- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (25 November 2018). How Many Maya Gods Were Worshipped? Hint: There
Were Hundreds! Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-americas/mayan-gods-0011052
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-americas/mayan-gods-0011052
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Maya merupakan sebuah
masyarakat yang mengamalkan kepercayaan politeisme yakni memuja banyak dewa dan
dewi. Dewata-dewata dalam pantheon Maya kononnya berkuasa ke atas setiap aspek
alam dan kehidupan manusia, di samping memiliki sifat yang agak kompleks. Dewa
dan dewi Maya lazimnya bersifat dualistik dan sering berubah-ubah. Sehingga
kini, terdapat sekurang-kurangnya 250 dewata Maya telah dikenal pasti.
PEMAHAMAN MAYA TERHADAP
SISTEM KEPERCAYAAN MEREKA
Kerumitan pantheon Maya
berkemungkinan mencerminkan betapa teratur dan tersusunnya masyarakat Maya.
Tidak seperti Aztec yang berupaya mengintegrasikan seluruh sfera budaya mereka
kepada sebuah entiti tunggal, Maya tidak berbuat demikian. Sebaliknya, tamadun
Maya merupakan suatu identiti yang menghimpunkan sejumlah entiti politik dalam
sebuah konfederasi.
Setiap komuniti Maya
bebas untuk menafsirkan kepercayaan mereka dalam keadaan yang dirasakan paling
sesuai. Sebagai susulan, nama dan sifat dewata-dewata Maya pun berubah mengikut
zaman dan tempat. Tambahan lagi, di kala maklumat tentang pantheon Aztec sudah
pun dihimpunkan seawal zaman kolonial lagi, usaha keilmuwan ke arah pantheon
Maya dilakukan hanya pada awal kurun ke-20.
![]() |
| Dewa jagung Maya |
PENGENALPASTIAN KE ATAS
SISTEM KEPERCAYAAN MAYA DAN BIBIT PEMAHAMAN TENTANGNYA
Ilmuwan yang diberikan
kredit atas usaha pertama menghimpunkan (mengkompilasikan) ikonografi
dewata-dewata Maya adalah Paul Schellhas. Monograf berkenaan dewata Maya
ditemui pada manuskrip-manuskrip yang diterbitkannya pada tahun 1910.
Memandangkan sistem
tulisan Maya masih belum dapat ditafsirkan pada waktu itu dan dengan demikian
nama dewata-dewata Maya tidak dapat diketahui, maka Schellhas pun mencipta satu
kod abjad bagi setiap dewata yang beliau berjaya kenal pasti. Pada masa-masa
terkemudian setelah sistem tulisan Maya sudah difahami, barilah nama sebenar
dewata-dewata tersebut dapat dikenal pasti. Berkat usaha keilmuan sebegini,
maka kita pun berpeluang menelusuri serba-sedikit sistem kepercayaan masyarakat
Maya.
ADAKAH MASYARAKAT MAYA
HANYA MEMUJA SATU KEMENJADIAN AGUNG?
Ilmuwan masih kurang
jelas sama ada masyarakat Maya mempunyai satu kemenjadian agung ataupun tidak.
Apapun, kita mengetahui bahawa mereka memuja sejumlah dewata yang penting.
Salah satu contohnya adalah ‘Dewa B’, jika menurut Schellhas, yang kemudiannya
dikenali sebagai Chak. Chak diperkirakan sebagai salah satu dewa tertua dalam
pantheon Maya. Chak adalah dewa kilat dan hujan serta sering dikaitkan dengan
kesuburan tanah sekaligus menjadikannya sebagai dewata yang sangat penting.
Chak kadangkala digambarkan sebagai seorang lelaki tua dengan ciri-ciri
reptilian/amfibia dan berhidung panjang dan melengkung.
![]() |
| Patung terra cotta dewa Chak – dewa hujan merangkap dewa perang Maya di Muzium San Francisco’s de Young |
DEWATA LANGIT – DEWA
MATAHARI MAYA
Satu lagi dewata
terkemuka bagi masyarakat Maya adalah ‘Dewa G’, iaitu dewa matahari Maya yang
kemudiannya dikenali dengan nama Ahau Kin atau Kinich Ahau. Signifikasi yang
dipegang oleh dewata ini dalam sistem kepercayaan Maya dapat dibuktikan
menerusi penggunaan namanya sebagai gelaran diraja.
Tambahan lagi, gambaran
Ahau Kin dapat ditemui pada sejumlah ukiran di piramid Maya. Dewa ini sering
digambarkan memiliki jambang, yang berkemungkinan merupakan simbol sinaran
matahari. Beliau juga digambarkan sebagai lelaki separuh usia atau bagi
beberapa keadaan lain, sebagai individu berusia. Selain golongan diraja, Ahau
Kin juga lazim dikaitkan dengan harimau kumbang, api dan pemancungan.
![]() |
| Dewa G – Kinich Ahau – dewa matahari merangkap dewa harimau kumbang Maya |
DEWI BULAN MAYA
Ahau Kin bukanlah
satu-satunya dewata Maya yang digambarkan sebagai dewata yang mewakili dua
kumpulan usia yang berbeza. Keadaan ini juga berlaku bagi ‘Dewi I’ atau
dikenali sebagai Ix Chel si dewi bulan. Sebagai kepilan nota, terdapat satu
lagi dewi lain, iaitu ‘Dewi O’ atau Chac Chel si dewi pelangi.
Ix Chel dikaitkan
dengan kelahiran, kandungan dan kesuburan manakala Chac Chel pula mentadbir
aspek kematian dan kemusnahan. Dipercayai bahawa dua dewi ini pada hakikatnya
adalah dua aspek yang saling berbalikan bagi satu dewata tunggal, sesuai dengan
sifat dualistik yang sinonim dengan dewata Maya. Apapun, terdapat juga
kemungkinan bahawa Ix Chel dan Chac Chel sememangnya adalah dua dewata yang
berbeza.
![]() |
| Dewi I – Ix Chel – Dewi bulan merangkap dewi ular Maya |
SEBAHAGIAN SENARAI
DEWA-DEWI MAYA
Selain daripada
dewata-dewata yang telah disebutkan di atas, terdapat banyak lagi dewa-dewi
dalam pantheon Maya yang berkuasa ke atas aspek alam dan kehidupan manusia.
Misalnya, terdapat dewa kematian, Yum Cimil atau Ah Puch; dewa cuaca buruk,
Huracan (berasal dari perkataan Inggeris iaitu hurricane); dan dewa
hutan, Yum Kaax.
Selain itu, terdapat
juga beberapa dewata tertentu yang mungkin dianggap sebagai dewa yang janggal
pada hari ini. Contohnya, Ixtab si dewa pembunuhan diri. Ixtab digambarkan
sebagai wanita yang lehernya dililit dengan seutas tali, lantaran menggantung
diri dianggap sebagai suatu cara yang terhormat untuk membunuh diri dalam
kalangan masyarakat Maya.
Walaupun terdapat
sebanyak 250 dewa-dewi Maya yang telah dikenal pasti setakat ini, ilmuwan
memperkirakan bahawa jumlah tersebut mungkin jauh lebih banyak lagi.
![]() |
| Dewa A – Ah Puch atau Kimi, si pemburu, yang dikenali sebagai dewa kematian Maya |
SUMBER
- Gill, N. S. 2018. Gods and Goddesses of the Maya.
- Crystalinks. 2018. Mayan Gods and Goddesses.
- History on the Net. 2016. The Mayan Pantheon: Gods and Goddesses.
- Maya-Archaeology. 2014. The gods and goddesses of the ancient Maya.
- Yucatan Adventure. 2016. Mayan Gods & The Universe.
- Yucatan Today. 2018. Maya Gods.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Berapa Banyak Dewata Yang Disembah Oleh Kaum Maya’
- Get link
- X
- Other Apps





