Kertanagara menjadi pemerintah Singhasari. Pada suatu tempoh dalam
zaman pemerintahannya, iaitu tepatnya pada tahun 1289, Kublai Khan menuntut
agar beliau membayar ufti kepadanya. Tuntutan tersebut ditolak dan utusan yang
dihantar oleh Kublai Khan dipermalukan sekaligus membatkan Dinasti Yuan
mengambil keputusan untuk melancarkan perang ke atas kerajaan itu.
Lukisan yang menggambarkan Shizu, atau lebih dikenali sebagai Kublai Khan |
MENEWASKAN BALA TENTERA
KUBLAI KHAN
Namun, pasukan tentera
Kublai Khan hanya tiba di Jawa pada tahun 1292 dan menjelang waktu itu,
perubahan sudah pun berlaku dalam Kerajaan Singhasari. Sebelum pasukan tentera
Yuan itu tiba, sebuah pemberontakan meletus di Singhasari dengan diketuai oleh
Jayakatwang dari Kediri. Jayakatwang adalah orang bawahan Kertanagara. Walaupun
Kertanagara cuba menundukkan pemberontakan tersebut, beliau sendiri terkorban
dalam sebuah pertempuran dan Jayakatwang pun menubuhkan Kerajaan Kediri. Salah
seorang kerabat diraja Singhasari yang terselamat dalam peristiwa ini adalah
Raden, yang melarikan diri ke Madura. Di sana, beliau mengatur rancangan untuk
menubuhkan sebuah kerajaan baru.
Lokasi pulau Madura di Jawa Timur, Indonesia |
Perwakilan-perwakilan
daripada Raden Wijaya inilah yang bertemu dan menghadap pasukan tentera Yuan,
dan memaklumkan kepada komander-komandernya tentang pemberontakan yang berlaku
ke atas kerajaan mereka (Singhasari) dan kemangkatan Kertanagara. Lantas,
persekutuan pun terbentuk di antara Raden Wijaya dan pasukan tentera Yuan
lantaran mereka masing-masing melihat Jayakatwang sebagai musuh bersama.
Sebagai penghargaan di atas bantuan ketenteraan yang dihulurkan dalam memerangi
Jayakatwang, Raden Wijaya melontarkan janji untuk membayar ufti kepada maharaja
Yuan.
Makanya, pada tahun
1293, sebuah serangan pun dilancarkan ke atas ibu kota Kediri. Dalam serangan
tersebut, seramai 5000 orang dari pihak Kediri terkorban dan Jayakatwang
sendiri menyerah diri. Raden Wijaya kemudian mengundurkan diri dan pasukannya
dan pulang ke ibu kotanya, kononnya untuk mempersiapkan ufti supaya dapat
diserahkan kepada pasukan tentera Yuan dan dibawa pulang ke negara China.
Namun, keadaan
sebaliknya yang berlaku. Raden Wijaya menggerakkan pasukan tenteranya dan
melancarkan sebuah serangan mengejut ke atas angkatan tentera Yuan ketika
mereka sedang sibuk meraikan kemenangan. Lantaran diserang secara mengejut,
ramai daripada mereka terbunuh dan saki-bakinya pula lintang-pukang melarikan
diri ke kapal-kapal mereka. Lantaran kekuatan mereka sudah dilemahkan dan
semangat mereka pula sudah digugat, pasukan tentera Monggol menyedari bahawa
mereka tidak berada dalam kondisi yang sesuai untuk melakukan serangan balas.
Makanya, mereka pun mengambil keputusan untuk berlayar pulang ke China.
Kerajaan Janggala dan Panjalu (Kediri), yang kemudiannya disatukan sebagai Kerajaan Kediri |
DIMAHKOTAKAN SEBAGAI
RAJA
Kemudian, Raden Wijaya
dimahkotakan sebagai raja dan beliau pun menubuhkan Empayar Majapahit. Demi
meneguhkan kedudukannya sebagai raja, beliau mengahwini empat orang puteri
Kertanagara, iaitu Shri Parameshwari Dyah Dewi Tribhuwaneshwari, Shri Mahadewi
Dyah Dewi Narendraduhita, Shri Jayendradewi Dyah Dewi Prajnaparamita dan Shri
Rajendradewi Dyah Dewi Gayatri.
Pada zaman
pemerintahannya, berlaku sejumlah pemberontakan. Namun, Raden Wijaya berjaya
menundukkan setiap satu daripadanya sekaligus memelihara kekuasaan Empayar
Majapahit yang usianya masih setahun jagung itu. Raden Wijaya mangkat pada
tahun 1309 dan kedudukannya diambil-alih oleh Jayanagara, puteranya daripada
Shri Parameshwari Dyah Dewi Tribhuwaneshwari.
Patung Parvati sebagai penggambaran pemujaan mayat Tribhuwanottunggadewi |
SUMBER
- Bade, D. 2013. Of Palm Wine, Women and War: The Mongolian Naval Expedition to Java in the 13th Century. Singapore: ISEAS Publishing.
- Sedyawati, E. 2004. Majapahit (1293-ca 1520s). In: O. K. Gin, ed. Southeast Asia: A Historical Encyclopedia from Angkor Wat to East Timor. Santa Barbara, Calif: ABC-CLIO, pp. 822-824.
- Memory of Majapahit. 2007. Raden Wijaya.
- Sejarah Negara. 2015. Sejarah Raden Wijaya pendiri Kerajaan Majapahit.
- Singosari. 2017. Raden Wijaya and the foundation of Majapahit.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Raden Wijaya – Raja Yang Menewaskan Monggol’
- Get link
- X
- Other Apps