SOKUSHINBUTSU DAN SAMI-SAMI JEPUN YANG MEMUMIAKAN DIRI SENDIRI

Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (9 November 2014). Sokushinbutsu and the ancient Japanese monks that mummified themselves to death. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-ancient-traditions/sokushinbutsu-and-ancient-japanese-monks-mummified-to-death-012938

Penterjemah: Amir Zayyanid


Lebih 1000 tahun yang lalu, muncul suatu amalan yang dipelopori oleh seorang sami Jepun bernama Kukai. Amalan ini bertujuan untuk menunjukkan kemuncak disiplin dan dedikasi agama. Amalan yang dimaksudkan ini adalah Sokushinbutsu, ataupun pemumiaan diri sendiri. Sokushinbutsu adalah sebuah ritual yang pelaksanaannya memakan masa selama bertahun-tahun dan berakhir dengan kematian serta pengawetan tubuh badan. Sekiranya pemumiaan diri sendiri ini meraih keberhasilan, mumia sami tersebut akan terus-menerus ditempatkan di sebuah kuil sebagai tatapan umum.

Kukai (774-835M) adalah seorang sami Jepun, pengkhidmat awam, ilmuwan, pelukis dan pengasas sebuah aliran khusus yang dikenali sebagai Shingon. Aliran ini menggabungkan elemen-elemen daripada Buddhisme, Shinto Lama, Taoisme dan agama-agama lain. Beliau dan para pengikutnya mengamalkan Shugendo, iaitu satu falsafah yang berteraskan pencapaian kuasa batin (rohaniah) melalui disiplin dan pengekangan diri.

Menjelang akhir hayatnya Kukai bermeditasi dengan penuh khusyuk dan menafikan segala makanan dan minuman sekaligus membawa kepada kematiannya. Jasad beliau disemadikan di Gunung Koya yang terletak di Wilayah Wakayama. Beberapa tempoh kemudian, makam tersebut dibuka dan Kukai, yang dikenali sebagai Kobo-Daishi ditemui dalam keadaan seolah-olah sedang tidur. Tubuhnya sama sekali tidak berubah dan rambutnya pula masih sihat dan kuat.

Kukai bermeditasi sehinggal meninggal dunia di Gunung Koya


Semenjak itu, amalan Sokushinbutsu pun lahir dan berkembang. Proses pemumiaan diri sendiri ini diamalkan oleh sejumlah pengikut aliran Shingon yang berdedikasi. Pengamal-pengamal Sokushinbutsu ini tidak melihat amalan ini sebagai suatu tindakan membunuh diri, sebaliknya ia dianggap sebagai langkah untuk meraih pencerahan lanjut.

Dalam buku yang berjudul Living Buddhas: The Self-Mummified Monks of Yamagata, Japan, Ken Jeremiah mengemukakan kenyataan bahawa kebanyakan agama memandang mayat yang tidak reput itu sebagai suatu petanda keistimewaan ataupun keupayaannya yang luar biasa.


PROSES MEMUMIAKAN DIRI SENDIRI

Langkah-langkah di dalam proses memumiakan diri sendiri ini sangatlah ketat dan menyakitkan. Untuk 1000 hari yang pertama, si sami akan menghindari segala jenis makanan kecuali kekacang, bijirin, buah-buahan dan beri. Mereka turut mengerah diri dalam aktiviti-aktiviti fizikal yang lasak demi membuang segala lemak pada tubuh.

Untuk seribu hari yang berikutnya, pemakanan mereka akan dihadkan iaitu sekadar memakan kulit dan akar pokok. Menjelang penghujung tempoh ini, mereka akan meminum teh racun yang diperbuat daripada getah pokok Urushi. Teh ini akan menyebabkannya muntah dan kehilangan cecair dalam tubuh badan dengan pantas. Teh ini juga bertindak sebagai pengawet dan membunuh segala ulat dan bakteria yang menyebabkan tubuh mereput setelah seseorang itu meninggal dunia.

Pada peringkat akhir Sokushinbutsu di mana setelah lebih enam tahun yang dipenuhi penderitaan berlalu, si sami akan mengurung dirinya di dalam sebuah makam batu yang saiznya sedikit lebih besar daripada tubuhnya  Dalam makam tersebut, si sami akan bermeditasi dan duduk dalam postur teratai tanpa dapat bergerak walau sedikit pun sehingga mati. 

Sebuah tiub udara yang kecil kemudian akan dimasukkan ke dalam makam untuk membekalkan oksigen. Pada setiap hari, si sami akan membunyikan loceng untuk memaklumkan kepada orang-orang di luar bahawa beliau masih hidup. Apabila loceng tersebut berhenti berbunyi, tiub udara akan dialihkan dan makam tersebut akan dikambus serta ditinggalkan selama 1000 hari.

Setelah 1000 hari berlalu, makam tersebut akan dibuka untuk melihat sama ada sami yang melaksanakan Sokushinbutsu itu Berjaya memumiakan dirinya sendiri ataupun tidak. Sekiranya tubuh si sami itu didapati berada dalam keadaan yang terpelihara (terawet), sami tersebut akan dimuliakan hingga ke status Buddha. Jasadnya pula akan dipindahkan ke sebuah kuil untuk dihormati dan dipuja. 

Namun seandainya tubuh si sami tersebut mereput, makamnya akan dikambus semula dan si sami itu akan dihormati lantaran ketahanannya dalam melaksanakan Sokushinbutsu. Namun, beliau tidak akan dipuja.

Seorang sami Shindon yang berjaya memumiakan diri sendiri


Amalan memumiakan diri sendiri ini berlanjutan sehingga kurun ke-19. Pada kurun tersebut, amalan ini dianggap menyalahi undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun. Kini, Sokushinbutsu tidak lagi dianjurkan dan diamalkan oleh mana-mana aliran Buddhisme.

Dipercayai bahawa ratusan sami telah cuba melakukan Sokushinbutsu. Namun, hanya 28 orang sahaja yang diketahui Berjaya meraih hasil yang dikehendaki. Kebanyakan mumia sami-sami tersebut boleh dikunjungi di pelbagai kuil di serata Jepun. Mumia sami yang paling masyhur adalah Shinnyokai Shonin yang ditempatkan di Kuil Dainichi-Boo yang terletak di gunung suci Yudono. Mumia-mumia lain boleh disaksikan di Kuil Nangakuji di pinggir bandar Tsuruoka dan di Kuil Kaikokuji yang teletak di bandar kecil Sakata.

Shinnyokai Shonin dari Kuil Dainichi-Boo di gunung suci Yudono


SUMBER