CIUDAD PERDIDA – KOTA YANG MENYIMPAN MISTERI TAMADUN PURBA DI TANAH TINGGI COLOMBIA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (16 Mei 2015). Ciudad Perdida: Lost City in Colombian Highlands holds Mysteries of Ancient Civilization. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/ciudad-perdida-lost-city-colombian-highlands-holds-mysteries-020347

Penterjemah: Amir Zayyanid


Pada awal 1970an, seorang guaquero tempatan (perompak kubur) yang bernama Florentino Sepulveda dan dua orang anak lelakinya, Julio Cesar dan Jacobo dikatakan telah menemui sebuah kota purba di Sierra Nevada, Colombia selepas mereka mendaki lebih 1000 anak tangga dari tebing sebatang sungai.

Sumber lain mencatatkan bahawa penemuan tersebut dilakukan ketika ketiga-tiga guaquero ini sedang memburu burung tropika. Terdapat banyak harta karun yang turut ditemui di kota purba itu dan Sepulveda tidak melepaskan peluang untuk merompaknya.

Berita tentang hal ini kemudiannya tersebar sekaligus menggamit kehadiran guaquero-guaquero lain hinggakan tercetus pergaduhan maut di antara kumpulan-kumpulan yang saling berseteru. Kesemua guaquero ini menamakan tapak tersebut sebagai Infierno Verde (bermaksud ‘Neraka Hijau’). Namun pada hari ini, kota purba tersebut dikenali sebagai Ciudad Perdida yang membawa erti ‘Kota Yang Hilang’.

Shaman Koguis asli di Ciudad Perdida. Dipercayai bahawa Koguis adalah pemelihara tamadun Tayrona pada zaman moden


Ciudad Perdida dipercayai dibina pada suatu tempoh pada kurun ke-9 Masehi dan dihuni oleh Tayrona sehingga lewat kurun ke-16 Masehi. Walaupun kerja-kerja arkeologi yang dijalankan di Ciudad Perdida sudah mencecah lebih 30 tahun lamanya, dianggarkan hanya 10% sahaja dari keseluruhan kota itu yang telah diekskavasi.
Ahli-ahli arkeologi berjaya menemukan lebih 200 buah binaan yang merangkumi kawasan berkeluasan mencecah 0.3 km persegi. Binaan-binaan yang dijumpai ini antara lain adalah rumah pelbagai saiz, teres, laluan berbatu dan anak-anak tangga, dataran plaza, tapak upacara dan jamuan, terusan serta gudang.

Gambar menunjukkan keindahan hasil pertukangan batu di Ciudad Perdida


Walaupun guaquero-guaquero sebelum ini pernah menjarah dan merompak kota purba itu, tidak semuanya dapat diambil oleh mereka. Lantaran itu, kerja-kerja yang dijalankan pada tempoh masa terkemudian berjaya menemukan pelbagai artifak yang memberikan gambaran dan pemahaman lanjut berkenaan masyarakat Tayrona yang pernah mendiami Ciudad Perdida.

Artifak-artifak ini antara lain adalah tembikar baik untuk kegunaan harian ataupun ritual, barangan emas serta rantai leher yang bertatahkan batu permata. Sebahagian artifak ini dipamerkan di Santa Marta, sebuah bandar pesisiran yang terletak tidak begitu jauh dari tapak kota purba ini. Museo Del Oro di ibu negara, Bogota juga antara yang mempamerkan artifak-artifak berkenaan.

Loceng crotal, tumbaga, tamadun Tayrona (1000-1500M)


Pihak kerajaan Colombia mula mencampuri urusan Ciudad Perdida hanya pada pertengahan 1970an, beberapa tahun selepas Sepulveda menemui kota purba itu. Semenjak itu, sejumlah tentera dan ahli arkeologi dikerahkan ke sana untuk melindungi tapak penting tersebut.

Walau bagaimanapun, pergaduhan dan rompakan oleh beberapa guaquero yang masih berdegil tetap berlaku sekali-sekala dalam tempoh beberapa tahun. Selain ancaman guaquero, hutan di sekeliling Ciudad Perdida turut dijejaskan oleh perang dadah dan aktiiti ketenteraan yang berlangsung di situ sejak pertengahan 1960an.

Pada tahun 2003, sekumpulan lapan orang pelancong asing bersama dengan pemandu pelancong diculik oleh sekumpulan gerila yang dikenali sebagai ELN semasa dalam perjalanan menuju ke Ciudad Perdida. Mujur mereka dibebaskan tiga bulan kemudian. Semenjak berlakunya insiden itu, akses ke Ciudad Perdida ditutup daripada orang awam. Hanya pada tahun 2005 barulah pelancong dibenarkan semula untuk mengunjungi tapak kota purba ini, setelah pasukan tentera dikerahkan memeriksa dan menjamin keselamatan laluan masuknya.

Anak-anak tangga dan laluan pejalan kaki yang merupakan sebahagian dari Ciudad Perdida


Peningkatan sekuriti sebegini mendorong kepada peningkatan jumlah pelancong. Direkodkan bahawa jumlah pelancong ke Ciudad Perdida meningkat dari 2000 orang pada tahun 2007 kepada 8000 orang pada tahun 2011. Pun begitu, walaupun hal ini memungkinkan sektor pelancongan menggantikan sektor pemerdagangan dadah sebagai sumber pemerolehan negara, ia juga mempunyai masalah dan kekurangan yang tersendiri.

Misalnya, kehadiran pelancong yang tidak terkawal pastinya akan memberi impak yang negatif ke atas Ciudad Perdida sebagaimana yang berlaku pada tapak-tapak bersejarah lain di serata dunia.

Tambahan lagi, peningkatan pelancongan sebegini berkemungkinan menghidupkan kembali aktiviti rompakan dan penjarahan ke atas tapak-tapak lain yang kurang dikenali di rantau itu, atau lebih khusus, tapak yang belum dimasukkan ke bawah pengawalan pihak berkuasa. Artifak-artifak yang dicuri dalam kegiatan seperti ini kemudiannya berkemungkinan akan dijual dalam pasaran gelap kepada para pelancong sebagai cenderamata.


SUMBER