HATTUSA – KOTA SUKU HATTI DAN IBU KOTA EMPAYAR HITTITE

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (3 Mac 2020). Hattusa: The Cursed City of the Hatti and the Hittite Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/hattusa-cursed-city-hatti-and-hittite-empire-005670

Penterjemah: Amir Zayyanid


Hattusa, atau turut dikenali sebagai Hattusha, adalah sebuah kota purba yang terletak berhampiran Bogazkale moden, Wilayah Laut Hitam di Turki. Kota purba ini pernah berfungsi sebagai ibu kota Empayar Hittite, salah sebuah adikuasa di zaman purba.
Dalam Surat-Surat Amarna, yang diperkirakan ditulis pada kurun ke-14SM, bangsa Hittite disebutkan oleh masyarakat Mesir sebagai salah sebuah kuasa besar, setaraf dengan Assyria, Mitanni, dan Babylonia.

Hattusa didirikan oleh suku Hatti, masyarakat asli yang hidup di kawasan itu, sebelum kedatangan bangsa Hittite. Asal-usul bangsa Hittite ini masih lagi diselubungi misteri. Mereka berkemungkinan menyerang atau berhijrah ke wilayah yang diduduki oleh suku Hatti, lalu mendiami dan menubuhkan empayar mereka di sana.

Runtuhan Hattusa – ibu kota Empayar Hittite berhampiran Bogazkale, Turki moden


PENUBUHAN KOTA HATTUSA

Pada milenium ke-3SM, suku Hatti menubuhkan sebuah negara kota yang bertapak di Hattusa. Pada waktu ini, Hattusa merupakan salah sebuah negara kota kecil yang terdapat di rantau itu. Sebuah lagi negara kota lain yang mungkin dibangunkan oleh suku Hatti adalah Kanesh, yang terletak tidak jauh dari Hattusa. 

Sebuah koloni perdagangan turut dipercayai telah ditubuhkan oleh bangsa Assyria sekitar 2000SM, dan nama Hattusa ditemukan buat pertama kalinya dari dokumen-dokumen bertulis sekitar waktu itu.

Fasa pertama sejarah Hattusa ini berakhir sekitar tahun 1700SM. Pada waktu itu, kota tersebut ditakluk dan kemudiannya diruntuhkan oleh Anitta, raja wilayah Kussara (sebuah negara kota yang lokasinya masih belum dikenal pasti). Raja ini dikatakan telah meninggalkan satu inskripsi bagi mengenang kemenangannya ke atas Hattusa. 

Beliau turut mengenakan sumpah ke atas kota ini dan pada sesiapa yang membina kerajaan di tapak berkenaan. Dipercayai bahawa Anitta ini adalah seorang raja berbangsa Hittite, ataupun seorang raja yang kehadirannya mendahului bangsa Hittite.

Gerbang Raja di Hattusa


Apapun, agak ironi apabila Hattusa kemudiannya didiami semula sekitar pertengahan kurun ke-17SM oleh Hattusili, seorang pemerintah berbangsa Hittite yang juga dikenali sebagai ‘Lelaki Kussara’. Hattusili bermaksud ‘Lelaki dari Hattusa’ dan mungkin nama ini digunakan oleh raja ini selepas menduduki Hattusa. 

Berikutan kekurangan rekod, sejarahwan tidak dapat mengetahui sama ada Anitta pernah membina semula kota ini setelah memusnahkannya ataupun tidak. Hal ini menimbulkan persoalan lanjut, iaitu adakah Hattusili menakluk Hattusa dengan kekerasan atau hanya sekadar membina kerajaannya di atas runtuhan kota lama.


STRUKTUR-STRUKTUR DI KOTA HATTUSA

Apa yang lebih pasti adalah bangsa Hittite kemudiannya menjadi penguasa di rantau tersebut. Mereka membina sebuah empayar hebat dan menjadikan Hattusa sebagai ibu kota. Pada zaman inilah bangunan-bangunan monumental didirikan di Hattusa, yang mana runtuhannya masih dapat dilihat sehingga kini. 

Antara lain berdasarkan runtuhan yang tinggal, kota ini didapati dipertahankan oleh tembok yang panjangnya melebihi 8 kilometer (4.97 batu). Pertahanan di bahagian atas kota ini lebih ketat dengan kewujudan tembok berganda dan lebih seratus buah menara.

Pada tembok-tembok ini terdapat lima buah gerbang, termasuklah Gerbang Singa dan Gerbang Sphinx yang masyhur. Selain struktur pertahanan, banyak kuil turut ditemui di Hattusa. Kuil yang paling terpelihara keadaannya adalah Kuil Besar, yang terletak di bahagian bawah kota dan dipercayai dibina sekitar kurun ke-13SM.

Gerbang Singa di Hattusa


Pada tahun 2016, ahli-ahli arkeologi menemukan sebuah terowong rahsia berusia 2300 tahun di Hattusa. Para penyelidik mengatakan bahawa mereka sebelum ini ‘pernah menemui satu tablet kuneiform di situ. Tablet tersebut mengandungi penerangan seorang raja kepada paderi-paderi tentang apa yang perlu dilakukan semasa berlangsungnya upacara keraian. Justeru, terowong rahsia ini berkemungkinan mempunyai fungsi keagamaan.’

Terowong di Hattusa


Ciri menarik lain yang terdapat di Hattusa adalah batu hijau besar yang misteri. Penduduk tempatan memanggilnya sebagai ‘batu hajat’. Batu besar ini dipercayai diperbuat daripada serpentine dan jed nephrite. Dalam erti kata lain, batu ini bukanlah batu biasa yang boleh didapati di kawasan itu. Tiada siapa mengetahui apa sebenarnya kegunaan batu ini atau bagaimana ia boleh berada di Hattusa.

Kiub batu hijau di Hattusa


HATTUSA DITINGGALKAN

Empayar Hittite mula mengalami kejatuhan sekitar pertengahan kurun ke-13SM. Faktor utamanya adalah kebangkitan bangsa Assyria. Selain itu, serangan-serangan daripada kelompok ganas seperti Orang Laut dan suku Kaska melemahkan lagi Empayar Hittite, yang pada akhirnya mengakibatkan kejatuhan totalnya pada separuh pertama kurun ke-12SM. Pada tahun 1190SM, suku Kaska berjaya menakluk Hattusa lalu menjarah dan membakarnya.

Hattusa ditinggalkan selama 400 tahun dan kemudian didiami semula oleh kaum Phyrgia. Kota ini terus wujud sebagai petempatan manusia di zaman Hellenistik, Rom, dan Byzantine, walaupun tahun-tahun kegemilangannya sudah lama berakhir.

Dalam tempoh tersebut, bangsa Hittite menghilang dan kemudian lesap sepenuhnya dari sejarah, kecuali dalam beberapa sebutan yang terkandung di dalam Bible dan beberapa dokumen dari Mesir. Hanya pada kurun ke-19M, ketikamana kerja-kerja ekskavasi mula dijalankan di Bogazkale, barulah bangsa Hittite dan ibu kota mereka, Hattusa, ditemui semula, kali ini, oleh dunia moden.
  
Ilustrasi kota purba Hattusa dan tenteranya


SUMBER